Monday 5 July 2021

ISTILAH “MESYUARAT KHAS“ TIADA DALAM PERATURAN MESYUARAT?

 

FMT (6 Julai 2021)  melaporkan “Istilah ‘mesyuarat khas Dewan Rakyat mengelirukan, kata Ahli Parimen PKR”, dimana  Ahli Parlimen Pasir Gudang mempersoalkan istilah “mesyuarat khas” yang digunakan Kerajaan bagi Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 (2021) yang akan bersidang 26 Julai hingga 2 Ogos 2021.  Beliau berkata “ dalam Peraturan Mesyuarat atau Standing Oder serta Perlembagaan Persekutuan, tidak disebut mesyuarat khas dan mesyuarat biasa”.  Beliau juga menyatakan perkara ini tidak disebut dalam Pertauran Mesyuarat (PM) 98, Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Memang betul dalam PM 98  mengenai “ definisi” tidak dinyatakan istilah “mesyuarat khas” tetapi disebut istilah persidangan, mesyuarat dan penggal Parlimen seperti berikut:

“persidangan” ertinya ialah tempoh dijalankan persidangan Majlis dengan tidak berhenti-henti (termasuk masa ditempohkan persidangan) dan termasuklah tempoh Majlis bersidang sebagai Jawatankuasa;

“mesyuarat” ertinya persidangan atau persidangan-persidangan Majlis bermula daripada Majlis bermesyuarat pertama kalinya selepas dipanggil mesyuarat pada bila-bila masa jua, dan habisnya apabila Majlis ditangguhkan selama lebih daripada empat belas hari atau dengan tidak ditentukan hari bulan mesyuarat akan datang, atau setelah tamat sesuatu penggal Parlimen;

“penggal Parlimen” ertinya ialah persidanganpersidangan Majlis mula daripada permulaan Majlis bermesyuarat selepas ditubuhkan Majlis atau selepas diberhentikan atau dibubarkan Parlimen pada bila-bila masa jua; dan habisnya apabila Parlimen diberhentikan atau dibubarkan dengan tidak diberhentikan terlebih dahulu.


Ringkasnya persidangan adalah merujuk kepada hari-hari bersidang, mesyuarat pula merujuk kepada himpunan jumlah hari bersidang seperti Mesyuarat Pertama/ Mesyarat Kedua, dan penggal Parlimen merujuk kepada beberapa mesyuarat yang dhimpunkan (biasanya mengikut tahun).

Istilah tersebut diaplikasikan dalam penentuan jadual persidangan yang di panggil Takwim Parlimen yang disediakan oleh pihak Perdana Menteri selaku Ketua Majlis setiap Penggal Parlimen yang biasanya mengikut tahun. Dimana  Peraturan Mesyuarat 11(2), Ketua Majlis atau Timbalan Ketua Majlis hendaklah menentukan tarikh-tarikh persidangan dalam tempoh 28 hari sebelum hari persidangan setiap penggal Parlimen dan boleh mengubah tarikh-tarikh itu dari masa ke semasa. Disinilah wujudnya istilah-istilah tersebut, misalnya Mesyuarat Pertama/Kedua/Ketiga Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14 (2020).

Manakala Peraturan Mesyuarat 11(3) pula membolehkan Ketua Majlis atau Timbalan Ketua Majlis memanggil mesyuarat semasa majlis “dalam tangguhan” iaitu tempoh satu mesyuarat dengan mesyuarat yang berikutnya.  Maksudnya apabila persidangan dalam Majlis Mesyuarat Parlimen ditangguhkan “ sine die “ ( kesuatu tarikh yang tidak ditetapkan)  dan sebelum persidangan Majlis Mesyuarat Parlimen berikutnya. Di peringkat inilah, sekiranya ada keperluan yang mendesak,  pihak Ketua Majlis boleh memanggil “mesyuarat semasa majlis dalam tangguhan” yang secara amalannya disebut sebagai “mesyuarat khas”.   Walaupun istilah “mesyuarat khas” tidak disebut dalam peraturan mesyarat, tetapi ia adalah manifestasi dari peraturan mesyuarat.

Disini penulis menyenaraikan penggunaan istilah Mesyuarat Khas Parlimen yang telah diamalkan dalam sejarah persidangan Mesyuarat Parlimen.

 

1.  Mesyuarat Khas Parlimen Pada 17 – 19 Januari 2005 Dalam Penggal Pertama, Parlimen Kesebelas Bagi Meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2005

 

Mesyuarat Khas Parlimen yang bersidang pada 17 dan 18 Januari 2005 bagi Dewan Rakyat dan 19 Januari 2005 bagi Dewan Negara dalam Penggal Pertama, Parlimen Kesebelas adalah untuk membentangkan dan meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2005 bagi meminda senarai bersama untuk memberi kuasa Kerajaan Persekutuan ke atas pengurusan air dan warisan yang terletak di bawah kuasa Kerajaan Negeri. 

 

2.    Mesyuarat Khas Parlimen – Usul Mengecam Keganasan Israel

 

Mesyuarat Khas Parlimen telah diadakan pada 7 Januari 2009 pada pukul 2.30 petang bagi membahaskan  usul mengecam prncerobohan Israel Ke atas Wilayah Palestin. Dalam  Pemasyhuran Mesyuarat Khas, Yang di-Pertua menyebut.

“Tuan Yang di-Pertua: Ahli-ahli Yang Berhormat, dengan segala hormatnya ingin saya maklumkan bahawa Yang Amat Berhormat Perdana Menteri selaku Ketua Majlis Dewan Rakyat telah memaklumkan kepada saya pada 7 Januari 2009 supaya diadakan satu Mesyuarat Khas pada hari ini selaras dengan peruntukan Peraturan Mesyuarat 11(3). Inisiatif Yang Amat Berhormat Perdana Menteri serta kerajaan menunjukkan betapa Kerajaan Malaysia memandang serius pergolakan dan keganasan yang sedang berlaku ke atas Wilayah Palestin di Gaza. ….”

 

3.    Mesyuarat Khas Parlimen Pada 23 Julai 2014 – Nahas Pesawat MH17

 

Berikutan nahas pesawat MAS MH17 dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014, satu Mesyuarat Khas Dewan Rakyat telah diadakan pada hari  Rabu, 23 Julai 2014.  Mesyuarat ini diadakan mengikut peruntukan Peraturan Mesyuarat 11(3) dan notis telah dikemukakan oleh YAB  Perdana Menteri selaku Ketua Majlis Dewan Rakyat kepada Yang di-Pertua  pada 18 Julai 2014. Tujuan mesyuarat adalah bagi  membahaskan tragedi malang yang menimpa pesawat MAS MH17 tersebut.

 

4.    Mesyuarat Khas Parlimen - Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA)

Mesyuarat Khas bagi membahaskan Usul Penyertaan Malaysia Dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA)  di Dewan Rakyat diadakan dua hari iaitu pada 26 dan 27 Januari 2016 dan di. Dewan Negara pula pada 28 Jan 2021.  Mesyuarat khas ini amat penting dan mendesasak untuk memutyskan usul tersebut yang menentukan dasar dan hala tuju perdagangan antarabangsa.

 

5.  Mesyuarat Khas “Pemilihan Perdana Menteri 2020” Di panggil Oleh Perdana Menteri Interim Tetapi Ditolak Oleh Yang di-Pertua.

 

Istilah mesyuarat khas ini juga timbul semasa kemelut politik 2020 yang menyaksikan tumbangnya kerajaan yang diterajui oleh PH.  Dimana  pada 28 Febuari 2020 (Jumaat) telah tersebar kenyataan Yang di-Pertua Dewan Rakyat bahawa Mesyuarat Khas pada 2 Mac 2020 tidak dipanggil kerana surat Pedana Menteri Interim tidak meyertakan usul dan juga tidak memenuhi Peraturan Meyuarat 12.  Pada sebelah petang kenyataan media Yang di-Pertuan Agong berkenan dengan keputusan Yang di-Pertua Dewan Rakyat serta menyatakan pada hemah baginda tidak mendapati majoriti yang jelas setelah menemubual Ahli-ahli Dewan dan akan berjumpa dengan ketua parti-parti politik untuk mendapatkan pencalonan nama Perdana Menteri

 

Dalam hal ini, tiada peruntukan dalam Perlembagaan untuk membolehkan Dewan Rakyat memutuskan atau mengundi calon Perdana Menteri. . Malah dalam Peraturan Mesyuarat, tiada peruntukan khusus mengenai usul pemilihan Perdana Menteri kecuali pemilihan Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Timbalannya. Malah persoalan juga timbul mengenai kesahan Perdana Menteri Interim   sebagai Ketua Majlis untuk memanggil Mesyuarat Parlimen mengikut Peraturan Mesyuarat 12.  

Ahli Parlimen Pasir Gudang juga menyebut “ Parlimen hanya boleh dianggap bersidang semula jika ia dibuka dan bersidang dengan kehadiran Ahli Parlimen secara fizikal berpandukan Peraturan Mesyuarat sedia ada”.  Disini juga beliau keliru, dan penulis percaya beliau merujuk “ dibuka” itu kepada pembukaan Penggal Parlimen yang baharu, dimana  Penggal Keempat Parlimen Ke-14 dijangka diadakan sekitar bulan September/Oktober seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri.

Kesimpulannya, penggunaan istilah “mesyuarat khas” adalah amalan yang bersumberkan “mesyuarat dalam tangguhan” mengikut Peraturan Mesyuarat 11(3), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Jenderam Hulu,

6 Julai 2020, 11.00 am

 

No comments:

Post a Comment

SUATU CATATAN - ANTARA “PAK SHEIKH” YANG KU SANJUNG DAN PM 10 YANG MENYINGKIRKAN KU....

  Menelusuri ingatan 45 tahun yang lalu, semasa penulis berusia sekitar 20’an yang penuh semangat dalam persekitaran dakwah dan harakah dise...