Tuesday 11 October 2022

SOKONGAN MERENTAS PARTI DIHARAPKAN BERTERUSAN SELEPAS PRU 15, WALAUPUN MAJORITI KERAJAAN KURANG 2/3

 


Sedia maklum bahawa Perkara 159(3), Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan perlu diluluskan dengan undi sebanyak tidak kurang dua pertiga  daripa jumlah ahli Majlis Parlimen  sama ada di Dewan Rakyat mahupun Dewan Negara.  Peruntukan itu seperti berikut:

“(3) Sesuatu Rang Undang-Undang bagi membuat apa-apa pindaan kepada Perlembagaan (selain pindaan yang dikecualikan daripada peruntukan Fasal ini) dan sesuatu Rang Undang-Undang bagi membuat apa-apa pindaan kepada sesuatu undang-undang yang diluluskan di bawah Fasal (4) Perkara 10 tidaklah boleh diluluskan di dalam mana-mana satu Majlis Parlimen melainkan jika Rang Undang-Undang itu telah disokong pada Bacaan Kali Kedua dan Kali Ketiga dengan undi sebanyak tidak kurang daripada dua pertiga daripada jumlah bilangan ahli Majlis Parlimen itu”

 

Oleh itu, selama ini pindaan Perlembagaan Persekutuan hanya dibentangkan oleh Kerajaan yang memiliki majoriti dua pertiga.  Selepas PRU12 pada tahun 2008 di Majlis Parlimen Ke-12, apabila BN yang menjadi Kerajaan  tidak memiliki majoriti dua pertiga, maka tiada pindaan Perlembagaan dikemukakan kepada  Majlis Parlimen.  Keadaan ini berterusan  juga di Majlis Parlimen Ke-13, BN yang membentuk Kerajaan selepas PRU 13 juga tidak memilik majoriti dua pertiga.  Walau bagaimanapun, keadaan sedemikian berubah, pada Majlis Parlimen Ke-14, apabila Pakatan Harapan memenangi PRU 14 dan membentuk Kerajaan dengan majoriti mudah, telah berani mengemukakan pindaan Perlembagaan. 

 

Disini dirumuskan berkaitan cadangan RUU pindaan Perlembagaan Persekutuan ketika majoriti Kerajaan kurang dua pertiga.:-

 

i-        RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA 1963)

 

Untuk pertama kalinya, PH mencadangkan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA 1963).  RUU ini adalah untuk meminda fasal 2 Perkara 1 Perlembagaan iaitu memecahkan bahawa Persekutuan mengandungi (a) negeri-negeri Tanah Melayu, (b) Sabah dan (c) Sarawak. Ini tidak banyak bezanya dengan yang asal dan pihak pembangkang (BN)  khususnya  Ahli-ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak  meminta perkara ini dirundingi terlebih dahulu dengan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak dan dinyatakan dengan jelas persetujuan Perjanjian Malaysia 1963 (MA 1963) dalam pindaan Perlembagaan ini. Pada 8 April 2019, di Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-14, RUU ini diputuskan melalui undian wajib  di belahbahagian untuk bacaan kali yang kedua, setuju – 138, tidak setuju – 59 dan tidak hadir – 24.  RUU ini tidak  dipersetujukan kerana kurang dari 2/3 majoriti (148 undi) seperti ketetapan  Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan tersebut.

 

ii-        RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 berkaitan umur undi 18 tahun dan pendaftaran automatik

 

RUU ini adalah meminda perenggan (b) Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan umur warga negara yang layak  menjadi ahli Dewan Rakyat daripada 21 kepada 18 tahun. Juga  meminda perenggan (a) Fasal 1 Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan umur seseorang warga negara yang layak  mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

 

Pada 16 Julai 2019, di Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Parlimen ke-14, keputusan  undi belahbahagian ialah  211 Ahli Parlimen bersetuju, tiada bersetuju – 0 dan tiada yang tidak mengundi.   Ini adalah kejayaan PH sebagai Kerajaan berunding dan menerima cadangan dari pihak pembangkang yang asalnya menolak pindaan ini apabila dibuat bacaan kali pertama yang asalnya hanya meminda umur layak mengundi sahaja. Kerajaan menarik balik dokumen RUU itu dan membentangkan semula setelah mengambil kira pandangan pihak pembangkag iaitu juga dipinda umur layak menjadi ahli Dewan dan juga pendaftaran secara automatik.  Ini adalah pertama kali dalam sejarah Parlimen Malaysia, Kerajaan yang tiada majoriti dua pertiga berajaya meminda Perlembagaan.

 

iii-       Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2021 berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)

RUU ini sekali lagi dikemukakan setelah gagal memperoleh undia dua pertiga pada tahun 2019.  Pada kali ini, ia dibentangkan oleh Perikatan Nasional (PN) yang mengambil alih pentadbiran Kerajaan dari PH  pada Februari 2020. Ianya bertujuan mengukuhkan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia diluluskan Dewan Rakyat setelah memperoleh sokongan majoriti dua pertiga ahli Parlimen.  RUU ini telah dibuat bacaan kali pertama pada 26 Okotober 2021 di Dewan Rakyat pada  Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat Parlimen Ke-14 dan bacaan kedua pada 14 Disember 2021.

Seterusnya RUU ini dipersetujukan melalui undian wajib belahbahagian, dimana 200 – setuju, 0- tidak setuju dan 20 tidak hadir.  Manakala bacaan kali ketiga pula 199 – setuju, 0-tidak setuju dan 21 -tidak hadir.  Ini menununjukkan pindaan ini mendapat sokongan penuh pihak pembangkang khususnya PH dan juga  Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak.  Ini juga adalah kali kedua dalam sejarah Parlimen bahawa pindaan Perlembagaan diluluskan walaupun Kerajaan tidak menguasai majoriti dua pertiga. 

 

iv-       RUU perlembagaan (pindaan)(n0.3) 2022 berkaitan peruntukan larangan ahli  dewan rakyat  lompat parti diluluskan undian merentasi parti

 

 

RUU ini dibentangkan untuk bacaan kali yag kedua pada 27 Julai 2022 di Dewan Rakyat pada Mesyuarat Kedua, Penggal Kelima Parlimen Ke-14 dan dipersetujukan dengan undian Belahbahagian pada 28 Julai 2022,  seramai 209 Ahli Parimen bersetuju dan 11 ahli Parlimen tidak hadir.  RUU ini dibuat bacaan kali yang pertama pada 11 April 2022 dan kemudiannya dibawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas Bagi Menimbang RUU tersebut berikutan tafsiran Perlembagaan dan ‘lompat parti’ yang terlalu luas.   Seterusnya Dewan Negara meluluskan RUU melalui undian belah bahagian 9 Ogos 2022, seramai 52 ahli Dewan Negara bersetuju dan tujuh ahli  tidak hadir.   Sokongan padu ini yang merentasi Ahli Parlimen Kerajaan dan bukan Kerajaan adalah  kali yang ketiga berlaku selepas PRU 14.

 

Disimpulkan bahawa Perlembagaan Persekutuan mampu di pinda oleh Kerajaan walaupun tidak mempunyai majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.  Ia hanya dapat dilakukan sekiranya pihak Kerajaan bersikap terbuka mdenerima pandangan dan kehendak pihak  bukan Keranjaan khususnya pembangkang dan sentiasa berunding cddengan pihak-pihak berkepentingan sbelum pindaan itu dikemukankan di Maj;is Parlimen.  Ini lebih mudah sekiranya wujud persefahaman antara kedua-dua pihak seperti Mou Persefahaman dan Kestabilan Politik yang dimeterai pada 13 September 2021.  Inilah anjakan paradigma dan inovasi politik yang perlu diteruskan dimasa hadapan, demi kelangsungan politik yang matang dan betamadun tinggi.

Semoga PRU 15 menzahirkan politik matang demi kesejahteraan rakyat dan negara.

 

Wallahu a’alam, suatu catatan jua.

Port Dickson, 12 September 2022.

No comments:

Post a Comment

SUATU CATATAN - ANTARA “PAK SHEIKH” YANG KU SANJUNG DAN PM 10 YANG MENYINGKIRKAN KU....

  Menelusuri ingatan 45 tahun yang lalu, semasa penulis berusia sekitar 20’an yang penuh semangat dalam persekitaran dakwah dan harakah dise...