Friday 16 July 2021

KEKELIRUAN KEFAHAMAN SIDANG KHAS DEWAN RAKYAT SEMASA MESYUARAT KHAS DARI 26 JULAI HINGGA 2 OGOS 2021

 Terlebih dagulu, penulis ingin memberi kefahaman mengenai istilah persidangan, mesyuarat  dan penggal Parlimen. mengikut Peraturan Mesyuarat 98, Peraturan-peraturan Majlis Dewan Rakyat.

“persidangan” ertinya ialah tempoh dijalankan persidangan Majlis dengan tidak berhenti-henti (termasuk masa ditempohkan persidangan) dan termasuklah tempoh Majlis bersidang sebagai Jawatankuasa;

“mesyuarat” ertinya persidangan atau persidangan-persidangan Majlis bermula daripada Majlis bermesyuarat pertama kalinya selepas dipanggil mesyuarat pada bila-bila masa jua, dan habisnya apabila Majlis ditangguhkan selama lebih daripada empat belas hari atau dengan tidak ditentukan hari bulan mesyuarat akan datang, atau setelah tamat sesuatu penggal Parlimen;

“penggal Parlimen” ertinya ialah persidanganpersidangan Majlis mula daripada permulaan Majlis bermesyuarat selepas ditubuhkan Majlis atau selepas diberhentikan atau dibubarkan Parlimen pada bila-bila masa jua; dan habisnya apabila Parlimen diberhentikan atau dibubarkan dengan tidak diberhentikan terlebih dahulu.

Ringkasnya persidangan adalah merujuk kepada hari-hari bersidang, mesyuarat pula merujuk kepada himpunan jumlah hari bersidang seperti Mesyuarat Pertama/ Mesyarat Kedua, dan penggal Parlimen merujuk kepada beberapa mesyuarat yang dhimpunkan (biasanya mengikut tahun).

Seterusnya, merujuk kepada Ulasan: Pastikan sidang khas parlimen bukan gimik politik oleh Fakhrurrazi Rashid yang dilaporkan oleh Malaysiakini pada 17  Julai 2021, 8:28 am,  telah  mempersoalkan beberapa perkara.  Disini penulis ingin membuat huraian berdasarkan kefahaman dan pengalaman penulis.

·         Sidang itu hanya menumpukan penerangan daripada pada menteri selama lima hari.

Berdasarkan pemberitahu Mesyuarat Khas ini hanyalah untuk urusan mengikut Peraturan Mesyuarat 14(1)(i) iaitu penerangan daripada Menteri-menteri.   Mengikut peraturan dan amalannya, ia hanya penerangan satu hala oleh pihak Menteri tanpa ada perbahasan bahkan tidak dibenarkan clahan meminta penjelasan. Tetapi kali ini, Yang di-Pertua Dewan Rakyat membenarkan permohonan Ketua Majlis (Pedana Menteri) bagi  membenarkan ahli-ahli Parlimen memberi pandangan dan minta penjelasan semasa penerangan tersebut.  Walau bagaimanapun, tidak perlu diputuskan, bermakna tiada undian sama ada undian suara atau belahbahagia.

Dengan demikian urusannya hanya penerangan daripada Menteri-menteri mengenai Pelan Pemulihan Negara, tindakan menangani pandemik COVID-19, Program Vaksinasi, pakej-pakej bantuan ekonomi dan pelaksanaan darurat 2021.  

·         Adakah ini bermaksud perbahasan dan proses pengundian ke atas Pelan Pemulihan Negara (PPN), Ordinan Darurat, dan pelaksanaan parlimen hibrid tidak akan berlaku pada 26 Julai?

Dalam pemberitahu  telah dinyatakan urusan membentangkan Proklamasi Darurat bertarikh 11 Januari 2021 dan Ordinan-ordinan Darurat 2021 dan juga Proklamasi Darurat (N0. 2) bertarikh 12  Disember 2020 (PRK Parlimen Geruk) dan  Proklamasi Darurat (N0. 3) bertarikh 12 Disember 2020 (PRJ DUN Bugaya) dan Ordinan-Ordainan Darurat dibawahnya.

Fasal (3), Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan:-

 

“ (3) Proklamasi Darurat dan apa-apa ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) hendaklah dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen dan, jika tidak terlebih dahulu dibatalkan, hendaklah terhenti berkuat kuasa jika ketetapan diluluskan oleh kedua-dua Majlis yang mengungkaikan Proklamasi atau ordinan itu, tetapi tanpa menjejaskan apa-apa jua yang dilakukan sebelumnya menurut kuasa Proklamasi atau ordinan itu atau tanpa menjejaskan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk mengeluarkan suatu Proklamasi baru di bawah Fasal (1) atau memasyhurkan apa-apa ordinan di bawah Fasal (2B)”

 

Oleh yang demikian, maksud membentangkan Proklamasi  Darurat dan Ordinan-Ordinan Darurat  adalah meletakkan atas meja Ahli-ahli Mesyuarat (“dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen” / “shall be laid before both Houses of Parliament”).  Dalam hal ini, tiada perbahasan dan persetujuan keatasnya.  Inilah kehendak perundangan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

 

Sekiranya Proklamasi Darurat  dan Ordinan-ordinan Darurat hendak dibahaskan dan diputuskan,  maka  Kerajaan hendaklah mengemukakan Usul Kerajaan mengikut Peraturan Mesyuarat 27(3).   Sebaliknya, jika usul itu dikemukakan oleh Ahli Parlimen, kaka ia dikenali sebagai Usul Persendirian yang akan disenaraikan selepas urusan-urusan Kerajaan dan kemungkinan untuk dibahaskan adalah amat tipis, dimana Peraturan Mesyuarat 14 memberi keutamaan kepada urusan keraajan melainkan pihak kerajaan membenarkannya.

 

Berkaitan pelaksanaan persidangan Parlimen hibrid pula, walaupun semasa Kenyataan Media Pejabat Perdana Menteri pada 5 Julai 2021 dinyatakan antara tujuan Mesyuarat Khas adalah untuk meminda perundangan dan peraturan-peraturan berkaitan persidangan secara hybrid, tetapi tidak pula disebut dalam pemberitahu oleh Setiausaha Dewan Rakyat.  Ini bermakna pihak Kerajaan telah membuat keputusan untuk tidak melaksanakan persidangan secara hibrid. Maka tiada perbahasan dan keputusan akan dibuat oleh Dewan Rakyat yang bersidang khas pada 26 Julai hingga 2 Ogos 2021.

 

·         Konsep sidang khas parlimen kali ini dilihat lari dari konsep sebenar apabila parlimen dijadikan tempat mendengar 'kuliah' menteri tanpa perbahasan dan proses undian.

 

Mesyuarat Khas diadakan mengikut  Peraturan Mesyuarat 11(3), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang membolehkan Ketua Majlis atau Timbalan Ketua Majlis memanggil mesyuarat semasa majlis “dalam tangguhan” iaitu tempoh satu mesyuarat dengan mesyuarat yang berikutnya.  Maksudnya apabila persidangan dalam Majlis Mesyuarat Parlimen ditangguhkan “ sine die “ ( kesuatu tarikh yang tidak ditetapkan)  dan sebelum persidangan Majlis Mesyuarat Parlimen berikutnya. Di peringkat inilah, sekiranya ada keperluan yang mendesak,  pihak Ketua Majlis boleh memanggil “mesyuarat semasa majlis dalam tangguhan” yang secara amalannya disebut sebagai “mesyuarat khas”.   Walaupun istilah “mesyuarat khas” tidak disebut dalam peraturan mesyarat, tetapi ia adalah manifestasi dari peraturan mesyuarat.

 

Dari aspek konsep Mesyuarat Khas, iai tiada cacatnya,  Yang membezakannya adalah urusan yang ditetapkan oleh Ketua Majlis.

 

 

·         Kali terakhir sidang khas parlimen diadakan ialah pada 26 dan 27 Jan 2016 ketika Kerajaan membawa usul membahaskan penyertaan Malaysia dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dan diputuskan secara undi belahbahagian.

Oleh kerana Mesyuarat Khas  mengenai TPPA adalah  untuk membuat ketetapan dan keputusan, maka kerajaan mengemukakan usul di bawah Peraturan Mesyuarat 27(3).  Usul sedemikian, sememangnya dikehendaki perbahasan dan perlu diputuskan sama ada secara undian suara atau belahbahagian.

·         Sidang Khas Parlimen perlu berbincang untuk meneruskan fungsi jawatankuasa pilihan khas (JPK) bagi menyiasat dan menyemak dasar-dasar kerajaan sebelum persidangan penuh parlimen yang akan bermula pada 6 Sept ini.

Mesyuarat Khas Dewan Rakyat sebenarnya tidak perlu membincangkan bagi membolehkan jawatan kuasa pilihan khas, kerana Yang di_Pertuan Agong telah memberi perkenan disamping  memanggil Mesyuarat Khas juga membenarkan jawatankuasa pilihan khas bersidang dan meneryskan fungsinya dalam tempoh darurat.

Sebagai penutup, ciri-ciri persidangan dalam Mesyuarat Khas ialah persidangan diadakan semasa Dewan Rakyat dalam tangguhan, pemberitahu dalam tempoh yang munasabah dan urusanya hanya yang ditetapkan oleh Ketua Majlis (Perdana Menteri).   Bentuk dan kaedah perjalanan persidangan pula bergantung kepada urusan-urusan yang telah ditetapkan.

Suatu catatan pencerahan jua.

Jenderam Hulu,

17 Ogos 2021.

 

 

 

No comments:

Post a Comment

SUATU CATATAN - ANTARA “PAK SHEIKH” YANG KU SANJUNG DAN PM 10 YANG MENYINGKIRKAN KU....

  Menelusuri ingatan 45 tahun yang lalu, semasa penulis berusia sekitar 20’an yang penuh semangat dalam persekitaran dakwah dan harakah dise...