Wednesday 4 July 2018

BENARKAH PEWUJUDAN JAKIM TIDAK BERPERLEMBAGAAN?



Sebaik sahaja PH menjadi Kerajaan baharu selepas  PRU 14,  pelbagai  pihak   yang sebelum ini segan silu tetapi kini dengan lantang dan berani  melontarkan pandangan serta mendesak untuk menghapuskan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).. Mereka juga mempertikaikan peruntukkan dana awam bagi membiayai kos penguatkuasaan agama Islam, di samping menuntut supaya operasi yang membendung kegiatan khalwat dalam kalangan umat Islam dihentikan kerana dikatakan bercanggah dengan hak asasi manusia dalam konteks masyarakat Liberal.  Bahkan ada yang lebih berani, menyatakan pewujudan JAKIM tidak mengikut peruntukkan Perlembagaan Persekutuan.

Sesungguhya  tuntutan pihak berkenaan adalah suatu tindakan yang melampau dan bersifat "ancaman" serta mempersoalkan tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama Islam bagi Persekutuan, dan Raja-raja Melayu sebagai ketua agama bagi negeri-negeri. Sekali gus menyentuh perkara sensitiviti umat Islam yang merupakan penduduk majoriti di negara ini.

Peruntukan Perkara 3  Perlembangan Persekutuan telah menegaskan  bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan. Manakala Perkara 3(1) pula  menyatakan Raja-raja sebagai ketua agama di negeri, manakala Perkara 3(2) Yang di-Pertuan Agong adalah ketua agama Islam bagi Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.   Perkara 3(5) pula menyatakan bahawa bagi Wilayah Persekutuan, Parlimen boleh membuat undang-undang berhubung hal ehwal Islam dan menubuhkan suatu majlis bagi menasihati Yang di-Pertuan Agong.

Ditegaskan juga bahawa tindakan Kerajaan Persekutuan atau negeri memperuntukkan sebarang perbelanjaan untuk Islam adalah sah berdasarkan Perkara 12(2) Perlembagaan Persekutuan. Di mana, peruntukan itu menggariskan bahawa adalah sah bagi Persekutuan atau sesuatu negeri menubuhkan atau menyenggarakan atau membantu dalam menubuhkan atau menyenggarakan Institusi-institusi Islam atau mengadakan atau membantu dalam mengadakan ajaran dalam agama Islam dan melakukan apa-apa perbelanjaan sebagaimana yang perlu bagi maksud itu.


Sesungguhnya JAKIM merupakan sebuah agensi kerajaan yang sangat penting bagi mengurus hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan serta urus setia kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia tanpa sama sekali mencampuri urusan agama-agama lain yang  diamalkan dengan aman  di negara ini.

Justeru itu, mana-mana Kerajaan di negara ini  sewajar dan semestinya   tidak melayan sebarang tuntutan serta desakan dari mana-mana pihak yang bertujuan meruntuhkan institusi agama Islam serta hal ehwal berkaitan agama Islam di negara ini.   

No comments:

Post a Comment

SUATU CATATAN - ANTARA “PAK SHEIKH” YANG KU SANJUNG DAN PM 10 YANG MENYINGKIRKAN KU....

  Menelusuri ingatan 45 tahun yang lalu, semasa penulis berusia sekitar 20’an yang penuh semangat dalam persekitaran dakwah dan harakah dise...