Thursday, 15 October 2020

PERSIDANGAN DEWAN RAKYAT 18 MEI 2020 – ADAKAH SAH?

Persoalan ini timbul  kerana terdapat pihak yang tidak bersetuju dan mempertikaikan persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 hanya satu hari umtuk urusan Titah Diraja sahaja dan  secara langsung mengenepikan urusan-usrian lain termasuk usul-usul yang dikemukakan oleh pihak pembangkang khususnya Usul Undi Tidak Percaya Terhadap Perdana Menteri.

Pada 15 Mei 2020, peguam, R Kengadharan dan seorang aktivis sosial,  Arumugam memfailkan saman dengan menamakan Perdana Menteri  dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff sebagai defendan pertama dan kedua bagi  memohon satu deklarasi bahawa sidang Parlimen pada 18 Mei itu adalah batal dan tidak sah kerana ia hanya mendengar titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, oleh itu bercanggah dengan Perkara 55 (1) Perlembagaan Persekutuan. Mereka mendakwa sidang itu sekadar wayang kerana tidak terdapat acara penting lain yang berlangsung seperti dinyatakan di bawah Peraturan Mesyuarat 14 Dewan Rakyat.

Pada 7 Julai 2020 dilaporkan bahawa , Setiusaha Dewan Rakyat (SUDR) telah mengemukakan affidavit  menyatakan bahawa persidangan sehari Dewan Rakyat yang diadakan pada 18 Mei lalu adalah sah dan mematuhi peruntukan Perlembagaan dan. menegaskan mengikut Perkara 63(1) Perlembagaan, prosiding dalam majlis parlimen dan tidak boleh dipersoalkan di mana-mana mahkamah. Afidavit difailkan pada 22 Jun lalu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur . (BH Online, Julai 7, 2020 @ 7:21pm)

Pada 3 September 2020, : Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur  memutuskan persidangan Parlimen selama sehari pada 18 Mei lalu adalah sah dan mengikut undang-undang walaupun ia bukan normal dan tidak pernah berlaku sebelumnya.  "Saya akui bahawa persidangan itu luar biasa dan belum pernah terjadi sebelum ini, tetapi pada pandangan saya, ia bukan sesuatu yang salah, malah ia sah di sisi undang-undang," katanya. Ahmad Kamal berkata, dua surat dari ketua pemimpin Dewan iaitu Perdana Menteri, (Tan Sri Muhyiddin Yassin) bertarikh 17 April dan 12 Mei yang menetapkan 18 Mei untuk berlangsungnya persidangan sehari Parlimen bagi mendengar titah Yang di-Pertuan Agong mengenai bahaya wabak COVID-19, adalah patut dan munasabah. Hakim Ahmad Kamal berkata, keputusan kerajaan untuk mengadakan sidang sehari Parlimen adalah munasabah dan sah memandangkan kerajaan mempunyai kuasa dan berhak melindungi nyawa Ahli Parlimen daripada risiko wabak Covid-19, mengelak wujudnya kluster baharu dan penyebaran virus Covid-19.  (MyMetro. 3 September 2020)

 Catatan September 2020,

Parlimen Kuala Lumpur]

 


Thursday, 24 September 2020

SETIUSAHA DEWAN RAKYAT BAHARU DALAM NORMAL BAHARU


Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 mencatat sejarah apabila  Setiausaha Dewan Rakyat (SUDR) yang baru memegang jawatan tiga bulan ditukar kepada SUDR yang baharu dalam masa seminggu sebelum bersidang. Sekian lama gred jawatan SUDR adalah JUSA C.    Jawatan SUDR adalah jawatan yang diperuntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan perlu perkenan Yang di-Pertuan Agong.
“65. (1) Maka hendaklah ada seorang Setiausaha Dewan Negara dan seorang Setiausaha Dewan Rakyat.

(2) Setiausaha Dewan Negara dan Setiausaha Dewan Rakyat hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong daripada kalangan anggota perkhidmatan awam am Persekutuan dan setiap seorang hendaklah memegang jawatan sehingga dia mencapai umur persaraan paksa bagi anggota perkhidmatan awam am melainkan jika dia terlebih dahulu meletakkan jawatannya atau ditukarkan kepada suatu jawatan lain dalam perkhidmatan awam am itu.”

Setelah bersara SUDR terdahulu,  iaitu Datuk Roosme Hamzah pada 22 Februari 2020 (bersara wajib pada 22 Februari 2019 ( JUSA A-KUP) dan disambung secara kontrak selama 1 tahun(JUSA C)), maka Riduan Rahmat telah dilantik sebagai SUDR mulai 23 Februari 2020 dengan Memengku JUSA C. Sebelum ini beliau adalah Setiausaha Dewan Negara (SUDN) dari 2017 – 2020.  Inilah kali pertama beliau mengemudi Dewan Rakyat, namun tidak sempat bersidang, kira-kira  enam hari sebelum 18 Mei 2020 beliau ditukarkan (dilucutkan jawatannya?).  Ini adalah gara-gara tidak puas hati Jabatan Perdana Menteri (JPM) khususnya Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang mengetahui usul  undi tidak percaya oleh Ahli  Parlimen Langkawi terhadap YAB Perdana Menteri Ke-8 melalui sumber lain (sumber poitik) dan media sosial dan bukannya dari saluran rasmi iaitu dari SUDR  kepada JPM.  Persoalan mengapa beliau tidak memaklumkan kepada JPM telah membawa persepsi bahawa beliau bersepakat dengan Yang di-Pertua Dewan Rakyat  (YDPDR) yang menerima usul tersebut  dan pemakluman melalui media pada  8 Mei 2020.  Akhirnya  pada 13 Mei 2020, beliau ditukarkan ke Bahagian Pengurusan Dewan Negara sebahagian Setiuasaha Bahagian(SUB) dengan dikekalkan memangku JUSA C.  Sesuatu yang pelik, beliau berkhidmat di bawah SUDN (Gred 54) yang juga rakan sejawat dan juniornya sebelum ini yang memegang jawab SUB tersebut.  Beliau tetap tenang dan pasrah serta menyatakan kepada penulis “ itu bukan rezekinya”.

Mengapa  beliau tidak memaklumkan  usul undi tak percaya itu kepada JPM lebih awal?  Usul ini dikemukakan oleh Ahli Parlimen Langkawi secara email pada 4 Mei 2020  (sebelah malam) tetapi telah menghubungi pejabat YDPDR pada jam lebih krang 4.00  petang bagi memastikan ia cukup tempoh notis.  Usul ini dikemukakan mengikut Peraturan Mesyuarat 27(3) sebagai usul ahli persendirian yang memerlukan notis 14 hari.   Sebelum ini, Ahli Parlimen Batu Sapi telah mengemukakan usul dibawah Peraturan Mesyuarat 18 yang antara lain juga mengadungi undi tidak percaya kepada YAB Perdana Menteri pada 1 Mei 2020, tetapi dengan serta merta pihak JPM dimaklumkan.

Persoalannya  mengapa dua bentuk tindakan yang berbeza antara dua usul tersebut? Mengikut norma kerja Bahagian Pengurusan Dewan, Usul Peraturan Mesyuarat  18 yang dipanggil sebagai usul perkara tertentu berkenaan kepentingan orang ramai yang berkehendak disegerakan (sebelum ini dikenali sebagai usul tergempar) memerlukan tindakan serta merta yang selalunya dalam tempoh 24 jam (ketika Dewan bersidang).  Walaupun Dewan belum bersidang, pihak Bahagian Pengurusan Dewan Rakyat dengan serta merta memaklumkan kepada JPM  bagi mendapat ulasan dan pandangan bagi membolehkan  Yang di-Pertua Dewan Rakyat membuat keputusan.  Ini amalan biasa (norma kerja) yang dilaksanakan selama ini.  Tindakan sedemikian yang diambil terhadap usul Peraturan Mesyuarat 18 yang dikemukakan oleh Batu Sapi, tetapi YDPDR telah membuat  keputusan segera  dengan “menerima sebahagian dan menolah sebahagian” sebelum sempat menerima pandangan dari JPM (Keputusan ini kemudiannya juga dimaklumkan dalam kenyataan media 8 Mei 2020).

Tetapi tindakan yang berbeza terhadap usul dibawah Peraturan Mesyuarat 27(3), dimana usul ini memerlukan tempoh notis 14  hari sekiranya  dikemukakan oleh ahli persendirian (ahli bukan ahli Kerajaan).  Sekiranya isi sesuatu usul itu tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan setelah genap tempoh notis, ia akan diterima dengan memasukkan/menyenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat (AUM) selepas susunan usuran-urusan Kerajaan.  Oleh kerana ianya bukan urusan Kerajaan, usul ini tidak mungkin sempat dibentang dan dibahaskan, maka ianya hanya sekadar dalam senarai AUM Dewan Rakyat.  Inilah amalan dan norma kerja yang dilaksanakan selama ini.  Lantaran itu, usul Peraturan Mesyuarat 27(3) -undi tak percaya  kepada YAB Perdana Menteri oleh Ahli Parlimen Langkawi ini tidak diambil tindakan seperti Usul Peraturan Mesyuarat 18  dengan memaklumkan segera kepada JPM oleh Bahagian Pengurusan Dewan Rakyat, maka SUDR bertanggungjawab terhadapnya, dimana beliau pada asalnya beranggapan usul ini telah dimaklumkan kepada JPM.   Sememangnya isu-isu sensitif yang berkait langsung dengan kepentingan Kerajaan sewajarnya dimaklumkan segera kepada Kerajaan.  Disinilah kesilapan dan terlepas pandang SUDR!!   Mengenali beliau sebagai seorang yang merendah diri dan pasrah sebagai government servant  dan menyatakan kepada penulis “ bersyukurlah” – begitulah pasrahnya  beliau.

Sementelah SUDR baharu pula adalah merupakan pegawai PTD yang telah berkhidmat 14 tahun di JPM berkaitan urusan hal ehwal Parlimen iaitu Nizam Mydin Batcha Mydin berkelulusan Sarjana Undang-Undang  dan kini sedang menunggu graduasi  Phd dalam bidang disiplin pengajian undang-undang ( Parlimen) di Universiti Malaya.  Ketika penulis bertugas sebagai Ketua Penolong Setiuasaha ( KPSU) di JPM, beliau telah melapur diri pada tahun 2005  setelah tamat kursus PTD. Antara soalan yang penulis ajukan ialah apakah perbezaan bacaan kali pertama, kedua dan ketiga Rang undang-Undang.  Setelah penulis jelaskan, beliau menyatakan bahawa pengalaman adalah lebih bermakna dari ilmu yang diperolehi di universiti walaupun beliau lulusan undang-undang.  Beliau terkejut apabila pada 12 Mei 2020 (Selasa) telah dimaklumkan oleh ketuanya bahawa beliau sebagai SUDR  yang baharu.  Pada 13 Mei 2020(Rabu), beliau telah menerima surat rasmi dan sebelah petangnya telah melapur diri kepada Ketua Pentadbir Parlmen. Penulis titipkan kata-kata perangsang serta peringatan agar menjaga hubungan harmonis dengan semua staf memandangkan belau masih junior dan keupayaan  beliau melaksanakan tugas sebagai SUDR bergantung kepada  kerjasama semua staf..  Namun, penulis amat terkilan apabla JPA hanya memberi Gred 54 (KUP) sedangkan gred jawatan  SUDR adalah JUSA C.  Beliau tetap bersyukur dan penulis doakan terbaik agar beliau berupaya menggalas tanggung jawab yang diamanahkan dan pastinya akan menghadapi pelbagai cabaran serta dugaan.  

Disini, penulis rakamkan peristiwa ini yang melihat seorang sahabat “tersingkir” didepan mata secara tiba-tiba, dan dimasa yang sama seorang anak didik “termasyhur” tanpa diduga.  Bak kata pepatah “ ditelan mati emak, diluah mati bapak “.  Wahai sahabat-sahabtku, itulah putaran kehidupan didunia yang fana’ ini.”

Putrajaya,
14 Mei 2020


Thursday, 4 June 2020

PEMBUBARAN PARLIMEN – ATAS NASIHAT ATAU KUASA BUDI BICARA YANG DIPERTUAN AGONG

Pada masa ini, situasi politik yang tidak stabil telah menimbulkan pelbagai perbahasan termasuklan kuasa untuk membubarkan Parlimen. Terdapat pandangan bahawa pembubaran Parlimen hanya berlaku apabila Perdana Menteri memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong dan ada juga berpandangan bahawa Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa budi bicara untuk membubarkan Parlimen. Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan “Yang di-Pertuan Agong boleh memprorog atau membubarkan Parlimen.” (Perkara 55(2). Sekiranya tidak dibubarkan, Perkara 55(3) menyatakan “Melainkan jika dibubarkan terlebih dahulu, Parlimen hendaklah terus berjalan selama lima tahun dari tarikh mesyuarat pertamanya dan selepas itu adalah terbubar.”. Inilah peruntukan Perlembagaan Persekutuan mengenai pembubaran Parlimen di negara kita dan jelas Yang di-Pertuan Agong mempuyai kuasa untuk membubarkan Parlimen.

Memanggil, memprorog dan membubarkan Parlimen 
 55. (1) Yang di-Pertuan Agong hendaklah memanggil Parlimen dari semasa ke semasa dan tidak boleh membiarkan enam bulan berlalu antara persidangan yang akhir dalam satu penggal dengan tarikh yang ditetapkan untuk mesyuarat pertamanya dalam penggal yang berikutnya. 
(2) Yang di-Pertuan Agong boleh memprorog atau membubarkan Parlimen. 
(3) Melainkan jika dibubarkan terlebih dahulu, Parlimen hendaklah terus berjalan selama lima tahun dari tarikh mesyuarat pertamanya dan selepas itu adalah terbubar.
(4) Apabila Parlimen bubar suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh enam puluh hari dari tarikh ia bubar dan Parlimen hendaklah dipanggil bermesyuarat pada suatu tarikh yang tidak lewat daripada satu ratus dua puluh hari dari tarikh itu.
(5) Sesuatu Rang Undang-Undang yang belum diputuskan di dalam Parlimen tidaklah terluput disebabkan oleh pemprorogan Parlimen. 
 (6) (Dimansuhkan). 
 (7) Sesuatu Rang Undang-Undang yang menantikan perkenan Yang di-Pertuan Agong di bawah Fasal (4) atau Fasal (4a) Perkara 66 tidaklah terluput disebabkan oleh pemprorogan atau pembubaran Parlimen.” 

Amalan dinegara ini ialah Perdana Menteri akan mengadap Yang di-Pertuan Agong dengan membawa warkah untuk meminta pembubaran Parlimen. Jika diperkenankan, Yang di-Pertuan Agong akan menanda tangani dan menurunkan cop mohor di atas Dokumen Proklamasi Perisytiharan) Pembubaran Parlimen (sebelah atas ) dan seterusnya Perdana Menteri akan menanda tangani dokumen itu disebelah bawah. Berdasarkan amalan inilah, maka Parlimen dibubarkan atas nasihat Perdana Menteri. 

Jika diamati Perkara 40 (1)) memperuntukan : “ hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seorang Menteri” dan Perkara 40(1a) pula “Yang di-Pertuan Agong dikehendaki bertindak mengikut nasihat, atas nasihat, atau selepas menimbangkan nasihat, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu.” Walaupun begitu, Perkara 40(2) pula memperuntukan “Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya” bagi “tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen”. Dalam klausa ini, istilah yang digunakan adalah “permintaan” dan bukannya “nasihat”. Ini bermakna dalam hal pembubaran Parlimen, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa budibicara dan sekiranya tiada kuasa, sudah tentu istilah “permintaan” tidak digunakan.

 “Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat 
 40. (1) Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan ini; tetapi Yang di-Pertuan Agong berhak, atas permintaannya, untuk mendapat apa-apa maklumat berkenaan dengan pemerintahan Persekutuan yang boleh didapati oleh Jemaah Menteri.
 (1a) Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, jika Yang di-Pertuan Agong dikehendaki bertindak mengikut nasihat, atas nasihat, atau selepas menimbangkan nasihat, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu
(2) Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi yang berikut, iaitu: 
 (a) melantik seorang Perdana Menteri;
 (b) tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen;
(c) meminta diadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja yang semata-mata berkenaan dengan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, dan apa-apa tindakan pada mesyuarat itu, dan dalam apa-apa hal lain yang disebut dalam Perlembagaan ini” 

Kesimpulannya, sekiranya ada permintaan dari Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong boleh memperkenan atau tidak memperkenan untuk membubarkan Parlimen. Jika tiada permintaan tersebut, Perkara 55(2) telah memperuntukan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong. Adalah diyakini bahawa baginda akan berhati-hati melaksanakan kuasanya dengan bijaksana.

BERULANGKAH KEMELUT POLITIK – PN MAJORITI 2 KERUSI DAN BAGAIMANAKAH UNDI TIDAK PERCAYA BERLAKU??

Pada bulan Mac yang lalu, penulis melontarkan persoalan – adakah kemelut politik 2020 yang bermula dengan “Langkah Sheraton” akan berakhir dengan Perdana Menteri ke-8 mengangkat sumpah pada 1 Mac 2020 dan Jemaah Menteri baharu pada 10 Mac 2020.

Realiti suhu politik negara masih membahang.  Bermula dengan pelbagai persepsi berkaitan persidangan Parlimen yang dijadulkan pada 9 Mac 2020 ditangguh kepada 18 Mei hingga 23 Jun 2020, kemudiannya pula dipinda lagi hanya bersidang satu hari pada 18 Mei dengan urusan Titah Diraja dan beberapa usul serta bacaan pertama Rang Undang-Undang.  Akhirnya Perdana Menteri sebagai Ketua Majlis memutuskan persidangan pada 18 Mei 2020 itu disingkatkan lagi dengan hanya urusan Titah Diraja sahaja.  Persepsi paling menonjol ketika itu ialah pihak Kerajaan yang diterajui oleh Perikatan Nasional (PN) takut dengan usul yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Langkawi (mantan Perdana Menteri Ke-7) yang mencadangkan undi tidak percaya kepada Perdana Menteri mengikut Peraturan Mesyuarat 27(3).

Penjelasan  Yang di-Pertuan Agong semasa bertitah pada 18 Mei  2020 di Istiadat Pembukaan Penggal  Ketiga Parlimen Ke-14 yang baginda telah meminta Perdana Menteri Ke-7 tidak meletakkan jawatan tetapi tetap  meletak jawatan pada 24 Mac 2020 dan melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin yang pada hemat baginda mendapat majoriti sokongan  Ahli-ahli Dewan Rakyat, tidak mempengaruhi agar suasana politik tenang. Bahkan baginda bertitah supaya “ negara tidak dibawa lagi dalam kancah politik yang tidak menentu” juga nampaknya tidak dihiraukan oleh pemain-pemain politik khususnya tokoh-tokoh utama.

Semasa persidangan Parlimen pada 18 Mei 2020 itu, susunan kedudukan ahli Parlimen Kerajaan ialah 114 kerusi manakala Pembangkang (PH)- 108 kerusi dan BEBAS - 1 kerusi, namun ahli Parlimen Sri Aman telah mengisytiharkan menyokong pembangkang walaupun diletakkan dalam barisan penyokong Kerajaan, maka Kerajaan (PN) mempunyai 113 kerusi sahaja.

Angin politik terus bertiup kencang apabila beberapa hari yang lalu tersibar dimedia sosial 3 orang Ahli Parlimen ( 2 Menteri dan 1 Timbalan Menteri) dari PBBM akan meletak jawatan dan menyokong semula PH.  Namun kemudian dinafikan dan ia adalah khabar-khabar angin sahaja.

Pada 2 Jun yang lalu pula, Ahli Parlimen Sri Gading yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya membuat kenyataan  “ jika perlu akan kembali menyokong Tun dr Mahathir dan PH..sekiranya dapat menyatukan PBBM”. Akhirnya pada 4 Jun 2020, beliau telah menghantar surat kepada Perdana Menteri untuk meletak jawatan sebagai Timbalan Menteri Kerjaya tetapi menyatakan kekal menyokong PN.  Walau bagaimanapun kenyataan itu diragui kerana beliau telah mengunjungi  Tun Dr Mahathir selepas meletak jawatan dan ramai yang percaya beliau kembali menyokong PH.

Politik tetap politik, dan jika melompat parti itu masih sah dan selari dengan hak kebebasan serta demokrasi, maka ia tidak akan terhenti.  Penulis meramalkan situasi melompat parti akan terus berlaku, bukan sahaja keluar dari PN, bahkan  juga akan berlaku masuk ke PN.  Masa akan  menentukan..tunggu dan lihat.

Dimasa yang sama Tun Dr Mahathir dan pihak PH mewar-warkan pihak mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen yang mencukupi bahkan mencapai 129 kerusi  dan bila-bila masa sahaja PH akan kembali menerajui Kerajaan atas nama “ pilihan /amanah rakyat.” 

Dipihak yang lain pula, menganggap ini adalah perang psikologi yang dimainkan oleh pihak PH semata-mata.  Sekiranya benar mereka mempunyai “angka majoriti”, sudah pasti telah berkampung dihadapan istana dan menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Pada masa yang sama, suasana politik di Johor pula juga bergolak dengan kedudukan Kerajaan (PN) menguasai 29 kerusi, manakala PH pula 27 kerusi.  Suara-suara tawar menawar untuk melompat parti kedenganran disana sini. Namun Sultan Johor dalam twiternya bertitah baginda akan membubarkan DUN jika wakil-wakil Rakat berterusan berebut kuasa..  Diharapkan titah ini menyejukkan kehangatan suhu politik di negeri Johor.

Suatu yang menarik, penulis rakamkan disini pandangan pelbagai pihak mengenai undi tidak percaya kepada Perdana Menteri Ke-8 yang dibawa oleh Ahli Parlimen Langkawi semasa persidangan Parlimen pada 18 Mei itu. Dalam kenyataan media, Yang di-Pertua Dewan Rakyat menerima usul itu untuk “dibawa kedalam Majlis Mesyuarat”.  Kenyataan ini telah difahami oleh banyak pihak bahawa usul itu akan dibentangkan dan undian akan dibuat.  Sebenarnya kenyataan ini bermaksud usul itu akan dimaksudkan kedalam aturan Urusan Mesyurat (AUM) dan diletakkan selepas urusan Kerajaan.  Maka usul ini tidak mungkin sempat dinaikkan untuk dibentang, dibahas dan diputuskan kerana ianya bersifat usul persendirian.  Akhirnya ia akan kekal dalam AUM sahaja sehingga selesai persidangan Mesyuarat Parlimen dan tidak secara automatik dibawa ke Mesyuarat berikutnya kecuali ia dikemukakan semula.  Ini telah berlaku kepada Usul Undi Tidak Percaya kepada Perdana Menteri Ke-6 pada tahun 2015 dahulu yang hanya tertera dalam senarai AUM pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Ketiga Parlimen Ke-13.

Oleh yang demikian, usul undi tidak percaya ini hampir mustahil untuk dibahas dan diputuskan dalam persidangan Mesyuarat Dewan Rakyat.  Jika begitu, bagaimana undi tak percaya boleh diterjemahkan?.   Walaupun tidak dinyatakan dengan jelas dalam peraturan Mesyuarat dan Perlembagaan, namun sekiranya pihak Kerajaan gagal mendapat persetujuan Dewan Rakyat untuk RUU Perbekalan sama ada Bajet tahunan atau tambahan,  mengikut konvensyen parlimen di luar negara, ia ditakrifkan sebagai undi tidak percaya kepada Kerajaan.  Dalam konteks sekarang, sekiranya pihak PH boleh mendapat undi belah bahagian sebanyak 112 dan Kerajaan pula 110, secara mudah Kerajaan telah hilang majoriti.  Tetapi sekiranya Kerajaan memeperolehi 112 dan PH pula 110, ini bermakna Kerajaan mempunyai majoriti yang boleh dipercayai walaupun tipis.... yang penting adalah "kesetiaan" dan bukan "permainan politik" semata-mata.  Malahan jika diperingkat untuk meluluskan usul dan Rang Undang-Undang (RUU) sekalipun, mana-mana pihak yang memperolehi undi melalui belah bahagian sebanyak  112 dan keatas, maka ia sudah membuktikan pihak itu memperolehi majoriti.  Tetapi jika kurang dari angka ini, walaupun urusan itu diluluskan oleh Dewan, ianya masih dipertikaikan sebagai majoriti secara keseluruhan kerana perinsip undi belah bahagian ialah berasaskan kehadiran ketika itu serta kelebihan walaupun hanya 1 undi.   

Walau bagaimanapun, bagi Bajet Tahunan (Rang Undang-Undang Perbekalan), sekiranya di peringkat Dasar dan bacaan ketiga tidak dipersetujukan walaupun dengan undi yang kecil dan kurang dari 112, maka konvensyen Parlimen antarabangsa, ia dianggap sebagai undi tidak percaya kepada Kerajaan.  Secara perinsipnya, sekiranya Bajet Tahunan tidak diluluskan oleh Dewan Rakyat, maka Kerajaan tidak boleh berbelanja dan bagaimana Kerajaan hendak nmenguruskan/mentadbir  negara pada tahun itu.

Apa pula terjadi, sekiranya yang tidak diluluskan itu adalah bajet diperingkat jawatankuasa iaitu peruntukan untuk Kementerian tertentu, maka tiadalah peruntukan untuk Kementerian itu, walaupun Bajet diluluskan diperingkat dasar dan bacaan kali yang ketiga.

Lontaran hujahan ini adalah berasaskan kepada situasi undian belah bahagian  bagi Bajet Tahunan sama ada semasa BN atau pun PH memerintah. Insiden berikut adalah buktinya:-
  • Semasa era BN - 
    • RUU Perbekalan 2010(Bajet 2010), di peringkat jawatankuasa (Kementerian Dalam Negeri) diluluskan dengan lebihan 1 undi (setuju 64 dan tidak setuju 63) dan bacaan kali yang ketiga dengan lebihan 3 undi (setuju 66 dan tidak setuju 63) pada 14 Disember 2009 di Dewan Rakyat.
    • RUU Perbekalan 2018 (Bajet 2018), diperingkat jawatankuasa (Kementerian Perdangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi) juga dilulkuskan dengan lebihan 1 undi (setuju 52 dan tak setuju 51) pada 20 November 2017 di Dewan Rakyat.
  • Semasa era PH  - RUU Perbekalan 2020 (Bajet 2020) di peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga diluluskan dengan lebihan 4 undi (setuju 32 dan tidak setuju 28) bagi peruntukan Bekalan/Belanja Mengurus dan 17 undi (setuju 45 dan tidak setuju 28) bagi Belanja Pembangunan.
Apakah situasi lebihan undi yang kecil ini tidak akan berlaku dalam keadaan majoriti keseluruhan yang diperolehi oleh Kerajaan sekarang (PN) adalah kecil. Kebarangkaliannya adalah tinggi, bahkan adalah amat memenatkan sekiranya setiap peringkat jawatankuasa diminta undi belah bahagian. Bayangkanlah ... setiap jawatankuasa ada dua kali undi iaitu bagi Belanja Mengurus (B) dan Belanja Pembangunan (P), maka lsebanyak  52 kali undi belah bahagian boleh diminta bagi 26 Kementerian.   Apakah situasi ini akan berlaku...terpulanglah kepada kekuatan dan strategi pihak pembangkang untuk mengagalkan Bajet  2021 yang akan dibentangkan oleh Kerajan pada bulan November nanti.

Wassalam, satu lontaran pandangan jua,
Putrajaya, 4 Jun 2020/

Tuesday, 19 May 2020

SIDANG PERTAMA PARLIMEN DI BAWAH ERA PN - MAJORITI TIPIS DAN PEMBANGKANG TERKUAT!!!

Sidang pertama Parlimen dalam masa era PN ialah pada 18 Mei 2020 iaitu Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga Parlimen Ke-14. Inilah Mesyuarat Parlimen paling singkat dan ringkas iaitu satu hari sahaja dengan urusan Titah Diraja yang mengambil masa tidak sampai satu jam. (Yang Di-Pertuan Agong bertitah lebih kurang 35 minit).

Sidang ini telah merekodkan kedudukan dan kekuatan pihak Kerajaan dan pembangkang.  Jumlah kerusi penyokog kerajaan yang disusun oleh Yang di-Pertua Dewan ialah 114 kerusi, namun Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat (PSB) telah mengumumkan beliau tersalah letak sebagai penyokong Kerajaan,  Maka jumlah Ahli Parlimen Kerajaan ialah 113 dan pecahan ikut parti adalah seperti berikut:

PBPM (A) - 32
BN - 43 (UMNO - 39, MCA - 2, MIC - 1, PBRS - 1)
PAS -  18
GPS - 18 ( PBB - 13, PRS - 2, PDP - 2, SUPP - 1)
PBS - 1
STAR - 1

Jumlah Ahli Parlimen Pembangkang pula ialah 108, iaitu:-
DAP - 42,
PKR - 39
PAN - 11
PPBM (B) - 5
WARISAN - 9
UPKO - 1
PSB - 1

BEBAS pula hanya 1 (Ahli Parlimen Serian).

Namun ada laporan yang menyebut jumlah kerusi pembangkang ialah 107 dan Bebas - 2.

Kesimpulannya, ketika ini pihak Kerajaan (PN) mempunyai kelebihan 3 kerusi, majoriti yang paling tipis dalam sejarah negara ini dan Parlimen Malaysia khasnya.  Berbanding dengan pihak PH yang menerajui Kerajaan selepas PRU 14 (9Mei 2018) ialah 10 kerusi, tetapi bertambah dari masa kesemasa kerana wujudnya Ahli-ahli Parlimen yang melompat parti, yang akhirnya pada sidang Parlimen di Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua Parlimen Ke-14 (November/Disember 2019)  mempunyai 138 kerusi.  Namun apabila PBBM dan 11 Ahli Parlimen PKR keluar PH serta Perdana Menteri Ke-7 meletak jawatan pada 24 Februari 2020, maka runtuhlah PH sebagai Kerajaan dan kini kembali sebagai pembangkang yang terkuat dalam sejarah.

Persoalannya, apakah kedudukan ini kekal atau berubah, maka masa yang akan menentukannya. Penulis meramalkan  persidangan Dewan Rakyat pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Parlimen Ke-14 yang dijaduakan pada 13 Julai hingga 27 Ogos 2020 akan hangat, tidak menentu dan riak gelombang yang memungkinkan tercetusnya tsunami politik di Parlimen Malaysia.  Sudah tentu Usul Undi Tak Percaya kepada  Perdana Menteri Ke-8 oleh Ahli Parlimen Langkawai ( Perdana Menteri ke-7) akan dikemukakan semula pada Mesyuarat ini  setelah tidak dapat dibentangkan walaupun diterima oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat berikutan keputusan Ketua Majlis menyingkat kan persidangan pada 18 Mei 2020 ini dengan hanya urusan Titah Diraja.

TUNGGU  DAN LIHAT---APAKH SETERUSNYA AKAN BERLAKU !!! WALAUPUN YANG DI-PERTUAN AGONG MENITAHKAH " JANGAN MENGHERET NEGARA SEKALI LAGI  KEKANCAH  POLITIK YANG TIDAK MENENTU"

Sebuah catatan jua.
Putrajaya,
20 Mei 2020 (Rabu).

Monday, 18 May 2020

MESYUARAT KHAS DEWAN NEGARA - BUAT KALI TERAKHIR UNTUK YANG DI-PERTUA


Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri S.A. Vigneswaran mempengerusikan persidangan Dewan Negara buat kali terakhir hari ini, sebelum beliau menamatkan tempoh jawatan itu pada 22 Jun ini. Persidangan ini sebagai Mesyuarat Khas pada jam 11.30 pagi selepas persidangan serentak dengan Dewan Rakyat bagi Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 yang diadalkan pada 10.00 pagi.

Dalam ucapan terakhirnya, beliau berkata;-
·    Tanggung jawab yang dipikul beliau sejak 2014 itu merupakan satu penghormatan yang disanjung tinggi dan tugas yang amat berat kerana perlu sentiasa bersikap adil.
·  Yang di-Pertua pertama dari parti MIC. Katanya. Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau masih  sebagai Presiden MIC. Dalam membuat keputusan, beliau sentiasa berpegang teguh kepada prinsip tidak berat sebelah dalam mengurus dewan dan keputusannya adalah berasaskan kepada Peraturan Mesyuarat Dewan.
·     Turut menyentuh mengenai agenda reformasi Dewan Negara yang berlaku semasa beliau menjadi Yang Dipertua, antaranya pembentukan Jawatankuasa Kerja Reformasi Dewan Negara, penubuhan Kaukus Dewan Negara dan mengesyorkan untuk mengembalikan Akta Perkhidmatan Parlimen 1963.
·    Ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua Ahli Dewan Negara dan warga Parlimen yang sentiasa memberikan kerjasama dalam menjayakan perjalanan urusan Dewan Negara teratur dan baik.
·     Bangga kerana dapat berkhidmat sebagai Yang Dipertua Dewan Negara di bawah naungan tiga Yang di-Pertua Agong, tiga Perdana Menteri dan tiga gabungan parti kerajaan.
Persidangan Dewan Negara ditangguh selepas ucapan beliau kesuatu tarikh yang tidak ditetapkan pada jam 12.00 tengahari..


Catatan jua , 

18 Me1 2020, 


Sunday, 17 May 2020

HARI BERSEJARAH – PERSIDANGAN MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KETIGA PARLIMEN KE-14

Dua tahun telah berlalu, 5 April 2018 adalah hari terakhir penulis berada dibangunan utama yang menempatkan Dewan Rakyat dan Dewan Negara .   PRU 14 bukan sahaja bersejarah kerana berlaku perubahan Kerajaan dari BN kepada pakatan pembangkang iaitu PH, malah secara peribadi memberi kesan mendalam juga menyingkirkan penulis dari tugasan yang telah laksanakan  lebih dua dekad.  Hari ini, penulis hadir semula pada hari pertama persidangan Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 bagi menjalankan tugas yang mandarah daging dalam kerjaya dan kehidupan. Inilah catatan penulis.

Tarikh 18 Mei 2020, adalah tarikh bersejarah dan melakar komposisi yang unik bagi Parlimen Malaysia kerana:-

  •         Bersidang sehari sahaja dan hanya urusan Titah Diraja bagi Pembukaan Penggal Parlimen Ketiga Parlimen Ke-14. Belum pernah berlaku dalam usia 61 tahun Parlimen Malaysia, bahkan persidangan pertama  di Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen Pertama pun bersidang dua hari iaitu 11 dan 12 September 1959.  Persamaanya ialah tiada perbahasan untuk Titah Diraja.

  •       Persidangan yang pertama bagi Kerajaan baharu iaitu Perikatan Nasional (PN) setelah mengambil alih dari Pakatan Harapan (PH) pada 1 Mac 2020 dengan pelantikan Perdana Menteri Ke-8. PH yang memerintah selepas memenangi PRU 14, namun runtuh 20 bulan kemudiannya apabila pada 24 Februari 2020, parti Bersatu (PBBM) keluar PH dan 11 Ahli Parlimen  keluar PKR  serta Perdana Menteri Ke-7 meletak jawatan. Inilah juga kali pertama dalam sejarah Kerajaan baharu terbentuk bukan selepas PRU tetapi setelah 22 bulan PH memerintah yang telah hilang majoriti.

  •         Majoriti Kerajaan yang paling tipis dalam sejarah Dewan Rakyat.  Jumlah majoriti Kerajaan iaialh 114 dan jumlah Ahli Parlimen bukan Kerajaan termasuk barisan pembangkang ialah 107 dan Beabs 1, merupakan jumlah terbanyak dalam sejarah.

  •    Ahli Parlimen Langkawi mencipta sejarah sekali lagi apabila duduk di barisan pembangkang yang paling berusia (96 tahun).  Kalau sebelum selepas PRU 14 beliau mencipta sejarah sebagai Ahli Parlmen yang paling berusia (94 tahun) serta menjawat Perdana Menteri untuk kedua kalinya.

  •    PBBM yang merupakan sebahagian gabungan pemerintah dalam PN, namun ahlinya ada yang menjadi pembangkang.  Pengerusi PBBM (Ahli Parlimen Langkawi) dan beberapa penyokongnya duduk dibarisan pembangkang sedangkan Presiden PBBM (Ahli Parlimen Pagoh) sebagai Perdana Menteri.

  •       Bersidang dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dalam usaha  menangani penularan wabak COVID-19.

Suasana persidangan tenang dan aman , tiada perkara yang tidak diingini berlaku. Lebih kurang jam 10.10 pagi, persidangan bermula dengan bacaan doa oleh Setiuasaha Dewan Negara dan Setiausaha Dewan Rakyat mengurusetiakan Mesyuarat (beliau baharu saja dilantik mulai 13 Mei 2020 dan ini adalah tugasnya yang pertama).

Semasa bertitah, DYMM Yang di-Pertuan Agong telah memaklumkan sinario perletakan jawatan oleh Perdana Menteri Ke-7 pada 24 Februari walau pun baginda menasihatkannya jangan meletak jawatan.  Pada 25 dan 26 Februari 2020 baginda mengadakan pertemuan secara berseorangan dengan semua Ahli Dewan Rakyat untuk sokongan mereka.  Pada 29 Februari 2020 pula baginda menitahkan semua parti-parti politik mencalonkan seorang ahli Dewan Rakyat sebagai bakal Perdana Menteri.

Seterusnya baginda bertitah “ Sudah tentu setiap pertandingan pasti kana da penamatnya.  Kemelut politik negara tidak boleh dibiarkan berlarutan dan berpanjangan.  Lantaran itu setelah melalui semua proses tersebut dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, Beta telah mendapati YAB Tan Sri Muhyiddin bin Haji Yassin telah mendapat kepercayaan majoriti Ahli-Ahli dewan Rakyat  dan dengan demikian selayaknya dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-8.”

Seterusnya baginda menyentuh pelbagai perkara dan isu terutama kesan ekonomi, politik dan sosial yang disebabkan oleh wabak COVID-19. Perkara-perkara lain yang disentuh ialah Pakej Rangsangan Ekonomi, perpaduan,  keselamatan  dalam negara, dasar luar negara, menangani Pendatang Asing tanpa izin, program-program ekonomi dan pembangunan negara,Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, RMK-12, aktiviti pelaburan, peluang perkerjaan, pemerkasaan Pendidikan dan latihan TVET, pembangunan dan infrastruktur di Sabah dan Sarawak, kesejahteraan masayarakat bandar dan skim perumahan negara, kos sara hidup, isu ekploitasi kanak, penggubalan RUU pekerja sosial, pembangunan industri komoditi, memperkasakan perkhidmatan kesihatan termasuk orang asli, isu alam sekitar dan pemerkasaan undang-undangnya, memulihkan sektor pelancungan, persidangan APEC, isu rasuah dan amalan tadbir urus yang baik (Pelan Anti Rasuah Nasional), dan menghargai sumbangan perkhidmatan awam, tentera dan polis serta seruan rakyat memberi kerjasama kepada Kerajaan.

Sebelum mengakhiri titahnya, baginda berpesan kepada Ahli-Ahli Dewan Rakyat:-
·        Sebagai pemimpin,  Ahli-ahli Yang Berhormat menjadi teladan dalam menyemai nilai-nilai positif kepada rakyat.
·        Perbezaan pendapat tidak seharusnya diakhiri dengan permusuhan dan caci mencaci.
·        Hendaklah mempamerkan kematangan dalam berpolitik.  Ini termasuk menjiwai keluh kesah rakyat, membela nasib rakyat, berpegang kepada  perinsip keadilan, membudayakan politik ynag bersih, tidak menyentuh sensitiviti agama dan bangsa mahupun kedaulatan serta kedudukan Raja-Raja Melayu.
·        Jangan mengheret negara  sekali agi ke kancah politik yang tidak menentu ketika rakyat berhadapan dengan pendemik COVID-19.
·        Rakyat akan akan terus erat bersatu padu dan sepakat jika tidak disogok dengan api permusuhan dan perpecahan.

Majlis pembukaan Penggal Parlimen ini telah berakhir pada  jam 10.50 pagi dengan jayanya.

Suatu catatan jua.

Di Bangunan Parlimen Malaysia.
18 Mei 2020- 11.30 pagi

KEJANGGALAN BAJET 2025!!!

Setelah tiga kali Perdana Menteri 10 membentangkan Belanjawan/Bajet Tahunan, inilah kali pertama penulis mengikuti sepenuhnya pembentangan B...