Tuesday, 7 August 2018

ISU PINDAAN AKTA 355 : MENTERI AGAMA TIDAK TAHU BEZA ANTARA USUL DAN RUU AHLI PERSENDIRIAN.


Semasa penggulungan perbahasan Usul Titah Diraja di Dewan Rakyat pada 6 Ogos 2018, Menteri  di Jabatan Perdana Menteri (Agama)  telah menjawab celahan  oleh Ahli Parlimen Kota Bharu, yang bertanya sama ada Kerajaan sekarang akan  meminda  Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 [Akta 355],  kerana semasa Menteri sebagai pembangkang sebelum ini pernah mencadangkan supaya pihak Kerajaan BN yang meminda Akta 355 dan bukannya melalui RUU Ahli Persendirian.  Jawapan Menteri adalah seperti berikut:

“…Apa yang disebutkan oleh sahabat saya Yang Berhormat Kota Bharu, pertama yang dikatakan kerajaan perlu ambil waktu itu ialah semasa kami di sebelah sana sebab kami menganggap bahawa isu RUU 355 ini jika dikendalikan dengan lebih kita kata teratur, sebab kita ada jawatankuasa roadmap yang telah ditubuhkan antara Kerajaan Negeri Kelantan dengan Kerajaan Pusat waktu itu di bawah Barisan Nasional. Saya kira landasan itu sudah jelas menunjukkan bagaimana kita harus menangani isu ini.  Akan tetapi tiba-tiba muncul satu rang undang-undang persendirian yang lari daripada road map yang telah kita bincang dahulu sebab itu bagi pihak kami waktu itu Yang Berhormat, kami merasakan elok kalau betul serius perkara ini hendak dilaksanakan maka hendaklah diserahkan kepada kerajaan supaya dibuat dengan tertib dan teratur. Sebagai rekod untuk memberi keadilan kepada isu ini yang pernah kita bahas dua tahun panjang perkara ini, saya sendiri telah mengemukakan rang undang-undang peribadi tetapi tidak diterima iaitu rang undang-undang peribadi kepada isu memperkasakan Mahkamah Syariah secara holistik. Sekarang kami telah menjadi kerajaan dengan sokongan rakyat maka sudah tentulah idea-idea itu kami akan cuba terapkan dan kami lebih melihat Yang Berhormat isu pemerkasaan Mahkamah Syariah ini dengan cara yang lebih holistik, insya-Allah.[Hansard DR - 6.8.2018, ms 119]

Penulis merasakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri tidak faham atau keliru antara Usul Persendirian dan RUU Ahli Persendirian. Sebenarnya Menteri ketika sebagai pembangkang pernah mengemukakan  Usul Persendirian di bawah  PM 27(3) dan bukan Rang Undang-undang Ahli Persendirian.  Usul Persendirian itu  bertarikh 21 Februari 2017, yang mencadangkan: beberapa langkah untuk memperkasakan Mahkamah Syariah dan menubuhkan Jawatankuasa Khas untuk mengkajinya.

Usul Persendirian beliau telah di tolak oleh Yang di-Pertua Dewan   setelah berpuashati dengan penjelasan Kerajaan    yang   dari semasa ke semasa, sedang dalam tindakan aktif untuk memperkasakan institusi kehakiman Syariah dan  juga sentiasa berusaha  serta mengambil langkah-langkah yang positif dalam melaksanakan hukum Islam.  Maka Kerajaan ketika itu, berpandangan tiada keperluan penubuhan satu jawatankuasa khas seperti yang diusulkan oleh Ahli Parlimen Parit Buntar, memandangkan usaha-usaha tersebut telah pun dilaksanakan oleh Kerajaan keika itu  melalui kerjasama JKSM dengan pelbagai agensi lain seperti  JAKIM,  Jabatan Peguam Negara dan Majlis Agama Islam Negeri-negeri.  Oleh  itu,   usul beliau telah tidak disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat.

Tetapi semasa penggulungan tersebut, Menteri di Jabatan Perdana Menteri telah menyatakan beliau  pernah mengemukakan RUU Ahli Persendirian (Private Member’s Bill), yang disebut sebagai  Rang Undang-undang peribadi, pada hal beliau hanya mengemukakan Usul Persendirian.   

Sesungguhnya  Usul Persendirian dan RUU Ahli Persendirian (Private Member’s Bill) adalah  dua perkara yang amat berbeza.   Usul Persendirian adalah usul mengenai perkara-perkara atau isu-isu yang dicadangkan oleh Ahli Parlimen bukan ahli Kerajaan mengikut Peraturan Mesyuarat 27(3) dengan notis 14 hari.   Manakala  RUU Ahli Persendirian pula ialah cadangan mewujudkan undang-undang baharu atau pindaan terhadap Akta sedia ada yang berkaitan kepentingan awam dan dikemukakan oleh Ahli Parlimen bukan  ahli Kerajaan mengikut Peraturan Mesyuarat 49.  RUU Ahli Persendirian hendaklah  dikemukakan melalui Usul Persendirian  mengikut Peraturan Mesyuarat 27(3) dengan notis 14 hari berserta dokumen RUU yang dikenali sebagai “Blue Bill” dalam  kedua-dua bahasa (Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris).

Oleh yang  demikian, Menteri di Jabatan Perdana Menteri boleh ditakrifkan sebagai mengelirukan Dewan sebagaimana  peruntukan  Peraturan Mesyuarat  [PM 36(12)]  iaitu  Ahli tidak boleh mengelirukan Dewan dan ia  disifatkan menghina Majlis dan ahli itu boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.  Maka terpulanglah kepada Ahli Parlimen  yang berkepentingan untuk membangkitkan perkara ini sama ada melalui “point of order” atau usul bertulis.

Suatu pandangan jua.


Putra Nilai, 7  Ogos 2018.



No comments:

Post a Comment

KEJANGGALAN BAJET 2025!!!

Setelah tiga kali Perdana Menteri 10 membentangkan Belanjawan/Bajet Tahunan, inilah kali pertama penulis mengikuti sepenuhnya pembentangan B...