Tuesday, 4 May 2021

SOROTAN DIPERSIDANGAN PARLIMEN : KERAJAAN BERTUKAR , DASAR BERUBAH:

 Lazimnya perubahan Kerajaan akan memberi impak kepada perubahan dasar-dasar negara dan pentadbiran.  Dalam hal ini, perubahan Kerajaan dari BN kepada PH dan seterusmya PN telah  dapat dilihat  dalam perubahan urusuan yang dibawa dan diluluskan oleh Mesyuarat Parlimen.  Disini penulis rakamkan  perubahan-perubahan tersebut . 

 Perubahan Dasar dan Pemansuhan serta Pindaan Undang-Undang

 1.         Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) Dimansuhkan dan Diganti Dengan Akta Cukai Perkhidmatan 2018.

Rang Undang-Undang  GST telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 7 April 2014 (Setuju:119, Tidak Setuju:81) dan Dewan Negara pada 5 Mei 2014 (undian suara) semasa pentadbiran BN.  Setelah 3 tahun pelaksanaannya, akta ini  telah menerima pelbagai reaksi malah kecaman dari pelbagai pihak serta menjadi salah satu faktor kekalahan BN dalam PRU 14.  Pemansuhan GST pula  adalah salah satu manifesto PH.   Akhirnya Akta ini dimansuhkan melalui Akta Cukai  Barang dan Perkhidmatan (Pemansuhan) 2018 yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 8 Ogos 2018 (undian suara)  dan Dewan Negara (undian suara) pada 20 Ogos 2018  Terlebih dahulu,  Rang Undang-Undang Jualan 2018 dan Rang Undang-Undang Cukai Perkhidmatan 2018  diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 8 Ogos 2018  (undian suara)dan Dewan Negara pada 20 Ogos 2018  untuk melaksanakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi menggantikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

2.         Pemansuhan Akta Antiberita Tidak Benar 2018

 Akta  Antiberita Tidak Benar 2018 telah digubal disaat akhir pentadbiran BN dan seterusnya diluluskan oleh  Dewan Rakyat pada 2 April  2018 secara undi belah bahagian ( setuju:123 dan tidak setuju: 64) dan Dewan Negara pada 3 April 2018 dengan undian suara serta dikuatkuasakan pada 11 April 2018.  Akta ini telah menjadi salah satu janji manifesto PH  untuk memansuhkannya ( Janji 27 - Manifesto Pakatan Harapan).   Setelah PH mengambil alih Kerajaan, Akta ini dimansuhkan melalui RUU Anti Berita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018 yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat 16 Ogos 2018 (undian suara). Namun  Dewan  Negara pada 12 September 2018 tidak mempersetujukan pemansuhan akta ini secara undi belah bahagian (setuju:21  dan tidak setuju:  28 dan tidak mengundi: 3). 

Walau bagaimanapun, selepas setahun kemudian, RUU Anti Berita Tidak Benar (Pemansuhan) 2019 telah dibentangkan semula di Dewan Rakyat dan dipersetujukan secara undian belah bahagian pada 9 Oktober 2019 [ bacaan kedua – setuju:93, tidak setuju:53; dan bacaan ketiga – setuju: 92, tidak setuju:51].   Seterusnya dipersetjukan oleh Dewan Negara dengan undian suara pada 19 Disember 2019.   Ini adalah kali pertama dalam sejarah bahawa RUU yang tidak diluluskan oleh Dewan Negara dibawa semula selepas setahun kemudian sebagaimana ketetapan Fasal 2, Perkara 68, Perlembagaan Persekutuan.  Ini bermakna  Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018 boleh dibentangkan untuk dibahaskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara selepas 16 Ogos 2019 iaitu setahun daripada tarikh Rang Undang-undang 2018 yang diluluskan oleh Dewan Rakyat.

 3.         DR. 7/2019 - Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 – Peroleh 138 Undi (Kurang 2/3 majoriti) dan Tidak Dipersetujukan

 Bagi  memenuhi janji Manifesto PH untuk mengiktiraf Perjanjian Persekutuan 1963 (MA63), Kerajaan telah membentangkan RUU ini bagi meminda Fasai 2 Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan yang bertujuan menyatakan Persekutuan adalah terdiri dari Negeri-negeri Tanah Melayu dan Negeri-negeri Borneo iaitu Sabah dan Sarawak Walaupun meyedari Kerajaan hanya mempunyai majoriti kurang 2/3, tetapi mencuba untuk  meminda Perlembagaan dengan harapan mendapat sokongan penuh dari Ahli-ahli Parlimen, namun ahli-ahli Parlimen Sabah dan Sarawak yang bukan penyokong PH telah membantah/tidak menyokon pindaan ini.  Akhirnya RUU ini tidak dipersetujukan oleh Dewan Rakayat pada .April 2019 apabila  bacaan kedua mendapat undi bersetuju (136)  kurang dari majoriti 2/3 , maka ia tidak memenuhi  ketetapan Perkara .159 Perlembagaan Persekutuan,

4.     RUU Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) 2019 Yang Dikemukakan oleh PH Ditarik Balik dan Diganti Dengan RUU Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2020 oleh PN.

 Isu tatakelakuan dan salah guna kuasa pihak Polis seringkali dibangkitkan oleh pihak PH dan juga PR semasa pembangkang.   Setelah PH menerajui Kerajaan, perkara ini telah menjadi dan digubal RUU IPCMC 2019.   Bacaan kali yang pertama RUU IPCMC ini di Dewan Rakyat pada 18 Julai 2019.  Bacaan kali yang kedua

pada 7 Oktober 2019 oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Liew Vui Keong.  Pihak pembangkang khususnya BN telah membantah dan meminta supaya RUU IPCMC ini tidak dibahaskan kerana ia akan dibawa untuk diperincikan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas terlebih dahulu. Akhirnya pihak Kerajaan bersetuju mengemukakan usul untuk merujuk RUU ini kepada Jawatankuasa Pilihan Khas. Maka RUU IPCMC di rujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang RUU.  Jawatankuasa telah menyediakan Penyata Laporan “DR 10 - Laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis 2019 dan  di jadualkan dibentangkan kepada Dewan pada   27 November 2019 di Mesyuarat yang sama.   Walau bagaimanapun, pada 3 Disember 2020,   Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong meminta bacaan kali kedua dan ketiga RUU IPCMC) 2019 ditangguhkan kepada persidangan di Mesyuarat akan datang.

 Apabila berlaku perubahan Kerajaan yang diterajui oleh PN,  RUU ini ditarik balik pada pada 26 Ogos 2020 oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri di Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga Parlimen Ke-14. Seterusnya, Kementerian Dalam Negeri mengemukakan RUU Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2020 (IPCC) untuk bacaan kali pertama.  RUU baharu menggantikan RUU IPCMC.  Walau bagaimnapun, terdapat  penyokong Kerajaan tidak berpuashati dengan RUU ini dan kesannya bacaan kali kedua telah ditangguhkan kepada Mesyuarat Ketiga, namun setelah tamat persidangan Mesyuarat Ketiga, RUU ini sekali lagi dibawa ke Mesyuarat akan datang.  Apakah mungkin RUU IPCC ini juga tidak akan diteruskan.

5.  Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan)(No.2) 2019 – Menghadkan Tempoh Perdana  Menteri Tidak Melebihi Dua Penggal, Ditarik Balik.

Semasa PRU 14, salah satu Manifesto PH ialah untuk menghadkan tempoh perkhidmatan Perana Menteri selama dua penggal sahaja. Perdana Menteri Ke-8 bersetuju dangan cadangan ini.  Maka RUU Perlembagaan (Pindaan)(No.2) 2019  dibentangkan  bacaan pertama semasa era PH pada 3 Disember 2019.  Walaupun begitu, berikutan perubahan Kerajaan, pihak PN tidak meneruskan dasar ini.  Seterusnya RUU ini ditarik balik pada 26 Ogos 2020.

Perubahan dan Reformasi Parlimen

6.         Reformasi Parlimen – Penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas semasa PH Diganti dengan Jawatankuasa Pilihan Khas Yang Baharu oleh PN

Semasa era PH telah dibentuk 10 Jawatankuasa Pilihan Khas yang diumumkan oleh Yang di-Pertua Dewan pada 4 Disember 2018mengikut  Peraturan Mesyuarat 76(2) di bawah Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan pada  17 Oktober 2019yang meluluskan  Usul Penyata Jawatankuasa Dewan mengikut Peraturan  Mesyuarat 85(5) . Namun, setelah PN mengamil alih Kerajaan, pada 11 November 2020, telah mengemukakan usul di bawah Peraturan Mesyuarat 86(5) bagi membentangkan Penyata Jawatankuasa Dewan (Kertas DR3/2020) yang mengkaji semula Jawatankuasa tersebut, dimana 10 Jawatankuasa Pilihan Khas sedia ada tidak akan diteruskan dan diganti dengan 9 Jawatankuasa Pilihan Khas yang baharu.  Secara amnya ada persamaan tetapi beberapa jawatankuasa digugurkan sepenuhnya iaitu Jawatankuasa Pilihan Khas Untuk Melantik Jawatan-Jawatan Utama Perkhidmatan Awam dan Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang..

Semasa era BN, penubuhan sesuatu Jawatankuasa Pilihan Khas dibuat berdasarkan urusan atau sesuatu perkara tertentu.  Misalnya Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai sesuatu RUU apabila RUU itu diputuskan untuk dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas, tetapi pada masa sera PH,  RUU sedemikian akan  dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang seperti RUU IPCMC 2019. Pada masa sekarang, era PN, RUU sedemikian akan dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas sesuatu RUU secara khusus.

 7.         Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan SUHAKAM 2018 Dibahaskan

Laporan Tahunan dan Penyata badan-badan berkanun atau suruhajaya yang ditubuhkan oleh Kerajaan dikehendaki membentangkannya di Mesyuarat Parlimen sebagai Kertas Statut.  Maksud “bentang” ialah diletakkan diatas meja Ahli-ahli dewan semasa persidangan.  Ia tidak perlu dibahaskan serta diputuskan.  

Oleh kerana isu-isu hak asasi manusia menjadi tumpuan utama PH, maka PH telah membahaskan Laporan Tahunan Dan Penyata Kewangan SUHAKAM 2018 melalui usul Kerajaan mengikut Peraturan Mesyuarat 27(3).  Ini adalah kali pertama dalam sejarah persidangan Parlimen Laporan Tahunan badan0badab berkanun dibahaskan, malah Laporan Ketua Audit Negara pun tidak pernah dibahaskan secara langsung melalui usul Kerajaan.  Lazimnya, isi kandungan laporan berkenaan dirujuk atau dipetik oleh Ahli-ahli Parlimen dalam mana-mana perbahasan yang bersesuaian seperti perbahasan Titah Diraja mahupun Belanjawan.

8.         25 Usul Tidak Percaya Kepada Perdana Menteri ke-8, YAB Tan Sri Mahyuddin Yassin di Mesyuarat Ketiga, Pengal Ketiga Parlimen Ke-14

Usul undi  tidak percaya kepada Perdana Menteri bukanlah suatu yang asing dalam sejarah persidangan Parlimen di begara ini.   Pada era BN, Perdana Menteri Ke-6 pernah menerima usul undi tidak percaya pada Oktober 2015 di Mesyuarat Ketiga, Penggal Ketiga Parlima Ke-13Sebelum itu, adalah dalam bentuk usul sokongan kepada Perdana Menteri seperti Perdana Menteri Ke-3, dan Ke-4.

Pada era PN, sebanyak 25 usul undi tidak percaya dan 2 undi percaya kepada Perdana Menteri ke-8 pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen Ke-14.  Namun kesemua usul undi tidak percaya tersebut sama ada era BN mahupun PN adalah bersifat usul persendirian kerana dikemukakankan oleh pihak pembangkang. Oleh kerana Peraturan Mesyuarat  mengutamakan urusan-urusan Kerajaan, maka usul sedemkian hanya tersenarai dalam Aturan Urusan Mesyuarat sahaja.

Perubahan  Perjalanan  Persidangan 

9.         Urusan Persidangan Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14  Hanya Setakat Urusan Titah  Diraja   Sahaja

Pertama kali dalam sejarah, persidangan pertama bagi sesuatu Penggal Parlimen hanya sehari sahaja pada 18 Mei 2020 iaitu Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga Parlimen Ke-14, khusus untuk Titah Diraja dan perbahasannya pada Mesyuarat Kedua berikutnya. Ini disebabkan ketika itu negara dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana membendung pandemic COVID-19.  Ini adalah persidangan pertama pada era PN.

10.       Belanjawan  2021 – 11 Kali Undian Belah Bahagian

Belanjawan 2021 mencipta sejarah.   Walaupun undian belah bahagian tidak asing dalam meluluskan Belajawan sejak-sejak akhir-akhir ini.  Seingat penulis, ia bermula dengan Belanjawan 2010 yang diluluskan dengan lebihan 3 undi, dan  selepas itu, setiap kali Belanjawan dibentangkan akan sentiasa diluluskan melalui undi belah bahagian. Namun  perjalanan Belanjawan 2021 amat perit apabila  melalui 10 kali undian belah bahagian pada peringkat jawatan kuasa   dan 1 kali undian belah bahagian pada bacaa ketiga, dimana setuju: 111, tidak  setuju:108 ,tidak hadir:1

Suasana ini bermula apabila pihak Kerajaan era BN tidak lagi menguasai majoriti 2/3 pada selepas PRU 12 pada tahun 2008, dan seterusnya majoriti selesa selepas PRU 13.  Apatah lagi apabila PH mengambil alih Kerajaan dengan majorit mudah pada PRU 14 dan seterusnya majoriti tipis pada era PN yang terbentuk selepas 22 bulan PRU 14 apabila PH kehilangan majoriti.

Perubahan Takrifan Peraturan dan Petua Yang di-Pertua

11.       Berubah Kerajaan, Bertukar Yang di-Pertua dan Pemilihan Dipertikaikan

Semasa era BN, pemilihan  Tun Mohamed Zahir bin Ismail  sebagai Yang di-Pertua selepas PRU 10 telah dipertikaikan oleh pihak pembangkang (Barisan Alternatif –BA) dengan alasan notis tidak mencukupi 14 hari.  Ini disebabkan perbezaan takrif 14 hari itu sama ada termasuk hari persidangan pertama atau sebaliknya.  Begitu juga semasa era PH, pemilihan Tan Sri Ariff Yusof selepas PRU 14 juga dipertikaikan oleh pihak pembangkang (BN dan PAS) atas alasan yang sama iaitu notis tidak cukup 14 hari, malah tarikh surat/notis didakwa  dibelakangkan.   Kedua-dua peristiwa itu berlaku semasa  Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri Ke-4 dan Ke-7.

Semasa era PN pula, pemilihan Datuk Azhar Harun sebagai Yang di-Pertua adalah bagi menggantikan Tan Sri Ariff Yusof yang dikosongkan jawatannya melalui usul kerajaan bagi mengosongkan jawatan yang di-Pertua.  Usul ini dipertikaikan oleh pihak pembangkang (PH) yang tidak berpuas hati  kerana Tan Sri Ariff Yusof tidak melakukan apa-apa kesalahan.  Seterusnya, juga tidak berpuashati kerana  tidak berpeluang mengemukakan calon pihak pembangkang kerana usul memilih Yang di-Pertua baharu dibuat selepas pengosongan jawatan tersebut.  Manakala pihak Kerajaan mengemukan usul Yang di-Pertua yang baharu serentak dengan usul pengosongan jawatan.

Demikianlah kelazimannya, apabila berubah Kerajaan, maka berubahlah juga Yang di-Pertua Dewan Rakyat.  Malah bagi era PN, Setiausaha Dewan Rakyat  juga turut berubah apabila SUDR sedia ada (sebenarnya baru/belum sempat mengendalikan persidangan) telah ditukar dan diganti dengan SUDR baharu yang kebetulannya  pegawai junior.

12.       Petua Baharu Yang di-Pertua – Dewan Rakyat Ditempohkan 10 Minit Untuk Undi Belah Bahagian

Amalan selama ini,  undian belah bahagian dijalankan sebaik sahaja terdapat permintaan oleh 15 Ahli dan setelah tamat  lonceng 2 minit dan ada kalanya lonceng dibunyikan dua kali, selepas itu undian akan dijalankan.   Walau bagaimanapun, pada 11 Ogos 2020, di Mesyuarat Kedua, Parlimen Ke-14 (PKPB sedang berkuat kuasa), Yang di-Pertua telah memutuskan Dewan akan ditangguhkan 10 minit selepas lonceng pertama  2 minit  dan lonceng kedua selama 2 minit akan dibunyikan dan selepas itu undian akan dijalankan.  Keputusan ini dibuat oleh Yang di-Pertua menggunakan Peraturan Mesyuarat 99 - Petua Yang d-Pertua bagi membolehkan semua Ahli Parlmen berkesempatan masuk ke dalam Dewan, memandangkan memerlukan masa ketika menggunakan lif disebabkan bilangan yang dihadkan bagi keperluan penjarakan fizikal semasa di dalam lif.  Tambahan pula kedudukan  blok Ahli Parlimen agak jauh  dari Dewan.

13.    Petua Yang di-Pertua – Perbahasan Serentak Bagi Usul Mengurangkan Peruntukan Yang Sama

Semasa perbahasan Belanjawan 2021 di peringkat jawatankuasa, terdapat beberapa ususl yang sama untuk mengurangkan peruntukkan KPKT dan KKMM.  Yang di-Pertua telah memberi petua atau pendekatan beberapa usul yang sama itu dibahaskan serentak dengan meminta semua yang mengemukakan usul berucap/berbahas.  Ini kerana Peraturan Mesyuarat tidak menyatakan peraturannya apabila keadaan sedemikian berlaku.

14.       Pertikaian Takrifan Pembawa Usul Pemilihan Yang di-Pertua Dewan Negara

Semasa pemilihan Yang di-Pertua Dewan Negara, pada 2 September 2020, di Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen Ke-14, usul mengenainya dipertikaikan.   Pertikaian ini berpunca dari perbezaan pandangan dalam mentakrifkan Peraturan Mesyuarat 2, Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara yang menyebut Ahli Dewan Negara yang mencadangkan nama Yang di-Pertua, sedangkan usul tersebut dikemukakan atas nama Perdana Menteri.  Ahli-ahli Dewan khususnya pihak PH menyatakan bahawa Perdana Menteri bukan Ahli Dewan Negara.

Walau bagaimanapun amalan selama ini, usul tersebut atas nama Perdana Menteri.  Sebenarnya ianya teratur sebagaimana Peraturan Mesyuarat 91, Peraturan-peraturan Majlis mesyuarat Dewan Negara yang memberi kuasa kepada Menteri iaitu “bila-bila seorang Menteri yang bukan Ahli Dewan Negara mengambil bahagian dalam perjalanan mesyuarat Majlis, maka Menteri itu adalah terserah kepadanya semua kuasa-kuasa dan kebebasan-kebebasan yang diberi kepada Ahli-ahli Majlis oleh Peraturan-peraturan ini.  Oleh demikian, tidak timbul isu Perdana Menteri atau Menteri yang bukan Ahli Dewan Negara (Senator) tidak boleh mengemukakan usul pelantikan Yang di-Pertua.  

Suatu catatan jua, menjelang PRU 15.

 

No comments:

Post a Comment

KEJANGGALAN BAJET 2025!!!

Setelah tiga kali Perdana Menteri 10 membentangkan Belanjawan/Bajet Tahunan, inilah kali pertama penulis mengikuti sepenuhnya pembentangan B...