Saturday, 31 July 2021

PRNANGGUHAN SIDANG 2 OGOS 2021: ADAKAH TERATUR?

 Pemberitahu oleh Setiausaha Dewan Rakyat (SUDR) bertarikh 30 Julai 2021 berbunyi "Pejabat Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah dimaklumkan oleh YAB Perdaana Menteri bahwa persidangan Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 bagi Dewan Rakyat pada Isnin, 2 Ogos 2021 ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak.  Pemakluman  ini dibuat oleh YAB Perdana Menteri selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11(3), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat".

Ayat  "ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak" secara mudah bermaksud persidangan 2 Ogos 2021 itu ditangguhkan dan akan diadakan pada suatu tarikh yang akan ditetapkan. Adakah benar begitu?  Apa yang pasti persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat  Parlimen Ke-14 akan bermula pada 6  hingga 30 September 2021.  Tempoh pemberitahu/notis mengenainya hendaklah 28 hari, bermakana awal Ogos akan dikeluarkan oleh SUDR.  Justru penulis menanggapi bahawa  sidang khas yang ditangguhkan tidak mungkin diadakan sebelum 6 Sept. 

Peraturan Mesyuarat 11(3) adalah berbunyi:  "(3) Pada masa Majlis dalam tangguhan jika Perdana Menteri memaklumkan kepada Tuan Yang di-Pertua iaitu bagi faedah orang ramai mustahak Majlis mengadakan mesyuarat dahulu daripada  Persidangan. tarikh yang telah ditetapkan, maka Tuan Yang diPertua hendaklah dengan serta-merta mengeluarkan pemberitahu menyatakan berapa hari bulan hendak diadakan mesyuarat itu dan Majlis hendaklah mengadakan mesyuarat pada masa yang disebutkan dalam pemberitahuan itu. Urusan-urusan bagi hari itu hendaklah ditetapkan oleh Perdana Menteri dan pemberitahuan berkenaan dengan urusan itu hendaklah dihantar kepada ahli-ahli tidak lewat daripada masa hendak diadakan mesyuarat itu.". Ini  bermakna sidang khas yang ditangguhkan itu hendaklah diadakan sebelum persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-14, pada 6 September 2021.  Seolah-olah sidang yang ditangguhkan itu perlu dengan suatu tarikh yang akan ditetapkan.

Walau bagaimanapun, penulis berpandangan penggunaan istilah ditangguhkan adalah tidak tepat.  Adalah lebih wajar istilah "tiada sidang " atau sekurang-kurangnya  istilah  " dibatalkan " digunakan.  Ini kerana istilah ini  membawa makna  bahaewa sidang itu tidak perlu diadakan lagi.  Takrifan ini, penulis rasakan lebih menepat kehendak Peraturan Mesyuarat 11(3), dimana peraturan ini membenarkan Perdana Menteri menetapkan tarikh bagi mesyuarat dalam tangguhan yang dikenali sebagai Mesyuarat Khas, maka Perdana Menteri juga boleh meniadakan atau membatalkan sidang tersebut tanpa perlu menggantikan tarikh yang lain.

Amalan selama ini di dalam persidangan Dewan ialah  istilah "menangguhkan kepada hari...atau tarikh..." sekiranya masih dalam tempoh sesuatu Mesyuarat.  Sekiranya pada hari/persidangan terakhir dalam sesuatu Mesyuarat pula, akan disebut "ditangguhkan kepada suatu tarikh yang tidak ditetapkan ",  yang dipanggil sebagai  sine die. Walhal tarikh persidangan pada Mesyuarat berikutnta telah pun ditetapkan dalam Takwim Parlimen sesuatu Penggal Parlimen (Tahun).

Sesuatu yang janggal apabila "mesyuarat dalam tangguhan" ditangguhkan, kerana justifikasinya ialah " bagi faedah orang ramai mustahak Majlis mengadakan mesyuarat dahulu daripada  Persidangan. tarikh yang telah ditetapkan".  Dengan demikian, ia akan mengundang persepsi bahawa Kerajaan tidak serius dan "main-main" dalam melaksanakan "mesyuarat dalam tangguhan".  Sewajarnya menggunakan istilah "ditiadakan" atau "dibatalkan" sidang.    Walau apapun, ketiga-tiga istilah itu {ditangguhkan / ditiadakan / dibatalkan) membawa makna fizikal yang sama iatu Dewan tidak akan bersidang pada 2 Ogos 2021.

Dalam ingatan penulis, tidak pernah disebut "ditangguhkan kepada suatu tarikh yang akan ditetapkan". Ini adalah terlalu teknikal, tiada sesiapa yang tahu, perasan dan memperdulikannya.  Penulis amat memperdulikannya kerana setelah sekian lama denyutan nadi penulis seolah-olah senafas dan sederaf dengan denyutan nadi Parlimen.

"Ditangan kananku, tertulis Dewan Rakyat,  ditangan kiriku tertera Dewan Negara,  didadaku terungkap Parlimen Malaysia."

Catatan Denyut Nadi Parlimen,

Jenderam Hulu, 

1 Ogos 2021`.

No comments:

Post a Comment

KEJANGGALAN BAJET 2025!!!

Setelah tiga kali Perdana Menteri 10 membentangkan Belanjawan/Bajet Tahunan, inilah kali pertama penulis mengikuti sepenuhnya pembentangan B...