Friday 15 May 2020

SATU CATATAN; BEBERAPA HARI SEBELUM BERSIDANG - MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KETIGA PARLIMEN KE-14 [18 MEI 2020]


Inilah catatan beberapa hari belum bermula sidang Parlimen di Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 yang bersidang sehari pada 18 Mei 2020 dengan urusan pembukaan Penggal Parlimen sahaja iaitu Titah Diraja.. Inilah sidang pertama pada era PN mengambil Kerajaan pada 1 Mac 2020 apabila PM Ke-8 mengangkat sumpah  berikutan runtuhnya PH apabila PM Ke-7 meletak jawatan pada  24 Mac 2020. Sidang ini juga bersejarah kerana berlangsung dalam suasana  berbeza dari norma dan kelaziman .  Ini kerana dalam suasana Perintah Kawalan Pergrakan Bersyarat (PKPB) berikutan penularan wabak COVID-19 di negara ini.  PKP dilaksanakan sejak 18 Mac 2020 dan kini dilanjutkan sebaagai PKPB sehingga 9 Jun 2020.

Pada asalnya, persidangan Dewan Rakyat  di Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-14  dijadualkan bermula pada 18 Mei  hingga 23 Jun 2020. Ia adalah signifikan dan bersejarah.  Inilah kali pertama dalam sejarah Malaysia, dimana  Kerajaan Persekutuan bertukar pemerintah di tengah-tengah penggal Majlis Parlimen dari Pakatan Harapan(PH) kepada gabungan parti politik yang wujud ketika kemelut politik 2020 yang bermula dengan “Langkah Sheraton” yang dipanggil Perikatan Nasional (PN).  Selama ini  sejak merdeka,  perubahan Kerajaan akan berlaku selepas Pilihan Raya Umum (PRU)..

Berikutan perubahan Kerajaan, persidangan Dewan Rakyat ini ditangguhkan. Kerajaan baru terbentuk pada 1 Mac apabila Perdana Menteri Ke-8 mengangkat sumpah dan Jemaah Menteri pula pada 10 Mac 2020.  Ketua Majlis mengikut Peraturan Mesyuarat 11(2) telah meminda tarikh  Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 kepada 18 Mei 2020 hingga 23  Jun 2020 selama 15 hari. Setiausaha Dewan Rakyat telah mengeluarkan notis pemberitahuan kepada Ahli-Ahli Dewan Rakyat pada 4 Mac 2020.  Seterusnya  Ketua Majlis telah meminda semuala tarikh persidangan kepada satu hari sahaja pada 18 Mei 2020.   Setiausaha telah mengeluarkan pindaan notis pemberitahuan pada 17 April 2020. 
“Peraturan Mesyuarat (2) Dengan tertakluk kepada syarat-syarat perenggan (1), Ketua atau Timbalan Ketua Majlis hendaklah menetapkan, sekurang-kurangnya 28 hari sebelum permulaan tiap-tiap Penggal, tarikh-tarikh Majlis akan bermesyuarat dalam Penggal itu.

Tetapi disyaratkan iaitu Ketua atau Timbalan Ketua Majlis boleh mengubah tarikh-tarikh yang ditetapkan dari semasa ke semasa. “

Dalam pindaan notis pemberitahuan bertarikh 17 April 2020 itu, Yang di-Pertua Dewan Rakyat melalui  Setiausaha Dewan Rakyat talah memakalumkan bahawa  “…TIADA sesi pertyanyaan Jawab Lisan di bawah Peraturan Mesyuarat 22(2) dan 22(5).  Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (Pertanyaan Mesyuarat 24(5A) dan 24A), Usul-usul dibawah Peraturan Mesyuarat 17,18, 27, 49 serta apa-apa Usul daripada Ahli-ahli Yang Berhormat. Oleh yang demikian, semua Pemberitahuan tersebut tidak perlu dihantar untuk mesyuarat ini.” 

Setiausaha mengeluarkan notis pemberitahuan Mesyuarat  adalah mengikut Peraturan Mesyuarat 9, iaitu:
“9. (1) Setiausaha hendaklah menyediakan segala surat yang diperlukan oleh Majlis Mesyuarat dan Tuan Yang di-Pertua dan melaksanakan segala arahan Tuan Yang di-Pertua berhubungan dengan segala perkara berkaitan dengan urusan Majlis Mesyuarat.

          (2) Setiausaha hendaklah-

(a) Sekurang-kurangnya 28 hari sebelum dimulakan mesyuarat setiap penggal Parlimen, menulis kepada ahli-ahli memberitahu tarikh-tarikh mesyuarat Majlis Mesyuarat bagi penggal itu:

Dengan syarat bahawa dalam keadaan memaksa yang ditentukan oleh Tuan Yang di-Pertua, pemberitahuan tersebut boleh diketepikan, dan dalam keadaan demikian pemberitahuan bagi sepanjang tempoh yang mungkin hendak diberikan;

(b) Menyediakan untuk setiap ahli dengan seberapa segera yang boleh sebelum setiap mesyuarat satu salinan Aturan Urusan Mesyuarat bagi mesyuarat itu. …”

MENGAPA PERSIDANGAN SATU(1) HARI?

Notis asal pemberitahuan Mesyuarat yang bertarikh 4 Mac 2020 adalah sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, dimana PKP bermula pada 18 Mac 2020.  PKP dilaksanakan bagi mengekang penularan dan memutuskan rantaian virus COVID-19. Semasa pindaan notis pemberitahuan Mesyuarat  yang bertarikh 17 April 2020, PKP masih berterusan,  maka Kerajaan memutuskan hanya satu hari persidangan Parlimen. Urusan pada persidangan Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 ialah :
·         Titah Diraja
·         Urusan Kerajaan iaitu:-
o Pemasyhuran Yang di-Pertua terhadap pelantikan Ketua pembangkang;
o      Usul Jawatankuasa Pemilih; 
o   Usul Pelantikan Pengerusi dan Timbalan Pegerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara;  dan
o   Bacaan kali yang pertama bagi Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2019)  dan Rang Undang-Undang Penguntukan semula 2020.

AKHIRNYA URUSAN  PERSIDANGAN HANYA SETAKAT URUSAN TITAH  DIRAJA SAHAJA

Seterusnya PKP dilanjutkan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 9 Jun 2020.  Dalam SOP PKPB, perhimpunan yang dibenarkan adalah tidak melebihi 20 orang.  Manakala  kourum (cukup bilang) persidangan bagi Mesyuarat Dewan Rakyat adalah 26 orang, maka bilangan ini telah melanggar SOP PKPB.   Oleh kerana Perkara 55(1), Perlembagaan Persekutuan mengatasi SOP PKPB, persidangan Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14 diteruskan tetapi hanya urusan Titah Diraja sahaja  bagi Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen Ke-14.  Perubahan urusan persidangan ini telah dimaklumkan oleh Setiuasaha Dewan Rakyat  melalui pindaan notis pemberitahu kepada Ahli-ahli Dewan Rakyat bertarikh 13 Mei 2020.

Oleh yang demikian, persidangan Mesyuarat Dewan Rakyat yang disingkatkan ini adalah kerana ancaman COVID-19 dan bukan disebabkan oleh perkara-perkara berikut:

                                  i.    Kerajaan tidak mahu terima usul dari Ahli-ahli Persendirian termasuk Ahli bukan Kerajaan sama ada Usul Tergempar mengikut Peraturan Mesyuarat 18 dan juga Usul  untuk membuat ketetapan dibawah Peraturan Mesyuarat 27(3).

                                     ii.    Usul undi tidak percaya terhadap YAB Perdana Menteri oleh Ahli Parlimen Langkawi adalah teratur mengikut Peraturan Mesyuarat 27(3), maka telah diterima oleh Yang di-Pertua untuk disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat.  Sebenarnnya usul ini adalah Usul Persendirian, maka usul ini tidak akan didahulukan/dinaikkan kerana Peraturan Mesyuarat 15(1) telah menetapkan bahawa urusan Kerajaan hendaklah diselesaikan dahulu.
15. (1) Pada tiap-tiap hari persidangan mesyuarat, urusan Kerajaan hendaklah didahulukan daripada urusan-urusan lain.”

ADAKAH TITAH DIRAJA ITU TERMASUK DALAM PERSIDANGAN MESYUARAT DEWAN RAKYAT?

Titah Diraja semasa  Pembukaan Penggal Parlimen adalah termasuk dalam  Aturan Urusan Mesyuarat sebagaimana yang ditetapkan  Peraturan Mesyuarat 14(1)(d)
“Peraturan Mesyuarat 14(1)- Urusan-urusan bagi tiap-tiap persidangan mesyuarat hendaklah mengikut aturan seperti di bawah ini kecuali jika Majlis Mesyuarat menetapkan aturan lain:
(a) Tuan Yang di-Pertua masuk ke dalam Dewan Mesyuarat dengan secaranya.
(b) Doa…..
c) Ahli-ahli baru, mengangkat sumpah.
(d) Titah daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
(e) Pemasyhuran daripada Tuan Yang di-Pertua.
(f)….(q)

Manakala  perbahasan keatas Titah Diraja tidak dinyatakan secara jelas dalam Peraturan Mesyuarat 14(1) tersebut.  Ia adalah amalan /konvensyen yang dilaksanakn selama ini.  Walau bagaimana pun, perbahasan Titah Diraja tidak diadakan pada  Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama, Parlimen Partama yang bersidang pada 11 dan 12 September 1959.

SIDANG MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KETIGA PARLIMEN KE-15 DALAM PELAKSANAAN SOP PKPB

Perjalanan sidang Parlimen ini akan memenuhi SOP yang ditetapkan, dimana penjarakan sosial diambilkira dengan menyususn semula kedudukan kerusi dalam Dewan yang jaraknya 1 meter antara satu sama lain.  Antara langkah yang diambil oleh pihak  Parlimen ialah  Ahli Parlimen dikehendaki menjalani Ujian Saringan Covid-19 seperti berikut:

      i.        Menghadiri sesi saringan Covid-19 di Parlimen Malaysia pada hari Khamis,14 Mei 2020 atau hari Jumaat, 15 Mei 2020 dari jam 9.00 pagi hingga 3.00 petang.

    ii.        Sekiranya Ahli Parlimen GAGAL HADIR menjalani sesi saringan Covid-19 ini, Ahli Parlimen  tidak dibenarkan menghadiri Istiadat Pembukaan dan Persidangan pada 18 Mei 2020.

Pada hari Istiadat Pembukaan dan Persidangan Dewan (18 Mei 2020), Ahli-ahli Parlimen adalah dimohon bagi mematuhi perkara-perkara berikut:

      i.        Kehadiran Ahli-ahli Parlimen hendaklah secara bersendirian.

    ii.        Ahli-ahli Parlmen  masuk ke Dewan Rakyat melalui Pintu 3 sahaja.

   iii.        Ahli-ahli Parlimen hendaklah menggunakan topeng muka dan mematuhi penjarakan sosial serta SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

USUL OLEH AHLI PERSENDIRIAN  

Walau pun, semasa notis pemberitahuan telah dimaklumkan tiada pemberitahuan usul, namun beberapa Ahli telah mengemukakan usul.   Sama ada sesuatu usul yang dikemukakan oleh Ahli-ahli Parlimen itu diterima atau ditolak adalah keputusan Yang di-Pertua Dewan Rakyat. 

Penerimaan sesuatu Usul itu tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan dalam Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.  Antaranya seperti berikut:

                              i.        Usul dibawah Peraturan Mesyuarat 18 – Usul perkara tertentu berkenaan kepentingan orang ramai yang berkehendak disegerakan.

                            ii.        Usul dibawah Peraturan Mesyuarat 27(3) – Usul untuk membuat ketetapan dan memerulukan notis 14 hari bagi usul yang dikemukakan oleh Ahli Persendirian/Ahli bukan Kerajaan.

Usul-usul yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen ialah:

a)    Usul Peraturan Mesyuarat 18(1) oleh Ahli Parlimen Batu Sapi (1 Mei 2020) – Usul ini mengandungi  empat perkara, iaitu:

                                      i.        Ketetapan bahawa Perdana Menteri tidak mempunyai keyakinan majoriti.

                                    ii.        Ketetapan bahawa Ahli Parlimen Langkawi mempunyai keyakinan majoriti.

                                  iii.        Majlis Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 delama satu hari adalah bertentangan dengan Perlembagaan.

                                   iv.        Mencadangkan sidang Dewan Rakyat dilanjutkan kepada lapan hari.

Dalam kenyataan media pada 8 Mei 2020, Yang di-Pertua Dewan menolak sebahagian dan menerima sebahagian. [ Sebenarnya usul I dan ii ditolak, sementara iii dan iv diterima.]

Berdasarkan Peraturan Mesyuarat 18, usul ini tidak memenuhi syarat-sayarat yang ditetapkan:
·         Tiada perkara tertentu – usul mengandungi empat perkara/isu
·         Tidak berkepentingan orang ramai – undi tak percaya dan tempoh persidangan tiada kepentingan orang ramai.
·         Tidak perlu disegerakan – kesegeraan sekarang ialah menangani penukaran COVID-19.

Selain itu, Peraturan Mesyuarat 18(7) dan18(8) membolehkan  Yang di-Pertua  membuat keputusan untuk menolak usul ini dalam kamar jika:
(a) pencadangnya hanya berniat hendak mengambil peluang berucap di dalam Majlis Mesyuarat; atau
(b) jika sesuatu perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat yang sedang berlangsung dan telah diberi penerangan oleh pihak Kerajaan dalam perkara itu; atau
(c) apa-apa usul melanggar mana-mana syarat dalam Peraturan-peraturan Mesyuarat.”

Sekiranya Yang di-Pertua berpuashati dan menerima usul ini, ia hendaklah dibaca dalam Majlis Mesyuarat dan Yang di-Pertua memaklumkan keputusannya.


  1. b)  Usul Peraturan Mesyuarat 27(3) oleh Ahli Parlimen Semporna (4 Mei 2020) – bahawa Ahli Parlimen Langkawi mempunyai keyakinan majoriti. Usul ini ditolak oleh Yang di-Pertua melalui kenyataan media bertarikh 8 Mei 2020 dengan alasan tidak selari dengan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.
“43. (2) Jemaah Menteri hendaklah dilantik seperti yang berikut, iaitu:
(a) Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikanJemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu; dan
(b) atas nasihat Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong       hendaklah melantik Menteri-Menteri lain daripada           kalangan ahli mana-mana satu Majlis Parlimen;.. “      


  1. c)   Usul Peraturan Mesyuarat 4 oleh Ahli Parlimen Langkawi (4 Mei 2020) – ketetapan bahawa Yang di-Pertua Dewan Rakyat dikekalkan sehingga Dewan dibubarkan. Usul ini ditolak kerana tidak mematuhi Peraturan Mesyuarat. Keputusan ini juga dimaklumkan melalui kenyataan media tersebut.


  1. d) Usul Peraturan Mesyuarat 27(3) oleh Ahli Parlimen Langkawi (4 Mei 2020)- ketetapan  Perdana Menteri tidak mempunyai keyakinan majoriti Ahli-ahli Dewan. Usul ini diterima untuk “dibawa ke Mesyuarat Dewan Rakyat”.  Keputusan ini juga dimaklumkan merlalui kenyataan media, bahkan sepatutnya hanya diputuskan selepas cukup tempoh notis 14 hari pada 18 Mei 2018 dan disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat.

WAJARKAH YANG DI-PERTUA MEMAKLUMKAN PENERIMAAN ATAU PENOLAKAN SESUTU USUL MELALUI KENYATAAN MEDIA.

Semasa Yang di-Pertua Dewan Rakyat melalui Setiausaha Dewan Rakyat (Peraturan Mesyuarat 9(1), mengeluarkan notis pemberitahuan kepada Ahli-ahli Parlimen pada  17 April 2020 telah dengan jelas  semua pemberitahu usul “tidak perlu dihantar.”  Dalam hal ini Yang di-Pertua Dewan Rakyat tidak tetap pendirian apabila menerima usul-usul yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Batu Sapi, Semporna dan Langkawi.  Juga tidak berlaku adil kepada Ahi-ahli Parlimen lain yang mungkin juga  berhasrat mengemukakan usul.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat juga melanggar amalan/konvensyen oleh semua Yang di-Pertua terdahulu apabila memaklumkan keputusan melalui media, yang sepatutnya dimaklumkan semasa sidang Dewan atau secara bersurat kepada Ahli Parlimen yang berkenaan  jika usul itu ditolak dalam kamar.

No comments:

Post a Comment

SUATU CATATAN - ANTARA “PAK SHEIKH” YANG KU SANJUNG DAN PM 10 YANG MENYINGKIRKAN KU....

  Menelusuri ingatan 45 tahun yang lalu, semasa penulis berusia sekitar 20’an yang penuh semangat dalam persekitaran dakwah dan harakah dise...