Saturday, 7 August 2021

USUL PERCAYA KEPADA PERDANA MENTERI - JIKA KALAH, APA BERLAKU?

Pada 4 Ogos 2021, Perdana Menteri dalam siaran langsung  sidang khas media telah memaklumkan usul percaya terhadap Perdana Menteri akan dibentang dan dibahas pada Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat Parlimen Ke-14 yang bermula 6 hingga 30 September 2021 dan sekaligus keabsahan Kerajaan akan ditentukan dalam undian belahbahagian yang pasti akan diminta oleh pihak pembangkang.  

Jika pihak Kerajaan menang dalam undian belahbahagian  itu, walaupun dengan majoriti kecil,  satu atau dua undi pun, maka keabsahan Perdana Menteri dan sekaligus Kerajaan PN tidak boleh dipertikaikan lagi.  Persidangan Dewan Rakyat akan diteruskan dan Kerajaan PN mentadbir seperti biasa.

Sebaliknya, sekiranya pihak Kerajaan kalah dalam undian usul percaya tersebut, persidangan Dewan Rakyat terpaksa ditangguhkan kepada suatu tarikh yang tidak ditetapkan.  Seterusnya  beberapa situasi akan berlaku:

    • Perdana Menteri akan meletak jawatan dan terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong  untuk melantik Perdana Menteri yang baharu mengikut Perkara 43, fasal (2)(a)  Perlembagaan Persekutuan, iaitu:

Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik seorang sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri, seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat itu”; atau

· Perdana Menteri manasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen dan seterusnya melaksanakn PRU 15 dalam tempoh 60 hari. Dalam tempoh tersebut, kerajaan sementara (Caretaker Government) akan mentadbir sehingga terbentuk kerajaan yang baharu.

    Ini diperuntukkan dalam  Perkara 43 (4) iaitu:

    “Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong”.   

  Oleh kerana pandemik COVID-19 belum reda dan kelompok komuniti belum tercapai, darurat boleh diisytiharkan untuk untuk menangguhkan pilihan raya umum dan pilihan raya diadakan dalam tempoh 60 hari selepas darurat tersebut tamat.  Pada masa ini, Proklamasi Darurat bagi Parlimen Batu Sapi dan DUN Bugaya dan Parlimen Gerik masih belum diungkaikan.  Begitu juga terbaharu, Proklamasi Darurat bagi Sarawak dimasyhurkan yang berkuatkuasa 2 Ogos 2021 bagi menangguhkan Pilihan Raya Umum untuk DUN Sarawak..

Secara logiknya, Perdana mempunyai keyakinan bahawa beliau ada sokongan majoriti sehingga berani membenarkan usul percaya terhadapnya.  Walau bagaimanapun, pihak pembangkang juga UMNO mempertikaikan keyakinan tersebut kerana pada 3 Ogos 2021, MKT UMNO telah menarik balik sokongan dan meminta Ahli-ahli Parlimen yang berjawatan meletak jawatan. Disamping itu  8 orang Ahli Parlimen UMNO  telah menulis surat kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat menarik sokongan kepada PN.  Malahan juga semasa catatan ini ditulis, 2 orang Menteri Persekutuan telah meletak jawatan iaitu YB Lenggong ( Menteri Tenaga dan Sumber Asli) dan YB Parit Sulong (Menteri Pengajian Tinggi) dan Pengerusi GLC telah meletak jawatan iaitu Ahli Parlimen Kota Belud.  Bahkan beberapa Ahli Parlimen seperti YB Padang Rengas dan YB Tanjong Karang menyokong PN sehingga pengundian usul percaya tersebut.  Begitu YB Baling yang belum menyatakan pendirian jelasnya dan menyatakan patuh kepada keputusan parti.

Walaupun demikian, Ahli-ahli Parlimen dari UMNO dan BN telah membuat pendirian berbeza.  Pada 6  Ogos  2020, sekitar 12.00 tengahari, Ahli Parlimen Bera yang juga Timbalan Perdana Menteri telah membuat sidang media di DBKL dan menyatakan seramai 21 orang Ahli Parlimen yang hadir dan 10 lagi yang tidak hadir telah memberi sokongan kepada Kerajaan PN sehingga PRU 15 dan patuh dengan titah  Yang di-Pertuan Agong untuk ditentukan keabsahannya melalui udi percaya di sidang Parlimen pada bulan September.  Juga menyatakan sama ada  kerajaan sekarang berfungsi atau tidak selepas bulan September nanti bergantung kepada keputusan di Parlimen.   Beliau juga menyatakan pihak Yang di-Pertuan Agong tidak menberima menghadap mana-mana pemimpin yang mendakwa mempunyai majoriti.

Dalam sejarah persidangan Parlimen, beberapa kali usul  kepercayaan atau menyokong Perdana Menteri dibentang dan dibahas; iaitu:

1)    Usul “Mengalu-alukan dan menyokong pelantikan dan   kepemimpinan YAB Dato’ Seri  Abdullah bin Haji Ahmad Badawi   Ahli Parlimen bagi Kepala Batas  ebagai  Perdana  Menteri Malaysia yang Kelima”, 3 November 2003,

2)  Usul  “Bantahan terhadap tuduhan ahli-ahli kongres Amerika Syarikat ke atas YAB   Perdana   Menteri Malaysia, Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad, 19 November  1997 di Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke - 9 

3) Usul menyokong   dan ucapan tahniah kepada YAB Datuk Hussein Onn sebagai Perdana  Menteri, 7 Januari 1976 di Penggal Pertama Parlimen Ke-4.

Walau bagaimanapun usul kepercayaan atau sokongan terhadap Perdana Menteri tersebut  ketika majoriti Kerajaan yang kukuh (2/3 majoriti), dan dipersetujukan secara undian suara. Ini berbeza dengan usul kali ini adalah dalam suasana majoriti yang kecil dan sering dipertikaikan, dan kali pertama ditafsirkan sebaliknya sebagai undi tidak percaya jika kalah dalam undian usul tersebut.

Justeru  hingga tarikh usul tersebut, adalah suatu penantian yang amat diharapkan oleh kita semua.....penuh kesabaran menanti.  Hingga kesaat itu, diharapka semua  pihak, khususnya UMNO sabar bagi menunggu hari penentuan.  APAKAH YANG BERLAKU DI DUN PERAK, DISEBABKAN UNDI PERCAYA, SEORANG MENTERI BESAR TERSINGKIR DAN DILANTIK MENTERI BESAR YANG BAHARU...AKAN BERLAKU DI PERINGKAT PERSEKUTUAN.

TUNGGU DAN LIHAT......

Suatu catatan.
Jenderam Hulu,
7 Ogos 2021

No comments:

Post a Comment

KEJANGGALAN BAJET 2025!!!

Setelah tiga kali Perdana Menteri 10 membentangkan Belanjawan/Bajet Tahunan, inilah kali pertama penulis mengikuti sepenuhnya pembentangan B...