Monday 26 October 2020

POLITIK TERUS BERGOLAK : DEMOKRASI VS COVID-19 - PERLUKAH DARURAT?

 

Catatan  ini digarap setelah Istana Negara membuat kenyataan mengenai titah Yang di-Pertuan Agong  bahawa “ tiada keperluan buat masa ini untuk Seri Paduka Baginda mengisytiharkan  darurat di negara ini atau  mana-mana bahagian negara Malaysia pada 25 Oktober 2020 (Ahad) lebih kurang jam 6.45 petang.  Kenyataan tersebut  dibuat setelah perjumpaan Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja pada 24 Oktober 2020 (Sabtu), jam 2.30 petang bagi membincangkan cadangan yang dikemukakan oleh YAB Perdana Menteri berserta rombongannya yang menghadap Yang di-Pertuan Agong (YDA) pada 23 Oktober 2020(Jumaat, jam 4.30 petang di Istana Abdul Aziz, Kuantan Pahang.  YAB Perdana Menteri mempersembahkan keputusan Mesyuarat Khas Jemaah Menteri pada hari yang sama di sebelah pagi.  Keputusan tersebut ialah  memohon " pelaksanaan Darurat Perkara 150(1) dan Pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) menurut Perkara 150(2B) Perlembagaan Persekutuan untuk memerangi ancaman wabak COVID-19 di negara ini."

Disini penulis catatkan urutan peristiwa atau kejadian yang membawa kepada tercetusnya “cadangan darurat” tersebut:-

·     Disebalik Ahli Parlimen Port Dickson (DSAI) menghadap Yang di-Pertuan Agong  pada 13 Oktober 2020 yang mempersembahkan bahawa beliau telah memperolehi sokongan lebih 120 orang Ahli Parlimen, adalah tersebar surat yang ditanda tangani oleh Presiden UMNO, YB Dato’ Seri Zahid Hamidi dan Penasihat BN, YB Dato Seri Mohd Najib Razak kepada YDA yang menyokong DSAI sebagai Perdana Menteri ke-9.

·     Surat tersebut diberitakan benar.  Disinilah bermulanya  episod bahawa sokongan kepada Perdana Menteri  sekarang ini  telah berkurangan  dan diyakini hilang majoriti di Dewan Rakyat yang sebelum ini hanya ada kelebihan 2 undi sahaja (113 vs 109).

·         Suatu perbincangan serius antara Perdana Menteri dengan beberapa pihak yang membawa kepada Mesyuarat Khas Jemaah Menteri pada 23 Oktober 2020 (Jumaat, 9.30 pagi) untuk membincangkan isu tersebut dan dimasa yang  sama  juga bagi membendung COVID-19.

·         Semasa dan setelah Perdana Menteri mengadap YDA telah tersebar berita terutamanya tular dimedia sosial bahawa Kabinet /Jemaah Menteri telah mencadangkan periytiharan darurat kesihatan atau politik bagi mengelakkan diadakan Pilihanraya Umum (PRU 15) sekiranya  Parlimen terpaksa dibubarkan jika Bajet 2021 tidak diluluskan oleh Dewan Rakyat.kerana gagal mendapat sokongan majoriti.

·    Tular juga di media sosial bahawa dalam satu mesyuarat COVID-19, dilaporkan pegawai kanan kesihatan telah merayu dengan “emosi” supaya PRU 15 tidak diadakan pada waktu terdekat ini semasa pendemik COVID-19 terus meningkat kerana PRN Sabah baru-baru ini telah mencetuskan gelombang ketiga pendemik ini.

Apakah implikasi Titah YDA tersebut.?  Adakah Mesyuarat Ketiga, Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 yang akan bermula pada 2 November  hingga 15 Disember 2020 akan bersidang seperti yang dijadualkan?.  Ketika ini, Mesyuarat Parlimen  tersebut akan bersidang seperti biasa.  Maka  urusan yang akan menjadi tumpuan ialah Bajet 2021 yang akan dibentangkan pada 6 November 2021 dan diputuskan diperingkat dasar pada 23 November 2020 sama ada secara undian suara atau belah bahagian. Sekiranya ada permintaan  belah belah bahagian, adakah  akan mendapat sokongan majoriti untuk diluluskan atau sebaliknya.  Disini akan terbukti sama ada Ahli-ahli Parlimen akan patuh kepada seruan Titah YDA supaya “Bajet 2021 tidak digagalkan”.  Begitu juga seterusnya Bajet 2021 diperingkat jawatankuasa pada 24 November hingga 10 Disember 2020 bagi setiap Kementerian (2 atau 3 kementerian setiap hari) dan seterusnya bacaan kali ketiga sama ada akan diluluskan mudah melalui undian suara atau undian belah bahagian.

Disamping itu, sebelum Bajet 2021 dibentangkan, beberapa Rang Undang-undang akan dibuat kacaan kali kedua khususnya RUU Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) juga akan menghadapi ujian getir untuk diluluskan oleh Dewan Rakyat dan disini akan membuktikan sama ada kerajaan masih mendapat sokongan majoriti Ahli-ahli Parlimen, walaupun ianya tidaklah sampai kepada tercetusnya krisis sokongan sepenuhnya sehingga memaksa diadakan PRU 15.  Ini berbeza dengan Bajet 2021, sekiranya tidak diluluskan di Dewan Rakyat, ramai pihak menafsirkan secara konvensayen bahawa kerajaan telah hilang majoriti dan kepercayaan yang memaksa Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRU 15.  Inilah yang membimbangkan jika PRU 15 terpaksa diadakan ditengah-tengah COVID-19 masih meningkat dari hari kehari. Itulah punca timbulnya cadangan “darurat” bagi mengelakkan PRU 15.

Dalam siaran media tersebut YDA juga "mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala politicking yang boleh menggangu kestabilan pemerintahan negara. Al-Sultan Abdullah turut berpendapat bahawa tiada perlunya Ahli-ahli Parlimen meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengganggu gugat kestabilan Kerajaan sedia ada."  Malahan juga " Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa Belanjawan Negara 2021 yang akan dibentangkan di sidang Parlimen adalah amat penting kepada rakyat di dalam menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara. Justeru, peruntukan kewangan amat diperlukan oleh petugas barisan hadapan bagi melancarkan tugas dan tanggungjawab mereka".  

Apakah titah YDA tersebut akan diikuti oleh Ahli-ahli parlimen khususnya pihak pembangkang agar tidak menggagalkan Bajet 2021 dan diluluskan oleh Dewan Rakyat.

Apakah yang akan berlaku…kita saksikan.

Suatu catatan jua,

Jenderan Hulu, Sepang

25 November 2020

 

 

 

No comments:

Post a Comment

SUATU CATATAN - ANTARA “PAK SHEIKH” YANG KU SANJUNG DAN PM 10 YANG MENYINGKIRKAN KU....

  Menelusuri ingatan 45 tahun yang lalu, semasa penulis berusia sekitar 20’an yang penuh semangat dalam persekitaran dakwah dan harakah dise...