Tuesday, 24 July 2018

ISU ROYALTI MINYAK – DIJAWAB DI DEWAN RAKYAT & BUKAN SUBJUDICE?

Pada hari ini, 25 Julai 2018 di Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen Ke-14, isu royalti minyak dan cadangan 20%  diberikan kepada negeri-negeri telah ditanya oleh Ahli Parlimen Beluran (nombor 1) dan dijawab secara lisan oleh Menteri  Hal Ehwal Ekonomi.  Penulis ingin rakamkan disini, isu ini   sering dibangkitkan sekian lama, tetapi  sejak beberapa tahun lalu, isu ini dikategorikan sebagai subjudice dan soalan mengenai ditolak kerana terdapat kes tunttan oleh Kelantan yang masih di mahkamah dan belum diputuskan.  Persoalannya, setiap kali isu ini ditanya, maka pegawai-pegawai Kementeian Kewangan dan juga Jabatan Perdana Menteri mencadangkan supaya ditolak dengan sokongan Jabatan Peguam Negara dan Setiausaha Dewan Rakyat (SUDR)[  masih pegawai  yang sama].  Justeru  penulis amat bersetuju isu ini perlu dijawab sejak dari dahulu lagi.  Adakah sikap pegawai-pegawai Kementerian telah berubah khususnya ketika Mesyuarat Pra-Persidangan yang dipengerusikan oleh SUDR., yang sentiasa berusaha menolak soalan-soalan  dan sering memindahkan soalan kepada kementerian lain.  Adakah ini bermakna, pertukaran Kerajaan  telah berjaya mengubah sikap pegawai-pegawai atau sikap SUDR juga turut berubah?



Dari aspek jawapan, Kerajaan telah menunjukan sikap telus apabila menyatakan cadanagan Manifesto PH untuk memberikan royalti sebanyak 20% akan menghadapi kekangan kerana kajian mendapati ianya tidak viable  kepada PETRONS.  Dapatan kajian ini telah dimaklumi dan pernah dinyatakan di Dewan sekitar tahun 2004 – 2009. Namun penulis berpendapat sifat telus kerana ia akan menjadi  alasan untuk menjustifikasikan sekiranya cadangan ini tidak dapat  dilaksanakan walaupun  setelah berunding dengan kerajaan negeri-negeri berkenaan.  Justeru, dasar ketelusan Kerajaan PH hendaklah menyeluruh dan bukan terpilih-pilih.

Satu lontaran catatan jua.

TIDAK CUKUP KORUM : PERSIDANGAN PARLIMEN DITEMPOHKAN –“PH CAKAP TAK SERUPA BIKIN”


Pada hari ni, 24 Julai 2018.   pada jam 2.30, petang di Mesyuarat Pertama  Penggal Pertama Parlimen Ke-14, sebaik sahaja Ahli Parlimen Bagan Serai (BEBAS) untuk menyambung perbahasan Titah Diraja, tiba-tiba Ahli Parimen Kapit bangun membangkitkan tidak cukup korum/bilang.  Setelah 2 minit lonceng dibunyikan, masih juga tidak cukup korum/bilang dan akhirnya Yang di-Pertua telah menempohkan selama 10 minit .  Selepas itu, ketika disambung semula persidangan, jemlah kehadiran Ahli Parlimen ialah 31 orang Ahli.

Untuk rekod, Peraturan Mesyuarat 13 telah menetapkan mengenai korum atau  cukup bilang seperti beriut:
“13. (1) Cukupbilang bagi Majlis Mesyuarat dan Jawatankuasa sebuah-buah Majlis Mesyuarat hendaklah mengandungi dua puluh enam orang ahli dengan tidak termasuk Pengerusi.”

Penulis ingin menekankan disini, bahawa  isu tidak cukup korum persidangan sering berlaku pada era Majlis Parlimen sebelum tahun 2004 (Parlimen Kesebelas), dimana ketika BN menguasai dua pertiga majoriti di Parlimen. Malahan ketika  Dato’ Seri Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri  bagi Kerajaan BN juga sering berlaku. Sebagai contoh, semasa perbahasan Rang Undang-Undang Pilihan Raya (Pindaan) 2003 di Dewan Rakyat pada Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga Parlimen Kesepuluh terpaksa ditangguhkan persidangan pada jam 5.00 petang semasa Y.B. Menteri di Jabatan Prdana Menteri sedang menjawab perbahasan  Rang Undang-Undang ini dan sepatutnya sempat dipersetujukan tetapi terpaksa ditangguhkan kepada hari persidangan berikutnya. 

Namun selepas  ini tidak  berlaku lagi, setelah Ahli-ahli Parlimen BN ketika itu sering kali diperingatkan akan tanggung jawab untuk hadir di Dewan dan mamastikan cukupbilang kehadirannya, lebih-lebih setelah BN tidak lagi mojoritii dua pertiga majoriti.  Walau bagaimanapun, isu kehadiran sering berbangkit apabila beberapa urusan disetujukan dengan lebihan undi yang kecil.  Misalnya  Bajet 2010 disetujukan dengan lebihan 1 undi di peringkat Jawatankuasa - Kementerian Dalam Negeri dan 3 undi di peringkat Dasar  pada.14 Disember 2009.    Begitu juga pada 20 November 2017 di Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima Parlimen Ketiga Belas,  Bajet 2018 di peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi, telah disetujukan dengan lebihan satu [ setuju – 52 (BN); tak setuju(PH) – 51].

Ketika itu, pihak pembangkang sama ada Barisan Alternatif (BA), Pakatan Rakyat (PR), mahupun Pakatan Harapan (PH) sering  membangkitkan isu korum dan juga kehadiran Anggota-angota Pentadbiran BN ketika itu.  Bahkan, PH sering kali memerangkap pihak BN  dengan meminta belah bahagian bagi meluluskan Rang Undang-undang dan Usul-usul.  Ini  menyebabkan Kerajaan BN sentiasa berjaga-jaga dan dalam  situasi  kelam kabut khususnya semasa meluluskan Bajet di peringkat jawatankuasa.  Pegawai-pegawai khas khususnya Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri  selalu dipersalahkan apabilaa Menteri atau Timbalan Menteri tidak hadir untuk undi belah bahagian..

Penulis beranggapan di era Kerajaan PH sekarang ini, isu ketidak hadiran Menteri/Timbalan Menteri dan Ahli-ahli Parlimen PH sewajarnya  tidak berlaku.  Ini kerana mereka sering menegur Kerajaan BN dahulu dan malah sering memerangkap Kerajaan BN dengan undi belaah bahagian apabila kehadiran Ahli-ahli Parlimen BN berkurangan.  Namun anggapan ini meleset, apabila pada 19 Julai 2018 yang lalu, Ahli Parlimen Rembau (BN) menegur  tiada seorang Menteri atau Timbalan Menteri PH berada dalam Dewan semasa sesi perbahasan Titah Diraja.  Diperingkat ini, penulis beranggapan Ahli Parlimen Rembau bergurau atau “memulangkan betu keras” kepada Kerajaan PH kerana mereka dahulu sering membangkitkannya ketika sebgai pembangkang. Malah pada 23 Julai 2018, dalam kenyataan akhbarnya di lobi Parlimen,   Perdana Menteri  kurang puas hati dan   menegur ketidak hadiran Menteri/Timbalan Menteri dan Ahli-ahli Parlimen PH. Yang menarik disini, penulis ingin merakamkan bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad  menghadapi isu yang sama semasa menjadi Perdana Menteri sama ada Kerajaan BN mahu pun  Kerajaan PH.  Nampaknya tanggapan penulis meleset.   Apakah ini bermakna, mana-mana pihak apabila menjadi Kerajaan, mereka akan bersikap “ lepas tangan” atau hanya berusaha-usaha bersungguh-sungguh dengan apa sekalipun untuk berkuasa? Bak kata pepatah “ Cakap tak serupa bikin”.

Secara perinsip, tanggung jawab untuk memastikan korum adalah tangung jawab semua Ahli-ahli Parlimen, tidak kira sama ada pihak Kerajaan mahupun pembangkang.  Kelazimannya, ia di bebankan kepada  Ahli Parlimen Kerajaan kerana pada dasarnya Mesyuarat Parlimen untuk meluluskan urusan-urusan Kerajaan.

Suatu lontaran catatan jua.

Thursday, 19 July 2018

RANG UNDANG-UNDANG MAHKAMAH SYARIAH (BIDANG KUASA JENAYAH)(PINDAAN) 2016 [ PINDAAN AKTA 355] – TELAH LUPUT !!!

Penulis  terpanggil untuk memberi pandangan terhadap kenyataan  akhbar oleh Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian yang menyebut pihaknya telah membentangkan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 atau sering dikenali sebagai RUU 355 (walaupun istilah ini tidak  tepat) dan menyerahkan kepada Kerajaan untuk tindakan lanjut.

Berikutan ini Utusan Malaysia bertarikh  20 Julai 2018 melaporkan bahawa RUU tersebut tidak akan dibahaskan dalam sidang Dewan Rakyat kali ini  berdasarkan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) ... “Buat masa ini, saya tidak menerima sebarang arahan berhubung perkara tersebut”.  Hal ini telah  penulis jangkakan  bahawa Kerajaan PH tidak akan meminda Akta 355  sebagaimana kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) yang tidak memberi keutamaan untuk meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Penullis menyimpulkan pada masa sekarang, pelbagai pihak masih keliru mengenai kedudukan RUU tersebut yang dikemukakan di Dewan Rakyat sebelum ini. .  Seperti telah dimaklumi, bahaawa RUU tersebut adalah RUU Ahli Persendirian yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Marang  sejak 18 Mac 2015 (luput) dan kemudian dikemukakan semula sehingga dibenarkan dibentangkan (dibacakan usul sahaja) pada 26 Mei 2016 dan  pindaan usul pada 24 November 2016 serta seterusnya disambung pembentangan dengan penghuraian usul    dan disokong oleh Ahli Parlimen Kota Bharu di persidangan Dewan Rakyat pada  6 April 2017  di Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima, Parlimen Ke-13, tetapi ditangguhkan perbahasannya oleh Yang di-Pertua.. Seterusnya RUU ini masih disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat pada Mesyuarat Kedua dan Ketiga (2017)  daan juga pada Meyuarat Pertama, Penggal Keenam, Parlimen Ke-13 (2018).

Apabila Majlis  Parlimen Ke-13 dibubarkan pada.. 7 April 2018  (Sabtu), maka usul mencadangkan Rang Undang-Undang Ahli Persendirian ini juga turut terluput serentak dengan pembubaran  Parlimen.  Ini kerana,    Perkara 55(5), Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan  sekiranya Parlimen di prorog (dihentikan antara Penggal Parlimen) sahaja yang tidak menyebabkan  luput  keatas  Rang Undang-Undang yang dalam pertimbangan Majlis Parlimen. Berdasarkan precedence  ketika Parlimen Kesembilan dibubarkan pada 11 November 1999, Belanjawan 2000 belum diluluskan, dimana   sedang dibahaskan di peringkat Jawatankuasa di Dewan Rakyat, telah  luput selaras dengan pembubaran Parlimen. Begitu juga semasa dibubarkan beberapa Rang Undang-Undang  yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat iaitu Rang Undang-Undang Jualan Dadah (Pindaan 1999); Rang Undang-Undang Kanak-Kanak 1999; Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (No.2) (1999),1999; Rang Undang-Undang Tribunal Perkhidmatan Awam (Pembubaran) 1999; dan Rang Undang-Undang Cukai Pendapatan (Pindaan) (No.2) 1999  telah luput  selaras dengan pembubaran Parlimen.  Maka kesemua Rang Undang-Undang tersebut  perlu dibentangkan semula sekiranya Rang Undang-Undang itu masih dikehendaki untuk diluluskan.. Bagi membolehkan prbelanjaan dibuat bagi sebahagian tahun 2000, maka Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama, Parlimen Kesepuluh diadakan dari 20 hingga 23 Disember 1999 bagi Dewan Rakyat dan 27 Disember dan 28 Disember 1999 bagi Dewan Negara untuk meluluskan Usul Perbelanjaan Sebahagian Tahun 2000 (Belanjawan Interim) dan beberapa Rang Undang-Undang termasuk Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (No.2) (1999),1999.   Seterusnya. Belanjawan 2000 (Rang Undang-Undang Perbekalan 2000) dibentangkan semula  pada Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua, Parlimen Kesepuluh pada  bulan Februari tahun 2000.

Sekiranya pihak PAS ingin meneruskan pembentangan RUU Ahli Pesendirian untuk meminda Akta 355, ianya hendaklah dikemukakan semula di Mesyuarat Parlimen Ke-14 ini. Ianya akan melalui proses prosiding dari awal sehingga disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat dan seterusnya berunding dengan Kerajaan PH untuk mendapat kebenaran urusan bukan  Kerajaan didahulukan atau dibenarkan untuk dibentang/ dibahaskan.  

Begitu juga sebaliknya, terpulanglah  kepada Kerajaan untuk membuat pindaan Akta 355 mengikut proses RUU Kerajaan.  Sekali lagi, penulis berpandangan tidak mungkin Kerajaan PH akan membuat pindaan Akta 355 berdasarkan kenyataan dua Menteri di Jabatan Perdana Menteri (portfolio agama dan undang-undang) dan juga pendirian parti-parti politik  Kerajaan PH selama ini.. 

Wallahu'alam.
.  




Tuesday, 17 July 2018

PEMBUKAAN PENGGAL PERTAMA, PARLIMEN KE-14 – TITAH UCAPAN YANG DIPERTUAN AGONG RINGKAS DAN PADAT


Pada hari ini, 17 Julai 2018, DYMM Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhamad V telah berkenan dan bertitah di majlis Pembukan Penggal Parlimen di Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen Ke-14. Keperluan titah ini adalah ketetapan Peraturan Mesyuarat ! – iaitu setelah selesai urusan-urusan pada hari pertama persidangan selepas pilihanraya umum iaitu pengisytiharan Proklamasi Memanggil Parlimen,   pemilihan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Ahli-ahli angkat sumpah, pemilihan dua Timbalan Yang di-Pertua dan Usul Ketua Polis Negara (Keselamatan), maka  “ …Majlis akan ditangguhkan kepada apa-apa tarikh dan waktu yang ditetapkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bagi memasyhurkan sebab-sebabnya Baginda bertitah memanggil Parlimen..

Suatu yang menarik perhatian, semasa Baginda masuk dan sebelum duduk dalam Dewan, secara bersahaja Baginda bertitah  “…Ahli-ahli Yang Berhormat sila duduk dan jangan lari”.  Ungkapan tersebut diikuti gelak ketawa Ahli-ahli Dewan. .  Penulis berpendapat, ini sebagai “breakig ice”, tetapi pelbagai pihak yang melihat ini sebagai merujuk kepada insiden pada hari persidangan, di mana Ahli-ahli Parlimen Pembangkang keluar dewan sebelum angkat sumpah sebagai protes pelantian yang di-Pertua Dewan.

Titah  Ucapan Baginda pada hari ini adalah titah kedua pada tahun ini, dimana pada  6 Mac yang lalu Baginda telah bertitah di Mesyuarat Pertama, Penggal Keenam, Parimen Ke-13 sebelum Parlimen di bubarkan.  Pada hari ini pula titah yang pertama selepas pilihanraya umum sejak Baginda  dilantik sebgai Yang di-Pertuan Agong.  Titah yang lau lalu mengambil masa lebih kurang 14 minit sahaja dan pada hari ini dalam lingkungan 12 minit sahaja ( 10.45 hingga 10.57 pagi).  Perhatian penulis, dalam tempoh dua dekad, titah ini adalah yang  terpendek dalam sejarah persidangan Parlimen. Titah ucapan Baginda alah amat ringkas dan padat, antara isi kandungannya ialah:

  • Ahli-ahli Parlimen hendaklah secara matang dan jangan lari dari tanggung jawab bagi memastikan Parlimen dipandang tinggi.
  • Ikhlas untuk membina perpaduan tulen, mencari titik persamaan untuk memenuhi kepentingan rakyat. Perpaduan dan keharmonian harus dipelihara dan diperkukuhkan.
  • Kepelbagaian kaum bagaikan percikan bunga api tetapi rakyat telah membuktikan sebaliknya.
  • Memuji pentadbiran yang menekankan ketelusan.
  •  Mengalu-alukan pemansuhan GST, menstabilkan harga minyak dan bantuan sara hidup bagi mengurangkan kos hidup rakyat..
  • Hargai sumbangan rakyat kepada Tabung Harapan sebagai tanda perihatin kepada negara..
  • Semua pihak hendaklah berkerjasama  dan tidak diskriminaasi perkauman.
  • Diperinngkat antara bangsa, memperkukuhkan kerjasama antara negara-negara ASEAN dan dunia amnya.


Monday, 16 July 2018

PEMBANGKANG KELUAR DEWAN PADA HARI PERTAMA PERSIDANGAN – APAKAH SANDIWARA DAN KEWAJARAN?


Akhbar-akhbar melaporkan kenyataan Perdana Menteri  yang meyifatkan tindakan ahli Parlimen Pembangkang yang keluar Dewan semalam sebagai protes pelantikanYang di-Pertua Dewan  sebagai  satu sandiwara,  “Itu satu   sandiwara.  Apabila bekas Perdana Menteri   keluar,  maka sekarang  dia tahu mengapa orang (pembangkang dahulu) keluar.’(Berita Harian, 17.7. 2018).   Begitu juga Berita Harian melaporkan “ Ahli Parlimen termuda terkejut insiden protes hari pertama” .  Ahli Parlimen Batu yang berusia 22 tahun ( masih mqhasiswa) mentatakan “ Memang tekejut, dan saya bertanya pada diri , adakah  ini sidang Dewan Rakyat yang sebenar”.

Sebagaimana penulisan sebelum ini, penulis  nyatakan insiden ini bukanlah kali pertama malah pernah berlaku pada 20 Disember 1999.  Ketika itu, persidangan pertama selepas PRU 10    iaitu Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama, Parlimen Ke-10 yang bersidang selama 4  hari sahaja dari 20 hingga 23 Disember dengan usul mengenepikan Peraturan Mesyurat dimana Yang di-Pertuan Agong tidak bertitah pada Mesyuarat Pertama selepas  pilihanraya umum..  Persidangan selama 4 hari tersebut adalah untuk angkat sumpah pada hari pertama (sebelah pagi) dan di sambung terus pada sebelah petang untuk  urusan-urusan Kerajaan khususnya beberapa Rang Undang-Undang yang perlu diluluskan  yang terluput semasa Parlimen Ke-9 dibubarkan pada  11 November 1999.  Juga untuk membolehkan  Usul Perbelanjaan Perbelanjaan Sebahagian Tahun 2000 kerana Bajet 2000 (RUU Perbekalan 2000) turut  terluput.  Selepas Setiausaha membaca Proklamasi Memanggil Parlimen, Ahli Parlimen Pendang telah bangun dan mempersoalkan kesahan persidangan kerana pengisyiharan Memanggil Parlimen di buat oleh Yang di-Pertua Agong sebelum kabinet baru dibentuk. Setiausaha telah menegur supaya Ahli  Parlimen duduk kerana belum ketikanya berucap (belum angkat sumpah).  Berlaku pertikaman lidah, apabila  Perdana Menteri  [Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad –(Kubang Pasu ( BN] telah mencelah dan menegaskan adalah menjadi tugasnya menasihatkan Yang di-Pertuan Agong sebagai  caretaker government walaupun Jemaah Menteri baharu belum dibentuk. Sebagai bantahan, Ahli-ahli Pembangkang [Barisan Alternarif (BA) - PAS - 27, DAP – 10 dan PKR – 5)  telah keluar Dewan sebelum perlantikan Yang di-Pertua Dewan (Tun Mohamed Zahir Ismail). Walau bagaimanapun, mereka masuk semula ke dalam Dewan untuk angkat sumpah..

Bagi persidangan Mesyuarat Pertama selepas PRU 14, dimana BN menjadi pembangkang  (51 kerusi – setelah Sabah, Sarawak, GERAKAN dan 3 ahli UMNO keluar BN) dan PH sebagai Kerajaan (124 kerusi), telah menyaksikan pembangkang keluar Dewan kerana membantah pelantikan Yang di-Pertua  ( Datuk Mohamad Ariff Md Yusof) didakwa tidak memenuhi notis 14 hari (Peraturan Mesyuarat 4.). Hampir kesemua  Ahli Parlimen Pebangkang keluar Dewan dan masuk semula untuk angkat sumpah.  
Persamaan kedua insiden tersebut ialah Setiausaha tidak membenarkan Ahli-ahli Parlimen mencelah atau berucap sebelum angkat sumpah dan Ahli-ahli Parlimen Pembangkang keluar Dewan dan masuk semula untuk angkat sumpah.  Perbezaannya, pada 20 Disember 1999, persidangan tersebut diteruskan pada sebelah petang dengan usul mengetepikan beberapa  Peraturan Mesyuarat, maka ada ruang Ahli-ahli Parlimen membangkitkan Peraturan Mesyuarat 4 yang mempertikaikan pelantikan Yang di-Pertua Dewan tidak cukup notis 14 hari.  Apa yang berlaku ialah perbezaan tafsiran, dimana pembangkang menyatakan notis diberi ialah 13 hari, tetapi Kerajaan menafsirkan telah genaf 14 hari.   Tetapi pada insiden 16 Julai 2018 pula, Ahli-ahli Parlimen Pembangkang belum berpeluang untuk mendapatkan penjelasan kerana tiada persidangan pada sebelah petng selepas angkat sumpah bagi memberi keutamaan untuk Titah Yang di-Pertua Agong pada hari kedua persidangan (17 Julai 2018). Ruang untuk perkara tersebut ialah pada hari ketiga iaitu selepas sesi pertanyaan lisan.

Apa yang menarik, insiden pada 16 Julai 2018 adalah juga semasa pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad (PH – Langkawi) apabila beliau dilantik sebagai Perdana Menteri kali kedua tetapi sebagai Pengerusi PH.  Oleh itu untuk menyatakan tindakan keluar Dewan sebagai sandiwara, ia  boleh dippertikaikan  kerana ada perkara atau tindakan yang diragui. Ringkasnya, Kedua-dua insiden ini berlaku dibawah pentadbiran Perdana Menteri yang sama tetapi dalam posisi parti yang berbeza semasa ia dalam BN dan PH..
Disini, selain dari dua insiden tersebut, penuls petik semula catatan penulis yang merakamkan tindakan keluar  Dewan  oleh pihak pembangkang ( yang kini Kerajaan), iaitu:

      i.        Pada 16  Disember 2010 (Khamis) adalah hari terakhir persidangan Mesyuarat Ketiga, Penggal Ketiga, Parlimen Kedua Belas.  – Dalam suasana riuh yang berterusan, pada pukul 11.04 pagi, YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri membentangkan Usul Penyata Jawatankuasa Hak dan Kebebasan – Penggantungan Tugas Ahli Parlimen Permatang Pauh Selama Enam Bulan. Usul ini dibentangkan kerana Ahli Parlimen Permatang Pauh mengelirukan Dewan dengan kenyataannya APCO mencipta slogan 1Malaysia dan ia dinafikan oleh pihak kerajaan dan syarikat APCO sendiri.   Isu APCO ini dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh dalam perbahasannya pada semasa perbahasan Bajet 2011 di peringkat dasar.   Ahli-ahli pembangkang bangun mempertikaikan usul tersebut dan akhirnya tidak dapat dibahaskan.  Ketika ini susana Dewan amat riuh, ramai ahli pembangkang bangun menunjukkan sepanduk..seperti APCO, zalim  dan sebagainya  serta  jerit menjerit.Suasana persidangan pada hari itu penuh hiruk pikuk dan berlaku demontrasi dalam Dewan.  Ini mungkin kali pertama dalam sejarah persidangan.    Ketegangan amat terasa sekali dan penulis merasakan inilah suasana paling tegang dan tidak terkawal dalam persidangan Parlimen.  Dalam suasana sedemikian, usul tersebut dipersetujukan tanpa bahas. Suasana berlarutan sehingga 11.30 pagi dan semua Ahli Parlimen pembangkang keluar Dewan (kecuali YB Seputeh – keluar pada pukul 12.20 tengahari), di mana  ketika itu,  Menteri di Jabatan Perdana Menteri sedang membentangkan usul kedua iaitu Penggantungan Tugas Ahli Parlimen Selama Enam Bulan   Usul ini adalah untuk menggantung Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Subang  dan Gombak kerana menghina Dewan, dimana mereka telah membuat kenyatan akhbar mengenai perakuan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan tersebut sebelum di bentangkan di Dewan Rakyat.   5  orang ahli iaitu YB Kota Belud, Pasir Mas, Kinabatangan, Jasin dan Wangsa Maju serta beberapa ahli yang mencelah  semasa membahaskan  usul tersebut dan usul dipersetujukan, dan mereka digantung 6 bulan.  Akhirnya pukul 1.02 minit, semua urusan Kerajaan telah selesai dan Dewan ditangguhkan (sine die) kepada satu tarikh yang akan ditetapkan.  Penangguhan Dewan Rakyat lebih awal dari masa ditetapkan  adalah  jarang berlaku.

    ii.        Pada 21 Oktober 2016 (Jumaat) Mesyuarat Ketiga, Penggal Keempat Parlimen Ketiga Belas,  pembentangan Bajet 2017 yang bermula jam 4 petang terhenti seketika apabila pembangkang tidak puas hati dengan kenyataan Perdana Menteri bahawa pembangkang bermain sandiwara  kononnya Malaysia mengharungi ribut ekonomi yang sukar.  Ahli Parlimen pembangkang yang tidak berpuas hati terus berdiri dan mengangkat pelekad '#Siapa MO1?' selain cuba mengganggu pembentangan bajet sehingga memaksa Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia campur tangan.  Tindakan sedemikian, adalah kali pertama dalam sejarah pembentangan Bajet di Parlimen Malaysia.

Seterusnya  sebahagian besar Ahli Parlimen pembangkang telah keluar Dewan Rakyat. Tindakan itu disertai Ahli Parlimen Pakatan Harapan dan Presiden Parti Peribumi Bersatu Malaysia.  Mereka keluar dari dewan sambil membawa plakad '#Siapa MO1?', sebelum menemui media di lobi Parlimen.  Ahli-ahli Parlimen PAS tidak keluar Dewan kecuali  Ahli Parlimen Pokok Sena

          
   iii.        Pada 29 Mac 2018, persidangan Dewan Rakyat di Mesyuarat Pertama, Penggal Keenam, Parlimen Ke-13,   Semasa Usul Kewangan (Keras Statut) berkaitan  Akta Barang dan Perkhidmatan 2014 hendak di persetujukan, pada pukul 1.03 tengahari, lebih 15 Ahli Parlimen dari pembangkang minta belah bahagian, tetapi Timbalan Yang di-Pertua putuskan belah bahaagian akan dibuat pada jam 2,30 petang nant.  Ketika  itu beberapa Ahli tidak puas hati.  Pada  pukul 2.30 petang, Timbalan Yang di-Pertua yang mempengerusi Mesyuarat telah mengarahkan undi belah bahagian.  Walau bagaimanapun  Ahli  Parlimen Pembangkang  membantah kerana diminta sebelah pagi. Tetapi Ahli Parlimen Kerajaan (BN) mendesak supaya diteruskan.  Akhirnya YAB Timbalan Perdana Menteri  minta belah bahagian yang disokong oleh semua Ahli Parlimen BN.   Pihak .pembangkang tidak bersetuju kerana ini tidak  mengikut kebiasaan dan kesemuanya  keluar Dewan. Keputusan undi   ialah Setuju: 101 dan Tidak Setuju:0.  Selepas itu, mereka masuk semula ke Dewan.  Besar kemungkinan,  inilah kali pertama  undi belah  bahagian yang asalnya diminta oleh pembangkang tetapi diteruskan dengan permintaan pihak Kerajaan..

Kesimpulannya, tindakan keluar Dewan secara beramai-ramai sebagaai tanda protes atau bantahan bukanlah satu sandiwara  atau untuk menarik perhatian  masyarakat semata-mata, kerana tindakan sedemikian mempunyai kewajarannya yang tersendiri berasaskan kemunasabahan isu atau perkara-perkara berbangkit yang dirasai tidak mengikut peraturan atau amalan persidangan Mesyuarat Parlimen. Tidak kira siapa yang menjadi pembangkang, sama ada BN atau PH, PR atau BA, keluar Dewan adalah salah satu cara untuk menunjukan bantahan sama ada suara/permintaan tidak dilayan oleh Yang di-Pertua atau tidak setuju dengan sesuatu penjelasan oleh pihak Kerajaan.

Sunday, 15 July 2018

PERSIDANGAN PERTAMA DI MESYUARAT PERTAAMA PENGGAL PERTAMA PARLIMEN KE-14: – PERLANTIKAN YANG DI-PERTUA DEWAN RAKYAT – ADAKAH SAH?


Persidangan  pada hari ini, 16 Julai 2018  di Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen Ke-14  akan berlangsung selama 20 hari hingga 16  Ogos 2018,  amat dinantikan oleh semua pihak.  Ini kerana  ia adalah sejarah apabila pihak pembangkang sebelum ini atas nama Pakatan Rakyat yang berubah nama kepada Pakatan Harapan telah berjaya membentuk Kerajaan setelah memperolehi majoriti mudah.  Secara peribadi  bagi penulis, persidangan ini adalah yang pertama   selepas penulis bersara sebagai penjawat awam pada 9 Julai 2018 yang lalu.  Jika sebelum ini, selama dua dekad, penulis mengikuti persidangan pertama setiap  Majlis selepas PRU 10, 11, 12 dan 13 di dalam Dewan Rakyat secara dekat, tetapi pada hari ini penulis mengikuti melalui siaran langsung di TV dan juga  melalui internet dari pukul 10 pagi hingga selesai – 1. 15 tenghari.   Oleh kerana setelah sekian lama urusan Parlimen mendarah daging degan penuh penghayatan dan kesetiaan, adalah amat sukar untuk penulis meninggalkan terus hal-hal yang berkaitan persidangan  Parlimen.  Walaupun suasana yang dirasai adalah berbeza antara duduk dalam Dewan dengan melihat dari kaca TV/internet, namun penulis mecatatkan apa yang berlaku di Parlimen pada hari ini seperti yang penulis lakukan selama 20 tahun (1998- 2018).

Sidang pada hari ini bermula dengan  bacaan doa, dan seterusnya Setiausaha Dewan Rakyat telah membaca Proklamasi Memanggil Parlimen  oleh Yang di-Pertua Agong. Seterusnya, ketika Setiausaha Dewan Rakyat  untuk meneruskan urusan pelantikan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, pada jam 10.10 pagi, berlaku sedikit kekecohan  apabila Ahli Parlimen Kota Bharu dan beberapa Ahli yang lain bangun untuk membangitkan Peraturan Mesyuarat  (point of order), namun Setiausaha meneruskan dengan   memklumkan  bahawa pihaknya telah menerima surat dan Usul Pelantikan Yang di-Pertua Dewan Rakyat dari Perdana Menteri bertarikh  2  Julai 2018 dan seterusnya memanggil Perdana Menteri untuk membacakan usul mencadangkan Dato’ Mohamad Arif  Md Yusof sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan telah memastikan bahawa beliau bersetuju untuk berkhidmat  sebagai Yang di-Pertua dan usul di sokong oleh Timbalan Perdana Menteri.   Ketika itu, lebih kurang pukul 10.24 pagi, Ahli-ahli Parlimen Pembangkang telah keluar Dewan menunjukkan bantahan atau tidak menyokong /membantah, dan kelihatan  Ahli Parlimen Rembau tidak keluar Dewan. Oleh kerana tiada  nama lain dicadangkan, maka Setiausaha telah memasyhurkan Dato’ Mohd Arif  Md Yusof sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat.   

Seterusnya Ahli-ahli Parlimen Kerajaan PH telah mengangkat sumpah yang di mulai oleh Perdana Menteri , Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan seterusnya ahli-ahli Parlimen PH yang lain.   Ahli-ahli Parlimen Pembangkang telah masuk semula ke dalam dewan mulai pukul 11. 20 dan seterusnya pada pukul 11.44 pagi pihak pembangkang telah mengangkat sumpah yang diumuai oleh Ahli Parlimen  Bagan Datok, diikuti  Pekan, Tanjong Semberong, Jeli, Ketereh dan seterusnya Ahli parlimen BN yang lain.  Pada pukul 12.22,. Ahli-ahli Parlimen PAS  telah mengangkat sumpah dimulai oleh Ahli Parlimen Marang dan seterusnya oleh ahli-ahli Parlimen PAS yang lain dan berselang seli dengan Ahli-ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak dan seterusnya diakhiri oleh Ahli-ahli Parlimen Bebas iaitu Bagan Serai, Bukit Gantang dan Masjid Tanah.

Suasana ini telah mengulangi sejarah pada 20 Disember 1999, di mana Ahli-ahli Parlimen Pembangkang seramai 42 orang  telah keluar Dewan  kerana membantah pelantikan Yang di- Pertua  yang di katakan tidak memenuhi notis 14 hari mengikut Peratuuran Mesyuarat 4.  Penulis merasakan ini sebagai titik mula yang baik sebagai pembangkang yang aktif dan kelihatan ada keserasian antara Ahli-ahli Parlimen Pembangkang BN dan PAS.  Kebimbangan pihak pembangkang adalah berasas mengenai tempoh notis 14 hari yang mungkin tidak dipenuhi oleh pihak Kerajaan walaupun dinyatakan pihak Setiuasaha telah menerima surat   dari Perdana Menteri yang bertarikh  2 Julai 201.  Ini kerana pada 2 Julai yang lalu, Setiausaha Dewan sebagaimana dilaporkan oleh akhbar menyatakan pihaknya belum dimaklumkan mengenai cadangan nama Yang di-Pertua Dewan.   Seterusnya  pihak Kerajaan PH ada memklumkan pihaknya akan berbincang pada 7 Julai yang lalu.  Keadaan ini menyimpulkan bahawa cadangan tersebut tidak memenuhi tempuh notis namun ramai beranggapan surat kepada Setiausaha di kebelangkan tarikhnya kepada 2 Julai 2018.

Sesuatu yang menarik, bahawa isu pelantikan Dewan Rakyat dipertikaikan telah berlaku sebanyak dua kali  dalam sejarah Persidangan Parlimen  berlaku di bawah pentadabiran Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri pada tahun  1999 dan sekali lagi pada hari ini  setelah beliau  telah dilantik semula sebagai Perdana Menteri apabila PH yang dipimpinnya berjaya menumbangkan BN pada PRU 14 yang lalu.

Seterusnya sekitar jam 12.45 tengaharil,  Yang di-Pertua menjalankan urusan pemilihan  pemilihan dua orang  Timbalan Yang di-Pertua dengan menyatakan  pihaknya menerima  dua surat  iaitu dari Perdana Menteri bertarikh 2 Julai 2018 dan  Ahli Parlimen Bagan Datok  juga bertarikh 2 Julai 2018.  Perdana Menteri mencadangkan YB Datuk Haji Rashid Abdul (Batu Pahat) dan YB Nga Khor Meng (Teluk Intan).  Manakala Ahli Parlimen Bagan Datok Mencadangkan  YB Datuk  Ronald Kiandee (Beluran).   Yang di-Pertua telah mengarahkan undi bersurat bagi memilih dua orang Timbalan Yang di-Pertua sebagaimana peruntukan Perkara 57(3) Perlembagaan Persekutuan, Peraturan Mesyuarat 4(3) dan Perturan Mesyuarat 6(1), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat. Sebelum pengundian bermula, Ahli Parlimen Kuala Krau minta penjelasan,  adakah sah sekiranya hanya satu nama sahaja yang dicadangkan dalam kertas undi. Dan Yang di-Pertua menjawab - sah.  Keputusannya adalah :
YB Datuk Haji Mohd  Rashid Hasnol (Batu Pahat) – 191 undi
YB Nga Khor Meng (Teluk Intan)- 124 undi 
YB Dato’ Seri Dr  Ronald Kiandee (Beluran).- 93 undi.


Urusan terakhir pada sidang  hari ini  ialah  usul keselamatan oleh Kementerian Dalam Negeri oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri dan disokong oleh Tumpat.  Ketika ini  terdengar suara minta kebenaran “ Peraturan Mesyuarat” oleh seorang Ahli Parlimen tetapi tidak diindahkan oleh Yang di-Pertua.   Penulis mengharapkan Peraturan Mesyuarat 4 akan dibangkitkan pada hari Rabu, 18 Julai nanti bagi mempertikaikan bagi mendaapatkan penjelasan Yang d-Pertua mengenai perakara tersebut.  Apa yang jelas setakat ini adalah kenyatan “ surat Perdana Menteri  pada 2 Julai 2018” dipertikiaikan dan mungkin tarikh yang dibelakangkan.  Ini adalah penting bagi pihak pembangkang untuk membuktikan berlakunya ketidak patuhan Peraturan Mesyuarat walaupun ia sukar dibuktikan.


Sebagai penutup, penulis  petik catatan penulis pada 20 Disember 1999 sebagai perbandingan:-

“  Sejurus selepas bacaan doa dan Setiausaha Dewan Rakyat membacakan Perisytiharan Memanggil Parlimen Kesepuluh, Y.B. Pendang (Ketua Pembangkang) telah bangun mencelah. Berkali-kali Setiausaha menegurnya supaya duduk kerana belum ketikanya berucap. Y.B. Pendang tetap berucap dan menyatakan sidang ini tidak sah kerana pengisytiharan Memanggil Parlimen dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong sebelum kabinet baru dibentuk. Setiausaha Dewan menjelaskan ia adalah sah. Y.A.B. Perdana Menteri bangun mencelah dan menegaskan adalah menjadi tugasnya menasihatkan Agong. Pada masa itu, walaupun Jemaah Menteri belum dibentuk, tetapi Kerajaan yang ada adalah sebagai caretaker goverment. Keadaan semakin bising dan Setiausaha Dewan Rakyat meneruskan aturan urusan dengan pelantikan Yang di-Pertua.


            Sekali lagi Y.B. Pendang dan Kuala Kedah serta diikuti oleh Y.B. Bukit  Mertajam bangun mempersoalkan pelantikan Yang di-Pertua yang didakwa tidak cukup notis 14 hari. Walaupun penjelasan diberi, namun mereka tidak berpuas hati dan akhirnya meninggalkan dewan pada jam 11.00 pagi. Yang di-Pertua meneruskan sidang dengan angkat sumpah.  Namun akhirnya lebih kurang 11.45 pagi mereka masuk kembali untuk mengangkat sumpah.  Sekiranya tidak angkat sumpah, mereka tidak boleh menjalankan tugas di dalam dewan, malah tidak boleh menerima segala kemudahan-kemudahan sebagai Ahli Parlimen.”


Sri Medan, Batu Paahat, Johor,
16 Julai 2018, 1.30 tgh


Sunday, 8 July 2018

"Pengikut Syiah Ada Hak… – Kenyataan Menteri Agama” : Motivasi Kepada Pengikut Syiah di Malaysia


Ketika ditanya wartawan Malaysiakini, sama ada  pengikut Syiah akan mendapat pembelaan yang selaras dengan undang-undang oleh kerajaan PH, Menteri agama baru menjelaskan  pengikut mazhab itu tetap mempunyai hak sebagai warganegara selagi tidak melakukan jenayah. (Malaysiakini, 6 Julai 2018).  Kenyataan tersebut seolah-olah memberi lampu hijau kepada pengikut syiah untuk bergerak aktif di Negara ini.   Pada hal Menteri agama menyedari  fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwl Islam 1996 yan memfatwakan ajaran syiah terkeluar ajaran Islam.   Mengapakah beliau berpandangan demikian? Penulis melihat pandangan ini selari dengan tuntutan COMANGGO yang menuntut Malaysia mengiktiraf syiah atas nama kebebasan beragama.  Tuntutan ini pula termasuk dalam perjanjian hak asasi manusia yang akan ditanda tangani oleh Kerajaan PH sebagaimana kenyataan Menteri Luar Negeri.
Seterusnya beliau menyatakan “Agama rasmi ialah Islam dalam perlembagaan dan ia bebas untuk dipraktikkan. Dalam konteks ini, saya tak boleh cabuli klausa mengenai bebas agama (dalam perlembagaan)," katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini.  Disini juga beliau silap bila menyebut perkataan “ agama rasmi“, sedangkan dalam Perlembagaan disebut dengan jelas “ Islam adalah agaama bagi Persekutuan”. Rasmi bermaksud acara rasmi semata-mata, sedangkan “agama bagi Persekutuan”  bermaksud agama bagi negara in atau dengan lain perkataan agaama bagi negara ini adalah Islam.  Beliau juga silap menyatakan “ bebas agama” sedangkan Perlembagaan menyebut  seperti berikut:
“3. (1) Ugama Islam ialah ugama bagi Persekutuan; tetapi ugama-ugama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.”

Ini bermakna  agama-agama lain boleh diamalkan dengan  aman dan damai dinegara ini, bukan bermakna ia bebas beragama termasuk orang melayu Islam untuk menganut apa-apa agama tanpa sekatan. Jika demikianlah pandangan Menteri agama, bagaimanakah Kerajaan PH dapat menjamin keutuhan Perkara 3(1) tersebut.  Mungkinkah Islam   dapat dipertahankan dan juga mungkinkah ini pendekatan baharu untuk memperkasakan Islam di Negara ini?



KEJANGGALAN BAJET 2025!!!

Setelah tiga kali Perdana Menteri 10 membentangkan Belanjawan/Bajet Tahunan, inilah kali pertama penulis mengikuti sepenuhnya pembentangan B...