Tuesday 11 October 2022

SOKONGAN MERENTAS PARTI DIHARAPKAN BERTERUSAN SELEPAS PRU 15, WALAUPUN MAJORITI KERAJAAN KURANG 2/3

 


Sedia maklum bahawa Perkara 159(3), Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan perlu diluluskan dengan undi sebanyak tidak kurang dua pertiga  daripa jumlah ahli Majlis Parlimen  sama ada di Dewan Rakyat mahupun Dewan Negara.  Peruntukan itu seperti berikut:

“(3) Sesuatu Rang Undang-Undang bagi membuat apa-apa pindaan kepada Perlembagaan (selain pindaan yang dikecualikan daripada peruntukan Fasal ini) dan sesuatu Rang Undang-Undang bagi membuat apa-apa pindaan kepada sesuatu undang-undang yang diluluskan di bawah Fasal (4) Perkara 10 tidaklah boleh diluluskan di dalam mana-mana satu Majlis Parlimen melainkan jika Rang Undang-Undang itu telah disokong pada Bacaan Kali Kedua dan Kali Ketiga dengan undi sebanyak tidak kurang daripada dua pertiga daripada jumlah bilangan ahli Majlis Parlimen itu”

 

Oleh itu, selama ini pindaan Perlembagaan Persekutuan hanya dibentangkan oleh Kerajaan yang memiliki majoriti dua pertiga.  Selepas PRU12 pada tahun 2008 di Majlis Parlimen Ke-12, apabila BN yang menjadi Kerajaan  tidak memiliki majoriti dua pertiga, maka tiada pindaan Perlembagaan dikemukakan kepada  Majlis Parlimen.  Keadaan ini berterusan  juga di Majlis Parlimen Ke-13, BN yang membentuk Kerajaan selepas PRU 13 juga tidak memilik majoriti dua pertiga.  Walau bagaimanapun, keadaan sedemikian berubah, pada Majlis Parlimen Ke-14, apabila Pakatan Harapan memenangi PRU 14 dan membentuk Kerajaan dengan majoriti mudah, telah berani mengemukakan pindaan Perlembagaan. 

 

Disini dirumuskan berkaitan cadangan RUU pindaan Perlembagaan Persekutuan ketika majoriti Kerajaan kurang dua pertiga.:-

 

i-        RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA 1963)

 

Untuk pertama kalinya, PH mencadangkan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA 1963).  RUU ini adalah untuk meminda fasal 2 Perkara 1 Perlembagaan iaitu memecahkan bahawa Persekutuan mengandungi (a) negeri-negeri Tanah Melayu, (b) Sabah dan (c) Sarawak. Ini tidak banyak bezanya dengan yang asal dan pihak pembangkang (BN)  khususnya  Ahli-ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak  meminta perkara ini dirundingi terlebih dahulu dengan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak dan dinyatakan dengan jelas persetujuan Perjanjian Malaysia 1963 (MA 1963) dalam pindaan Perlembagaan ini. Pada 8 April 2019, di Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-14, RUU ini diputuskan melalui undian wajib  di belahbahagian untuk bacaan kali yang kedua, setuju – 138, tidak setuju – 59 dan tidak hadir – 24.  RUU ini tidak  dipersetujukan kerana kurang dari 2/3 majoriti (148 undi) seperti ketetapan  Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan tersebut.

 

ii-        RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 berkaitan umur undi 18 tahun dan pendaftaran automatik

 

RUU ini adalah meminda perenggan (b) Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan umur warga negara yang layak  menjadi ahli Dewan Rakyat daripada 21 kepada 18 tahun. Juga  meminda perenggan (a) Fasal 1 Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan umur seseorang warga negara yang layak  mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

 

Pada 16 Julai 2019, di Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Parlimen ke-14, keputusan  undi belahbahagian ialah  211 Ahli Parlimen bersetuju, tiada bersetuju – 0 dan tiada yang tidak mengundi.   Ini adalah kejayaan PH sebagai Kerajaan berunding dan menerima cadangan dari pihak pembangkang yang asalnya menolak pindaan ini apabila dibuat bacaan kali pertama yang asalnya hanya meminda umur layak mengundi sahaja. Kerajaan menarik balik dokumen RUU itu dan membentangkan semula setelah mengambil kira pandangan pihak pembangkag iaitu juga dipinda umur layak menjadi ahli Dewan dan juga pendaftaran secara automatik.  Ini adalah pertama kali dalam sejarah Parlimen Malaysia, Kerajaan yang tiada majoriti dua pertiga berajaya meminda Perlembagaan.

 

iii-       Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2021 berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)

RUU ini sekali lagi dikemukakan setelah gagal memperoleh undia dua pertiga pada tahun 2019.  Pada kali ini, ia dibentangkan oleh Perikatan Nasional (PN) yang mengambil alih pentadbiran Kerajaan dari PH  pada Februari 2020. Ianya bertujuan mengukuhkan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia diluluskan Dewan Rakyat setelah memperoleh sokongan majoriti dua pertiga ahli Parlimen.  RUU ini telah dibuat bacaan kali pertama pada 26 Okotober 2021 di Dewan Rakyat pada  Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat Parlimen Ke-14 dan bacaan kedua pada 14 Disember 2021.

Seterusnya RUU ini dipersetujukan melalui undian wajib belahbahagian, dimana 200 – setuju, 0- tidak setuju dan 20 tidak hadir.  Manakala bacaan kali ketiga pula 199 – setuju, 0-tidak setuju dan 21 -tidak hadir.  Ini menununjukkan pindaan ini mendapat sokongan penuh pihak pembangkang khususnya PH dan juga  Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak.  Ini juga adalah kali kedua dalam sejarah Parlimen bahawa pindaan Perlembagaan diluluskan walaupun Kerajaan tidak menguasai majoriti dua pertiga. 

 

iv-       RUU perlembagaan (pindaan)(n0.3) 2022 berkaitan peruntukan larangan ahli  dewan rakyat  lompat parti diluluskan undian merentasi parti

 

 

RUU ini dibentangkan untuk bacaan kali yag kedua pada 27 Julai 2022 di Dewan Rakyat pada Mesyuarat Kedua, Penggal Kelima Parlimen Ke-14 dan dipersetujukan dengan undian Belahbahagian pada 28 Julai 2022,  seramai 209 Ahli Parimen bersetuju dan 11 ahli Parlimen tidak hadir.  RUU ini dibuat bacaan kali yang pertama pada 11 April 2022 dan kemudiannya dibawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas Bagi Menimbang RUU tersebut berikutan tafsiran Perlembagaan dan ‘lompat parti’ yang terlalu luas.   Seterusnya Dewan Negara meluluskan RUU melalui undian belah bahagian 9 Ogos 2022, seramai 52 ahli Dewan Negara bersetuju dan tujuh ahli  tidak hadir.   Sokongan padu ini yang merentasi Ahli Parlimen Kerajaan dan bukan Kerajaan adalah  kali yang ketiga berlaku selepas PRU 14.

 

Disimpulkan bahawa Perlembagaan Persekutuan mampu di pinda oleh Kerajaan walaupun tidak mempunyai majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.  Ia hanya dapat dilakukan sekiranya pihak Kerajaan bersikap terbuka mdenerima pandangan dan kehendak pihak  bukan Keranjaan khususnya pembangkang dan sentiasa berunding cddengan pihak-pihak berkepentingan sbelum pindaan itu dikemukankan di Maj;is Parlimen.  Ini lebih mudah sekiranya wujud persefahaman antara kedua-dua pihak seperti Mou Persefahaman dan Kestabilan Politik yang dimeterai pada 13 September 2021.  Inilah anjakan paradigma dan inovasi politik yang perlu diteruskan dimasa hadapan, demi kelangsungan politik yang matang dan betamadun tinggi.

Semoga PRU 15 menzahirkan politik matang demi kesejahteraan rakyat dan negara.

 

Wallahu a’alam, suatu catatan jua.

Port Dickson, 12 September 2022.

Monday 10 October 2022

PARLIMEN KE-14 BUBAR SELEPAS BAJET 2023 DIBENTANGKAN – LUPUT DAN SIA-SIA?.

 

Semasa perbahasan RUU Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2022, Ahli Parlimen Pokok Sena menyatakan kebimbangan bahawa pindaan rang undang-undang pada sesi kali ini tidak diteruskan ke peringkat seterusnya sekiranya kerajaan baru terbentuk selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15). Beliau juga menyifatkan persidangan iyang sedang berlangsung adalah sia-sia.  Malah beberapa Ahli Parlimen lain menyifatkan ini perbuatan gila. Manakala Ahli Parlimen Padang Rengas (pernah memegang portfolio Parlimen dan Undang-Undang di  Jabatan Perdana Menteri) menjelaskan bahawa  “ Sebarang pindaan yang diluluskan dalam sidang Dewan Rakyat kali ini tidak akan dibawa semula ke sesi akan datang, sekiranya Parlimen dibubarkan dalam tempoh terdekat. “Ia tak membazir sebab apa kita bahaskan sekarang, walaupun diputuskan oleh Dewan Rakyat, ia tetap akan dibawa ke Dewan Negara untuk diluluskan di peringkat seterusnya,” katanya ketika membahaskan RUU Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2022. (Hansard Dewan Rakyat, 4 Oktober 2022), muka surat 73).  Ahli Parlimen Pokok Sena juga menyatakan sebarang keputusan dibuat Dewan Rakyat hari ini seperti sia-sia kerana dibuat “sekerat jalan” dan perlu dibahas semula sekiranya kerajaan bertukar.

Selari dengan pandangan Ahli Parlimen Padang Rengas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) turut memberitahu pemberita di lobi Parlimen  bahawa RUU yang telah dibentangkan dan diluluskan  di Dewan Rakyat  tidak akan luput dan boleh diteruskan di sesi parlimen akan datng, jika kerajaan baharu memilih berbuat demikian.

Disini penulis rekodkan bahawa kedua-dua pandangan tersebut adalah silap dan tidak tepat.  Dalam hal ini,  Perkara 55(5), Perlembagaan Persekutuan  menyatakan “ Sesuatu Rang Undang-Undang yang belum diputuskan di dalam Parlimen tidaklah terluput disebabkan oleh pemprorogan Parlimen”. [ Prorog ialah merujuk kepada Mesyuarat Parlimen diberhentikan antara Penggal Parlimen).  Manakala  Perkara 55(7) pula  menyebut  “ Rang Undang-Undang yang  menantikan   perkenan Yang di-Pertuan Agong dibawah Fasal (4 ) dan (4A) Perkara 66 tidaklah  luput disebabkan pemprorogan dan pembubaran Parlimen.  Ini bermaksud Rang Undang-Undang itu telah diluluskan oleh kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara sebagaimana diperuntukan Perkara 66(1) “Kuasa Parlimen untuk membuat undang-undang hendaklah dijalankan melalui Rang Undang-Undang yang diluluskan oleh kedua-dua Majlis Parlimen (atau, dalam hal yang disebut dalam  Perkara 68, oleh Dewan Rakyat) dan, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya dalam Perkara ini, diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong”

Sebagaimana catatan penulis sebelum ini yang merujuk kepada pembubaran Parlimen Ke-9 pada 11 November 1999 dimana Belanjawan 2000 belum diluluskan oleh kedua-dua Dewan Parlimen dan ia luput selaras dengan pembubaran Parlimen dan perlu dibentangkan semula pada Parlimen Ke-10 selepas PRU 10.  Bagi membolehkan perbelanjaan dibuat bagi sebahagian tahun 2000 sebelum Rang Undang-Undang Perbekalan untuk tahun 2000 diluluskan, maka Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama, Parlimen Kesepuluh diadakan dari 20 hingga 23 Disember 1999 bagi Dewan Rakyat dan 27 Disember dan 28 Disember 1999 bagi Dewan Negara bagi meluluskan Usul Perbelanjaan Sebahagian Tahun 2000 (Belanjawan  Interim).  Pada sidang ini, Bajet 2000 dibuat semula bacaan kali yang pertama dan bacaan kali kedua pada  25 Februari 2000 (Jumaat, 4.00 petang) oleh  Menteri Kewangan [Tun Dato' Daim Zainuddin] di Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua Parlimen Ke-10.  Manakala RUU Perbekalan Tambahan 1999(No. 22), RUU Cukai Pendapatan (Pindaan) 1999 dan RUU Jualan (Pindaan) 1999 yang telah diluluskan sebelum Bajet 2000 dibentangkan dan RUU Institut Teknologi MARA (Pindaan) 1999 yang telah dibuat bacaan pertama sebelum Parlimen Ke-9 dibubarkan, telah dibuat bacaan pertama dan seterusnya bacaan kedua dan ketiga di Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama Parlimen Ke-10 tersebut.

Akhirnya teka teki terjawab, dalam Perurtusan Khas Perdana Menteri jam 3.00 petang pada 10 Oktober 2022, yang disiarkan menerusi siaran langsung stesen televisyen tempatan, mengumumkan pembubaran Parlimen yang telah diperkenanakan oleh Yang di-Pertuan Agong pada hari Isnin, 10 Oktober 2022.

Pembubaran ini selepas Bajet 2023  dibentangkan pada 7 Oktober dan  belum sempat dibahaskan. Dengan demikan Bajet tersebut dan Rang Undang-Undang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat sebelum pembentangan Bajet 2023 juga turut luput. Maka akan berlaku pembaziran dan pembohongan kepada rakyat.  Ini kerana apa-apa cadangan dalam Bajet itu tidak dapat dilaksankan melainkan di bentangkan semula selepas PRU 15. Adakah ini suatu kebaikan dan memberikan suasana "feel good" untuk diadakan PRU?  Walau pun pembubaran Parlimen ke-9 (1999) itu sebelum Bajet 2000 diluluskan, tidak memberi kesan signifikan kepada keptusan PRU 10, tetapi kesannya ialah meningaktkan kemenanganan pembangkang ketika itu waalaupun BN masih menang dua pertiga semasa era pentadbiran Perdana Menteri ke-4. Apakah kali ini pembubaran Parlimen sebelum Bajet diluluskan oleh kedua-dua Dewan akan memberii implikasi yang signifikan atau sebaliknya kepada keputusan PRU 15.  Sama-sama kita nantikan…tunggu dan lihat !!!,

Catatan dipinggiran jua.

Jenderam Hulu, 10 Oktober 2022.

 *kemaskini;  12 Oktober 2022- Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Harun membuat pengesahan dalam temu ramah Selamat Pagi Malaysia, RTM  bahawa  BAJET 2023 perlu dibentangkan semula oleh Kerajaan baharu selepas PRU 15 sama ada Bajet yang sama atau Bajet baharu oleh Kerajaan yang terbentuk selepas PRU 15.   Begitu juga RUU yang telah dilukuskan oleh Dewan Rakyat sebelum pembubaran, juga perlu dibentangkan semula jika dikehendaki oleh Kerajaan baharu beemula dengan bacaan pertama, kedua dan ketiga.


 


 

RUMUSAN KEPUTUSAN PRK DAN PRN SELEPAS PRU 14 -IMPAK KEPADA PRU 15?

Sepanjang PRK yang diadakan pada tahun 2018, PH masih mendominasi, mungkin disebabkan implikasi PRU 14 masih kuat mempengaruh ipengundi.  Keputusan PRK itu seperti berikut:

BIL

PRK

KEPUTUSAN

1

PRK Sungai Kandis, DUN Selangor, 4 Ogos 2018 

calon PH, PKR  memperolehi majoriti 5,842 undi

2

PRK Balakong, DUN Selangor, 8 September 2018

calon PH,  berjaya mengekalkan kemenangan DAP dengan memperolehi majoriti sebanyak 18,533

3

PRK Seri Setia, DUN Selangor, 8 September 2018

calon PH, mengekalkan kemenangan PKR dengan memperolehi majoriti sebanyak 4,027 undi.

4

PRK Parlimen Port Dickson, 13 Oktober 2018

Dato Seri Anwar Ibrahim berjaya memenangi kerusi parlimen itu dengan memperoleh majoriti sebanyak 23,560 undi

Namun mulai tahun 2019, PH telah mula kehilangan sokongan dan rakyat memihak kepada BN.  Dimana 6 PRK dimenenangi oleh BN dan PH (DAP) hanya 2 kerusi (Sandakan dan Balakong).  Keputusanya PRK adalah seperti berikut:-

BIL

PRK

KEPUTUSAN

1

PRK Cameran Highland, 26 Januari 2019

Calon BN Ramli Mohd Noor berjaya mempertahankan kerusi parlimen itu dengan memperolehi majoriti besar sebanyak 3,238 undi dan mencipta sejarah sebagai calon tunggal Orang Asli ke Parlimen.

2

PRK Semenyih, DUN Selangor, 2 Mac 2019

calon Barisan Nasional (BN memenangi kerusi DUN dengan memperoleh sebanyak 1,914 undi dan berjaya merampas kerusi bagi  daripada Pakatan Harapan (PH) buat kali pertama sejak PRU-14.  Ramai pihak menyatakan ini adalah kesan Kerjasama PAS dan UMNO melalui MN

3

PRK Rantau, DUN Negeri Sembilan, 13 April 2019

Calon Barisan Nasional (BN), Dato Seri Mohamad Hasan sekali lagi memenangi dan mengekalkan kerusi ADUN itu dengan memperolehi majoriti sebanyak 4,510 undi.

4

PRK Parlimen Sandakan 11 Mei 2019.

calon DAP berjaya mempertahankan kerusi parlimen itu yang disandang  dan memperolehi majoriti besar sebanyak 11,521 undi.

5

PRK Parlimen Tanjung Piai, 16 November 2019

calon Barisan Nasional (BN berjaya memenangi kerusi parlimen itu sebanyak 15,086 undi dan merampas balik kerusi bagi kawasan Parlimen daripada Pakatan Harapan (PH) buat kali pertama sejak PRU-14.

6

PRK Parlimen Kimanis, 18 Januari 2020

Calon BN berjaya memenangi kerusi Parlimen Kimanis dengan majoriti sebanyak 2,029 undi.

7

PRK Chini, DUN Pahang, 29 Ogos 2020

calon BN berjaya mencapai kemenangan dengan majoriti sebanyak 12,650.

8

PRK Slim, DUN Perak, 2020

Calon BN (UMNO) meraih 13,060 undi menewaskan dua calon Bebas. PH tidak bertanding

Begitu juga, bagi PRN pula, kesemua 4 PRN mendapati PH kalah dan hilang sokongan rakyat.   Keputusan PRN adalah seperti berikut:

BIL

PRN

KEPUTUSAN

1

PRN Sabah, 26 September 2020

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memenangi 38 kerusi dan mmembentuk Kerajaan Sabah yang baharu dan WARISAN Plus hanya 32 kerusi. 

2

PRN  Malaka,  20 November 2021

BN menang 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan membentuk kerajaan Melaka yang baharu dengan majoriti dua pertiga. Manakala PH -5 dan PN – 2 kerusi

3

PRN Sarawak, 18 Disember 2021

GPS memenangi 76 kerusi  dengan majoriti lebih dua pertiga dan pihak lawan – PSB- 4  dan PH (DAP) – 2.  Jumlah kerusi DUN Sarawak iah 82.

4

PRN Johor, 12 Mac  2022

BN menang amat selesa apabila mendapat 40 kerusi dan membentuk kerajaan Johor.  Manakala PH + MUDA = 13, dan PN= 3.

Apakah Keputusan PRK dan PRN Menentukan Hala Tuju PRU 15?

Sebelum PRN Johor, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad berpandangan bahawa kesan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) amat besar dan tidak boleh diambil ringan.  Beliau dalam satu surat kepada pengundi Johor  berkata, pendapat tersebut dinyatakan selepas melihat wujud dalam kalangan rakyat perasaan bahawa PRN Johor tidak memberi sebarang kesan tidak kira siapa yang berjaya menerajui negeri itu. (Sinar, 15 Februari 2022).

Oleh yang demikian  timbul persoalan besar bahawa  kegagalan PH dan PN di Melaka dan Johor akan menjejaskan ‘survival’ PN dan PH selaku  gabungan politik besar yang dianggap penyaing utama kepada UMNO-BN.  Cubaan mereka untuk menyekat kemaraan BN, khususnya UMNO dengan menggunakan isu ‘kluster mahkamah’ dan rasuah untuk menyerang pemimpin seperti Ahmad Zahid Hamidi dan Najib Razak secara berterusan adalah gagal. Malah kebergantungan mereka kepada isu nasional, tanpa memberi tumpuan kepada isu asas seperti ekonomi rakyat, kos sara hidup, dan peluang pekerjaan telah membawa padah kepada PN, PH, dan parti lain dalam cubaan menekan Umno-BN pada PRN Melaka dan Johor.

Selain itu, kekalahan berturut-turut di PRN Melaka dan Johor, berkemungkinan juga akan memaksa PAS dan BERSATU menilai semula gandingan mereka.  Ini kerana   usaha BERSATU menarik sokongan bukan Melayu dilihat tersekat kerana imej PAS.  Manakala PAS sendiri gagal meluaskan pengaruhnya secara nyata, susulan keputusannya bekerjasama dengan BERSATU dan menolak UMNO.  Ini bermakna keputusan PAS Bersama PN dan meninggalkan Muafakat Nasional (MN) telah memberi kesan negative kepadanya. [Kalah teruk di Johor, nasib PN, PH pada PRU15 jadi tanda tanya,Robin Augustin-March 12, 2022 9:57 PM, FMT]

Maka timbul pelbagai cadangan supaya pihak pembangkang dan seteru BN, khususnya PH, WARISAN, PEJUANG DAN PN berkerjasama dalam “khemah besar”  dalam PRU  15 menghadapi BN-UMNO dan mengelakkan pertembungan banyak penjuru bagi mengulangi kejayaan PH dalam PRU 14.  PRN Melaka dan Johor sudah membuktikan, pertembungan sesama Perikatan Nasional (PN) dan PH memberikan keubtubgan kepada BN. Ini menyebabkan BN menguasai Melaka dan Johor dengan majoriti dua pertiga. Data daripada kedua-dua PRN ini yang dikaji oleh penganalisis-penganalisis politik menunjukkan sekiranya berlakunya kerjasama antara PN dan PH, BN berada dalam bahaya. Oleh itu, pilihan di tangan PN dan PH, sama ada mahu membuang ego dan bekerjasama  bagi menghalang kemenangan BN atau membiarkan golongan yang mereka gelar sebagai “kleptocrat”  kembali (Istilah ini antara faktor kemenagan PH dalam PRU 14). 

Misalnya  pada awal Jun 2022, Presiden Bersatu Tan Sri Mahiaddin  Yassin minggu  mencadangkan agar parti-parti yang menentang Barisan Nasional (BN) agar mengadakan “electoral pact”  atau persefahaman pilihan raya pada PRU15 bagi mengelakkan undi mereka berpecah.  Menurutnya, ini bertujuan mengelakkan “golongan kleptokrat” yang dipimpin olehNajib Razak dan Presiden Umno, Dto' Seri Ahmad Zahid Hamidi kembali berkuasa. Cadangan ini dipandang sinis oleh sesetengah pihak terutamanya yang menganggap Bersatu sebagai sebuah parti pengkhianat yang menyebabkan kerajaan PH yang mendapat mandat rakyat pada PRU14 tumbang akibat Langkah Sheraton. [SURAT | 'BN dalam bahaya jika PH, PN kerjasama', Kamarul Khairy, 9 Jun 2022, Malaysiakini. ].

Parti WARISAN  pula yang kelihatan tidak mahu bergabung dengan mana-mana gabungan politik akhirnya pada 26 Jun 2022, Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal Parti Warisan (WARISAN)  berkata pihaknya sedia menjalin kerjasama dengan mana-mana gabungan politik yang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi memastikan kestabilan politik dan menjaga kepentingan rakyat negara ini, kata.  Beliau yang juga Ahli Parlimen Semporna menjelaskan, ini kerana pihak yang menang pada PRU-15 adalah parti pilihan rakyat, justeru WARISAN menghormati keputusan itu dengan menjalin kerjasama menguntungkan kepada rakyat di peringkat Persekutuan dan Sabah.  Bagaimanapun, beliau menegaskan persefahaman yang dibentuk itu mestilah sebuah kerjasama pintar serta tidak berat sebelah dan paling penting, meletakkan kepentingan rakyat mengatasi segalanya [WARISAN sedia jalin kerjasama dengan gabungan politik yang menang PRU-15, BH Online, Jun 26, 2022 @ 12:18am]

SUATU CATATAN - ANTARA “PAK SHEIKH” YANG KU SANJUNG DAN PM 10 YANG MENYINGKIRKAN KU....

  Menelusuri ingatan 45 tahun yang lalu, semasa penulis berusia sekitar 20’an yang penuh semangat dalam persekitaran dakwah dan harakah dise...