Friday, 16 October 2020

DEWAN NEGARA MENCIPTA SEJARAH – TIGA CALON DALAM PEMILIHAN YANG DI-PERTUA

 

Jawatan Yang di-Pertua Dewan Negara kosong apabila penyandangnya Tan Sri S.A VIgneswaran telah tamat perkhidmatan sebagai Ahli Dewan Negara sekaligus sebagai Yang di-Pertua pada 22 Jun 2020.   Maka mengikut Perkara 56 Perlembagaan Persekutuan dan  Peraturan Mesyuarat 1, Peraturan-perautan Majlis Mesyuarat Dewan Negara akan menjalankan urusan memilih Tuan Yang di-Pertua pada hari pertama Mesyuarat bagi Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14 yang bermula pada 2 hingga 23 September 2020.

Pada 2 September 2020 di Mesyuarat Kedua Penggal  Ketiga Palimen  Ke-14, Dewan Negara telah mencipa sejarah apabila  telah menerima tiga usul untuk  mencalonkan sebagai Yang di-Pertua iaitu Yang Berhormat Senator Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais bin Yatim, Yang Berhormat Senator Tuan Mohd Yusmadi bin Mohd Yusoff dan Yang Berhormat Senator Datuk Theodore Douglas Lind.  Walau bagaimanapun,  Datuk Theodore Douglas Lind telah menarik diri.  Oleh kerana lebih satu calon, maka undian bersurat dijalankan dan keputusanya:-

 

           Yang Berhormat Senator Tan Sri Dato’ Seri Utama Rais bin Yatim- 45 undi,

Yang Berhormat Tuan Mohd Yusmadi bin Mohd Yusoff- 19 undi,

Jumlah- 64 orang dan seorang tidak hadir

 

Timbalan Yang di-Pertua, Dato’ Seri Abdul Halim yang mempengerusikan Majlis Mesyuarat telah memasyhurkan    Yang Berhormat Senator Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais bin Yatim dipilih menjadi Tuan Yang di-Pertua Dewan Negara  menurut Peraturan Mesyuarat 2(3).

 

“MEMILIH TUAN YANG DI-PERTUA


Timbalan Yang di-Pertua: Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullaahi wabarakaatuh dan salam sejahtera.  Ahli-ahli Yang Berhormat, menurut Perkara 56 Perlembagaan Persekutuan dan mengikut aturan yang dinyatakan di dalam Peraturan Mesyuarat 1, Majlis Mesyuarat Dewan Negara akan menjalankan urusan memilih Tuan Yang di-Pertua.Selaras dengan Peraturan Mesyuarat 2(1), Setiausaha Dewan Negara telah menerima tiga cadangan untuk pemilihan Tuan Yang di-Pertua. Cadangan itu datangnya daripada:

i               (i) Yang Amat Berhormat Perdana Menteri;

ii              (ii) Yang Berhormat Senator Dr. Ahmad Azam bin Hamzah; dan

iii            (iii) Yang Berhormat Senator Datuk Wira Haji Marzuki bin Yahya.

 

Setiausaha: Dengan hormatnya dipersilakan Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengemukakan cadangan memilih Tuan Yang di-Pertua.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) [Dato' Takiyuddin bin Hassan]: Assalamualaikum warahmatullaahi wabarakaatuh dan salam sejahtera.  Tuan Yang di-Pertua, saya mohon mengemukakan usul Yang Amat Berhormat Perdana Menteri mencadangkan iaitu Yang Berhormat Senator Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais bin Yatim dipilih menjadi Tuan Yang di-Pertua Dewan Negara dan mengikut Peraturan Mesyuarat 2(1), beliau telah memastikan bahawa Yang Berhormat Tan Sri bersetuju untuk berkhidmat jika dipilih. Terima kasih.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) [Datuk Haji Shabudin Yahaya]: Tuan Yang di-Pertua, saya menyokong cadangan tersebut.


Setiausaha: Dipersilakan Yang Berhormat Senator Dr. Ahmad Azam bin Hamzah untuk mengemukakan cadangan memilih Tuan Yang di-Pertua.

 

Dr. Ahmad Azam bin Hamzah: Assalamualaikum warahmatullaahi wabarakaatuh dan salam sejahtera. Tuan Yang di-Pertua, saya ingin mencadangkan Yang Berhormat Senator Tuan Mohd Yusmadi bin Mohd Yusoff untuk dipilih sebagai Tuan Yang di-Pertua dan mengikut Peraturan Mesyuarat 2(1). Saya telah memastikan bahawa beliau bersetuju untuk berkhidmat jika dipilih. Terima kasih.

 

Laksamana Pertama Haji Mohamad Imran bin Abd. Hamid: Tuan Yang di-Pertua, saya mohon menyokong.

Setiausaha: Dipersilakan Yang Berhormat Senator Datuk Wira Haji Marzuki bin Yahya untuk mengemukakan cadangan memilih Tuan Yang di-Pertua.

Datuk Wira Haji Marzuki bin Yahya: Bismillahi Rahmani Rahim. Assalamualaikum warahmatullaahi wabarakaatuh. Tuan Yang di-Pertua, saya ingin memaklumkan di sini bahawa Yang Berhormat Senator Datuk Theodore Douglas Lind telah membuat keputusan untuk menarik diri dari mencalonkan diri beliau sebagai Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih.

 

Timbalan Yang di-Pertua: Baik, terima kasih. Ahli-ahli Yang Berhormat, oleh sebab terdapat lebih dari seorang yang telah dicadangkan dan disokong untuk menjadi Tuan Yang di-Pertua, maka mengikut peruntukan Peraturan Mesyuarat 2(3) Majlis Mesyuarat akan membuat pilihan memilih Tuan Yang di-Pertua dengan undi bersurat.

Tuan Ngo Hock Cheh: Tuan Yang di-Pertua, point of order. [[DN 2.9.2020 , MS 2-3 ]

 

 

PERTIKAIAN TAKRIFAN PEMBAWA USUL PEMILIHAN YANG DI-PERTUA DEWAN NEGARA

 

Pertama kali dalam sejarah Majlis Mesyuarat Dewan Negara, pada 2 September 2020, di Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 semasa pemilihan Yang di-Pertua Dewan Negara yang baharu, apabila usul mengenainya dipertikaikan.     Pertikaian ini berpunca dari perbezaan pandangan dalam mentakrifkan Peraturan Mesyuarat 2, Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara.

 

YB Tuan Ngo Hock Cheh telah banguan mengemukakan Peraturan Mesyuarat 2 yang dan menafsirkan bahawa hanya Ahli Dewan Negara yang boleh mengusulkan bagi mencadangkan nama Yang di-Pertua.  Peraturan itu adalah berbunyi seperti berikut:

 

“2 Aturan Memilih Tuan Yang di-Pertua

Aturan memilih Tuan Yang di-Pertua hendaklah seperti yang tersebut di bawah ini:

(1) Tiap-tiap Ahli yang hendak mencadangkan nama Ahli yang hendak dipilih jadi Tuan Yang di-Pertua, mestilah mempastikan terlebih dahulu iaitu Ahli itu suka berkhidmat jika dia dipilih, dan hendaklah memberitahu Setiausaha akan cadangannya, sekurang-kurangnya dua hari sebelum diadakan mesyuarat. ..“

 

Yang Berhormat Senator  berpandangan YAB Perdana Menteri bukan Ahli Drwan Negara dan tidak mempunyai hak untuk mengemukakan usul tersebut.

 

Tuan Ngo Hock Cheh: Tuan Yang di-Pertua, point of order. Saya ingin menarik perhatian Dewan yang mulia ini bahawa pencalonan or nomination of Yang Amat Berhormat tidak teratur dan mematuhi Standing Order 2 yang berbunyi; “Aturan memilih Tuan Yang di-Pertua hendaklah seperti yang tersebut di bawah ini; tiap-tiap Ahli yang hendak mencadangkan nama Ahli hendaklah dipilih jadi Tuan Yang di-Pertua mesti memastikan terlebih dahulu iaitu Ahli itu suka berkhidmat jika dia dipilih dan hendaklah memberitahu Setiausaha akan cadangannya sekurang-kurangnya dua hari sebelum diadakan mesyuarat”.

■1010

Saya ingin berhujah bahawa Yang Amat Berhormat bukan seorang Ahli Dewan Negara. Oleh itu, beliau tidak berhak mencadangkan atau memilih pencalonan- maaf, Tuan Yang di-Pertua. Tadi saya berhujah bahawa oleh kerana Yang Amat Berhormat bukan seorang Ahli Dewan Negara, maka Yang Amat Berhormat tidak berhak mencalonkan Tan Sri Rais Yatim sebagai calon untuk jawatan Yang di-Pertua Dewan Negara.

 

Bukan sahaja Standing Order, kita boleh juga rujuk kepada Perlembagaan Persekutuan di mana Fasal 56 yang disebutkan oleh Tuan Yang di-Pertua, it says, “The Senate shall from time to time choose one of its members to be Yang di- Pertua Dewan Negara (President of the Senate) and one to be Deputy of the Senate, and shall, subject to Clause (3), transact no business while the office of President is vacant other than the election of a President.

 

Jadi, the Senate pun ada the defined dalam Interpretation Act as, I refer to the Interpretation Act on the meaning of Senate. It says- adalah dinyatakan dengan terang- “Senate” or “Dewan Negara” means the Dewan Negara established by Article 44 of the Federal Constitution”. Ertinya, Senator means a member of the Senate. Jadi, adalah jelas Yang Amat Berhormat bukan seorang Ahli Dewan Negara, beliau hanya Ahli Dewan Rakyat.

Jadi, untuk pemilihan jawatan Tuan Yang di-Pertua Dewan Negara, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri tidak berhak mengambil bahagian sebab election adalah termasuk nomination di sisi undang-undang.

So, dengan segala hormatnya, saya menghujahkan bahawa pencalonan oleh Yang Amat Berhormat harus ditolak... [Tepuk] Saya juga ingin menjelaskan bahawa, saya tidak ada apa-apa pergaduhan dengan mana-mana calon atau perselisihan faham dengan sesiapa. Tujuan saya adalah mempertahankan kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan... [Tepuk] [DN 2.9.2020 ms 3].

Pandangan tersebut disokong oleh beberap Ahli termasuk Laksamana Pertama Haji Mohamad Imran bin Abd. Hamid   dan Tuan Liew Chin Tong yang meminta pemilihan Yang di-Pertua ditangguhkan sehingga hari Isnin. 7 September 2020 bagi membolehkan diperaturkan semula walaupun calon yang dicadangkan adalah sama.

Timbalan Yang di-Pertua (Dato’ seri Abd Halim) yang mempengerusikan Majlis Mesyuarat telah menjelaskan bahawa Perdana Menteri mempunyai hak sebagai Ketua Majlis dan beliau adalah sebahagian daripada Dewan Negara.  Beliau juga menjelaskan  tiada mana-mana  peraturan menyatakan hanya Ahli sahaja yang boleh mencalonkan.  Seterusnya beliau menambah “Peraturan Mesyuarat 2(1) menyatakan jika seorang Ahli ingin mencalonkan Ahli yang lain, Ahli yang ingin mencalonkan tersebut perlu memastikan calon suka untuk berkhidmat….”.

  

“Timbalan Yang di-Pertua: Terima kasih Yang Berhormat. Saya mendengar dengan penuh teliti dan faham. Walaupun Yang Amat Berhormat Perdana Menteri bukan Ahli Dewan Negara, namun Yang Amat Berhormat Perdana Menteri adalah Ketua Majlis yang menetapkan tarikh-tarikh Majlis Dewan Negara dan Dewan Rakyat akan bermesyuarat. Rujuk Peraturan Mesyuarat 10(1) dan (2). Memandangkan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri adalah Ketua Majlis yang turut disebut dalam Peraturan Mesyuarat 10(2) Dewan Negara, dapat disimpulkan bahawa Perdana Menteri adalah sebahagian daripada Dewan Negara... [Tepuk] Tiada dinyatakan dalam mana-mana peruntukan Peraturan Mesyuarat bahawa hanya Ahli sahaja yang boleh mencalonkan seorang sebagai calon Tuan Yang di-Pertua.  Peraturan Mesyuarat 2(1) menyatakan jika seorang Ahli ingin mencalonkan Ahli yang lain, Ahli yang ingin mencalonkan tersebut perlu memastikan calon suka untuk berkhidmat dan perlu membuat pencalonan sekurang-kurangnya dua hari sebelum mesyuarat. Peraturan Mesyuarat 2 tidak menyatakan hanya seorang Ahli yang boleh mencalonkan Ahli yang lain sebagai calon Yang di-Pertua Dewan Negara. Itulah sebenarnya... [Tepuk] Dia ada hak ya. Terima kasih. Itu saya kata bahawa Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ada hak dia. [DN 2.9.2020  ms  4]”

 

Begitu juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) mempertahankan hujah Yang di-Pertua bahawa Perdana Menteri sebagai Ketua Majlis mempunyai hak untuk hadir dan mengemukakan apa-apa usul di Di Dewan Negara walaupun tidak boleh mengundi di DiDewan Negara.  Beliau mengulangi bahawa tiada ama-mana peraturan yang menyatakan bukan Ahli tidak boleh mengemukakan usul ini.

Kesimpulannya, Ahli-ahli Dewan Negara khususnya pihak PH memberi pandangannya berasaskan kepada semangat  reformasi  Parlimen dan doktrin  pengasigan kuasa  dengan takrifan selapis sahaja.  Namun setelah sekian lama di amalkan bahawa Perdana Menteri selaku Ketua Majlis mengemukakan Usul Pemilihan Yang di-Pertua sama ada di di Dewan Negara mahupun di Dewan Rakyat.  Sekiranya kaedah ini tidak teratur dan mengikut perautan, adakah pemilihan Yang di-Pertua Dewan Negara selama ini tidak sah dan seterusnya persidangan Dewan Negara juga tidak sah.

Suatu catatan jua.


Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur
4 Septemer 2020

 

Thursday, 15 October 2020

UNDI BELAHBAHAGIAN KEDUA SEMASA RUU PENGUNTUKAN SEMULA – MENGESAHKAN MAJORITI MUDAH BAGI PN



RUU ini dibentangkan  berikutan  penyusunan semula kementerian-kementeri semasa  pembentukan Kerajaan baharu di bawah Perikatan Nasional(PN). RUU yang dibentangkan bacaan pertama oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pada 21 Julai 2020  dan bacaan kedua dan prnggulungan    oleh     Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah pada 17 Ogos 2020.   .  Seterusnya  Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Penguntukan semula peruntukan perbelanjaan) 2020 bagi perkhidmatan tahun 2020 sebanyak RM7,184,083,200 secara undi belahbahagian -  111 undi menyokong daripada 217 Ahli Parlimen yang hadir.  Seramai 106 Ahli Parlimen tidak menyokong manakala lima Ahli Parlimen tidak hadir. Keputusan undi belahbahagian ini mengesahkan sekali lagi bahawa PN mempunyai majoriti mudah walaupun beberapa undi dan sekaligus menafikan dakwaan oleh PH yang kerajaan sekaranmg tiada majoriti.

 

“Seperti petua yang telah saya berikan pada 11 Ogos 2020, saya tempohkan Mesyuarat Dewan selama 10 minit. Terima kasih.

[Mesyuarat ditempohkan pada pukul 3.42 petang]

 ■1550 [Mesyuarat disambung semula pada pukul 3.57 petang]

[Tuan Yang di-Pertua mempengerusikan Mesyuarat] Tuan Yang di-Pertua: Ahli-ahli Yang Berhormat yang menjadi penghitung undi sila ambil tempat masing-masing di hadapan blok Yang berhormat. [Dewan berbelah bahagi] [Pengundian dijalankan]

 ■1600

 Tuan Yang di-Pertua: Ahli-ahli Yang Berhormat, keputusan undian adalah seperti berikut; Ahli-ahli Yang bersetuju 111 orang... [Tepuk] Ahli-ahli Yang Tidak bersetuju 106 orang...  [Tepuk] [Dewan riuh] Ahli yang tidak hadir 5 orang. DR.17.8.2020 89 Oleh itu, rang undang-undang tersebut dipersetujukan. [Tepuk]” [DR-17.8.2020, ms 88]

 Sebelum RUU itu diluluskan, keadaan dewan  kecoh selepas Ahli Parlimen pembangkang mempertikaikan tindakan Yang di-Pertua menangguhkan dewan ketika sesi undian belahbahagian masih belum diselesaikan.   Selepas 10 minit dewan ditempohkan, Yang di-Pertua masuk semula bagi mempengerusikan mesyuarat dan menjalankan  undian belah bahagian tersebut..

 

 

SAMAN PEMULA KESAHAN PEMILIHAN YANG DI-PERTUA DEWAN RAKYAT BAHARU

 

Walau apa pun bantahan dalam Dewan dan urusan pemilihan Yang di-Pertua diselesaikan dan terpaksa diterima oleh pihak yang membantah.  Inilah kelebihan pihak yang mempunyai majoriti di dewan Rakyat walaupun sedikit atau  hanya satu undi sahaja.  Itulah demokrasi yang diamalkan dinegara ini sejak dahulu hingga kini.  

 Namun demikian, pada 23 Julai 2020, Tun Dr Mahathir Mohamad dan empat Ahli Parlimen lain iaitu  Ahli Parlimen Jerlun, Mukhriz Mahathir; Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik; Ahli Parlimen Kubang Pasu, Amiruddin Hamzah dan Ahli Parlimen Sri Gading, Shahruddin Md Salleh memfailkan saman pemula bagi mencabar pelantikan Datuk Azhar Azizan Harun  sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Dato’  Seri Azalina Othman Said sebagai  Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.  Dalam saman pemula itu, plaintif turut menamakan Datuk Mohd Rashid Hasnon dan Nizam Mydin Bacha Mydin, masing-masing selaku defendan ketiga dan keempat.

 Melalui saman pemula itu, plaintif menuntut:

 § pengisytiharan pelantikan sebagai Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat     pada 13 Julai 2020 adalah tidak sah, 

§  tidak menepati serta bercanggah dengan Perlembagaan atau Peraturan-Peraturan Mesyuarat  Dewan,

§  plaintif turut meminta selepas pengosongan jawatan Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof sebagai   Yang  di-Pertua Dewan Rakyat, ahli Dewan Rakyat diberi peluang untuk mencalonkan pilihan masing-   masing bagi jawatan itu,

§ saman itu turut meminta pengisytiharan kerusi Yang Di-Pertua dan Timbalan Yang Di-Pertua Dewan   Rakyat Malaysia sejak 13 Julai 2020 masih kosong.


Pihak peguam, Tetuan Law Practice of Rafique dalam kenyataannya menyatakan bahawa jawatan Speaker adalah dalam tempoh penggal Parlimen. Ketika kerajaan terdahulu mengambil alih kuasa, jawatan Speaker kosong secara automatik apabila Parlimen Ke-13 dibubar. Ini berbeza dengan pengosongan kerusi Speaker pada kali ini di mana tempoh Parlimen masih wujud dan belum dibubar.  Plaintif berpegang teguh kepada doktrin pengasingan kuasa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. (BH Online, 23 Julai 2020 @ 5:54pm)

 Pada 22 September 2020,   Mahkamah Tinggi  Kuala Lumpur menetapkan  permohonan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, dan Timbalannya, Datuk Seri Azalina Othman Said, untuk membatalkan saman Tun Dr Mahathir Mohamad yang mencabar pelantikan mereka, akan diputuskan pada 10 November 2020.  Hujah yang dikemukakan ialah:

§      kesahan sebarang prosiding di dalam Dewan Rakyat atau prosiding oleh jawatankuasanya, tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana mahkamah berdasarkan Artikel 63(1) Perlembagaan Persekutuan.

 

§       bahawa rangka perlembagaan itu sendiri adalah berdasarkan prinsip pengasingan kuasa di mana  Artikel 62(1) menyatakan setiap Majlis Parlimen mengawal selia tatacaranya sendiri.

 

Peguam menyatakan apabila Speaker dan Timbalannya bertindak dalam ruang lingkup Dewan Rakyat, kesahannya tidak boleh dipertikaikan dan tidak boleh dibicarakan di mahkamah. Ia memberi kuasa kepada Dewan Rakyat untuk memecat Speaker, malah plaintif bersetuju bahawa pemecatan Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof adalah mengikut peraturan.  Pelantikan Dato Seri  Azalina pula dibuat selepas bekas Timbalan Speaker, Nga Kor Ming, meletakkan jawatan..

 Sementara itu, peguam pihak penyaman  pula berhujah, Dewan Rakyat tiada bidang kuasa atau kuasa untuk melantik Azhar dan Azalina kerana plaintif serta Ahli Parlimen lain dihalang menamakan calon mereka. Beliau berkata, ada dua calon bagi jawatan berkenaan pada 13 Julai lalu, justeru perbahasan dan proses mengundi hendaklah diadakan. Bagaimanapun, tiada sebarang perbahasan atau proses mengundi yang berlaku. Oleh kerana Dewan Rakyat tiada bidang kuasa untuk melakukan apa yang dilakukannya pada 13 Julai lalu, maka mahkamah ini ada bidang kuasa yang diperlukan untuk masuk campur.(BH Onlien, 22 September  2020 @ 9:58pm)

Walau apa pun, penulis yakin bahawa Mahkamah Tinggi akan  berpandangan bahawa  mengikut Perkara 63(1) Perlembagaan, prosiding dalam majlis parlimen dan tidak boleh dipersoalkan di mana-mana mahkamah.  Kita tunggu apakah keeputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 November 2020 kelak  mengenai perkara ini.

 

Jenderam Hulu, Sepang

29 September 2020.

 

PEMILIHAN YANG DIPERTUA DEWAN RAKYAT YANG BAHARU DIPERTIKAIKAN

 

Pemilihan Yang di-Pertua dan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat yang baharu dibuat setelah jawatan itu kosong.   Peraturan Mesyuarat  4 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat  telah menetapkan aturan memilih seperti berkut:

  • Cadangan ahli Dewan atau seorang yang layak  dipilih sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat hendaklah diberitahu kepada Setiuasaha Dewan Rakyat dengan bersurat sekurang-kurangnya 14 hari sebelum mesyuarat. (Dipastikan ahli itu bersetuju berkhidmat). 
  •  Cadangan itu dikemukakan dalam Dewan melalui usul dan disokong tetapi tidak dibenar untuk dibahas.  
  • Jika hanya  seorang ahli yang dicadangkan,  akan dimasyhurkan.   
  •  Jika lebih seorang ahli yang dicadangkan, undian  bersurat dijalankan (setiap ahli menulis nama Ahli yang diundi).

 Isu utama disini ialah tempoh pemberitahu atau notis bersurat untuk mencadangkan nama Yang di-Pertua/Timbalan Yang di-Petua tidak kurang 14 hari.   Semasa mesyuarat peringkat pegawai di Jabatan Perdana termasuk wakil Jabatan Peguam Negara, isu notis telah dibangkitkan iaitu “ adakah notis pengosongan jawatan dan notis pemilihan Yang di-Pertua/Timbalan Yang di-Pertua serentak”, dan di jawab oleh wakil Jabatan Peguam Negara  “ bagaimana boleh terjadi, kekosongan belum wujud, dikeluarkan pula noris pemberitahuan pemilihan yang baharu?”.   Isu ini telah menimbulkan kekeliruan dikalangan pegawai yang pada awalnya merumuskan notis pemberitahu tersebut dibuat selepas kekosongan jawatan berlaku pada 13 Julai 2020.  Walau bagaimanapun, ulasan Jabatan Peguam Negara ada menyatakan “ hendaklah diberitahu kepada Setiuasaha Dewan Rakyat dengan bersurat sekurang-kurangnya 14 hari sebelum mesyuarat”.   Justeru takrifan Mesyuarat menjadi persoalan sama ada di awal Mesyuarat (hari pertama persidangan) atau mana-masna hari persidangan dalam sesuatu Mesyuarat Parlimen.

Sebagaimana dicatatkan sebelum ini, notis pengosongan jawatan Yang di-Pertua/Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah dihantar pada 26 Jun 2020 (Jumaat), iaitu 17 hari sebelum 13 Julai 2020.  Ketika itu, notis pemilihan Yang di-Pertua/Timbalan Yang di-Pertua belum dikemukakan oleh Kerajaan atas kefahaman bahawa notis akan dikemukakan selepas pengosongan jawatan.   Namun pada 27 Jun 2020(Sabtu), seorang pegawai telah menerima arahan dari Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) supaya menyediakan notis tersebut dengan menyertakan Salinan kad pengelan Dato’ Azhar Harun sebagai calon Yang di-Pertua dan memaklumkan Ahli Parlimen Pengerang sebagai Timbalan Yang di-Pertua.   Arahan tersebut dimaklumkan kepada Bahagian Kabinet, Jabatan Perdana Menteri bagi menyediakan notis usul pemilihan Yang di-Pertua dan Timbalan Yang di-Pertua yang baharu.  Pada hari Isnin, 29 Jun 2020, pegawai Bahagian Kabinet telah berjumpa YAB Perdana Menteri pada pikul 8,30 pagi untuk menanda tangani notis usul tersebut.  Lebih hurang pada pukul 10.00 pagi, Pegawai Bahagian Kabinet telah tiba di Pejabat Setiausaha Dewan Rakyat (SUDR), dan SUDR yang ketika itu mempengerusikan Mesyuarat Pra-Sidang Dewan Rakyat telah keluar serta bergegas ke pejabatnya disertai oleh seorang pegawai.  SUDR menyediakan memo dan berjumpa Tan Sri Ariff Yusof, Yang di-Pertua Dewan Rakyat yang mencatatkan “ambil maklum”.

 Pada 6 Julai 2020, apabila buku Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat diedarkan, telah tersenarai usul pemilihan Yang di-Pertua dan Timbalan Yang di-Pertua selepas Usul Pengosongan Jawatan Yang di-Pertua dan Timbalan Yang di-Pertua.

 

AUM-13.7.2020

 

ATURAN URUSAN MESYUARAT DAN USUL-USUL

 

1

Menteri Dalam Negeri akan mencadangkan :-

"Bahawa Majlis ini memerintahkan Ketua Polis Negara menjaga supaya selama Penggal Dewan Rakyat yang ada sekarang, jalan-jalan melalui lorong-lorong menuju ke Dewan ini hendaklah sentiasa terbuka dan boleh dilalui dan jangan ada apa-apa halangan menghalang ahli-ahli hendak pergi dan balik dari Dewan ini, jangan berlaku apa-apa kacau-bilau di jalan-jalan menuju ke Dewan ini, dan supaya jangan ada huru-hara di Bangunan Dewan ini dan berhampiran dengan bangunan ini, dan Setiausaha Dewan Rakyat hendaklah menyampaikan perintah ini kepada Ketua Polis Negara yang tersebut itu."

2

Perdana Menteri akan mencadangkan :-

"Bahawa Dewan Rakyat ini mengambil ketetapan untuk Tuan Yang di-Pertua, Yang Berhormat Tan Sri Dato' Mohamad Ariff bin Md Yusof mengosongkan jawatannya atas alasan terdapat pencalonan lain bagi jawatan Tuan Yang di-Pertua."

3

Perdana Menteri akan mencadangkan :-

"Saya mohon mencadangkan bahawa Yang Berbahagia Datuk Azhar bin Azizan @ Harun dipilih menjadi Tuan Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan mengikut Peraturan Mesyuarat 4(1), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, saya telah memastikan bahawa beliau bersetuju untuk berkhidmat jika dipilih."

4

Perdana Menteri akan mencadangkan :-

"Bahawa Dewan Rakyat ini mengambil ketetapan untuk Timbalan Yang di-Pertua, Yang Berhormat Nga Kor Ming, Ahli Parlimen Teluk Intan mengosongkan jawatannya atas alasan terdapat pencalonan lain bagi jawatan Timbalan Tuan Yang di-Pertua."

5

Perdana Menteri akan mencadangkan :-

"Saya mohon mencadangkan bahawa Yang Berhormat Dato’ Sri Azalina binti Othman Said, Ahli Parlimen Pengerang dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan mengikut Peraturan Mesyuarat 6(2) yang dibaca bersama Peraturan 4(1), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, saya telah memastikan bahawa beliau bersetuju untuk berkhidmat jika dipilih."

 

 Semasa  SUDR memanggil usul memilih Yang di-Pertua pada jam 2,30 petang, 13 Julai 2020, beberapa Ahli Parlimen telah membangkitkan Peraturan Mesyuarat untuk mencabar kesahan pemilihan Yang dui-Pertuia.  Antaranya Ahi Parlimen Beruas membangkitkan  tafsirannya bahawa menamakan calon Yang di-Pertua hendaklah setelah berlaku kekosongan jawatan dan memerlukan notis sekurang-kurangnya 14 hari.

“USUL

MEMILIH TUAN YANG DI-PERTUA

 

Setiausaha: Ahli-ahli Yang Berhormat, menurut Perkara 57 Perlembagaan Persekutuan, Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat akan menjalankan urusan memilih Tuan Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

 

Dato’ Ngeh Koo Ham [Beruas]: Peraturan Tetap. Tuan Yang di-Pertua, saya merujuk kepada Peraturan Tetap 4 yang menyatakan dalam pemilihan seorang Yang di-Pertua, mesti dikeluarkan notis untuk semua Ahli-ahli diberikan peluang untuk menamakan calon masing-masing. Mereka yang mencalonkan nama itu mesti memberikan notis sekurang-kurangnya 14 hari kepada Setiausaha Dewan. Dengan bacaan ini, ini bermaksud Dewan yang mulia ini mesti ditangguhkan sekurang-kurangnya 14 hari daripada sekarang supaya semua Ahli-ahli Yang Berhormat diberikan peluang yang termaktub di dalam peraturan. Kalau tidak, ia tidak adil kepada setiap Ahli Dewan yang lain yang tidak menamakan mana-mana calon sebelum ini kerana tidak ada kekosongan.  Pada hemat saya dan tafsiran yang saya baca ialah calon hanya boleh dinamakan selepas adanya kekosongan. Harap Tuan Yang di-Pertua memberikan satu ruling ataupun petua atau keputusan yang muktamad kerana ini sangat penting untuk masa depan. This is a precedent. Kita tidak boleh mengabaikan undang-undang atau peraturan yang begitu jelas dalam peruntukan standing order atau perintah tetap kita.

Kalau kita sendiri yang buat peraturan, kita sendiri tak ikut peraturan, apa akan jadi kepada masa hadapan Dewan yang mulia ini.

 

Timbalan Yang di-Pertua [Dato’ Mohd Rashid Hasnon]: Terima kasih Yang Berhormat Beruas. Saya jemput Yang Berhormat Kota Bharu.”[DR. 13.7.2020-ms 92]

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) telah memberi penjelasan bahawa notis 14 hari itu adalah sebelum Mesyuarat iaitu sebelum 13 Julai 2020 memngikut tafsirannya terhadap Peraturan Mesyuarat 4.

 

“Dato’ Takiyuddin bin Hassan: Saya ingin membacakan ayat yang tidak dibaca oleh Yang Berhormat Beruas iaitu jika tiap-tiap Ahli yang hendak mencadangkan nama seorang Ahli Dewan itu, atau seorang yang layak dipilih menjadi Ahli Dewan itu yang hendak dipilih sebagai Tuan Yang di-Pertua, hendaklah memastikan terlebih dahulu iaitu Ahli itu suka berkhidmat jika ia dipilih.

 

Dan juga hendaklah memberitahu kepada Setiausaha, ini penting– hendaklah memberitahu kepada Setiausaha dengan bersurat sekurang-kurangnya 14 hari sebelum Mesyuarat. Perkataan ‘sebelum Mesyuarat’ tidak dibaca oleh Yang Berhormat Beruas. Jadi Mesyuarat yang dimaksudkan Tuan Yang di-Pertua adalah 13 Julai. Jadi notis perlu diberi sebelum [Tidak jelas] 13 Julai. “.”[DR. 13.7.2020-ms 93]

 

Beberapa Ahli Parlimen telah mencelah dan menyampuk dalam kekecohan ini, iaitu Ahli Parlimen Tanjong Malim, Sungai Buloh dan Jelutong, malah penyokong kerajaan seperti Ahli Parlimen Baling juga menyampuk dengan berkata “Kita undi sahaja, undi sahaja. Tak payah bincang lama-lama, buang masa. Kita ada banyak...”.  Dalam suasana yang riuh, Timbalan Yangdi-Pertua, Dato’ Mohd Rashid Hasnon yang mempengerusikan Mesyuarat meminta Setiausaha meneruskan urusan pemilihan Yang di-Pertua.  Sebelum Perdana Menteri bangun membacakan usul pemilihan Yang di-Pertua, beberapa Ahli Parlimen – Jelutong, Tanjong Malim, Jelutong, Ipoh Timur dan Bukit Mertajam telah menyampuk dan membangkitkan  bahawa pihak pembangkang  tidak diberi peluang dan meminta notis 14 hari

Setiausaha: Saya telah menerima satu cadangan untuk pemilihan Tuan Yang di-Pertua Dewan Rakyat. Cadangan itu datangnya daripada yang Amat Berhormat Perdana Menteri dalam suratnya bertarikh Isnin, 29 Jun 2020. Yang Amat berhormat Perdana Menteri akan mencadangkan pemilihan Tuan Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji [Jelutong]: No. Timbalan Yang di-Pertua. Kami [Tidak jelas] siapa-siapa.

Tuan Chang Lih Kang [Tanjong Malim]: .....baru berlaku tadi. Baru berlaku tadi. [Tidak jelas] tidak apa.

Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji [Jelutong]: Kami tidak diberi peluang untuk mencalonkan sesiapa.

Tuan Chang Lih Kang [Tanjong Malim]: Akan tetapi kami minta 14 hari untuk menamakan calon.

Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji [Jelutong]: Tuan Yang di-Pertua, kami tidak diberi peluang untuk mencalonkan sesiapa.

Tuan Chang Lih Kang [Tanjong Malim]: Kami minta 14 hari untuk kita...

Tuan Wong Kah Woh [Ipoh Timur]: Tuan Yang di-Pertua...

[Pembesar suara dimatikan]

Timbalan Yang di-Pertua [Dato’ Mohd Rashid Hasnon]: Seterusnya, saya minta Yang Amat Berhormat Perdana Menteri untuk meneruskan.

Tuan Sim Chee Keong [Bukit Mertajam]: Point of order.

Tuan Chang Lih Kang [Tanjong Malim]: Point of order.

Tuan Wong Kah Woh [Ipoh Timur]: Tuan Yang di-Pertua...

Tuan Sim Chee Keong [Bukit Mertajam]: Peraturan mesyuarat.

Tuan Wong Hon Wai [Bukit Bendera]: Point of order, point of order Tuan Yang di-Pertua. Tuan Yang di-Pertua, plea of point of order. Tuan Yang di-Pertua, point of order di sini. Tuan Yang di-Pertua, point of order.

Timbalan Yang di-Pertua [Dato’ Mohd Rashid Hasnon]: Mic, mic.

Tuan Wong Hon Wai [Bukit Bendera]: Ahli Parlimen Santubong telah menyatakan dalam Bernama bahawa tempoh 14 hari perlu diadakan. Kelmarin sudah diterbitkan di Bernama Ahli Parlimen Santubong bekas...

Timbalan Yang di-Pertua [Dato’ Mohd Rashid Hasnon]: Saya minta terus Yang Amat Berhormat Perdana Menteri meneruskan.

Tuan Wong Hon Wai [Bukit Bendera]: Point of order. Tuan Yang di-Pertua, point of order. [Dewan riuh]

Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Md. Yassin [Pagoh]: Tuan Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan bahawa Yang Berbahagia Datuk Azhar bin Azizan @ Harun dipilih menjadi Tuan Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan mengikut Peraturan  Mesyuarat 4(1) Peraturan-peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat, saya telah memastikan bahawa beliau bersetuju untuk berkhidmat jika dipilih.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri [Dato’ Seri Mohamed Azmin bin Ali]: Tuan Yang di-Pertua, saya menyokong usul ini.

 

Tuan Wong Hon Wai [Bukit Bendera]: Tuan Yang di-Pertua kena beri 14 hari. Tidak boleh menafikan hak kepada mana-mana ahli.

Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji [Jelutong]: Kami minta Yang Amat Berhormat Perdana Menteri menjelaskan kami tidak diberi peluang untuk mencalonkan sesiapa.

Tuan Wong Hon Wai [Bukit Bendera]: ...beri 14 hari Tuan Yang di-Pertua. Perlu ikut peraturan...

[Pembesar suara dimatikan]

Timbalan Yang di-Pertua [Dato’ Mohd Rashid Hasnon]: Setiausaha teruskan, Setiausaha.

Setiausaha: Oleh kerana seorang sahaja yang dicadangkan dan disokong menjadi Tuan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, maka menurut peruntukan Peraturan Mesyuarat 4(3), saya dengan ini memasyhurkan bahawa Yang Berhormat Datuk Azhar bin Azizan @ Harun dipilih sebagai Tuan Yang di-Pertua Dewan Rakyat.  Majlis Mesyuarat dengan segala hormatnya mempersilakan Yang Berhormat Datuk Azhar bin Azizan @ Harun masuk ke Dewan.

 

[Yang Berhormat Datuk Azhar bin Azizan @ Harun masuk ke dalam Dewan dan dipakaikan jubah oleh Setiausaha, kemudian menuju ke Kerusi] [DR. 13.7.2020, ms 95 -  96 )

 

Suatu catatan jua,

15 Julai 2020

SAHKAN USUL PENGOSONGAN JAWATAN YANG DI-PERTUA DAN TIMBALAN YANG DI-PERTUA ?

 

Selain usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri oleh  Ahli Parlimen Langkawi, persoalan  sama ada Yang di-Pertua Dewan dan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat dikekalkan telah dilontarkan oleh pelbagai pihak khususnya pihak pembangkang yang mencabar supaya Kerajaan yang diterajui oleh PN menggantikan Yang di-Pertua sedia ada bagi menunjukkan PN mempunyai majoriti di Dewan Rakyat sejak Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 yang diadakan hanya sehari pada 18 Mei 2020.

 Pada 26 Jun 2020 (Jumaat), Kerajaan telah mengemukakan Usul Mengosongkan Jawatan Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Timbalan Yang di-Pertua  (YB Nga Khor Meng) kepada Setiuausaha Dewan Rakyat yang baharu.   Ura-ura untuk menggantikan  Timbalan Yang di-Pertua tersebut telah  tersebar di media social sejak bulan Mei lagi dan juga Ahli Parlimen Pengerang akan menggantikannya.   Tetapi bagi Yang di-Pertua, tiada desas desus mengenainya walaupun secara diam sebenarnya Kerajaan berhasrat menggantikan Yang di-Pertua semasa memutuskan menggantikan penyandang SUDR ketika itu, En Ridhuan Rahmat.   Hasrat ini semakin kuat apabila timbul isu Usul Undi Tidak Percaya ke atas Perdana Oleh  YB Langkawi pada Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga Parlimen Ke-14, walau pun tidak disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat apabila persidangan hanya satu hari sahaja dengan urusan Titah Diraja pada 18 Mei 2020.

Pada 29 Jun 2020 (Isnin), kedua-dua usul pengosongan jawatan Yang di-Pertua dan Timbalan Yang di-Pertua serta usul-usul undi tidak percaya oleh YB Langkawi dan juga usul percaya kepada Perdana Menteri oleh YB Pasir Putih, usul menyokong Perdana Menteri oleh YB Arau dan YB  Hulu Langat telah tersenarai dalam draf Buku.Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat.  Maka sahlah usul-usul tersebut sebahagian dari aturan urusan persidangan Dewan Rakyat pada Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 ini.

 Maka pelbagai respons kedengaran.  Seawal 26 Jun lagi, YB Nga Khor Meng telah memberi pandamgan bahawa seharusnya usul tersebut ditolak kerana diterima lewat, iaitu selepas wajtu Pejabat dan hari terakhir penerimaan pertanyaan dan usul-usul.  Walau bagaimana pun, SUDR memaklumkan pegawai telah sampai ke pejabatnya sebelum pukul 5 petang (4.45 petang).   Sebenarnya apa yang berlaku ialah pegawai berkenaan telah menghubungi SUDR lebih awal dan apabila tiba di pejabatnya, SUDR telah dipanggil dan diminta oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat disaat akhir untuk bersama program video conference AIPA  sehingga pukul 6.15 petang.  Setelah bertemu dengan pegawai berkenaan, SUDR membuat memo dan mengangkat surat notis pengosongan jawatan Yang di-Pertua dan Timbalan Yang di-Pertua yang ditanda tangani oleh Perdana Menteri.  Lebih kurang 6.30 petang, SUDR telah kembali dari Pejabat Yang di-Pertua dan menunjukkan minit “ teratur, dan masuk  Oder Paper”.

 

Disini penulis  ingin nyatakan bahawa mengikut  Peraturan Mesyuarat (P.M) 3 Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat (PMMDR), pemilihan Yang di-Pertua Dewan Rakyat hendaklah dibuat apabila jawatan itu kosong, sama ada disebabkan oleh pembubaran Parlimen atau atas sebab yang lain. Pemilihan Yang di-Pertua Dewan Rakyat baharu hanya boleh dibuat sekiranya jawatan tersebut kosong.    Dimana Perkara 57(2)  Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan seperti yang berikut:

“57(2) Yang di-Pertua boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya melalui surat yang ditandatangani sendiri olehnya yang ditujukan kepada Setiausaha Dewan Rakyat, dan hendaklah mengosongkan jawatannya—

(a) apabila Dewan Rakyat bermesyuarat buat pertama kali selepas suatu pilihan raya umum;

(b) apabila dia terhenti menjadi ahli Dewan Rakyat melainkan oleh sebab pembubarannya atau, jika dia menjadi ahli semata-mata menurut kuasa perenggan (b) Fasal (la), apabila dia terhenti berkelayakan menjadi ahli;

(bb) apabila telah hilang kelayakan di bawah Fasal (5);

(c) jika pada bila-bila masa Dewan Rakyat membuat ketetapan sedemikian. “

 

Dalam hal ini, pengosongan jawatan tersebut berlaku mengikut Perkara 57(2)(c) Perlembagaan Persekutuan iaitu apabila Dewan Rakyat membuat ketetapan pengosongan jawatan itu melalui usul yang dikemukakan oleh phak Kerajaan melalui Peraturan Mesyuarat 27(3), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.  Usul itu hendaklah  memenuhi notis 14 hari atau 7 hari atas nama Menteri untuk dimasukkan dalam Aturan Urusan Mesyuarat, dan seterusnya dibahas dan diputuskan.  Bagi memastikan kejelasan undian, belahbahagian hendaklah diminta bagi membuktikan angka majoriti.    Oleh yang demikian, usul pengosongan jawatan adalah sah walaupun walaupun  dipertikaikan  kewajarannya oleh pihak pembangkang..

Suatu catan jua,

Bangunan Parlimen, 

13 Julai 2020

 

MESYUARAT KEDUA, PENGGAL KETIGA, PARLIMEN KE- 14 – UJIAN SEBENAR KEAMPUHAN PN DI PARLIMEN : PENGOSONGAN YANG DI-PERTUA DAN PEMILIHAN YANG BAHARU

Mesyuarat Kedua ini bermula 13 Julai hingga 28 Ogos 2020 di Dewan Rakyat dan 2 hingga 23 September di Derwan Negara.   Ujian pertama kepada kemapuhan sokongan PN teruji dengan usul pemulihan Yang di-Pertua baharu bagi mengggantikan Yang di- Pertua sedia ada.

 Selepas bacaan doa, urusan pertama adalah usul pengosongan jawatan Yang di-Pertua Dewan Rakyat sedia ada iaitu Tansri Sri Mohd Ariff.  Ahli Parlimen Pagoh yang juga Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di hadapan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon dan disokong Ahli Parlimen Gombak Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Usul pengosongan jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat diluluskan dengan 111 Ahli Parlimen menyokong usul berkenaan,109 Ahli Parlimen tidak bersetuju manakala seorang tidak hadir. Usul diluluskan secara belah bahagian.

         

Perdana Menteri [Tan Sri Dato’ Sri Haji Muhyiddin bin Md. Yassin]: Tuan Yang di-Pertua, saya ingin mencadangkan:

“Bahawa Dewan Rakyat ini mengambil ketetapan untuk Tuan Yang di-Pertua, Yang Berhormat Tan Sri Dato' Mohamad Ariff bin Md Yusof mengosongkan jawatannya atas alasan terdapat pencalonan lain bagi jawatan Tuan Yang di-Pertua.”

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri [Dato’ Seri Mohamed Azmin bin Ali]: Tuan Yang di-Pertua, saya menyokong.

Timbalan Yang di-Pertua [Dato’ Mohd Rashid Hasnon]: Terima kasih Yang Berhormat Gombak. Ahli-ahli Yang Berhormat, masalahnya usul oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ini terbuka untuk dibahas. Saya menjemput, saya beri tempoh masa 10 minit.”

Urusan seterusnya adalah pemilihan  Yang di -Pertua baharu.  Tan Sri Muhyiddin Yassin mengusulkan Azhar yang juga bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dipilih menjadi Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu. Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon, memaklumkan pemilihan Azhar dibuat selepas hanya ada seorang calon dikemukakan sebagai Yang Dipertua  Dewan Rakyat. Yang di-Pertua baharu mengangkat sumpah sebagai Speaker Dewan Rakyat. Walau bagaimanapun majlis angkat sumpah itu bertukar kecoh apabila wakil rakyat pembangkang berterusan mempersoalkan pelantikan tersebut..

Manakala Usul Pengosongan Timbalan Yang di-Pertua, YB Nga Kor Meng pula ditarik balik oleh YAB Perdana Menteri setelah  beliau mengumumkan meletakkan jawatan pada waktu rehat tengahhari.  Seterusnya pada pukul 2.30 ptg, urusan diteruskan dengan pemasyhuran  Timbalan Yang di-Pertua baharu iaitu YB Dato Seri Azalina Othman.  Beliau  mencipta sejarah sebagai wanita pertama dipilih untuk mempengerusikan sidang Dewan Rakyat.


Catatn 13 Julai 2020
Bangunan Parlimen , Kuala Lumpuri

 


KEJANGGALAN BAJET 2025!!!

Setelah tiga kali Perdana Menteri 10 membentangkan Belanjawan/Bajet Tahunan, inilah kali pertama penulis mengikuti sepenuhnya pembentangan B...