Friday 16 October 2020

DEWAN NEGARA MENCIPTA SEJARAH – TIGA CALON DALAM PEMILIHAN YANG DI-PERTUA

 

Jawatan Yang di-Pertua Dewan Negara kosong apabila penyandangnya Tan Sri S.A VIgneswaran telah tamat perkhidmatan sebagai Ahli Dewan Negara sekaligus sebagai Yang di-Pertua pada 22 Jun 2020.   Maka mengikut Perkara 56 Perlembagaan Persekutuan dan  Peraturan Mesyuarat 1, Peraturan-perautan Majlis Mesyuarat Dewan Negara akan menjalankan urusan memilih Tuan Yang di-Pertua pada hari pertama Mesyuarat bagi Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14 yang bermula pada 2 hingga 23 September 2020.

Pada 2 September 2020 di Mesyuarat Kedua Penggal  Ketiga Palimen  Ke-14, Dewan Negara telah mencipa sejarah apabila  telah menerima tiga usul untuk  mencalonkan sebagai Yang di-Pertua iaitu Yang Berhormat Senator Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais bin Yatim, Yang Berhormat Senator Tuan Mohd Yusmadi bin Mohd Yusoff dan Yang Berhormat Senator Datuk Theodore Douglas Lind.  Walau bagaimanapun,  Datuk Theodore Douglas Lind telah menarik diri.  Oleh kerana lebih satu calon, maka undian bersurat dijalankan dan keputusanya:-

 

           Yang Berhormat Senator Tan Sri Dato’ Seri Utama Rais bin Yatim- 45 undi,

Yang Berhormat Tuan Mohd Yusmadi bin Mohd Yusoff- 19 undi,

Jumlah- 64 orang dan seorang tidak hadir

 

Timbalan Yang di-Pertua, Dato’ Seri Abdul Halim yang mempengerusikan Majlis Mesyuarat telah memasyhurkan    Yang Berhormat Senator Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais bin Yatim dipilih menjadi Tuan Yang di-Pertua Dewan Negara  menurut Peraturan Mesyuarat 2(3).

 

“MEMILIH TUAN YANG DI-PERTUA


Timbalan Yang di-Pertua: Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullaahi wabarakaatuh dan salam sejahtera.  Ahli-ahli Yang Berhormat, menurut Perkara 56 Perlembagaan Persekutuan dan mengikut aturan yang dinyatakan di dalam Peraturan Mesyuarat 1, Majlis Mesyuarat Dewan Negara akan menjalankan urusan memilih Tuan Yang di-Pertua.Selaras dengan Peraturan Mesyuarat 2(1), Setiausaha Dewan Negara telah menerima tiga cadangan untuk pemilihan Tuan Yang di-Pertua. Cadangan itu datangnya daripada:

i               (i) Yang Amat Berhormat Perdana Menteri;

ii              (ii) Yang Berhormat Senator Dr. Ahmad Azam bin Hamzah; dan

iii            (iii) Yang Berhormat Senator Datuk Wira Haji Marzuki bin Yahya.

 

Setiausaha: Dengan hormatnya dipersilakan Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengemukakan cadangan memilih Tuan Yang di-Pertua.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) [Dato' Takiyuddin bin Hassan]: Assalamualaikum warahmatullaahi wabarakaatuh dan salam sejahtera.  Tuan Yang di-Pertua, saya mohon mengemukakan usul Yang Amat Berhormat Perdana Menteri mencadangkan iaitu Yang Berhormat Senator Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais bin Yatim dipilih menjadi Tuan Yang di-Pertua Dewan Negara dan mengikut Peraturan Mesyuarat 2(1), beliau telah memastikan bahawa Yang Berhormat Tan Sri bersetuju untuk berkhidmat jika dipilih. Terima kasih.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) [Datuk Haji Shabudin Yahaya]: Tuan Yang di-Pertua, saya menyokong cadangan tersebut.


Setiausaha: Dipersilakan Yang Berhormat Senator Dr. Ahmad Azam bin Hamzah untuk mengemukakan cadangan memilih Tuan Yang di-Pertua.

 

Dr. Ahmad Azam bin Hamzah: Assalamualaikum warahmatullaahi wabarakaatuh dan salam sejahtera. Tuan Yang di-Pertua, saya ingin mencadangkan Yang Berhormat Senator Tuan Mohd Yusmadi bin Mohd Yusoff untuk dipilih sebagai Tuan Yang di-Pertua dan mengikut Peraturan Mesyuarat 2(1). Saya telah memastikan bahawa beliau bersetuju untuk berkhidmat jika dipilih. Terima kasih.

 

Laksamana Pertama Haji Mohamad Imran bin Abd. Hamid: Tuan Yang di-Pertua, saya mohon menyokong.

Setiausaha: Dipersilakan Yang Berhormat Senator Datuk Wira Haji Marzuki bin Yahya untuk mengemukakan cadangan memilih Tuan Yang di-Pertua.

Datuk Wira Haji Marzuki bin Yahya: Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullaahi wabarakaatuh. Tuan Yang di-Pertua, saya ingin memaklumkan di sini bahawa Yang Berhormat Senator Datuk Theodore Douglas Lind telah membuat keputusan untuk menarik diri dari mencalonkan diri beliau sebagai Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih.

 

Timbalan Yang di-Pertua: Baik, terima kasih. Ahli-ahli Yang Berhormat, oleh sebab terdapat lebih dari seorang yang telah dicadangkan dan disokong untuk menjadi Tuan Yang di-Pertua, maka mengikut peruntukan Peraturan Mesyuarat 2(3) Majlis Mesyuarat akan membuat pilihan memilih Tuan Yang di-Pertua dengan undi bersurat.

Tuan Ngo Hock Cheh: Tuan Yang di-Pertua, point of order. [[DN 2.9.2020 , MS 2-3 ]

 

 

PERTIKAIAN TAKRIFAN PEMBAWA USUL PEMILIHAN YANG DI-PERTUA DEWAN NEGARA

 

Pertama kali dalam sejarah Majlis Mesyuarat Dewan Negara, pada 2 September 2020, di Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 semasa pemilihan Yang di-Pertua Dewan Negara yang baharu, apabila usul mengenainya dipertikaikan.     Pertikaian ini berpunca dari perbezaan pandangan dalam mentakrifkan Peraturan Mesyuarat 2, Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara.

 

YB Tuan Ngo Hock Cheh telah banguan mengemukakan Peraturan Mesyuarat 2 yang dan menafsirkan bahawa hanya Ahli Dewan Negara yang boleh mengusulkan bagi mencadangkan nama Yang di-Pertua.  Peraturan itu adalah berbunyi seperti berikut:

 

“2 Aturan Memilih Tuan Yang di-Pertua

Aturan memilih Tuan Yang di-Pertua hendaklah seperti yang tersebut di bawah ini:

(1) Tiap-tiap Ahli yang hendak mencadangkan nama Ahli yang hendak dipilih jadi Tuan Yang di-Pertua, mestilah mempastikan terlebih dahulu iaitu Ahli itu suka berkhidmat jika dia dipilih, dan hendaklah memberitahu Setiausaha akan cadangannya, sekurang-kurangnya dua hari sebelum diadakan mesyuarat. ..“

 

Yang Berhormat Senator  berpandangan YAB Perdana Menteri bukan Ahli Drwan Negara dan tidak mempunyai hak untuk mengemukakan usul tersebut.

 

Tuan Ngo Hock Cheh: Tuan Yang di-Pertua, point of order. Saya ingin menarik perhatian Dewan yang mulia ini bahawa pencalonan or nomination of Yang Amat Berhormat tidak teratur dan mematuhi Standing Order 2 yang berbunyi; “Aturan memilih Tuan Yang di-Pertua hendaklah seperti yang tersebut di bawah ini; tiap-tiap Ahli yang hendak mencadangkan nama Ahli hendaklah dipilih jadi Tuan Yang di-Pertua mesti memastikan terlebih dahulu iaitu Ahli itu suka berkhidmat jika dia dipilih dan hendaklah memberitahu Setiausaha akan cadangannya sekurang-kurangnya dua hari sebelum diadakan mesyuarat”.

■1010

Saya ingin berhujah bahawa Yang Amat Berhormat bukan seorang Ahli Dewan Negara. Oleh itu, beliau tidak berhak mencadangkan atau memilih pencalonan- maaf, Tuan Yang di-Pertua. Tadi saya berhujah bahawa oleh kerana Yang Amat Berhormat bukan seorang Ahli Dewan Negara, maka Yang Amat Berhormat tidak berhak mencalonkan Tan Sri Rais Yatim sebagai calon untuk jawatan Yang di-Pertua Dewan Negara.

 

Bukan sahaja Standing Order, kita boleh juga rujuk kepada Perlembagaan Persekutuan di mana Fasal 56 yang disebutkan oleh Tuan Yang di-Pertua, it says, “The Senate shall from time to time choose one of its members to be Yang di- Pertua Dewan Negara (President of the Senate) and one to be Deputy of the Senate, and shall, subject to Clause (3), transact no business while the office of President is vacant other than the election of a President.

 

Jadi, the Senate pun ada the defined dalam Interpretation Act as, I refer to the Interpretation Act on the meaning of Senate. It says- adalah dinyatakan dengan terang- “Senate” or “Dewan Negara” means the Dewan Negara established by Article 44 of the Federal Constitution”. Ertinya, Senator means a member of the Senate. Jadi, adalah jelas Yang Amat Berhormat bukan seorang Ahli Dewan Negara, beliau hanya Ahli Dewan Rakyat.

Jadi, untuk pemilihan jawatan Tuan Yang di-Pertua Dewan Negara, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri tidak berhak mengambil bahagian sebab election adalah termasuk nomination di sisi undang-undang.

So, dengan segala hormatnya, saya menghujahkan bahawa pencalonan oleh Yang Amat Berhormat harus ditolak... [Tepuk] Saya juga ingin menjelaskan bahawa, saya tidak ada apa-apa pergaduhan dengan mana-mana calon atau perselisihan faham dengan sesiapa. Tujuan saya adalah mempertahankan kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan... [Tepuk] [DN 2.9.2020 ms 3].

Pandangan tersebut disokong oleh beberap Ahli termasuk Laksamana Pertama Haji Mohamad Imran bin Abd. Hamid   dan Tuan Liew Chin Tong yang meminta pemilihan Yang di-Pertua ditangguhkan sehingga hari Isnin. 7 September 2020 bagi membolehkan diperaturkan semula walaupun calon yang dicadangkan adalah sama.

Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ seri Abd Halim) yang mempengerusikan Majlis Mesyuarat telah menjelaskan bahawa Perdana Menteri mempunyai hak sebagai Ketua Majlis dan beliau adalah sebahagian daripada Dewan Negara.  Beliau juga menjelaskan  tiada mana-mana  peraturan menyatakan hanya Ahli sahaja yang boleh mencalonkan.  Seterusnya beliau menambah “Peraturan Mesyuarat 2(1) menyatakan jika seorang Ahli ingin mencalonkan Ahli yang lain, Ahli yang ingin mencalonkan tersebut perlu memastikan calon suka untuk berkhidmat….”.

  

“Timbalan Yang di-Pertua: Terima kasih Yang Berhormat. Saya mendengar dengan penuh teliti dan faham. Walaupun Yang Amat Berhormat Perdana Menteri bukan Ahli Dewan Negara, namun Yang Amat Berhormat Perdana Menteri adalah Ketua Majlis yang menetapkan tarikh-tarikh Majlis Dewan Negara dan Dewan Rakyat akan bermesyuarat. Rujuk Peraturan Mesyuarat 10(1) dan (2). Memandangkan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri adalah Ketua Majlis yang turut disebut dalam Peraturan Mesyuarat 10(2) Dewan Negara, dapat disimpulkan bahawa Perdana Menteri adalah sebahagian daripada Dewan Negara... [Tepuk] Tiada dinyatakan dalam mana-mana peruntukan Peraturan Mesyuarat bahawa hanya Ahli sahaja yang boleh mencalonkan seorang sebagai calon Tuan Yang di-Pertua.  Peraturan Mesyuarat 2(1) menyatakan jika seorang Ahli ingin mencalonkan Ahli yang lain, Ahli yang ingin mencalonkan tersebut perlu memastikan calon suka untuk berkhidmat dan perlu membuat pencalonan sekurang-kurangnya dua hari sebelum mesyuarat. Peraturan Mesyuarat 2 tidak menyatakan hanya seorang Ahli yang boleh mencalonkan Ahli yang lain sebagai calon Yang di-Pertua Dewan Negara. Itulah sebenarnya... [Tepuk] Dia ada hak ya. Terima kasih. Itu saya kata bahawa Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ada hak dia. [DN 2.9.2020  ms  4]”

 

Begitu juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) mempertahankan hujah Yang di-Pertua bahawa Perdana Menteri sebagai Ketua Majlis mempunyai hak untuk hadir dan mengemukakan apa-apa usul di Di Dewan Negara walaupun tidak boleh mengundi di DiDewan Negara.  Beliau mengulangi bahawa tiada ama-mana peraturan yang menyatakan bukan Ahli tidak boleh mengemukakan usul ini.

Kesimpulannya, Ahli-ahli Dewan Negara khususnya pihak PH memberi pandangannya berasaskan kepada semangat  reformasi  Parlimen dan doktrin  pengasigan kuasa  dengan takrifan selapis sahaja.  Namun setelah sekian lama di amalkan bahawa Perdana Menteri selaku Ketua Majlis mengemukakan Usul Pemilihan Yang di-Pertua sama ada di di Dewan Negara mahupun di Dewan Rakyat.  Sekiranya kaedah ini tidak teratur dan mengikut perautan, adakah pemilihan Yang di-Pertua Dewan Negara selama ini tidak sah dan seterusnya persidangan Dewan Negara juga tidak sah.

Suatu catatan jua.


Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur
4 Septemer 2020

 

No comments:

Post a Comment

SUATU CATATAN - ANTARA “PAK SHEIKH” YANG KU SANJUNG DAN PM 10 YANG MENYINGKIRKAN KU....

  Menelusuri ingatan 45 tahun yang lalu, semasa penulis berusia sekitar 20’an yang penuh semangat dalam persekitaran dakwah dan harakah dise...