Sunday, 22 August 2021

USUL KEPERCAYAAN TERHADAP PERDANA MENTERI – PERLUKAH?

 Istilah “Usul Kepercayaan” atau “Usul Undi Percaya” – Mana Yang Tepat?


1.   Istilah “kepercayaan” adalah selaras dengan istilah/perkataan yang digunakan dalam Perlembagaan Persekutuan, seperti peruntukan berikut:-

 

 Perkara 43 (2) (a) iaitu:

“Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu”;

dan

Kedua, Perkara 43 (4) iaitu:

“Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong”.

 

Oleh itu, istilah yang sesuai adalah “usul kepercayaan” berbanding dengan istilah “usul undi percaya, dimana perkataan undi percaya tidak disebut dalam Perlembagaan Persekutuan.  Tambahan pula “undi” sama ada undi suara atau belahbahagian, adalah proses untuk mempersetujukan/memutuskan usul tersebut.

 

Usul Kepercayaan Terhadap Kepimpinan Perdana MenterI Yang lalu.

 

2.    Amalan di Dewan Rakyat pada masa yang lalu adalah dibentangkan usul kepercayaan atau menyokong kepimpinan  Perdana Menteri yang baharu dilantik selepas usul ucapan takziah atau ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri terdahulu. Ini bermakna usul ini dikemukakan terhadap Perdana Mentri yang dilantik  bagi menggantikan Perdana Menteri yang mengundur diri atau meninggal dunia dalam tempoh Majlis Parlimenyang sama (5 tahun). Walau bagaimanapun, usul sedemikian tidak dikemukakankan terhadap Perdana Menteri yang dilantik selepas pilihan raya umum.

 

3.       Terdapat  beberapa  usul  kepercayaan atau sokongan  terhadap kepimpinan Perdana Menteri yang pernah dibentangkan di  Dewan Rakyat.

 

1)    Usul Ucapan Tahniah dan Kepercayaan  Kepada YAB Datuk Hussein Onn  Sebagai Perdana Menteri, 27 Januari 1976.

 

i)                 Usul  ini dikemukakan oleh YB Datuk Senu bin Abdul Rahman (Kuala Kedah) melalui Usul Persendirian dan dibenarkan oleh Kerajaan pada  27 Januari 1976 di Penggal Pertama Parlimen Ke 4.  Kandungan usul adalah seperti berikut:-

 

Datuk Senu bin Abdul Rahman (Kuaa Kedah): Tuan Yang di-Pertua saya mohon mengemukakan satu usul yang berbunyi:

 

“bahawa Dewan dengan ini mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas perlantikan Yang Amat Berhormat Datuk Hussein Onn sebagai Perdana Menteri dan menyatakan sokongan sepenuhnya kepada beliau bagi melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya. “(Penyata Rasmi DR- 27 Januari 1976, hal 9921)

 

ii)               Usul kepercayaan ini  dikemukakan selepas Usul Merakamkan Perasaan Dukacita Atas Kematian Allahyarham YAB Tun Haji Abdul Razak bin Datuk Hussein dan Ucapan Takziah kepada Toh Puan Hajjah Rahah dan Keluarga “ oleh Perdana Menteri.

 

iii)              Usul tersebut dipersetujukan dengan undian suara.  

 

2)      Usul “Mengalu-alukan dan Menyokong Pelantikan dan   Kepemimpinan YAB Dato’ Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi   Ahli Parlimen Bagi Kepala Batas Sebagai  Perdana  Menteri  Malaysia Yang Kelima”, 3 November 2003.

 

i)             Usul ini dikemuakakan oleh YB Dato' Ir. Mohd. Zin bin Mohamed [Shah Alam] yang juga sebagai   Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BNBCC) seperti berikut:  

 

“Tuan Yang di-Pertua, terlebih dahulu saya suka merakamkan     ucapan jutaan terima kasih kerana diberikan keizinan untuk     membawa satu Usul di bawah Peraturan Mesyuarat Dewan     Rakyat     27(3), Dewan ini mengambil ketetapan berikut:

Bahawasanya Dewan ini mengiktiraf dan   mengucapkan setinggi terima kasih terhadap segala         jasa dan bakti Yang Berhormat Ahli Parlimen bagi Kubang Pasu dalam konteks menerajui kepemimpinan     kerajaan dan negara Malaysia ketika menjadi Perdana     Menteri selama 22 tahun, selain merestui keputusan beliau untuk mengundurkan diri dan melepaskan jawatan Perdana Menteri;

Bahawasanya Dewan ini mengalu-alukan dan     menyanjung tinggi pelantikan Yang Amat Berhormat     Ahli Parlimen bagi Kepala Batas sebagai pengganti     Yang Berhormat bagi Kubang Pasu sebagai Perdana     Menteri Malaysia yang baru;

Menyedari bahawasanya pelantikan ini akan membawa kepada kesinambungan dasar dan proses pembangunan negara, khususnya dalam bidang-bidang ekonomi, pendidikan serta sosial bagi mewujudkan bangsa Malaysia yang berdaya saing, jati diri tinggi, cintakan negara serta keprihatinan bercirikan adat resam ketimuran serta mengamalkan ajaran dan       amalan pelbagai agama;

Menyedari pelantikan ini akan menerus dan mempertingkatkan usaha pembangunan Malaysia     menjadi negara maju bagi mencapai matlamat Wawasan 2020;

Menyedari pelantikan ini akan memperkasa lagi usaha kerajaan dan rakyat bagi menyerlah dan menjunjung     Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang progresif dan dinamik yang diiktiraf dan dihormati dunia;

Bahawasanya pelantikan ini akan menyerlah lagi     kepemimpinan dan menonjolkan keupayaan Yang Amat     BerhormatAhli Parlimen bagi Kepala Batas sebagai pemimpin tertinggi negara dengan ciri dan gaya kepemimpinan yang tersohor dan dihormati;

Bahawasanya pelantikan ini akan membawa kepada perpaduan dan keharmonian rakyat Malaysia yang semakin jitu melalui dasar-dasar integrasi nasional selain mampu meningkatkan usaha membentuk ciri-ciri     keluarga bahagia dan menyumbang kepada pembangunan negara;

Dengan ini, semua Ahli Dewan Rakyat mengambil ketetapan dan berikrar memberikan janji-janji dan     komitmen yang jitu dalam melaksanakan amanah serta tanggungjawab selaku Ahli Dewan Rakyat;

Dengan ini, semua Ahli Dewan Rakyat memperkasa     keyakinan dan perpaduan dalam permuafakatan dan kesetiaan yang tidak berbelah-bagi terhadap Yang     Amat Berhormat Ahli Parlimen bagi Kepala Batas     selaku Perdana Menteri Malaysia; dan

Dengan ini, bahawasanya Dewan ini berdiri teguh sambil menyokong sepenuhnya pelantikan dan kepemimpinan Yang Amat Berhormat Ahli Parlimen bagi Kepala Batas selaku Perdana Menteri Malaysia yang kelima.[Penyata Rasmi DR-3.11.2003, hal.37].

 

ii)       Usul ini sebenarnya Usul Ahli Persendirian yang dibenarkan oleh Kerajaan dan dianggap   seolah-seolah sebagai usul Kerajaan yang disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat   Dewan Rakyat pada 3 November 2003 di Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Palimen ke- 10. Ia diletakkan giliran kedua  selepas Usul Kerajaan oleh Perdana Menteri [Dato' Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi]: iaitu  Usul “Penghargaan dan Terima Kasih Kepada Yang Berhormat Tun Dr. Mahathir bin  Mohamad Ahli Parlimen Bagi Kubang Pasu.

 

iii)                 Usu ini dipersetujukan dengan undian suara.

 

 

Cadangan Usul Kepercayaan Terhadap Kepimpinan  YAB Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin bin Haji Md Yasin, Ahli Parlimen Pagoh Sebagai Perdana Menteri Malaysia

 

4.    Pada 4 Ogos 2021, Kerajaan telah memutuskan akan  membentang dan membahaskan suatu usul kepercayaan terhadap kepimpinan YAB Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin bin Haji Md Yasin (TSMY), Ahli Parlimen bagi kawasan Pagoh sebagai Perdana Menteri Malaysia di Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat Parlimen Ke-14  pada 7 September 2021. YAB Timbalan Perdana Menteri atau YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) akan membentangkan usul tersebut.  Namun usul ini tidak menjadi kenyataan apabila TSMY meletakkan jawatan pada 16 Ogos 20212 setelah kehilangan sokongan majoriti (100 Ahli Parlimen yang menyokong, setelah 15 Ahli Parlimen UMNO menarik balik sokongan).

 

 

5,    Pada masa lalu, usul sedemikian dikemukakan oleh Ahli Parlimen penyokong kerajaan (Ahli Persendirian) adalah sesuai kerana ia dikemukakan selepas usul ucapan terima kasih dan penghargaan Perdana Menteri yang bersara atau meninggal dunia.  Dimana usul ucapan terima kasih ini dikemukakan oleh Perdana Menteri yang baharu. Walau bagaimanapun, pihak kerajaan hendaklah memberi kebenaran untuk mendahulukan usul oleh Ahli Persendirian tersebut.

 

6.    Berdasarkan situasi sekarang, adalah lebih munasabah dan sesuai usul kepercayaan ini dikemukakan oleh pihak kerajaan sebagai Usul Kerajaan.  Dengan demikian, pihak kerajaan terus memberi keutamaan usul ini selepas Titah Diraja.  Pada asalnya usul dijangka   diletakkan sebagai susunan pertama  dalam susunan Aturan Mesyuarat dan Usul-Usul   pada 7 September 2021, hari kedua persidangan di Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat Parlimen Ke-14. Susunan ini akan dimasukkan dalam buku Aturan Urusan Mesyuarat yang diedarkan kepada Ahli-ahli Parlimen seminggu sebelum bersidang.  Apakah usul ini akan diteruskan kepada Perdana Menteri ke-9, bergantung sama ada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-14 yang bermula 6 September 2021 ini diteruskan atau tidak oleh Kerajaan baharu. TUNGGU DAN LIHAT!

 

Perlukah Usul Kepercayaan Terhadap YAB Dato’ Seri Ismail Sabri, Perdana Menteri Ke-9

 

7.   Disini penulis memetik pandangan/ulasan PROF MADYA SHAMRAHAYU ABD AZIZ, pakar perlembagaan  menyatakan seperti berikut:

i)       Parlimen tidak mempunyai kuasa untuk memberi pengesahan kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong dalam hal pelantikan perdana menteri.

 

ii)     Tiada peruntukan dalam Perlembagaan tentang undi percaya. Ia adalah amalan atau adat perlembagaan yang tidak mengikat sehinggalah ia menjadi suatu undang-undang dengan cara dikanunkan atau diiktiraf oleh mahkamah.

 

iii)    Pelantikan Perdana Menteri adalah sah setelah mendapat perkenan Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong dan seterusnya berlakunya upacara menandatangani suratcara pelantikan, sumpah taat setia dan sumpah simpan rahsia yang kemudiannya lantikan tersebut hendaklah diwartakan.

 

iv)   Sekiranya Tuanku titah untuk diadakan undi percaya, itu adalah bagi tujuan mengukuhkan kedudukan seorang perdana menteri, atau sesebuah kerjaan, bukan untuk memberi pengesahan kepada perkenan yang telah diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Beliau menyimpulkan bahawa  “..Kuasa perkenan Yang di-Pertuan Agong adalah amat berwibawa dan ia tidak perlu disahkan oleh mana-mana pihak, termasuk Parlimen. Maksudnya tiada sesiapa pun boleh mempertikaikannya. Ia adalah kuasa budi bicara Baginda. Membenarkan ia wajib disahkan oleh parlimen dalam apa cara sekalipun ia akan merendah-rendahkan kuasa budibicara/perkenan baginda. Parlimen adalah badan yang patut menurut dan taat kepada perkenan baginda. Justeru, kalaupun baginda titahkan untuk dibuat undi percaya, ia bukan bertujuan mengesahkan atau memberikan keabsahan kepada lantikan yang telah diberi perkenan oleh Baginda. Tindakan mendapatkan undi percaya itu adalah bagi mengukuhkan kerajaan. Dan melaksanakan titah ini adalah baik untuk kerajaan itu sendiri walaupun ia adalah hanya adat perlembagaan.”

Kesimpulannya ialah Usul Kepercayaan terhadap Perdana Menteri Ke-9 bukanlah untuk mengesahkan perkenan Yang di-Pertuan Agong atas lantikannya sebagai  Perdana Menteri.  Ini kerana Perlembagaan telah memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melantik seorang Perdana Menteri.  Tambahan pula Parlimen tidak diberikan kuasa oleh Perlembagaan untuk memberi pengesahan kepada kuasa  Yang di-Pertuan Agong.  Usul Kepercayaan ini adalah “bersifat politik” dan bagi meneguhkan lagi sokongan dan kepercayaan kepada seseorang Perdana Menteri.  Usul ini merupakan amalan bagi menzahirkan sokongan Ahli-ahli Dewan kepada Perdana Menteri yang dilantik bukan selepas/sejurus pilihan raya umum.

Suatu catatan merakam sejarah.

Jenderam Hulu,

22 Ogos 2021.

No comments:

Post a Comment

KEJANGGALAN BAJET 2025!!!

Setelah tiga kali Perdana Menteri 10 membentangkan Belanjawan/Bajet Tahunan, inilah kali pertama penulis mengikuti sepenuhnya pembentangan B...