Monday 2 July 2018

ERA MAJLIS PARLIMEN KEDUA BELAS (2008 – 2013) – GELOMBANG PERUBAHAN


Keputusan Pilihan Raya Umum Kedua Belas pada 8 Mac 2008  ialah Barisan Nasional memenangi 137 kerusi dan pembangkang- 82 dan bebas - 3 kerusi dari jumlah 222 kerusi Parlimen. Kali pertama dalam sejarah negara, Barisan Nasioanal kehilangan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.  Komposisi ini berubah kerana adanya Ahli-ahli yang keluar parti, dan terkini ialah Barisan Nasional: 137, Pembangkang: 77   dan Bebas: 8 .   Komposisi sedemikian rupa telah mengakibatkan suasana persidangan sentiasa hangat, perbahasan bertukar rentak dan pelbagai peraturan dan perkara baru dibangkitkan.  Dalam hal ini, penulis amat setuju dengan pandangan  Wan Junaidi Tuanku Jaafar  yang menyifatkan “...ahli-ahli yang baharu, membawa kelakuan baharu, sikap baharu danperadaban baharu.  Segelintir ahli-ahli lama  menunjukkan belang dan ada dalam kalangan ahli-ahli baharu mengikut rentak dan langkah yang sama.  Dewan Rakyat seperti medan pergaduhan, selagi gelagat dan perkataan boleh keluar bebas.  Budaya bersopan, berdisiplin dan beradab baik telah berterbangan, dan ada kalanya Yang di-Pertua terpaksa menggunakan kuasa di bawah Peraturan-Pweraturan Majlis mesyuarat untuk mengatasi masalah berbangkit.” (Evolusi Parlimen dan Evolusi Speaker Parlimen Malysia, DBP, 2010).

Bagi Majlis ini, Tan Sri Datuk Seri Utama Pandikar Amin bin Haji Mulia dipilih menjadi Yang di-Pertua Dewan Rakyat  dan dimasyhurkan  pada  28 April 2008, hari pertama persidangan Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama, Parlimen Kedua Belas. Ketua Pembangkang pula ialah Ahli Parlimen Permatang Pauh iaitu YB Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sehingga beliau meletakkan jawatan dan diganti pula YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim ( setelah  Beliau  memenangi Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh)



1          Mengangkat Tangan Semasa Sumpah

Pada hari petama persidangan bagi Mesyuarat Pertama, Penggal Peertama, Parlimen Kedua Belas,  semasa Ahli-ahli  mengangkat sumpah, Ahli Bukit Gelugor telah membangkitkan  Peraturan Mesyuarat 1 (c) dan Perkara 59(1) Perlembagaan Persekutuan yang mewajibkan ahli Dewan Rakyat mengambil sumpah dan menegur Ahli yang bersumpah tanpa mengangkat tangan.  Teguran itu diakui oleh Yang di-Pertua dan meminta supaya Ahli mengangkat tangan ketika bersumpah.  Apabila sampai gilirannya, Ahli Bukit Gelugor memohon untuk mengangkat tangan kiri kerana tidak boleh angkat tangan kiri dan dibenarkan oleh Yang di-Pertua.

2.         Pakaian Menghadiri Dewan

Sebaik sahaja Ahli Pasir Mas selesai mengangkat sumpah, Ahli Parlimen Kalabakan telah bangun mempersoalkan P.M. 41(f), dimana ahli-ahli dikehendaki memakai pakaian kebangsaan atau lounge suit.  Ketika itu, Ahli Pasir Mas tidak memakai lounge suit.  Yang di-Pertua menjawab, pada hari itu, beliau beri kelonggaran pada ahli berkenaan sebab beliau ahli bebas, tidak ada ketua whip memberitahunya.

3          Memilih Dua Orang Timbalan Yang di-Pertua

Majlis Mesyuarat kali ini menyaksikan 3 orang yang dicadangkan sebagai Timbalan Yang di-Pertua.  Perdana Menteri (Kepala Batas) telah mencadangkan YB Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar (Santubong) dan YB Datuk Ronald Kiandee (Beluran) dan disokong oleh Timbalan Perdana Menteri.  Manakala Ahli Parlimen dari Ipoh Timur pula mencadangkan YB Dr. Tan Seng Giaw (Kepong)  dan diskong oleh Ahli Parlimen Bukit Gelugor.   Maka pemilihan dua Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat dibuat dengan undi bersurat sebagaimana P.M. 6(2). Keputusannya  YB Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar (Santubong) – 157 undi  dan YB Datuk Ronald Kiandee (Beluran) – 140 undi dipilih sebagai Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat.  Manakala YB Dr. Tan Seng Giaw (Kepong)  pula  mendapat 81 undi.  Sesuatu yang agak menarik,  YB Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar (Santubong) memperolehi undi melebihi 140 (137:BN + 3: Bebas) iaitu 17 undi melebihi sewajarnya

Selepas itu, Yang di-Pertua memerintahkan mengikut P.M. 4(7), supaya Setiausaha menyimpan kertas-kertas undi  dalam peti undi dan dilakrikan dan disimpian selama sebulan.  Seterusnya persidangan diteruskan dengan Usul  Masuk ke Parlimen dan ditangguhkan pada jam 1.00  ke esokkan hari bagi Pembukaan Penggal Parlimen oleh Yang di- Pertuan Agong.

4.         Penjelasan Mengenai Angkat Sumpah

Pada hari ketiga persidangan bagi Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama, Parlimen Kedua Belas,  selepas sahaja bacaan doa, Ahli Bukit Gelugur membangkitkan Peraturan Mesyuarat dan merujuk kepada peraturan 5(1) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat; iaitu:-
“5.(1) The oath to be taken in the form set out in the Sixth Schedule to the Constitution shall be administered by the Setiausaha, and every member taking the Oath shall sign the book to be kept for the purpose by the Setiausaha at the Table.”
“Shall be administered by the Setiausaha. Administered bermakna Setiausaha sendiri yang kena diwajibkan untuk baca apabila seseorang Ahli Yang Berhormat mengangkat sumpah….”

Demikianlah  percubaan untuk memberi  tafsiran baru mengenai cara angkat sumpah.  Yang di-Pertua menegaskan Ahli-ahli telah selesai angkat sebagaimana amalan dan sah sebagai ahli Parlimen.  Ahli bukit Gelugor tetap menyatakan amalan yang lalu adalah  tidak sah dan tidak boleh dianggap sah.

6.         Mempertikaikan Aturan Urusan Mesyuarat

Persidangan hari  ketiga Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama, Parlimen Kedua Belas  diteruskan lagi dengan Ahli-ahli Parlimen pembangkang mempersoalkan perkara-perkara berikut:

Ahli Parlimen Gombak mohon penjelasan dengan merujuk kepada peraturan mesyuarat 14(1), sejauh mana peranan dan pengaruh Tuan Yang di-Pertua dalam menyusun urutan pertanyaan lisan dalam persidangan Dewan Rakyat pada hari ini (30.4.2008) dan sepatutnya Ketua Pembangkang dalam Dewan Rakyat diberikan keutamaan untuk mengemukakan soalan yang pertama dalam persidangan Dewan Rakyat. Selain itu, daripada sepuluh soalan pertama yang dikemukakan pada hari ini, tujuh diperuntukkan Barisan Nasional. Hanya tiga untuk Pakatan Rakyat.  Beliau berhujah, jumlah ahli Dewan Rakyat di kalangan Pakatan Rakyat adalah 82 dibandingkan hanya 77 Barisan Nasional.  Beliau mencadangkan, daripada sepuluh soalan yang pertama yangdikemukakan, sepatutnya dan seadilnya enam dikemukakan kepada Pakatan Rakyat dan hanya empat kepada Barisan Nasional. [ Ketika ini Dewan  riuh.]

Ahli Parlimen Ipoh Timur pula membangkitkan pencadang bagi Usul mempersembahkan ucapan terima kasih kepada titah ucapan Yang di-Pertuan Agong  ditukar daripada Yang Berhormat Muar  sebagaimana dalam buku Aturan Urusan Mesyuarat  kepada Yang Berhormat Kulai dalam Aturan Urusan Mesyuarat harian.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat tidak membuat keputusan terhadap perkara yang dibangkitkan dan menyatakan:

Tuan Yang di-Pertua: Ahli-ahli Yang Berhormat, kalau Ahli-ahli Yang Berhormat semua membuat peranan seperti begini, pada hari ini negara Malaysia tertumpu pada Dewan yang mulia ini. Yang dibangkitkan ini adalah soal-soal teknikal dan remeh, sedangkan soalan-soalan yang kita akan jawab, soalan yang akan dikemukakan adalah lebih penting daripada soalan-soalan remeh.

Tuan Yang di-Pertua: Sudah. Sebelum saya memanggil untuk soalan pertama dipanggil, saya bersetuju dengan Yang Berhormat Kinabatangan bahawa tidak ada termaktub pun dalam peraturan tetap soalan mana yang perlu wujud didahulukan. [Dewan riuh][Tepuk] Ini adalah soal convention. Soal political convention, tetapi itu pun tertakluk kepada budi bicara Tuan Yang di-Pertua. Jadi itu adalah kuasa Tuan Yang di-Pertua. Jadi untuk tidak menghabiskan masa lagi, sekarang kita tumpukan perhatian kepada soalan-soalan yang telah dikemukakan oleh wakil rakyat. Soalan pertama, Tuan Razali bin Haji Ibrahim.

Persidangan Dewan  diteruskan dengan sessi pertanyaan lisan selepas hampir 40 minit tertunda akibat karenah Ahli Parlimen Pembangkang.   Selepas peristiwa tersebut, sessi pertanyaan lisan dan perbahasan di Dewan Rakyat diwarnai dengan pelbagai gelagat dan watak, terutamanya ketika sessi pertanyaan liasan antara jam 10.00m -11.00 pagi kerana dibuat siaran langsung menerusi TV1.  Suasana sedemikian telah mendapat pelbagai reaksi sebagaimana yang  dilaporkan dalam akhbar. 

Sikap Ahli Parlimen ditegur
KUALA LUMPUR 30 April - Segelintir Ahli Parlimen ditegur kerana bersikap biadap dan tidak profesional semasa perbahasan pada Sidang Dewan Rakyat yang turut disiarkan secara langsung menerusi TV1, Radio Televisyen Malaysia (RTM) pagi ini.  Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Maamor Osman berkata, beliau mendapati beberapa Ahli Parlimen bersikap seperti kanak-kanak dan seolah-olah tidak menghormati Parlimen Malaysia. Beliau yang tidak mahu menamakan mana-mana Ahli Parlimen berkenaan mendapati mereka bersikap tidak profesional dalam berhujah sehingga mencacatkan sidang itu.   ''Mereka perlu mengemukakan hujah dengan berhemah dan bijaksana dan tidak perlu menjerit selain berkelakuan seperti kanak-kanak.''Selain sikap Ahli Parlimen, RTM yang menyiarkan siaran langsung Sidang Dewan Rakyat juga ditegur kerana didapati memberi siaran yang tidak berkualiti dari segi teknikalnya,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.  Beliau berkata demikian ketika mengulas sikap segelintir Ahli Parlimen sewaktu berhujah pada hari pertama Sidang Dewan Rakyat hari ini. Sidang Dewan Rakyat yang disiarkan oleh stesen RTM untuk tatapan rakyat itu bermula pukul 10 pagi ini. Sementara itu, Penasihat Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datin Paduka Zaiton Othman pula berkata, Ahli Parlimen yang bersidang di Dewan Rakyat perlu meningkatkan tahap kualiti penghujahan masing-masing. Katanya, ini kerana setiap aksi mereka disiarkan secara langsung di RTM selain menjadi tatapan rakyat di seluruh negara. Jelasnya, Ahli Parlimen juga dinasihatkan supaya beradab dan bersopan sewaktu berhujah bagi memberi gambaran yang baik kepada rakyat selain menghormati Parlimen itu sendiri.
 ''Saya tengok ramai Ahli Parlimen yang berpengalaman tidak beretika sewaktu berhujah dan mengabaikan adab sopan.''Mereka perlu ketahui mengenai peraturan-peraturan apabila berada di dalam Dewan Rakyat dan memastikan sidang itu berjalan dengan baik dan aman,'' ujarnya.  Ketika ditanya mengenai kualiti penyiaran RTM, Zaiton menggesa stesen rasmi kerajaan itu segera meneliti kesilapan teknikal yang berlaku pagi ini bagi memberi kepuasan menonton kepada seluruh rakyat.  [ UTUSAN MALAYSIA: 01/05/2008]


6.         Mesyuarat Khas Parlimen – Usul Mengecam Keganasan Israel

Mesyuarat Khas Parlimen telah diadakan pada 7 Januari 2009 pada pukul 2.30 petang bagi membahaskan  usul mengecam prncerobohan Israel Ke atas Wilayah Palestin.  Pemasyhuran Mesyuarat Khas adalah seperti berikut:  

PEMASYHURAN TUAN YANG DI-PERTUA
MESYUARAT KHAS DI BAWAH PERATURAN MESYUARAT 11(3)
Tuan Yang di-Pertua: Ahli-ahli Yang Berhormat, dengan segala hormatnya ingin saya maklumkan bahawa Yang Amat Berhormat Perdana Menteri selaku Ketua Majlis Dewan Rakyat telah memaklumkan kepada saya pada 7 Januari 2009 supaya diadakan satu Mesyuarat Khas pada hari ini selaras dengan peruntukan Peraturan Mesyuarat 11(3). Inisiatif Yang Amat Berhormat Perdana Menteri serta kerajaan menunjukkan betapa Kerajaan Malaysia memandang serius pergolakan dan keganasan yang sedang berlaku ke atas Wilayah Palestin di Gaza. Dalam kesempatan ini suka saya mengingatkan Ahli-ahli Yang
Berhormat sekalian agar memanfaatkan sepenuhnya peluang ini untuk membahaskan usul yang akan dicadangkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dengan sebaik-baiknya. Sekian, terima kasih.

Usul Mengecam Pencerobohan Israel ke atas Wilayah Palestin telah dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri pada jam 2.33 petang seperti berikut:
USUL
MENGECAM PENCEROBOHAN ISRAEL KE ATAS WILAYAH PALESTIN DI GAZA

Tuan Yang di-Pertua: Yang Amat Berhormat sila.

Perdana Menteri [Dato’ Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, izinkan saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua Ahli Yang berhormat yang hadir walaupun notis yang dikeluarkan mengenai sidang hari ini adalah secara tergempar.  Saya berterima kasih atas keprihatinan Ahli-ahli Parlimen Malaysia tidak mengira agama,  bangsa atau haluan politik yang bersedia membahaskan bersama satu isu yang sangat rapat di  hati rakyat Malaysia iaitu penderitaan semasa yang dialami rakyat Palestin dan masa depan keamanan dan keselamatan bagi negara Palestin. Semuanya telah menjadi terancam akibat serangan berterusan ke atas Wilayah Palestin oleh rejim Zionis Israel. Semuanya tindak tanduk Israel khususnya pengeboman, pembedilan dan pemusnahan harta benda tanpa sebarang timbang rasa yang sedang dilakukan oleh mereka di Wilayah Gaza perlu dikecam dan dikutuk oleh seluruh dunia. Demi mempertahankan kredibiliti negara, kita harus bersepakat menjelaskan kepada seluruh dunia akan pendirian Malaysia terhadap tindakan pencerobohan dan kezaliman yang tidak berperikemanusiaan oleh rejim Zionis ke atas rakyat Palestin khususnya mereka yang berada di Wilayah Gaza.

Tuan Yang di-Pertua, maka dengan ini saya ingin mencadangkan bahawa mengikut peruntukan Peraturan Mesyuarat 27(3) Dewan ini mengambil ketetapan-ketetapan berikut:

“BAHAWA Israel telah melancarkan serangan ketenteraan yang dinamakan Operasi ‘Cast Lead’ pada 27 Disember 2008 ke atas Wilayah Palestin di Gaza meliputi pengeboman dari udara dan diikuti dengan serangan oleh pasukan tentera darat bermula pada 3 Januari 2009;

BAHAWA serangan Israel ke atas Wilayah Palestin di Gaza merupakan tindakan yang mencabuli Undang-undang Antarabangsa, Undang-undang Hak Asasi Manusia, Undang-undang Kemanusiaan Antarabangsa, Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta merupakan jenayah perang yang menyalahi Konvensyen Keempat Geneva 1949 Perlindungan Orang-orang Awam dalam masa perang;

BAHAWA rakyat Malaysia berpegang teguh kepada pendirian bahawa tiada alasan kukuh bagi penggunaan kekerasan yang dilakukan secara tidak seimbang, sembarangan dan melampau ke atas Wilayah Palestin di Gaza dan dengan itu menolak tindakan hukuman kolektif yang diambil ke atas rakyat
Palestin di Gaza; dan BAHAWA rakyat Malaysia berasa sangat dukacita dan kesal dengan ketidakmampuan masyarakat antarabangsa, terutamanya Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu, untuk menghentikan serta-merta keganasan Negara Israel yang dilakukan ke atas Wilayah Palestin di Gaza.

DENGAN INI Dewan ini mengambil ketetapan seperti berikut:
(1) Mengecam sekeras-kerasnya serangan ketenteraan Israel ke atas Wilayah Palestin di Gaza sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa rakyat awam Palestin, termasuk golongan wanita, kanak-kanak termasuk bayi dan warga tua dan menggesa pengunduran menyeluruh Israel dari Wilayah Palestin di Gaza.
(2) Menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu membuat ketetapan supaya Israel menghentikan sertamerta serangan ketenteraannya ke atas Wilayah Palestin di Gaza melalui gencatan senjata dan memutuskan untuk menempatkan pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi menguatkuasakan gencatan senjata tersebut.
(3) Menggesa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu supaya mengadakan Sesi Tergempar Khas Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ‘Uniting For Peace’ di bawah Resolusi 377A(V) sekiranya pelaksanaan ketetapan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu gagal menguatkuasakan ketetapan yang diputuskan pada 8 Januari 2009. (4) Menggesa pihak-pihak yang terlibat supaya menyambung semula usaha terhadap proses damai serta melaksanakan dan
mematuhi pelbagai resolusi yang telah ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu berhubung isu Palestin dan konflik Arab–Israel.
(5) Memutuskan Malaysia bekerjasama dengan negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam, Pergerakan Negara-negara Berkecuali, Liga Arab dan negara-negara sependapat untuk mendukung prinsip-prinsip undang-undang antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dalam menangani konflik yang berlaku di Timur Tengah sekarang;
(6) Menzahirkan sokongan padu rakyat Malaysia kepada perjuangan rakyat Palestin ke arah mewujudkan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat;
(7) Menyeru rakyat Palestin supaya bersatu padu dengan tujuan mempertahankan hak mutlak dan menubuhkan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat;
(8) Merayu kepada masyarakat antarabangsa supaya menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada pendudukpenduduk Wilayah Palestin di Gaza dengan serta-merta;
(9) Menggesa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk menubuhkan serta-merta tribunal jenayah antarabangsa untuk Palestin untuk menyiasat dan mendakwa penjenayah perang Israel yang disyaki terlibat [Tepuk] dengan kekejaman dan keganasan ke atas rakyat Palestin dan sebelum mengambil keputusan untuk menyampaikan resolusi ini kepada semua Dewan Perundangan dan Parlimen yang berkenaan khasnya Kongres Amerika Syarikat, Parlimen Britain dan Parlimen Kesatuan Eropah.

Usul tersebut telah disokong  dengan ucapan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri dan seterusnya dibahaskan oleh Ahli-ahli termasuk pembangkang.  Untuk pertama kali bagi Majlis Parlimen Kedua Belas ini, semua Ahli sama ada penyokong Kerajaan mahupun pembangkang telah sebulat suara menyokong usul ini. YB Menteri Luar Negeri menjawab isu-isu yang dibangkitkan dan usul dipersetujukan.  Mesyuarat Khas ini ditangguhkan sehingga suatu tarikh yang tidak ditetapkan pada jam 9.50 malam.

7          Bajet 2010 Diluluskan Dengan 3 Lebihan Undi

Pada 14 Disember 2009 di Dewan Rakyat di Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua, Parlimen Kedua Belas telah  menyaksikan   Rang Undang-Undang Perbekalan 2010 (Bajet 2010) dipersetujukan dengan 64  undi bersetuju dan   63 undi tidak bersetuju di peringkat  jawatankuasa (Kementerian Dalam Negeri). Manakala bagi  bacaan kali yang ketiga,  Bajet 2010 tersebut dipersetujukan dengan  66 undi bersetuju  dan  63 undi tidak bersetuju.  Lebihan undi yang kecil  penyokong Kerajaan (backbencher ) ini telah menimbulkan pelbagai reaksi dan pandangan semua pihak termasuk orang ramai yang menyalahkan ketidak hadiran Ahli-ahli Parlimen Kerajaan.

Sebenarnya keadaan ini pernah berlaku sebelum ini, apabila Rang Undang-Undang Identifikasi Asid Deoksiribonukleik (DNA) 2008  dipersetujukan dengan 48 undi bersetuju dan 47 undi tidak bersetuju di peringkat jawatankuasa pada 22 Jun 2009  di Dewan Rakyat di Mesyuarat  Kedua, Penggal Kedua, Parlimen Kedua Belas.    Dua peristiwa ini berlaku pada Majlis Parlimen Kedua Belas dan kali pertama melibatkan undi belah bahagian bagi Rang Undang-Undang khususnya Bajet.  Sebagaimana yang dinyatakan oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat, berdasarkan konvensyen parlimen di Negara-negara Komenwel, sekiranya Bajet Kerajaan tidak diluluskan oleh Dewan Parlimen, maka ia ditafsirkan sebagai undi tidak percaya kepada Kerajaan dan Parlimen boleh dibubarkan.

      Persoalannya,  mengapa situasi ini berlaku sekarang dan tidak   pernah berlaku sebelum ini?  Keadaan ini disebabkan  bilangan Ahli-ahli Parlimen pihak pembangkang telah bertambah dan ketiadaan majoriti dua pertiga Ahli-ahli Parlimen Kerajaan yang merupakan kali pertama dalam sejarah Parlimen Malaysia.  Situasi undi belah bahagian atas permintaan Ahli-ahli Dewan jarang berlaku ketika jumlah majoriti Ahli Parlimen Kerajaan melebihi dua pertiga bagi mempersetujukan Rang Undang-Undang atau usul-usul Kerajaan.  Ketika itu undi belah bahagian dilakukan untuk pindaan perlembagaan sahaja.  Malah peristiwa 14 Disember  2009  ini, kemungkinan  kali pertama  bajet dipersetujukan secara undi belah bahagian.

8         Pindaan Terhadap Teks Titah Diraja

Pada 18 Mac 2010 di Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga, Parlimen Kedua Belas,  YB Ipoh Timur telah mengemukakan usul untuk meminda teks Titah Diraja di akhir ucapannya  semasa berucap  membahaskan Titah Diraja.  Usul sedemikian adalah adalah di luar daripada kelaziman dan tidak ada prkatis sebelum ini.  Walau bagaimana pun,  YB Ipoh Timur ini  juga telah mengumukakan usul sedemikian pada 16 Mei 2008 di Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama, Parlimen Kedua belas.

            Usul pindaan itu adalah seperti berikut:
           
Tuan Yang di-Pertua, yang ada disebut tadi saya berhasrat dalam akhir ucapan saya untuk mengemukakan satu usul pindaan dan ada satu copy di sini. I give you the copy dan ini boleh diputus di akhir perbahasan bersama-sama dengan keputusan. Saya kemukakan pindaan kepada Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Diraja
           
            “ Saya kemukakan pindaan kepada Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Diraja untuk menambahkan perkataan-perkataan berikut pada akhir usul yang berkenaan ialah, “Dan mengambil ketetapan untuk menubuhkan satu jawatankuasa pilihan Parlimen mengenai peta hala tuju Program Transformasi Kerajaan 1Malaysia yang diketuai oleh seorang Parlimen Pembangkang untuk menyelia dan melaporkan mengenai pelaksanaan dan kemajuan peta hala tuju Program Transformasi Kerajaan 1Malaysia”. Sekian, terima kasih. “.

Dr. Mohd. Hatta bin Md. Ramli [Kuala Krai]: Tuan Yang di-Pertua, saya mohon menyokong pindaan yang dibawa oleh Yang Berhormat Ipoh Timur terhadap Usul Perbahasan Titah Tuanku. Terima kasih.

            Pada akhir penggulungan Titah Diraja iaitu pada 1 April 2010, Timbalan Yang di-Pertua Dewan telah menolak usul tersebut  dengan alasan seperti berikut:

“Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Ahli-ahli Yang Berhormat, saya telah menerima satu cadangan pindaan ke atas Usul Menjunjung Kasih daripada Yang Berhormat Ipoh Timur pada 18 Mac 2010. Saya mendapati bahawa cadangan pindaan tersebut tidak berkaitan dengan Usul Menjunjung Kasih Ke Atas Titah Ucapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. [Tepuk] Cadangan pindaan Yang Berhormat Ipoh Timur adalah melebihi atau exceeding the scope dari Usul Menjunjung Kasih. Cadangan pindaan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Ipoh Timur itu sepatutnya dibuat secara usul bersendiri. Oleh yang demikian, saya tidak membenarkan usul tersebut dikemukakan.

Tuan Lim Kit Siang [Ipoh Timur]: Tuan Yang di-Pertua, boleh saya bertanya apa benda yang di luar daripada skop perbahasan Titah Ucapan? Anything is within the scope, how can it beoutside the scope?  Khasnya mengenai cadangan masa hadapan negara kita.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Yang Berhormat, panduan kita di dalam Dewan, ini sahaja Yang Berhormat. [sambil mengangkat buku Peraturan Mesyuarat] Peraturan Mesyuarat 30 jelas. Ia mesti berkaitan tetapi usul yang disebut ada dibaca di belakang. Ini usulnya. Dengar saya baca, “...dan mengambil ketetapan untuk menubuhkan satu Jawatankuasa Pilihan Parlimen mengenai peta hala tuju Program Transformasi Kerajaan 1Malaysia yang diketuai oleh Ahli Parlimen Pembangkang untuk menyelia dan melapor mengenai pelaksanaan dan kemajuan peta hala tujuan Program Transformasi Kerajaan 1Malaysia itu”.

Jadi Yang Berhormat kalau kita baca usul yang asal, memang langsung tidak ada kena mengena berhubung dengan Jawatankuasa Pilihan Parlimen ini. Jadi itu skopnya. Bukan skop seluruh Malaysia ini tetapi dalam skop usul yang dibaca. Itu sahaja. Jadi Yang Berhormat, saya menolaklah itu..

            Keputusan sedemikian juga telah dibuat oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat pada 22 Mei 2010 seperti berikut:

Tuan Lim Kit Siang [Ipoh Timur]: Tuan Yang di-Pertua, saya berdiri di bawah Peraturan Mesyuarat 30 dan 33 untuk kemukakan satu pindaan kepada masalah di hadapan kita, untuk meminda usul dengan menambahkan perkataan-perkataan “... dan memutuskan bahawa satu Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan untuk menangani masalah berlarutan mengenai pendatang tanpa izin di Sabah sehinggakan timbulnya kekhuatiran yang berasas...”

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat tidak perlu baca, Yang Berhormat.

Tuan Lim Kit Siang [Ipoh Timur]: Ya, itu pindaan saya, “... bahawa bilangan orang asing kini melebihi jumlah bilangan rakyat Sabah di dalam negeri Sabah selepas perkataanperkataan Penggal Pertama, Parlimen Yang Kedua Belas”. Dan saya kemukakan ini di bawah Peraturan Mesyuarat 31 dan 33(3). Bolehkah ..
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Saya buat keputusan Yang Berhormat. Yang Berhormat, kita akan buat keputusan sekarang, usul ini perlu diputuskan oleh Tuan Yang di-Pertua dan saya akan buat keputusannya sekarang…..

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Ya, Sila duduk Yang Berhormat.Ahli-ahli Yang Berhormat, saya telah menerima satu cadangan pindaan ke atas Usul Menjunjung Kasih daripada Yang Berhormat Ipoh Timur pada 16 Mei 2008. Saya mendapati bahawa cadangan pindaan tersebut tidak berkaitan dengan Usul Menjunjung Kasih Ke Atas Titah Ucapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Cadangan pindaan Yang Berhormat Ipoh Timur adalah melebihi, exceeding dari Usul Menjunjung Kasih. Cadangan pindaan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Ipoh Timur itu sepatutnya dibuat secara usul bersendiri. Oleh yang demikian, saya tidak membenarkan usul tersebut dikemukakan. “

                        Bersandarkan kepada dua  keputusan tersebut, maka ia menjadi panduan bahawa adalah tidak wajar usul untuk meminda Titah Ucapan Yang Di-Pertuan Agong semasa Istiadat Pembukaan Penggal Parlimen, kerana  ini adalah extraordinary dan tidak pernah  berlaku dalam di mana-mana Parlimen di Negara Komenwel.  Walau bagaimana  pun, ia  dihujahkan  bahawa Titah Diraja  ini  adalah tradisi dan konvensi dan  satu usul dasar yang   boleh dibincangkan.


9         Usul  Mengurangkan  Perbelanjaan Dalam Perbahasan Peringkat Jawatankuasa Anggaran  Perbelanjaan Mengurus Tambahan Pertama, 2010
                       
Lazimnya usul mengurangkan perbelanjaan di bawah Peraturan Mesyuarat  66(9) adalah untuk Anggaran Perbelajaan Tahunan (Bajet)..  Selalunya ia dalam bentuk memotong gaji Menteri tertentu.

            Namun demikian, Yang Berhormat Ipoh Timur pada 19 April 2010 telah mengemukakan notis usul di bawah PM 66(9) dan 67 dalam Perbahasan Peringkat Jawatankuasa Anggaran Perbelanjaan Mengurus Tambahan Pertama, 2010 (Kertas Perintah 7A Tahun 2010) bagi Kementerian Pelajaran seperti berikut:-

            “Bahawa perbelanjaan diluluskan dengan syarat dikurangkan sebanyak RM10.00 daripada maksud B.1 di bawah Kementerian  Pelajaran iaitu daripada RM144,575,300 yang dikehendaki untuk perbelanjaan pengurusan yang diperlukan bagi membiayai inisiatif di bawah NKRA Pendidikan bagi menampung pembayaran kursus dan latihan, pemeriksaan dan pemantauan, perolehan peralatan baru komputer serta pemberian yuran dan geran.”

  Usul ini adalah merupakan kali pertama  dikemukakan semasa Perbekalan Tambahan dan ia sejarah kepada persidangan Dewan Rakyat.

10       Kaedah Perbahasan Rang Undang-Undang di Peringkat Jawatankuasa

                        Amalan bagi perbahasan  Rang Undang-Undang di Peringkat Jawatankuasa ialah sekiranya ada ahli yang membahaskan fasal-fasal dan jadual-jadual dalam Rang Undang-Undang itu, ia akan dijawab selepas tiada lagi ahli yang berbahas.  Sekiranya terdapat cadangan pindaan dengan notis pemberitahuan satu hari, maka cadangan pindaan itu  hendaklah dibahas,dijawab dan diputuskan sebagaimana ditetapkan oleh Peraturan Mesyuarat 57.

                        Namun demikian, pada 21 April 2010, di Dewan Rakyat pada Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga, Parlimen Kedua Belas,  semasa perbahasan Rang Undang-Undang Persaingan 2010, Ahli Parlimen bagi Kepong  telah meminta untuk berbahas selepas Menteri menjawab perbahasan peringkat jawatankuasa.  Menurut tafsirannya ia dibenarkan oleh Peraturan Mesyuarat, dimana dijawab fasal demi fasal.   Walau bagaimana pun, Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah memutuskan supaya perbahasan  peringkat jawatankuasa adalah sekaligus dan Menteri akan menjawab selepas tiada lagi Ahli yang hendak berbahas.  Ini dapat dilihat sebagaiman petikan hansard berikut:

            Majlis bersidang dalam Jawatankuasa.
[Timbalan Yang di-Pertua (Datuk Ronald Kiandee) mempengerusikan Jawatankuasa]
Fasal-fasal dikemukakan kepada Jawatankuasa.
Fasal-fasal 1 hingga 67 -
Tuan Pengerusi [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat Kepong, fasal-fasal 1 hingga 67 sekarang dibuka untuk dibahas.
Dr. Tan Seng Giaw [Kepong]: Ya, ya fasal 67 saya ada baca.
Tuan Pengerusi [Datuk Ronald Kiandee]: Jangan Yang Berhormat baca fasal 1 kemudian duduk, lepas itu Menteri jawab bangun lagi, macam semalam.
Dr. Tan Seng Giaw [Kepong]: Akan tetapi Peraturan Mesyuarat 35 membenarkan.
Tuan Pengerusi [Datuk Ronald Kiandee]: Tidak. Dia sekali terbuka Yang Berhormat. Fasal 1 hingga fasal 67.
Dr. Tan Seng Giaw [Kepong]: ……
Dato' Sri Ismail Sabri bin Yaakob: Terima kasih Yang Berhormat Kepong. ……( menteri menjawab)
Tuan Azan Ismail [Indera Mahkota]: Tuan Pengerusi.
Dr. Tan Seng Giaw [Kepong]: [Bercakap tanpa menggunakan pembesar suara]
Tuan Pengerusi [Datuk Ronald Kiandee]: Setiausaha, sila semak.
Dr. Tan Seng Giaw [Kepong]: [Bercakap tanpa menggunakan pembesar suara]
Tuan Pengerusi [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat, saya perlu jalankan begini Yang Berhormat. Bangun selesaikan semua, kemudian Menteri menjawab. Apabila tidak ada orang bangun tadi, Menteri menjawab. Sepatutnya sudah habis gulung. Kecuali kita pecahpecahkan butiran Yang Berhormat. Kalau kita katakan butiran 1 hingga 10, kita akan berhenti kat sana tetapi, sekarang kita buka butiran 1 hingga 27.
Dr. Tan Seng Giaw [Kepong]: Saya faham yang disebutkan oleh Tuan  Pengerusi. Sebab saya ada mengambil perhatian bahawa Tuan Pengerusi ada merujuk kepada amalan dan          istiadat di dalam House of Common. House of Common saya sering menyaksikan cara...
Tuan Pengerusi [Datuk Ronald Kiandee]: Tidak payah jauh sangatlah Yang Berhormat. Kita jangan buang masa dalam Dewan.
Dr. Tan Seng Giaw [Kepong]: Tidak, tidak buang masa dengan perkara serius. Di sini,”

11        Undi Belahbahagian  – Satu Pilihan

Ketika majoriti penyokong Kerajaan melebihi dua pertiga, isu tidak cukup bilang atau korum persidangan kerap dibangkitkan.  Korum persidangan bagi Dewan Rakyat ialah 26 orang Ahli dan di Dewan Negara pula ialah 10 orang Ahli.  Walaupun korum persidangan ini adalah tanggong jawab keseluruhan Ahli-ahli Dewan, namun sering kali ia diletakkan tanggong jawab ini kepada penyokong Kerajaan.  Namun pada persidangan Majlis Parlimen Kedua Belas ini,  undi belahbahagian telah menjadi pilihan. Dimana Peraturan Mesyuarat 46(4) telah menetapkan belahbahagian akan dibuat jika terdapat 15 orang Ahli di Dewan Rakyat atau 8 orang Ahli di Dewan  Negara bangun memintanya.  Keadan ini dapat dilihat pada masa mempersetujukan perkara-perkara berikut sepanjang tahun 2010 (catatan penulis):
i)             7 April 2010 : 56 setuju dan 82 tidak setuju – untuk merujuk Ahli Parlimen Pasir Salak ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan [ Usul 26(1)P oleh Ahli Parlimen Ip[oh Timur] di Dewan Rakyat.
ii)            7 April 2010 : .88.setuju dan 57.. tidak setuju – untuk mensetujukan Perbekalan Tambahan (2009) 2010, peringkat Dasar di Dewan Rakyat.
iii)           8 April 2010 : .87 setuju dan 38 tidak setuju – untuk mensetujukan Perbekalan Tambahan (2009) 2010, peringkat Jawatankuasa – Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat.
iv)         15  April 2010 : .68 setuju dan 34 tidak setuju – untuk mensetujukan Perbekalan Tambahan (2009) 2010, peringkat Jawatankuasa – Kementerian Luar Negeri di Dewan Rakyat.
v)            9 November 2010 : .50 setuju dan 85 tidak setuju – untuk mensetujukan usul potong gaji Peguam Negara [ usul 69(1) ] dalam perbahasan Bajet 2011, peringkat Jawatankuasa – Jabatan Perdana Menteri, di Dewan Rakyat.
vi)           30 November 2010 : . 47  setuju dan 58  tidak setuju – untuk mensetujukan usul potong gaji [ usul 69(1) ] dalam perbahasan Bajet 2011, peringkat Jawatankuasa – Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KETTHA), di Dewan Rakyat.
vii)         15 Disember 2010 :  71   setuju dan   40  tidak setuju – untuk mensetujukan Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010 pada bacaan kedua di Dewan Rakyat.
viii)        22 Disember 2010 : 20  setuju dan 8 tidak setuju – untuk  mensetujukan Rang Undang-Undang Pengangkutan (Pindaan) 2010 di Dewan Negara.  [Berkemungkinan ini adalah kali pertama Rang Undang-undang diluluskan di Dewan Negara secara belah bahagian].   

Selepas ini, undi belah bahagian akan menjadi pilihan  oleh pihak pembangkang  untuk merekodkan  tentangan atau tidak setuju terhadap sesuatu Rang Undang-Undang atau usul khususnya perkara-perkara yang nyata tidak dipersetujuinya.

12      Persidangan Ditangguhkan  Awal – Ahli Pembangkang Keluar Dewan Sebagai Bantahan  Terhadap Usul  Penggantungan Ahli Parlimen Permatang Pauh,  Bukit Gelugor,  Subang dan Gombak

Pada 16  Disember 2010 (Khamis) adalah hari terakhir persidangan Mesyuarat Ketiga, Penggal Ketiga, Parlimen Kedua Belas.  Sebaik sahaja sidang dimulakan, dikemukakan Usul Menangguhkan Bacaan Kali Yang Kedua dan Ketiga bagi Rang Undang-undang di bawah P.M. 62, iaitu:

1. Rang Undang-Undang Juruanalisis Makanan 2010
2. Rang Undang-Undang Perkapalan Saudagar (Pindaandan Peluasan) 2010
3. Rang Undang-Undang Perkapalan Saudagar(Pencemaran Minyak) (Pindaan) 2010
4. Rang Undang-Undang Timbang Tara (Pindaan) 2010
5. Rang Undang-Undang Perkhidmatan Kuarantin danPemeriksaan Malaysia 2010
6. Rang Undang-Undang Pihak Berkuasa PembangunanTenaga Lestari 2010
7. Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu 2010
8. Rang Undang-Undang Tenaga Boleh Baharu 2010
9. Rang Undang-Undang Hak Cipta (Pindaan) 2010
10. Rang Undang-Undang Penilai, Pentaksir Dan Ejen HartaTanah (Pindaan) 2010
11. Rang Undang-Undang Cukai Barang dan Perkhidmatan2009

Ini bermakna  persidangan hari terakhir ini, hanya akan menyelesaikan tiga urusan kerajaan iaitu:
Usul Menteri di Jabatan Perdana Menteri di bawah P.M.. 86(5):
-     Penyata Jawatankuasa Hak dan Kebebasan – Penggantungan Tugas Ahli Parlimen Permatang Pauh Selama Enam Bulan
Usul Menteri di Jabatan Perdana Menteri di bawah P.M. 27(3):
-       Penggantungan Tugas Ahli Parlimen Selama Enam Bulan
Usul-usul Menteri Kewangan:
- Akta Kastam 1967
- Akta Eksais 1976

Sebaik sahaja selesai usul urusan tersebut, YB Shah Alam telah membangkitkan P.M. 36(12) terhadap Menteri Kerja Raya kerana mengelirukan Dewan berkaitan isu pembinaan hospital Shah Alam.  Kemudian diikuti dengan YB Gombak membangkitkan PM 43,  dan setrusnya YB Pokok Sena, Tumpat  dan diikuti dangan ahli-ahli pembangkang yang lain.  Ini sebagai usaha melengahkan  Aturan Urusan Mesyuarat, sehingga berlaku cabar mencabar antara YB Permatang Pauh dengan Yang di-Pertua.   Antaranya YB Permatang Pauh mempertikaikan tafsiran muktamad Yang di-Pertua mengikut P.M. 89(1). 

Dalam suasana riuh yang berterusan, pada pukul 11.04 pagi, YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri membentangkan Usul Penyata Jawatankuasa Hak dan Kebebasan – Penggantungan Tugas Ahli Parlimen Permatang Pauh Selama Enam Bulan. Usul ini dibentangkan kerana Ahli Parlimen Permatang Pauh mengelirukan Dewan dengan kenyataannya APCO mencipta slogan 1Malaysia dan ia dinafikan oleh pihak kerajaan dan syarikat APCO sendiri.   Isu APCO ini dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh dalam perbahasannya pada semasa perbahasan Bajet 2011 di peringkat dasar.   Ahli-ahli pembangkang bangun mempertikaikan usul tersebut dan akhirnya tidak dapat dibahaskan.  Ketika ini susana Dewan amat riuh, ramai ahli pembangkang bangun menunjukkan sepanduk..seperti dewan kanggaro, APCO, zalim  dan sebagainya  serta  jerit menjerit.

Suasana persidangan pada hari itu penuh hiruk pikuk dan berlaku demontrasi dalam Dewan.  Ini mungkin kali pertama dalam sejarah persidangan.    Ketegangan amat terasa sekali dan penulis merasakan inilah suasana paling tegang dan tidak terkawal dalam persidangan Parlimen.  Dalam suasana sedemikian, usul tersebut dipersetujukan tanpa bahas.

 Suasana berlarutan sehingga 11.30 pagi dan semua Ahli Parlimen pembangkang keluar Dewan (kecuali YB Seputeh – keluar pada pukul 12.20 tengahari), di mana  ketika itu,  Menteri di Jabatan Perdana Menteri sedang membentangkan usul kedua iaitu Penggantungan Tugas Ahli Parlimen Selama Enam Bulan .  Usul ini adalah untuk menggantung Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Subang  dan Gombak kerana menghina Dewan, dimana mereka telah membuat kenyatan akhbar mengenai perakuan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan tersebut sebelum di bentangkan di Dewan Rakyat.   5  orang ahli iaitu YB Kota Belud, Pasir Mas, Kinabatangan, Jasin dan Wangsa Maju serta beberapa ahli yang mencelah  semasa membahaskan  usul tersebut dan usul dipersetujukan, dan mereka digantung 6 bulan.  Akhirnya pukul 1.02 minit, semua urusan Kerajaan telah selesai dan Dewan ditangguhkan (sine die) kepada satu tarikh yang akan ditetapkan.  Penangguhan Dewan Rakyat lebih awal dari masa ditetapkan  adalah  jarang berlaku.


Usaha pembangkang halang usul gagal


Anwar Ibrahim, Karpal Singh dan Gobind Singh bersama ahli-ahli Parlimen pembangkang yang lain mengadakan demonstrasi bantahan di Parlimen semalam.


KUALA LUMPUR 16 Dis. - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini sah digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan atas kesalahan melemparkan tuduhan tidak benar mengenai gagasan 1Malaysia selepas dewan meluluskan usul penggantungan itu tanpa bahas.
Turut menerima nasib yang sama ialah tiga lagi Gelugur); R. Sivarasa (PKR-Subang) dan Azmin Ali (PKR-Gombak) tetapi atas kesalahan menghina dewan, ekoran pendedahan mereka kepada umum mengenai prosiding mesyuarat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.
Bagaimanapun, usul penggantungan terhadap Karpal, Sivarasa dan Azmin diluluskan melalui perbahasan dengan empat wakil rakyat iaitu Datuk Abdul Rahman Dahlan (BN-Kota Belud); Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas); Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) dan Wee Choo Keong (Bebas-Wangsa Maju) mengambil bahagian.Keputusan yang tidak berpihak kepada mereka itu menyebabkan semua ahli Parlimen pembangkang bertindak memboikot dewan dengan keluar beramai-ramai sebaik sahaja penggantungan Anwar itu diluluskan dan hanya Teresa Kok Suh Sim (DAP-Seputeh) sahaja dilihat masuk semula ke dalam dewan buat seketika.
Terdahulu seperti dijangka, ahli-ahli Parlimen pembangkang sejak dari awal-awal lagi cuba menggagalkan usul menggantung Anwar daripada dibaca Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dengan membangkitkan pelbagai peraturan mesyuarat yang tidak relevan.
Mereka juga pada masa sama, mengambil kesempatan secara beramai-ramai 'menyerang' Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dengan melemparkan pelbagai tuduhan tidak berasas bertujuan menganggu fokus beliau sehingga menyebabkan usul itu dibaca lewat sejam.
Lebih teruk, wakil rakyat pembangkang juga menjadikan Dewan Rakyat seolah-olah medan demonstrasi jalanan apabila mereka membawa masuk sepanduk bertulis antaranya 'BN (Barisan Nasional) sokong Apco', 'Parlimen Kanggaru' selain jerit-pekik perkataan 'zalim' dan 'booo'.Antara paling lantang membela ahli Parlimen Permatang Pauh itu ialah Azmin Ali (PKR-Gombak); Khalid Abdul Samad (Pas-Shah Alam); Dr. Hatta Md. Ramli (Pas-Kuala Krai); Mahfuz Omar (Pas-Pokok Sena) dan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor).
Namun, semua usaha pembangkang itu sia-sia apabila Pandikar Amin tegas dengan keputusannya membenarkan usul itu dibacakan selepas segala ruang yang diberikan kepada pembangkang untuk membuktikan keputusannya silap sebagaimana dakwaan pembangkang tidak dapat dibuktikan.
"Oleh kerana semua Yang Berhormat sebelah sini (pembangkang) tidak menghormati dewan serta keputusan saya selaku Speaker, saya ada satu lagi pilihan iaitu membenarkan usul ini diluluskan tanpa bahas. Yang Berhormat semua tidak boleh menyalahkan saya kerana anda semua yang tidak sedia untuk berbahas.
"Permatang Pauh (Anwar), saya tidak tahu kesabaran saya sudah sampai ke tahap mana. Yang Berhormat semua tidak perlu perangkap saya ke dalam ideologi politik masing-masing, saya duduk di sini sebagai pengerusi yang berpandukan kepada peraturan mesyuarat," katanya lantang. [Utusan Malaysia – 17.5.2010]

Pembangkang bawa budaya jalanan ke Dewan Rakyat
KUALA LUMPUR 16 Dis. - Pembangkang hari ini menonjolkan belang sebenar mereka yang tidak menghormati undang-undang apabila membawa budaya politik jalanan ke dalam Dewan Rakyat, sekali gus memalit sejarah hitam dalam demokrasi berparlimen di Malaysia.Semuanya gara-gara usaha terdesak untuk mempertahankan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) daripada digantung selama enam bulan oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen, ekoran tuduhan tidak benar ketua pembangkang itu mengenai gagasan 1Malaysia.Dengan membawa sepanduk, ahli-ahli Parlimen pembangkang turut menjeritkan perkataan 'Apco', 'reformasi', 'zalim' dan 'booo' berulang-kali, tak ubah seperti yang sering dilihat dalam demonstrasi jalanan.
Tindakan tidak beradab itu hampir-hampir menyaksikan semua ahli Parlimen pembangkang digantung di bawah Peraturan Mesyuarat 44 oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, apabila beliau sebanyak dua kali memberi amaran akan berbuat demikian.Malah, pada suatu ketika, Pandikar Amin mengarahkan Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah supaya memberikan senarai nama ahli Parlimen pembangkang bagi membolehkannya mengumumkan setiap seorang yang bakal digantung tetapi kemudiannya keputusan itu dirayu oleh pembangkang.
"Oleh kerana semua Yang Berhormat (pembangkang) tidak menghormati saya selaku Speaker dan peraturan dewan ini, saya bersetuju agar kamu semua digantung di bawah Peraturan Mesyuarat 44. Saya gunakan kuasa saya di bawah peraturan ini dan selepas saya sebut satu persatu, semua akan digantung.
"Setiausaha, sila bawa kepada saya semua senarai nama, saya mahu semua nama ini supaya boleh sebut satu persatu. Saya perlu pertahankan integriti dewan ini, saya sudah jelaskan segala yang diperkata (dituduh) terhadap saya, tetapi masih juga enggan mematuhi, jadi saya terpaksa guna kuasa saya," tegasnya sambil memandang tepat ke arah Anwar.Terdahulu, hampir separuh daripada 77 ahli Parlimen pembangkang silih berganti membangkitkan peraturan mesyuarat sebaik sahaja sidang Dewan Rakyat bermula pada pukul 10 pagi bertujuan menghalang usul menggantung Anwar itu dibacakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Antara yang paling kerap membangkitkan peraturan mesyuarat serta paling lantang membela Ahli Parlimen Permatang Pauh itu ialah Azmin Ali (PKR-Gombak); Khalid Abdul Samad (Pas-Shah Alam); Dr. Hatta Md. Ramli (Pas-Kuala Krai); Mahfuz Omar (Pas-Pokok Sena) dan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor).Malah Azmin secara terbuka mencabar dan mendesak Pandikar Amin supaya meletakkan jawatan selaku Yang Dipertua Dewan Rakyat kerana mendakwa beliau mempunyai kepentingan politik dan cadangan tersebut turut disokong oleh Karpal dan wakil pembangkang yang lain."Letak jawatan dan mari kita bertanding," cabar Azmin sambil diikuti jerit-pekik ahli Parlimen pembangkang yang lain dengan laungan 'letak jawatan' dan 'Apco' berulang kali.
Kemudian, Karpal pula membangkitkan Peraturan Mesyuarat 7 (1) dengan mendakwa: "Dalam hal ini, tuan Speaker ada kepentingan, kamu hilang nilai moral untuk terus berada di kerusi itu (Speaker), baik kamu undur diri dan bolehkan saya mohon supaya dibuat keputusan."
Menjawab tuduhan itu Pandikar Amin berkata, beliau hanya seorang Speaker Dewan Rakyat yang tidak mempunyai sebarang kepentingan kerana tidak mempunyai hak untuk mengundi sebaliknya, keputusan yang dibuatnya itu adalah semata-mata berdasarkan peraturan mesyuarat dan kalau tidak setuju, kemukakan usul di bawah Peraturan Mesyuarat 43."Pelantikan saya di bawah Peraturan Mesyuarat 80, Yang Berhormat boleh semak. Maka, secara automatik dalam Peraturan Mesyuarat 40 saya adalah pengerusi jawatankuasa. Saya tidak mempunyai sebarang kepentingan dan pelantikan ini mengikut Perlembagaan Persekutuan.
"Kalau tidak setuju buat usul persendirian, saya jemput Yang Berhormat buat usul dan rujuk Peraturan Mesyuarat 15 (1)(2). Itulah, jangan perangkap saya dalam persepsi politik kamu semua, saya hanya mengikut peraturan yang dibuat oleh Yang Berhormat semua," jelas     (Utusan Malaysia – 17 Disember 2010)


13       Tiada Lagi Usul Potong Gaji Mengikut Peraturan Mesyuarat 66(9)

Semasa perbahasan Belanjawan/Bajet  peringkat jawatankuasa, Ahli-Ahli Dewan boleh mengemukakan usul untuk mengurangkan perbelanjaan bagi peruntukan tertentu. Usul ini dikemukakan mengikut Peraturan Mesyuarat 66(9) dengan notis pemberitahu dua hari sebelum dibentangkan.  Kelazimannya selama ini, usul ini dikemukakan untuk tujuan mengurangkan gaji seseorang Menteri dan ia dikenali sebagai Usul Potong Gaji. Usul ini akan dibentangkan oleh pembawa usul, dibahas kemudian dijawab oleh Y.B. Menteri berkenaan dan diputuskan untuk dipersetujukan pada awal Perbahasan Peringkat Jawatankuasa bagi sesuatu Kementerian sebelum perbahasan selanjutnya.

Namun demikian, dalam persidangan Dewan Rakyat pada 22 Oktober 2012 di Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen Kedua Belas, Yang di-Pertua telah memberi petua yang berbeza, dimana  tidak berseuju Peraturan Mesyuarat  66(9) digunakan untuk tujuan potong gaji Yang Berhormat  Menteri.  Hujahnya seperti berikut:

“ Tuan Pengerusi: Ahli-Ahli Yang Berhormat sebelum saya memanggil untuk perbahasan, saya membuat satu pengumuman. Ahli-Ahli Yang Berhormat, saya telahmenerima empat pemberitahu usul di bawah Peraturan Mesyuarat 66(9) daripada Yang Berhormat Serdang pada 16 Oktober 2012, Selasa, Yang Berhormat Petaling Jaya Utara pada17 Oktober 2012, Rabu dan dua daripada Yang Berhormat Pokok Sena pada 18 Oktober 2012, Khamis. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, bagi dipertimbangkan suatu usul di bawah Peraturan Mesyuarat 66(9) untuk kemukakan di bawa di dalam Dewan usul tersebut hendaklah memenuhi syarat-syarat. Pertama, menyatakan dengan jelas perkara yang hendak dikurangkan tersebut. Kedua, memberikan alasan bagi pengurangan tersebut dan ketiga, memberikan suatu justifikasi yang terperinci bagi alasan pengurangan tersebut. Oleh yang demikian, berdasarkan kepada keperluan yang saya nyatakan tadi, usul daripada Yang Berhormat tidak dapat dipertimbangkan untuk dikemukakan dalam Dewan. Ini juga adalah selaras dengan peruntukan Peraturan Mesyuarat 57(4)(b) iaitu Tuan Yang di-Pertua boleh menolak atau Tuan Yang di-Pertua boleh tidak menyampaikan kepada Majlis kalau sekiranya Tuan Yang di-Pertua memikirkan bahawa perkara yang dibawa adalah sia-sia ataupun dalam bahasa Inggerisnya, frivolous. Ini yang mana perkara ini pernah saya bangkitkan secara mendalam pada sesi 14 November 2012. Dalam aspek ini makna sia-sia yang dimaksudkan adalah mensia-siakan masa, membangkitkan suatu isu yang telah dijawab beberapa kali dalam peringkat Dasar dan dijawab semula dalam peringkat Jawatankuasa. Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat juga, saya telah bertemu dengan Yang Berhormat Ipoh Timur pada sesi Mesyuarat yang lalu di dalam Ante Chamber. Dalam pertemuan tersebut beliau telah bersetuju supaya Ahli-ahli Pembangkang tidak mengemukakan Peraturan Mesyuarat 66(9) bagi tujuan memotong emolumen.
Tuan Lim Kit Siang [Ipoh Timur]: Ya.

14        Pertukaran Giliran  Peringkat Jawatankuasa – Bajet dan Kemestian Kehadiran YB   Menteri

Perubahan giliran menggulung perbahasan  biasa berlaku dengan persetujuan Yang di-Pertua Dewan dan tidak dipertikaikan oleh Ahli-Ahli Dewan.  Namun pada persidangan Dewan rakyat pada 1 November 2012 di Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen Kedua Belas, Yang Berhormat Batu Gajah mempersoalkan perubahan giliran Kementerian Pengangkutan untuk menggulung/menjawab Perbahasan Bajet Pertingkat Jawatankuasa dan meminta Yang di-Pertua memastikan kehadiran YB Menteri Pengangkutan untuk menjawab.  Yang di-Pertua menjelaskan tidak ada mana-mana peraturan mesyuarat yang memberi kuasa kepadanya  untuk meminta atau memaksa YB Menteri untuk hadir.

Puan Fong Po Kuan [Batu Gajah]: Peraturan mesyuarat. Tuan Pengerusi, peraturan mesyuarat.
Tuan Pengerusi: Sila.
Puan Fong Po Kuan [Batu Gajah]: Terima kasih Tuan Pengerusi, saya rujuk kepada Peraturan Mesyuarat 66(5) di mana sekarang kita ...
Tuan Pengerusi: Peraturan 66?
Puan Fong Po Kuan [Batu Gajah]: Peraturan Mesyuarat 66(5) di mana diperuntukkan 20 hari selebihnya bagi membincangkan Rang Undang-undang Perbekalan dan kedua-dua anggaran-anggaran biasa dan pembangunan dalam Jawatankuasa. Memang kini Dewan dalam Peringkat Jawatankuasa.  Tuan Pengerusi, hari ini menurut senarai ini sepatutnya sebelum ini Kementerian Pengangkutan yang ditetapkan untuk hari ini juga tetapi telah dibuat pindaan di mana  Kementerian Pengangkutan yang telah dipindahkan kepada 20 November dengan kebenaran  Tuan Pengerusi.  Tuan Pengerusi, bolehkah kami memohon agar Yang Berhormat Menteri  Pengangkutan sendiri datang untuk menjawab bagi pihak kementeriannya, lebih-lebih lagi  berkenaan isu AES Tuan Pengerusi. Pelaksanaan AES, Ahli-ahli dalam Dewan ini telah ramai, kedua-dua belah memohon agar ditangguhkan pelaksanaannya. Akan tetapi Tuan Pengerusi sehingga hari ini Yang Berhormat Menteri tidak pernah datang dalam Dewan ini untuk  menjawab isu ini. Maaf ya Tuan Pengerusi, semasa pindaan Akta Pengangkutan Jalan, bulan  enam naikkan denda, Yang Berhormat Menteri tidak hadir – peringkat menjawab dasar Yang Berhormat Menteri tidak ada. Soal jawab isu AES, Yang Berhormat Menteri tidak hadir. Dia terlepas apabila usul Yang Berhormat Pokok Sena mengenai potong gaji, dia terlepas sebab usul itu telah ditolak.  Jadi, kita ada Yang Berhormat Sri Gading yang membantah, pohon tangguh. Ketua Pemuda UMNO pohon tangguh AES. Kita juga ada Yang Berhormat Timbalan Pengerusi BNBBC juga memohon ditangguhkan tetapi Yang Berhormat Menteri hanya membuat kenyataan di luar Dewan sahaja. Tidak pernah ada dalam Dewan menjawab isu ini.

Tuan Pengerusi: Terima kasih, terima kasih. Terima kasih Yang Berhormat Batu Gajah.
Puan Fong Po Kuan [Batu Gajah]: Jadi saya rasa pihak Yang Berhormat Menteri harus bertanggungjawab, hadir dalam Dewan memandangkan tarikh pertukaran giliran jawapan telah diluluskan oleh Dewan yang mulia.  Tuan Pengerusi: Terima kasih.
Puan Fong Po Kuan [Batu Gajah]: Dan mendengar suara bantahannya.
Tuan Pengerusi: Terima kasih, terima kasih.
Puan Fong Po Kuan [Batu Gajah]: Yang Berhormat Pokok Sena yang hendak
sokong.
Dato' Mahfuz bin Haji Omar [Pokok Sena]: Tuan Pengerusi, saya mohon menyokong cadangan yang dibawa oleh Yang Berhormat Batu Gajah. Sepatutnya Yang Berhormat Menteri kena hadir, sebab pertukaran tersebut menunjukkan bahawa
Tuan Sim Tong Him [Kota Melaka]: [Menyampuk] Kita semua sokong.
Dato’ Mahfuz bin Haji Omar [Pokok Sena]: ...Mungkin dia bermasalah pada hari ini. Maka, tarikh yang diberikan itu adalah yang sangat bersesuaian untuk membolehkan beliau hadir untuk menjawab. Dia tidak boleh lari daripada memperjelaskan kepada Dewan.
Tuan Pengerusi: Terima kasih Yang Berhormat Pokok Sena. Saya terpaksa Ahli Yang Berhormat respons kepada peraturan mesyuarat yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Batu Gajah iaitu 66(5).  Ahli Yang Berhormat, apabila kita berdiri dan membangkitkan peraturan mesyuarat  maksudnya ialah ada sesuatu perkara yang tidak kena iaitu melanggar peraturan mesyuarat.  Dalam hal ini yang dibangkitkan ialah ketidakhadiran Menteri sendiri untuk menjawab. Tidak  ada mana-mana peraturan mesyuarat yang memberi kuasa kepada saya untuk meminta atau memaksa Menteri untuk hadir. Tidak ada. Jadi bermakna respons saya kepada Yang  Berhormat Batu Gajah, tidak ada peraturan mesyuarat yang dilanggar,

Dato' Mahfuz bin Haji Omar [Pokok Sena]: Akan tetapi budi bicara
Tuan Pengerusi: ...Maka peraturan mesyuarat ...
Dato’ Mahfuz bin Haji Omar [Pokok Sena]: ...Untuk menasihati Menteri itu ada.
Tuan Pengerusi: Peraturan mesyuarat itu...
Dato' Mahfuz bin Haji Omar [Pokok Sena]: Tuan Pengerusi ada budi bicara untuk menasihati Menteri. Kalau Tuan Pengerusi - juga boleh memberhentikan Menteri di waktu menjawab...
Tuan Pengerusi: Ahli Yang Berhormat...
Dato’ Mahfuz bin Haji Omar [Pokok Sena]: ...Menggulung...
Tuan Pengerusi: Ya Ahli Yang Berhormat ...
Dato' Mahfuz bin Haji Omar [Pokok Sena]: Jadi saya fikir Tuan Pengerusi
mempunyai
Tuan Pengerusi: Ya Ahli Yang Berhormat ...
Dato' Mahfuz bin Haji Omar [Pokok Sena]: ...Budi bicara itu.
Tuan Pengerusi: Saya tidak boleh sendiri melanggar peraturan mesyuarat. Ada dalam peraturan mesyuarat kita bahawa apabila kita mengatakan bahawa seseorang itu mesti adil, itu termasuk dalam ruang lingkup reflection. Seolah-olah kita memberi andaian, tanggapan bahawa Menteri itu tidak hadir atas ini, atas itu atau pun dia tidak mahu jawab lah soalan. Itu  reflection. Jadi, melanggar peraturan mesyuarat. Saya tidak boleh buat begitu Yang Berhormat,  memberi nasihat pun tidak boleh.  Akan tetapi walau bagaimanapun apa yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Batu  Gajah dan Yang Berhormat Pokok Sena itu sememangnya telah didengar oleh Menteri atau          pun timbalan dia atau pun pegawai-pegawai dia. Jadi terpulang kepada Menteri yang berkenaan sama ada mahu datang atau tidak. Terima kasih.
Puan Fong Po Kuan [Batu Gajah]: Tuan Pengerusi, maaf ya. Akan tetapi bukankah Tuan Pengerusi telah membenarkan permohonan pertukaran giliran. Itu bukankah ia bermaksud Menteri seharusnya memegang...
Tuan Pengerusi: Terima kasih.
Puan Fong Po Kuan [Batu Gajah]: ...Menanggung tanggungjawabnya untuk hadir dalam Dewan yang mulia, mengambil tanggungjawabnya dalam Dewan yang mulia ini penting. Tuan Pengerusi
Tuan Pengerusi: Ya, ya terima kasih.
Puan Fong Po Kuan [Batu Gajah]: ...Sebab giliran permohonan
Tuan Pengerusi: Terima kasih Yang Berhormat.
Puan Fong Po Kuan [Batu Gajah]: ...Pertukaran telah dibenarkan. Akan tetapi dia lari, dia hanya buat kenyataan dekat luar Tuan Pengerusi. Dia tidak berani berdepan dengan Ahliahli Yang Berhormat Tuan Pengerusi... [Dewan riuh] Dia tidak pernah jawab sekali pun dalam  isu AES ini.
Tuan Pengerusi: Terima kasih, terima kasih Yang Berhormat Batu Gajah.
Dato' Mahfuz bin Haji Omar [Pokok Sena]: Kita minta dia jangan lari. Kita hendak pasang kamera AES pula untuk tangkap dia. 


15        Persidangan Terakhir Parlimen kedua Belas
                                                 
29 November 2012 adalah hari persidangan terakhir bagi Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen Kedua Belas.  Ketika ini bahang Pilihan Raya Ketiga  Belas tidak dapat dielakkan kerana Parlimen Kedua Belas akan terbubar sendirii pada 30 April 2013    sekiranya  Parlimen tidak dibubarkan terlebih dahulu.

Maka setelah  sahaja selesai  Aturan Urusan Mesyuarat  dengan usul di bawah subseksyen 2, seksyen 15, Akta Cukai Jualan 1952 supaya PerintahCukai Jualan yang dibentangkan  sebagai Kertas Statut bilangan S.T.98 dan S.T.99 tahun 2012 disahkan dan disetujukan,  Yang diPertua Dewan telah berucap seperti berikut:

“Tuan Yang di-Pertua: Ahli-ahli Yang Berhormat, sidang Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen Ke-12 telah berlangsung selama 36 hari mulai daripada 24 September 2012 sehingga 29 November 2012. Ahli-ahli Yang Berhormat, seperti mana yang Ahli-ahli Yang Berhormat sedia maklum, sebagai Yang di-Pertua, saya tidak mempunyai kuasa untuk memanggil Mesyuarat Parlimen. Kuasa itu terletak di tangan Ketua Majlis atau Perdana Menteri.  Sehubungan dengan itu, sekiranya Ketua Majlis atau Perdana Menteri tidak memohon untuk Dewan Rakyat bermesyuarat dalam bulan Januari, Februari, Mac atau awal bulan April, maka bagi saya, persidangan ini merupakan persidangan yang buat terakhir kali sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13.  Oleh yang demikian, saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah memberi kerjasama bagi membolehkan perjalanan Majlis Mesyuarat dapat disempurnakan sejak daripada awal tahun 2008 sehingga pada bulan November iaitu hari ini tahun 2012.  Walaupun ada masa-masa dan ketikanya, kita kecoh sewaktu Mesyuarat namun kita  masih dapat mengawal perasaan. Tidak ada Ahli-ahli yang bergelut sambil berbahas. Kita telah dapat saksikan bahawa banner-banner pernah dibawa ke dalam Dewan Mesyuarat. Ada Ahli-ahli Yang Berhormat yang mengikat kepala dengan kain yang mempunyai perkataan-perkataan yang memprotes terhadap tindakan-tindakan politik yang tidak dipersetujui dan ada juga Ahli-ahli yang telah dikenakan tindakan disiplin atas sebab melanggar Mesyuarat.   Semua ini bagi saya adalah merupakan asam garam Parlimen di mana-mana di dunia sekalipun. Akan tetapi bagi saya ada dua perkara yang menarik yang akan jadi ingatan saya seumur hidup iaitu pertama, sewaktu acara angkat sumpah, Ahli Yang Berhormat Bukit Gelugor telah menegur seorang wakil rakyat yang angkat sumpah dengan tidak mengangkat tangan. Menurut Yang Berhormat Bukit Gelugor, perkara itu tidak seharusnya berlaku dan melanggar Peraturan Mesyuarat. Saya membuat reaksi secara spontan dan tidak tahu apa-apa sekalipun dan yang saya terkejut apabila mendapat reaksi iaitu tepukan meja daripada Ahli-ahli Yang Berhormat. Selepas itu saya dapat tahu bahawa Ahli Yang Berhormat Bukit Gelugor sebetulnya tidak dapat mengangkat tangan. Pada ketika itu, seorang wakil rakyat yang tidak mengangkat tangan. Reaksi saya ialah saya kata tak apa, mungkin dia sakit. Sebenarnya saya tidak tahu bahawa Yang Berhormat Bukit Gelugor pada ketika itu tidak dapat mengangkat tangan. Jadi, saya rasa tidak sedap hati kalau saya tidak dapat memohon maaf kepada Yang Berhormat Bukit Gelugor... [Tepuk]  Walaupun beliau tidak ada di sini. Saya tidak bermaksud untuk menyakitkan hati siapa-siapa  pada ketika itu.

Kedua, perkara yang saya tidak dapat lupakan ialah sewaktu kita bermesyuarat dan kecoh, ada seorang Ahli Yang Berhormat pada ketika itu memegang jawatan Timbalan Menteri yang memberi pengertian kepada satu perkataan kalau tak silap saya perkataan Tamil yang pada pendapat beliau perkataan itu ialah menyuruh Ahli Yang Berhormat yang mencelah pada ketika itu iaitu Yang Berhormat Padang Serai bahawa beliau harus duduk. Tidak semena-mena Yang Berhormat Padang Serai berdiri dan menuju ke meja saya dan membisikkan sesuatu perkataan di telinga saya. Jadi biarlah apa yang dibisikkan di telinga saya itu menjadi ingatan saya di antara saya dan Yang Berhormat Padang Serai.  Jadi pada waktu persidangan itu, seorang wakil rakyat daripada India, dari State of Bengal iaitu Yang Berhormat Hashim Abdul Halim pada ketika itu beliau menyandang jawatan sebagai Chairman of Executive Committee of CPA ada menghadiri di Mesyuarat ini. Apabila Yang Berhormat Padang Serai naik di sini berbisik di telinga saya, ada kecoh berlaku. Selepas itu saya dikunjungi oleh Yang Berhormat Speaker dari West Bengal. Saya tahu bahawa beliau mempunyai pengalaman selama 26 tahun sebagai Speaker State of Bengal. Pada ketika itu, saya masih baru. Saya bertanya kepada beliau mengenai dengan pengalaman beliau. Dia kata, “Honorable Speaker, in your Malaysian Parliament, only one Parliamentarian come and approach you. In my state, all of them almost in every meeting they come to me in crowd”. So, saya tanya Speaker yang berkenaan, saya kata, “How do you handle those matters?”. Dia kata, “Whatever they say, just put it on your right ear or left ear”. So itulah nasihat yang saya ikuti selama ini.

Saya selalu apabila suara daripada kiri bersuara lantang, saya masukkan di telinga kiri tetapi apabila ia keluar di telinga kanan, sekarang benar-benar saya tidak bermain-main, telinga kanan saya sekarang ini sudah kurang pendengaran selepas lima tahun. Sebelum saya mengakhiri mesyuarat ini, ada satu perkara yang saya ingin kongsi bersama dengan Ahli Yang Berhormat. Seorang pemerhati politik pernah mengatakan, dia kata, “Hidup sebagai ahli-ahli politik ini berat sangat, kadang-kadang lebih teruk daripada monyet”. Saya bertanya kenapa, dia kata, “Saudara, kalau monyet itu jatuh daripada pokok, setinggi mana pokok itu pun, sesakit mana yang dirasai oleh monyet itu pun masih juga dipanggil sebagai monyet tetapi sekiranya seorang menteri ataupun seorang pemimpin jatuh daripada kegemilangan politik, dia tidak akan dipanggil sebagai Menteri, Yang Berhormat ataupun pemimpin lagi”.  Jadi Ahli-ahli Yang Berhormat, fikir-fikirkanlah. Mudah-mudahan, saya sendiri tidak tahu sama ada saya akan mempengerusikan mesyuarat lagi selepas apa pun keputusan Pilihan Raya Ke-13 dan saya tahu ada di antara Ahli-ahli Yang Berhormat yang memilih untuk tidak bertanding lagi. Ada yang cuma first time, first term bergelora jiwa untuk mahu bertanding lagi.  Itu sebab sewaktu berbahas berapi-api. Mungkin dalam perasaan diri minta supaya dicalonkan balik oleh pihak parti masing-masing... [Ketawa] Semua itu terpulanglah kepada Ahli-ahli Yang Berhormat yang berkenaan. Akan tetapi pandangan saya, Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah lama berkhidmat, yang sudah dua tiga penggal kalau masih lagi dipilih dan diizinkan Tuhan menang dalam pilihan raya, tolonglah kalaupun saya tidak duduk di sini lagi ataupun Timbalan-timbalan saya, buatlah pengalaman pada Persidangan Parlimen Ke-12 ini sebagai satu pengalaman baik. Berilah tunjuk ajar dan contoh yang baik kepada Ahli-ahli Yang Berhormat pula yang baru masuk Parlimen selepas Pilihan Raya Ke-13 nanti.  Bagi Ahli-ahli Yang Berhormat pula yang first time, baru penggal pertama dan akan dipilih kembali dan menang pula, janganlah bersifat sebagai Ahli Yang Berhormat yang first time yang tidak tahu apa-apa pun. Jadi Ahli-ahli Yang Berhormat, itu sahaja. Bagi saya...
Datuk Wira Ir. Haji Idris bin Haji Haron [Tangga Batu]: Peraturan Tuan Yang di-Pertua, peraturan Tuan Yang di-Pertua...
Tuan Yang di-Pertua: Saya belum siap lagi Yang Berhormat.
Dr. Mohd. Hatta bin Md. Ramli [Kuala Krai]: Boleh mencelahkah..., tidak boleh?
Datuk Wira Ir. Haji Idris bin Haji Haron [Tangga Batu]: Saya point of order.
Dr. Mohd. Hatta bin Md. Ramli [Kuala Krai]: Saya nak mencelah sahaja.
Datuk Wira Ir. Haji Idris bin Haji Haron [Tangga Batu]: Yang Berhormat Kuala Krai, point of order. Peraturan 43, keputusan Speaker adalah muktamad. Jadi saya memohon keizinan Tuan Yang di-Pertua untuk menyampaikan sepatah dua kata. Boleh Tuan Yang di-Pertua?
Tuan Yang di-Pertua: Saya belum siap lagi Yang Berhormat.
Datuk Wira Ir. Haji Idris bin Haji Haron [Tangga Batu]: Belum lagi?... [Ketawa] Saya berdiri atas Peraturan Mesyuarat.
Tuan Yang di-Pertua: Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada semua pegawai kerajaan, pegawai Parlimen Malaysia, wakil media massa serta semua pihak yang turut terlibat dalam pengendalian urusan majlis Mesyuarat sepanjang tempoh kita bersidang daripada tahun 2008 sehingga pada saat ini.  Jadi akhir kata, saya ucapkan kepada semua, selamat pulang dan selamat berkempen demi untuk kepentingan rakyat semua. Semoga Ahli-ahli Yang Berhormat sihat walafiat di samping keluarga yang tersayang. Sebelum saya memanggil Mesyuarat untuk ditempohkan, saya beri ruang kepada Ahli Yang Berhormat yang ada point of order seperti Yang Berhormat Tangga Batu tadi. Sila.
Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli [Kuala Krai]: Point of order.
Datuk Wira Ir. Haji Idris bin Haji Haron [Tangga Batu]: Tangga Batu dulu.
Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli [Kuala Krai]: Peraturan Mesyuarat 43. Peraturan Mesyuarat 43 ya?
Datuk Wira Ir. Haji Idris bin Haji Haron [Tangga Batu]: Ya Peraturan Mesyuarat 43 menyatakan keputusan Speaker adalah muktamad.
Tuan Yang di-Pertua: Sila Yang Berhormat Tangga Batu dahulu. Sila.
Datuk Wira Ir. Haji Idris bin Haji Haron [Tangga Batu]: Speaker telah buat
keputusan muktamad, saya dahulu Yang Berhormat.
Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli [Kuala Krai]: Belum lagi. Speaker belum buat keputusan lagi.
Datuk Wira Ir. Haji Idris bin Haji Haron [Tangga Batu]: Speaker kena buat
keputusan antara saya ataupun Yang Berhormat Kuala Krai dahulu.
Tuan Yang di-Pertua: [Ketawa]
Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli [Kuala Krai]: Belum lagi.
Datuk Wira Ir. Haji Idris bin Haji Haron [Tangga Batu]: Tuan Yang di-Pertua. Tuan Yang di-Pertua sila buat keputusan Tuan Yang di-Pertua sama ada...
Tuan Yang di-Pertua: Sila Yang Berhormat Tangga Batu dahulu. Sila.
Datuk Wira Ir. Haji Idris bin Haji Haron [Tangga Batu]: Tangga Batu dulu. Keputusan Speaker muktamad. Jadi Yang Berhormat Kuala Krai duduk.
Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli [Kuala Krai]: I’ll have the last word.
Datuk Wira Ir. Haji Idris bin Haji Haron [Tangga Batu]: Terima kasih, terima kasih.  The last word is not important. The last laugh is important. Tuan Yang di-Pertua, saya mewakili Ahli-ahli Parlimen, Majlis BNBBC juga ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih di atas segala kefahaman Tuan Yang di-Pertua kepada kerenah kami di peringkat BNBBC yang kami rasakan selama lebih empat tahun bersama dengan Tuan Yang di-Pertua dan kedua-dua Timbalan Yang di-Pertua, termasuk the  Clerk of the House dan pegawai-pegawainya yang kami rasakan sebagai satu kemajuan penambahbaikan pada setiap kali kami berada di dalam Dewan ini.  Harapan kami, sama perasaan seperti yang Tuan Yang di-Pertua nyatakan tadi.  Daripada pihak kami juga, kalau ada yang terlepas cakap, kalau ada yang terlepas pandang dari pihak kami, kami pohon Tuan Yang di-Pertua maafkan kami. Kami yakin apa yang kami  nyatakan ini adalah semata-mata untuk mencapai maslahat kehidupan untuk kebaikan kami,  kebaikan agama, negara dan bangsa kami. Terima kasih dan setinggi penghargaan daripada  kami kepada Tuan Yang di-Pertua, Timbalan-timbalan Yang di-Pertua dan Clerk of the House. [Tepuk] Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua: Sila Yang Berhormat Kuala Krai.
Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli [Kuala Krai]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Mungkin bagi pihak rakan-rakan di sebelah sini semua sekali. Kami mengucapkan jutaan terima kasih atas kepimpinan Tuan Yang di-Pertua dalam membimbing Parlimen Kedua Belas selama lima penggal ini. Seperti yang disebut oleh Yang Berhormat Tangga Batu, kerenah-kerenah ini memang boleh dijangka dan bukan unik bagi Dewan ini sahaja. Boleh berlaku di mana-mana atas rasa tanggungjawab dan minat untuk mengambil bahagian dan menyampaikan isi hati rakyat yang kita wakili. Sudah tentulah dalam proses itu, ada yang terguris di kesemua pihak. Jadi kalau ada kekurangan dan kesilapan di pihak kami, kita bersedia menyusun sepuluh jari untuk memohon ampun dan maaf. Di sebelah sana pun kalau ada, kita harap ini sebagai satu pengajaran dan pengalaman yang baik.  Begitu juga kepada kepimpinan yang lain, kedua-dua Tuan Yang di-Pertua dan juga Setiausaha dan petugas-petugas atas kelancaran sehingga kita boleh berbahas dan meluluskan banyak rang undang-undang dalam tempoh yang ada ini. Kepada Bentara juga yang sentiasa mengawal suasana dengan kayu cokmar yang begitu berat. Jadi kita berharap kita dapat berjumpa Tuan Yang di-Pertua pada sesi yang akan datang dan juga rakan-rakan yang lain. Andainya ini kali terakhir kita berjumpa, kita harap ia merupakan perpisahan yang diberkati oleh Allah SWT. Sekian, Assalammualaikum warahmatullaahi wabarakaatuh... [Tepuk]
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan [Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim]: [Bangun]
Tuan Yang di-Pertua: Sila.
Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim: Mohon maaf Tuan Yang di-Pertua. Barangkali dalam suasana yang dinyatakan sebentar tadi, kita dapat rasakan denyut perjuangan untuk menegakkan demokrasi dan sebahagian daripada falsafah yang Tuan Yang di-Pertua sampaikan tadi, sesungguhnya menusuk perasaan kita. Di samping itu apa yang disebut sebagai dengan izin, humanity of Parliament telah kita sampaikan bersama pada petang ini.  Jadi bagi pihak rakan-rakan di bahagian kerajaan, ingin menyatakan sentimen yang sama  kepada salah seorang yang telah berkhidmat secara jujur, secara produktif dan memberikan  kesan kesungguhan dan kesejahteraan kepada Dewan yang mulia ini.  Saya sebagai salah seorang yang agak lama di Dewan ini, termasuk beberapa rakan  dari kerajaan dan sebelah sana pun begitu, melihat bahawa kematangan dalam perjuangan kita  kian lama kian meningkat. Tinggal lagi bagi Tuan Yang di-Pertua, melihat gelagat kami di sini  saban hari dan juga menyatakan sentimen yang dicurahkan itu menyumbang kepada sesuatu  yang boleh membina. Kita berasa bangga sebagai satu negara dan satu kumpulan yang akan melihat bagaimana tanah air mencurahkan tenaga sekutu untuk khidmat masa depan. Oleh kerana Tuan Yang di-Pertua, bersama-sama kami dahulu dalam Kabinet dan juga setelah  merantau ke dalam beberapa jurusan perjuangan dan sekarang duduk di kerusi itu, saya terasa  bahawa Tuan Yang di-Pertua telah mencurahkan tenaga dan secara khidmat yang jujur membela apa yang telah tersemat sebagai nilai dalam perjuangan kita. Sebagai rakan dan juga sebagai seorang kenalan yang begitu lama, tolong, sila terima  penghargaan kita dengan penuh hati dan keikhlasan. Lantaran itu saya suka menyebutkan secara penyampaian ikhlas pantun Za’ba yang berbunyi:
“Rotan siput, rotan berlingkar;
Anak itik patah kakinya;
Hujan ribut gunung terbakar;
Embun setitik padam apinya”...[Tepuk]
Embun itu ialah Tuan Yang di-Pertua dan kami yang berceloteh begitu dan begini dipadamkan api yang bernyala sekali-sekala. Akan tetapi sekarang dengan kedamaian suasana yang wujud, kami mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada Tuan Yang di-Pertua. Semoga cantuman kemanusiaan dan perasaan persahabatan kita cantum bercantum seperti air dicincang tidak putus. Assalammualaikum warahmatullaahi wabarakaatuh.
Tuan Yang di-Pertua: Terima kasih. Ahli-ahli Yang Berhormat, Mesyuarat Dewan hari ini ditangguhkan sehingga suatu tarikh yang akan ditetapkan nanti.
[Dewan ditangguhkan pada pukul 4.48 petang]

Penulis merasakan suasana  sayu tetapi bersemangat ini mengulangi suasana persidangan terakhir Parlimen Kesembilan pada10 November 1999 (Rabu).   Perbezaannya pada hari  itu, pada jam 2.30 petang, Majlis  dimaklumkan oleh Yang di-Pertua bahawa Parlimen dibubarkan pada 11 September 1999.


No comments:

Post a Comment

SUATU CATATAN - ANTARA “PAK SHEIKH” YANG KU SANJUNG DAN PM 10 YANG MENYINGKIRKAN KU....

  Menelusuri ingatan 45 tahun yang lalu, semasa penulis berusia sekitar 20’an yang penuh semangat dalam persekitaran dakwah dan harakah dise...