Tuesday, 24 July 2018

TIDAK CUKUP KORUM : PERSIDANGAN PARLIMEN DITEMPOHKAN –“PH CAKAP TAK SERUPA BIKIN”


Pada hari ni, 24 Julai 2018.   pada jam 2.30, petang di Mesyuarat Pertama  Penggal Pertama Parlimen Ke-14, sebaik sahaja Ahli Parlimen Bagan Serai (BEBAS) untuk menyambung perbahasan Titah Diraja, tiba-tiba Ahli Parimen Kapit bangun membangkitkan tidak cukup korum/bilang.  Setelah 2 minit lonceng dibunyikan, masih juga tidak cukup korum/bilang dan akhirnya Yang di-Pertua telah menempohkan selama 10 minit .  Selepas itu, ketika disambung semula persidangan, jemlah kehadiran Ahli Parlimen ialah 31 orang Ahli.

Untuk rekod, Peraturan Mesyuarat 13 telah menetapkan mengenai korum atau  cukup bilang seperti beriut:
“13. (1) Cukupbilang bagi Majlis Mesyuarat dan Jawatankuasa sebuah-buah Majlis Mesyuarat hendaklah mengandungi dua puluh enam orang ahli dengan tidak termasuk Pengerusi.”

Penulis ingin menekankan disini, bahawa  isu tidak cukup korum persidangan sering berlaku pada era Majlis Parlimen sebelum tahun 2004 (Parlimen Kesebelas), dimana ketika BN menguasai dua pertiga majoriti di Parlimen. Malahan ketika  Dato’ Seri Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri  bagi Kerajaan BN juga sering berlaku. Sebagai contoh, semasa perbahasan Rang Undang-Undang Pilihan Raya (Pindaan) 2003 di Dewan Rakyat pada Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga Parlimen Kesepuluh terpaksa ditangguhkan persidangan pada jam 5.00 petang semasa Y.B. Menteri di Jabatan Prdana Menteri sedang menjawab perbahasan  Rang Undang-Undang ini dan sepatutnya sempat dipersetujukan tetapi terpaksa ditangguhkan kepada hari persidangan berikutnya. 

Namun selepas  ini tidak  berlaku lagi, setelah Ahli-ahli Parlimen BN ketika itu sering kali diperingatkan akan tanggung jawab untuk hadir di Dewan dan mamastikan cukupbilang kehadirannya, lebih-lebih setelah BN tidak lagi mojoritii dua pertiga majoriti.  Walau bagaimanapun, isu kehadiran sering berbangkit apabila beberapa urusan disetujukan dengan lebihan undi yang kecil.  Misalnya  Bajet 2010 disetujukan dengan lebihan 1 undi di peringkat Jawatankuasa - Kementerian Dalam Negeri dan 3 undi di peringkat Dasar  pada.14 Disember 2009.    Begitu juga pada 20 November 2017 di Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima Parlimen Ketiga Belas,  Bajet 2018 di peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi, telah disetujukan dengan lebihan satu [ setuju – 52 (BN); tak setuju(PH) – 51].

Ketika itu, pihak pembangkang sama ada Barisan Alternatif (BA), Pakatan Rakyat (PR), mahupun Pakatan Harapan (PH) sering  membangkitkan isu korum dan juga kehadiran Anggota-angota Pentadbiran BN ketika itu.  Bahkan, PH sering kali memerangkap pihak BN  dengan meminta belah bahagian bagi meluluskan Rang Undang-undang dan Usul-usul.  Ini  menyebabkan Kerajaan BN sentiasa berjaga-jaga dan dalam  situasi  kelam kabut khususnya semasa meluluskan Bajet di peringkat jawatankuasa.  Pegawai-pegawai khas khususnya Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri  selalu dipersalahkan apabilaa Menteri atau Timbalan Menteri tidak hadir untuk undi belah bahagian..

Penulis beranggapan di era Kerajaan PH sekarang ini, isu ketidak hadiran Menteri/Timbalan Menteri dan Ahli-ahli Parlimen PH sewajarnya  tidak berlaku.  Ini kerana mereka sering menegur Kerajaan BN dahulu dan malah sering memerangkap Kerajaan BN dengan undi belaah bahagian apabila kehadiran Ahli-ahli Parlimen BN berkurangan.  Namun anggapan ini meleset, apabila pada 19 Julai 2018 yang lalu, Ahli Parlimen Rembau (BN) menegur  tiada seorang Menteri atau Timbalan Menteri PH berada dalam Dewan semasa sesi perbahasan Titah Diraja.  Diperingkat ini, penulis beranggapan Ahli Parlimen Rembau bergurau atau “memulangkan betu keras” kepada Kerajaan PH kerana mereka dahulu sering membangkitkannya ketika sebgai pembangkang. Malah pada 23 Julai 2018, dalam kenyataan akhbarnya di lobi Parlimen,   Perdana Menteri  kurang puas hati dan   menegur ketidak hadiran Menteri/Timbalan Menteri dan Ahli-ahli Parlimen PH. Yang menarik disini, penulis ingin merakamkan bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad  menghadapi isu yang sama semasa menjadi Perdana Menteri sama ada Kerajaan BN mahu pun  Kerajaan PH.  Nampaknya tanggapan penulis meleset.   Apakah ini bermakna, mana-mana pihak apabila menjadi Kerajaan, mereka akan bersikap “ lepas tangan” atau hanya berusaha-usaha bersungguh-sungguh dengan apa sekalipun untuk berkuasa? Bak kata pepatah “ Cakap tak serupa bikin”.

Secara perinsip, tanggung jawab untuk memastikan korum adalah tangung jawab semua Ahli-ahli Parlimen, tidak kira sama ada pihak Kerajaan mahupun pembangkang.  Kelazimannya, ia di bebankan kepada  Ahli Parlimen Kerajaan kerana pada dasarnya Mesyuarat Parlimen untuk meluluskan urusan-urusan Kerajaan.

Suatu lontaran catatan jua.

No comments:

Post a Comment

KEJANGGALAN BAJET 2025!!!

Setelah tiga kali Perdana Menteri 10 membentangkan Belanjawan/Bajet Tahunan, inilah kali pertama penulis mengikuti sepenuhnya pembentangan B...