Sunday, 15 July 2018

PERSIDANGAN PERTAMA DI MESYUARAT PERTAAMA PENGGAL PERTAMA PARLIMEN KE-14: – PERLANTIKAN YANG DI-PERTUA DEWAN RAKYAT – ADAKAH SAH?


Persidangan  pada hari ini, 16 Julai 2018  di Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen Ke-14  akan berlangsung selama 20 hari hingga 16  Ogos 2018,  amat dinantikan oleh semua pihak.  Ini kerana  ia adalah sejarah apabila pihak pembangkang sebelum ini atas nama Pakatan Rakyat yang berubah nama kepada Pakatan Harapan telah berjaya membentuk Kerajaan setelah memperolehi majoriti mudah.  Secara peribadi  bagi penulis, persidangan ini adalah yang pertama   selepas penulis bersara sebagai penjawat awam pada 9 Julai 2018 yang lalu.  Jika sebelum ini, selama dua dekad, penulis mengikuti persidangan pertama setiap  Majlis selepas PRU 10, 11, 12 dan 13 di dalam Dewan Rakyat secara dekat, tetapi pada hari ini penulis mengikuti melalui siaran langsung di TV dan juga  melalui internet dari pukul 10 pagi hingga selesai – 1. 15 tenghari.   Oleh kerana setelah sekian lama urusan Parlimen mendarah daging degan penuh penghayatan dan kesetiaan, adalah amat sukar untuk penulis meninggalkan terus hal-hal yang berkaitan persidangan  Parlimen.  Walaupun suasana yang dirasai adalah berbeza antara duduk dalam Dewan dengan melihat dari kaca TV/internet, namun penulis mecatatkan apa yang berlaku di Parlimen pada hari ini seperti yang penulis lakukan selama 20 tahun (1998- 2018).

Sidang pada hari ini bermula dengan  bacaan doa, dan seterusnya Setiausaha Dewan Rakyat telah membaca Proklamasi Memanggil Parlimen  oleh Yang di-Pertua Agong. Seterusnya, ketika Setiausaha Dewan Rakyat  untuk meneruskan urusan pelantikan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, pada jam 10.10 pagi, berlaku sedikit kekecohan  apabila Ahli Parlimen Kota Bharu dan beberapa Ahli yang lain bangun untuk membangitkan Peraturan Mesyuarat  (point of order), namun Setiausaha meneruskan dengan   memklumkan  bahawa pihaknya telah menerima surat dan Usul Pelantikan Yang di-Pertua Dewan Rakyat dari Perdana Menteri bertarikh  2  Julai 2018 dan seterusnya memanggil Perdana Menteri untuk membacakan usul mencadangkan Dato’ Mohamad Arif  Md Yusof sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan telah memastikan bahawa beliau bersetuju untuk berkhidmat  sebagai Yang di-Pertua dan usul di sokong oleh Timbalan Perdana Menteri.   Ketika itu, lebih kurang pukul 10.24 pagi, Ahli-ahli Parlimen Pembangkang telah keluar Dewan menunjukkan bantahan atau tidak menyokong /membantah, dan kelihatan  Ahli Parlimen Rembau tidak keluar Dewan. Oleh kerana tiada  nama lain dicadangkan, maka Setiausaha telah memasyhurkan Dato’ Mohd Arif  Md Yusof sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat.   

Seterusnya Ahli-ahli Parlimen Kerajaan PH telah mengangkat sumpah yang di mulai oleh Perdana Menteri , Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan seterusnya ahli-ahli Parlimen PH yang lain.   Ahli-ahli Parlimen Pembangkang telah masuk semula ke dalam dewan mulai pukul 11. 20 dan seterusnya pada pukul 11.44 pagi pihak pembangkang telah mengangkat sumpah yang diumuai oleh Ahli Parlimen  Bagan Datok, diikuti  Pekan, Tanjong Semberong, Jeli, Ketereh dan seterusnya Ahli parlimen BN yang lain.  Pada pukul 12.22,. Ahli-ahli Parlimen PAS  telah mengangkat sumpah dimulai oleh Ahli Parlimen Marang dan seterusnya oleh ahli-ahli Parlimen PAS yang lain dan berselang seli dengan Ahli-ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak dan seterusnya diakhiri oleh Ahli-ahli Parlimen Bebas iaitu Bagan Serai, Bukit Gantang dan Masjid Tanah.

Suasana ini telah mengulangi sejarah pada 20 Disember 1999, di mana Ahli-ahli Parlimen Pembangkang seramai 42 orang  telah keluar Dewan  kerana membantah pelantikan Yang di- Pertua  yang di katakan tidak memenuhi notis 14 hari mengikut Peratuuran Mesyuarat 4.  Penulis merasakan ini sebagai titik mula yang baik sebagai pembangkang yang aktif dan kelihatan ada keserasian antara Ahli-ahli Parlimen Pembangkang BN dan PAS.  Kebimbangan pihak pembangkang adalah berasas mengenai tempoh notis 14 hari yang mungkin tidak dipenuhi oleh pihak Kerajaan walaupun dinyatakan pihak Setiuasaha telah menerima surat   dari Perdana Menteri yang bertarikh  2 Julai 201.  Ini kerana pada 2 Julai yang lalu, Setiausaha Dewan sebagaimana dilaporkan oleh akhbar menyatakan pihaknya belum dimaklumkan mengenai cadangan nama Yang di-Pertua Dewan.   Seterusnya  pihak Kerajaan PH ada memklumkan pihaknya akan berbincang pada 7 Julai yang lalu.  Keadaan ini menyimpulkan bahawa cadangan tersebut tidak memenuhi tempuh notis namun ramai beranggapan surat kepada Setiausaha di kebelangkan tarikhnya kepada 2 Julai 2018.

Sesuatu yang menarik, bahawa isu pelantikan Dewan Rakyat dipertikaikan telah berlaku sebanyak dua kali  dalam sejarah Persidangan Parlimen  berlaku di bawah pentadabiran Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri pada tahun  1999 dan sekali lagi pada hari ini  setelah beliau  telah dilantik semula sebagai Perdana Menteri apabila PH yang dipimpinnya berjaya menumbangkan BN pada PRU 14 yang lalu.

Seterusnya sekitar jam 12.45 tengaharil,  Yang di-Pertua menjalankan urusan pemilihan  pemilihan dua orang  Timbalan Yang di-Pertua dengan menyatakan  pihaknya menerima  dua surat  iaitu dari Perdana Menteri bertarikh 2 Julai 2018 dan  Ahli Parlimen Bagan Datok  juga bertarikh 2 Julai 2018.  Perdana Menteri mencadangkan YB Datuk Haji Rashid Abdul (Batu Pahat) dan YB Nga Khor Meng (Teluk Intan).  Manakala Ahli Parlimen Bagan Datok Mencadangkan  YB Datuk  Ronald Kiandee (Beluran).   Yang di-Pertua telah mengarahkan undi bersurat bagi memilih dua orang Timbalan Yang di-Pertua sebagaimana peruntukan Perkara 57(3) Perlembagaan Persekutuan, Peraturan Mesyuarat 4(3) dan Perturan Mesyuarat 6(1), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat. Sebelum pengundian bermula, Ahli Parlimen Kuala Krau minta penjelasan,  adakah sah sekiranya hanya satu nama sahaja yang dicadangkan dalam kertas undi. Dan Yang di-Pertua menjawab - sah.  Keputusannya adalah :
YB Datuk Haji Mohd  Rashid Hasnol (Batu Pahat) – 191 undi
YB Nga Khor Meng (Teluk Intan)- 124 undi 
YB Dato’ Seri Dr  Ronald Kiandee (Beluran).- 93 undi.


Urusan terakhir pada sidang  hari ini  ialah  usul keselamatan oleh Kementerian Dalam Negeri oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri dan disokong oleh Tumpat.  Ketika ini  terdengar suara minta kebenaran “ Peraturan Mesyuarat” oleh seorang Ahli Parlimen tetapi tidak diindahkan oleh Yang di-Pertua.   Penulis mengharapkan Peraturan Mesyuarat 4 akan dibangkitkan pada hari Rabu, 18 Julai nanti bagi mempertikaikan bagi mendaapatkan penjelasan Yang d-Pertua mengenai perakara tersebut.  Apa yang jelas setakat ini adalah kenyatan “ surat Perdana Menteri  pada 2 Julai 2018” dipertikiaikan dan mungkin tarikh yang dibelakangkan.  Ini adalah penting bagi pihak pembangkang untuk membuktikan berlakunya ketidak patuhan Peraturan Mesyuarat walaupun ia sukar dibuktikan.


Sebagai penutup, penulis  petik catatan penulis pada 20 Disember 1999 sebagai perbandingan:-

“  Sejurus selepas bacaan doa dan Setiausaha Dewan Rakyat membacakan Perisytiharan Memanggil Parlimen Kesepuluh, Y.B. Pendang (Ketua Pembangkang) telah bangun mencelah. Berkali-kali Setiausaha menegurnya supaya duduk kerana belum ketikanya berucap. Y.B. Pendang tetap berucap dan menyatakan sidang ini tidak sah kerana pengisytiharan Memanggil Parlimen dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong sebelum kabinet baru dibentuk. Setiausaha Dewan menjelaskan ia adalah sah. Y.A.B. Perdana Menteri bangun mencelah dan menegaskan adalah menjadi tugasnya menasihatkan Agong. Pada masa itu, walaupun Jemaah Menteri belum dibentuk, tetapi Kerajaan yang ada adalah sebagai caretaker goverment. Keadaan semakin bising dan Setiausaha Dewan Rakyat meneruskan aturan urusan dengan pelantikan Yang di-Pertua.


            Sekali lagi Y.B. Pendang dan Kuala Kedah serta diikuti oleh Y.B. Bukit  Mertajam bangun mempersoalkan pelantikan Yang di-Pertua yang didakwa tidak cukup notis 14 hari. Walaupun penjelasan diberi, namun mereka tidak berpuas hati dan akhirnya meninggalkan dewan pada jam 11.00 pagi. Yang di-Pertua meneruskan sidang dengan angkat sumpah.  Namun akhirnya lebih kurang 11.45 pagi mereka masuk kembali untuk mengangkat sumpah.  Sekiranya tidak angkat sumpah, mereka tidak boleh menjalankan tugas di dalam dewan, malah tidak boleh menerima segala kemudahan-kemudahan sebagai Ahli Parlimen.”


Sri Medan, Batu Paahat, Johor,
16 Julai 2018, 1.30 tgh


No comments:

Post a Comment

KEJANGGALAN BAJET 2025!!!

Setelah tiga kali Perdana Menteri 10 membentangkan Belanjawan/Bajet Tahunan, inilah kali pertama penulis mengikuti sepenuhnya pembentangan B...