Thursday 15 October 2020

SAMAN PEMULA KESAHAN PEMILIHAN YANG DI-PERTUA DEWAN RAKYAT BAHARU

 

Walau apa pun bantahan dalam Dewan dan urusan pemilihan Yang di-Pertua diselesaikan dan terpaksa diterima oleh pihak yang membantah.  Inilah kelebihan pihak yang mempunyai majoriti di dewan Rakyat walaupun sedikit atau  hanya satu undi sahaja.  Itulah demokrasi yang diamalkan dinegara ini sejak dahulu hingga kini.  

 Namun demikian, pada 23 Julai 2020, Tun Dr Mahathir Mohamad dan empat Ahli Parlimen lain iaitu  Ahli Parlimen Jerlun, Mukhriz Mahathir; Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik; Ahli Parlimen Kubang Pasu, Amiruddin Hamzah dan Ahli Parlimen Sri Gading, Shahruddin Md Salleh memfailkan saman pemula bagi mencabar pelantikan Datuk Azhar Azizan Harun  sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Dato’  Seri Azalina Othman Said sebagai  Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.  Dalam saman pemula itu, plaintif turut menamakan Datuk Mohd Rashid Hasnon dan Nizam Mydin Bacha Mydin, masing-masing selaku defendan ketiga dan keempat.

 Melalui saman pemula itu, plaintif menuntut:

 § pengisytiharan pelantikan sebagai Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat     pada 13 Julai 2020 adalah tidak sah, 

§  tidak menepati serta bercanggah dengan Perlembagaan atau Peraturan-Peraturan Mesyuarat  Dewan,

§  plaintif turut meminta selepas pengosongan jawatan Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof sebagai   Yang  di-Pertua Dewan Rakyat, ahli Dewan Rakyat diberi peluang untuk mencalonkan pilihan masing-   masing bagi jawatan itu,

§ saman itu turut meminta pengisytiharan kerusi Yang Di-Pertua dan Timbalan Yang Di-Pertua Dewan   Rakyat Malaysia sejak 13 Julai 2020 masih kosong.


Pihak peguam, Tetuan Law Practice of Rafique dalam kenyataannya menyatakan bahawa jawatan Speaker adalah dalam tempoh penggal Parlimen. Ketika kerajaan terdahulu mengambil alih kuasa, jawatan Speaker kosong secara automatik apabila Parlimen Ke-13 dibubar. Ini berbeza dengan pengosongan kerusi Speaker pada kali ini di mana tempoh Parlimen masih wujud dan belum dibubar.  Plaintif berpegang teguh kepada doktrin pengasingan kuasa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. (BH Online, 23 Julai 2020 @ 5:54pm)

 Pada 22 September 2020,   Mahkamah Tinggi  Kuala Lumpur menetapkan  permohonan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, dan Timbalannya, Datuk Seri Azalina Othman Said, untuk membatalkan saman Tun Dr Mahathir Mohamad yang mencabar pelantikan mereka, akan diputuskan pada 10 November 2020.  Hujah yang dikemukakan ialah:

§      kesahan sebarang prosiding di dalam Dewan Rakyat atau prosiding oleh jawatankuasanya, tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana mahkamah berdasarkan Artikel 63(1) Perlembagaan Persekutuan.

 

§       bahawa rangka perlembagaan itu sendiri adalah berdasarkan prinsip pengasingan kuasa di mana  Artikel 62(1) menyatakan setiap Majlis Parlimen mengawal selia tatacaranya sendiri.

 

Peguam menyatakan apabila Speaker dan Timbalannya bertindak dalam ruang lingkup Dewan Rakyat, kesahannya tidak boleh dipertikaikan dan tidak boleh dibicarakan di mahkamah. Ia memberi kuasa kepada Dewan Rakyat untuk memecat Speaker, malah plaintif bersetuju bahawa pemecatan Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof adalah mengikut peraturan.  Pelantikan Dato Seri  Azalina pula dibuat selepas bekas Timbalan Speaker, Nga Kor Ming, meletakkan jawatan..

 Sementara itu, peguam pihak penyaman  pula berhujah, Dewan Rakyat tiada bidang kuasa atau kuasa untuk melantik Azhar dan Azalina kerana plaintif serta Ahli Parlimen lain dihalang menamakan calon mereka. Beliau berkata, ada dua calon bagi jawatan berkenaan pada 13 Julai lalu, justeru perbahasan dan proses mengundi hendaklah diadakan. Bagaimanapun, tiada sebarang perbahasan atau proses mengundi yang berlaku. Oleh kerana Dewan Rakyat tiada bidang kuasa untuk melakukan apa yang dilakukannya pada 13 Julai lalu, maka mahkamah ini ada bidang kuasa yang diperlukan untuk masuk campur.(BH Onlien, 22 September  2020 @ 9:58pm)

Walau apa pun, penulis yakin bahawa Mahkamah Tinggi akan  berpandangan bahawa  mengikut Perkara 63(1) Perlembagaan, prosiding dalam majlis parlimen dan tidak boleh dipersoalkan di mana-mana mahkamah.  Kita tunggu apakah keeputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 November 2020 kelak  mengenai perkara ini.

 

Jenderam Hulu, Sepang

29 September 2020.

 

No comments:

Post a Comment

SUATU CATATAN - ANTARA “PAK SHEIKH” YANG KU SANJUNG DAN PM 10 YANG MENYINGKIRKAN KU....

  Menelusuri ingatan 45 tahun yang lalu, semasa penulis berusia sekitar 20’an yang penuh semangat dalam persekitaran dakwah dan harakah dise...