Monday 13 August 2018

ISU PINDAAN AKTA 355 - DISINIKAH NOKTAHNYA?

Penulis  terpanggil sekali lagi  untuk memberi pandangan terhadap jawapan Menteri (Agama) mengenai Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 atau sering dikenali sebagai RUU 355  semasa menjawab atau menggulung perbahasan Usul Titah Diraja di Dewan Rakyat pada 6 Ogos 2018. 

Berikut adalah petikan penjelasan beliau terhadap celahan oleh Ahli Parimen Sik:
“Terima kasih kepada Yang Berhormat Sik. Mungkin di sini kita berbeza pandangan. Bagi kami yang dimaksudkan dengan syariah itu terlalu besar dan luas. Bukan hanya aspek Mahkamah Syariah. Ini kerana dalam gagasan yang kita bawa Mahkamah Syariah dan segala institusi yang adanya mesti juga tertakluk kepada tiga teras yang saya sebutkan tadi.  Adapun Akta 355 yang telah disebut oleh Yang Berhormat Sik. Itu duduk di bawah akta bidang kuasa Mahkamah Syariah yang berhasrat untuk meningkatkan hukuman. Betul? Itu isu dia. Sedangkan bagi pihak kami dan kebetulan sudah ada jawapannya di sini sebenarnya. Terima kasih kerana mempercepatkan jawapan ini. Kami meletakkan beberapa perkara yang lebih besar dalam isu Mahkamah Syariah. Tolong catat ya. Pertama, ialah pengharmonian antara undang-undang syariah dan sivil. Kita tidak dapat lari Yang Berhormat, bila berbicara tentang Mahkamah Syariah, akan berlaku di sana perkara-perkara yang berkonflik. Itu perlu di harmonikan. Macam isu, 164 —Akta 164 contohnya. Itu juga melibatkan soal pengharmonian antara sivil dengan— sebab itu realiti, kita tidak dapat lari. Kedua, kita juga berbicara tentang pemerkasaan syariah ini maksudnya mahkamah ini ialah kompetensi hakim dan pendakwa syarie.  Cuba Yang Berhormat bayangkan kalau hukuman itu diletakkan seperti mana yang dicadangkan oleh Yang Berhormat Marang dalam dia punya personal bill dia, akta persendirian. Kompetensi hakim dan pendakwa syarie belum sampai kepada tahap yang sesuai maka mereka perlu banyak lagi peningkatan. Ketiga ialah aspek tadbir urus dan prasarana Mahkamah Syariah. Ini juga penting. Kalau sekadar bercakap tentang 355, kita tidak ada satu prasarana yang boleh menampung satu peningkatan hukuman yang drastik itu maka kita khuatir dengan sekadar melihat 355, tidak melihat secara komprehensif dan global, kita rasa berlaku sedikit ketidaksesuaian dalam berfikir kerangka Mahkamah Syariah yang lebih luas. So, itu saya punya respons... Hansard DR – 6.8.2018, ms 118 - 119)

Manakala jawapan terhadap celahan Ahli Parlimen Kota Bharu, beliau menjelaskan seperti berikut
“ okey terima kasih. Saya ambil note Yang Berhormat Bachok, saya ambil note. Apa yang disebutkan oleh sahabat saya Yang Berhormat Kota Bharu, pertama yang dikatakan kerajaan perlu ambil waktu itu ialah semasa kami di sebelah sana sebab kami menganggap bahawa isu RUU 355 ini jika dikendalikan dengan lebih kita kata teratur, sebab kita ada jawatankuasa roadmap yang telah ditubuhkan antara Kerajaan Negeri Kelantan dengan Kerajaan Pusat waktu itu di bawah Barisan Nasional. Saya kira landasan itu sudah jelas menunjukkan bagaimana kita harus menangani isu ini.  Akan tetapi tiba-tiba muncul satu rang undang-undang persendirian yang lari daripada road map yang telah kita bincang dahulu sebab itu bagi pihak kami waktu itu Yang Berhormat, kami merasakan elok kalau betul serius perkara ini hendak dilaksanakan maka hendaklah diserahkan kepada kerajaan supaya dibuat dengan tertib dan teratur. Sebagai rekod untuk memberi keadilan kepada isu ini yang pernah kita bahas dua tahun panjang perkara ini, saya sendiri telah mengemukakan rang undang-undang peribadi tetapi tidak diterima iaitu rang undang-undang peribadi kepada isu memperkasakan Mahkamah Syariah secara holistik. Sekarang kami telah menjadi kerajaan dengan sokongan rakyat maka sudah tentulah idea-idea itu kami akan cuba terapkan dan kami lebih melihat Yang Berhormat isu pemerkasaan Mahkamah Syariah ini dengan cara yang lebih holistik, insya-Allah. (Hansard DR – 6.8.2018, ms  119)


Sebagai perbandingan, berikut adalah petikan jawapan terakhir secara bertulis oleh Kerajaan terdahulu terhadap soalan lisan oleh Ahli Parlimen  Kuala Nerus di Dewan Rakyat pada 28 Mac 2018, di Mesyuarat Pertama, Penggal Keenam Parlimen Ke-13 sebelum PRU 14, iaitu:-

”... Kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Memperkasa Mahkamah Syariah (JKMMS) yang bertujuan untuk meningkatkan dan memartabatkan sistem perundangan Syariah secara holistik selaras dengan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.

.. .Bagi melaksanakan objektif JKMMS tersebut, dua jawatankuasa pelaksana ditubuhkan iaitu Jawatankuasa Pemandu Memperkasa Mahkamah Syariah  dan Jawatankuasa Induk Memperkasa Mahkamah. Keanggotaan kedua-dua Jawatankuasa ini terdiri daripada tokoh-tokoh dalam negara yang pakar dalam pelbagai disiplin termasuklah mereka yang pakar dalam undang-undang Syariah dan undang-undang sivil.

Antara fungsi Jawatankuasa ini ialah membuat syor kepada Kerajaan mengenai perkara-perkara yang berhubungan dengan Mahkamah Syariah termasuklah dari segi pengharmonian undang-undang antara undang-undang Sivil dan undang-undang Syariah, cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355), pengurusan dan penstrukturan Mahkamah Syariah, latihan hakim dan pegawai Syariah, pendidikan undang-undang Syariah, hal ehwal Peguam Syarie serta penguatkuasaan dan pendakwaan.

Sebanyak  7  Kluster telah ditubuhkan bagi membantu Jawatankuasa Pemandu dan Jawatankuasa Induk seperti  berikut :

(i)     Kluster Pengharmonian Antara Undang-Undang Sivil dan Undang-Undang Syariah;

(ii)          Kluster Cadangan Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355);

(iii)         Kluster Pengurusan dan Penstrukturan Mahkamah Syariah;

(iv)         Kluster Latihan Hakim dan Pegawai Syariah;

(v)          Kluster Pendidikan Undang-Undang Syariah;

(vi)         Kluster  Hal Ehwal berkaitan Peguam Syarie; dan

(vii)        Kluster Penguatkuasaan dan Pendakwaan."

Kesimpulannya, Kerajaan  sekarang menumpukan kepada aspek  pengharmonian antara undang-undang syariah dan sivil,   kompetensi hakim dan pendakwa syarie, dan  aspek tadbir urus dan prasarana Mahkamah Syariah daalam usaha meningkatkan dan memperkasakan Mahkamah Syariah . Manakala pindaan kepada Akta 355  bagi meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah tidak diutamakan.  

Kesemua perkara keutamaan olleh Kerajaan sekarang  untuk  memperkasakan Mahkamah Syariah sebenrnya telah diusahakan oleh Kerajaan terdahulu.  Malah usaha Kerajaan terdahulu adalah lebih holistik  dan termasuk untuk meinda Akta 355 dengan bidang kuasanya.  Penulis ingin menegaskan bahawa pendekatan yang disebut oleh Menteri itu lebih holistik adalah persepsinya  sahaja  dan alasan untuk menjustifikasikan tidak meminda Akta 355.. Pendekatan holistik ini juga dibuktikan dalam jawapan-jawapan terdahuu seperti berikut:-.

”..Penelitian juga dibuat bagi penggubalan peruntukan undang-undang jenayah Syariah yang lengkap, komprehensif dan seragam antara negeri-negeri.”

” .. Dalam masa yang sama, Kerajaan  negeri perlu memandang serius terhadap prinsip keadilan dan kesaksamaan dalam penghukuman. Pelaksanaan undang-undang jenayah Syariah memerlukan tahap pembuktian yang tinggi dan penuh ketelitian sebelum hukuman itu dijatuhkan. Sebarang keraguan yang berjaya ditimbulkan atau prima facie gagal dibuktikan akan menyebabkan hukuman jenayah Syariah itu tidak akan dikenakan terhadap tertuduh. ”

”Dalam hal ini, Kerajaan Persekutuan sentiasa berusaha bagi memastikan undang-undang jenayah Syariah dilaksanakan termasuk memperluaskan bidang kuasa Mahkamah Syariah, menaik taraf sistem kehakiman Syariah dan menyemak semula kedudukan Hakim-Hakim Mahkamah Syariah. ”  [Jawapan bertulis kepada pertanyaan lisan: -YB Sabak Bernam DR-11.6.2014; dan YB Pendang   (DR-27.10.2014)”

Berkaitan Jawatankuasa Memperkasakan Mahkamah Syariah (JKMMS) tersebut,  Penulis tidak pasti sama ada ia diteruskan atau sebaliknya atau   mungkin juga akan dijenamakan semula dengan peneraju-peneraju yang baharu.  Walau bagaimana pun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri  menyatakan  Setakat ini belum ada keperluan untuk membentuk jawatankuasa baharu RUU355. Kerajaan kini melihat Mahkamah Syariah dalam kerangka lebih holistik dari segi hakim, penguatkuasaan dan infrastruktur, perkara ini jadi keutamaan kita. Sekadar RUU355, itu belum menentukan Mahkamah Syariah dapat diperkasakan,” katanya dalam sidang media selepas program Majlis Dialog anjuran Badan Bukan Kerajaan Pertubuhan Prihatin Rakyat Kelantan (PRIKEL) pada 8 Ogos 2018.[ Laporan Berita on-ine, 9 Ogos 2018].

Berdasarkan jawapan dan kenyataan terkini tersebut dan kenyataan-kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri serta pendirian parti-parti politik dalam Kerajaan khususnya DAP, penulis merasakan Kerajaan PH tidak akan berusaha untuk meminda Akta 355. Maka disinilah noktahnya usaha meminda Akta 355  !!!

No comments:

Post a Comment

SUATU CATATAN - ANTARA “PAK SHEIKH” YANG KU SANJUNG DAN PM 10 YANG MENYINGKIRKAN KU....

  Menelusuri ingatan 45 tahun yang lalu, semasa penulis berusia sekitar 20’an yang penuh semangat dalam persekitaran dakwah dan harakah dise...