Wednesday 4 March 2020

UNDI TIDAK PERCAYA KEPADA PERDANA MENTERI – SATU SOROTAN DIPARLIMEN MALAYSIA

Perubahan Kerajaan berikutan perlantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) sebagai Perdana Menteri Ke-8 pada 1 Mac 2020 diharapkan menamatkan kemelut politik  yang menyaksikan runtuh dan berakhirnya Pakatan Harapan (PH) sebagai Kerajaan setelah gabungan parti-parti poltik PH memenagi PRU 14 pada 9 Mei 2018.  Pelantikan Perdana Menteri ke-8  oleh Yang di-Pertuan Agong (YDA) telah puas hati pada hematnya bahawa  beliau mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen dari gabongan parti-parti politik yang membentuk Perikatan Nasional (PN).  Namun setelah YDA membuat keputusan, PH  telah membuat pencalonan baru dengan menarik balik pencalonan Dato’ Sri Anwar Ibrahim (92 sokongan) kepada Tun Dr. Mahathir sebagai calon Perdana Menteri ke-8 yang dikatakan memperoleh 114 sokongan  daripada  222 Ahli Parlimen.  Justeru pihak PH berkeyakinan bahawa YAB TSMYtidak memperoleh majority dan beliau boleh dicabar dalam pesidangan Parlimen melalui undi tidak percaya


Maka penulisan ini adalah untuk menyorot bagaimanakah undi tidak percaya kepada Perdana Menteri di laksanakan di-Dewan Rakyat.  Ini kerana tiada peruntukan khusus  dan secara langsung  undi tidak percaya ini  dalam Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.  Apa yang dinyatakan adalah  peruntukan mengenai “ kepercayaan majoriti Ahli Dewan”, iaitu:-

·         Per. 43(2) (a)..” Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai           Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat   yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu”;     dan

·         Per 43(4) ..” Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong”.

Oleh yang demikian penulis ingin menyorot kepada beberapa usul bekaitan  dengan “ kepercayaan majoriti ahli Dewan.”

USUL SOKONGAN KEPADA KEPIMPINAN PERDANA MENTERI

1. USUL “MENGALU-ALUKAN DAN MENYOKONG PELANTIKAN DAN   KEPEMIMPINAN YAB DATO’ SERI ABDULLAH BIN HAJI AHMAD BADAWI   AHLI PARLIMEN BAGI KEPALA BATAS SEBAGAI  PERDANA MENTERI         MALAYSIA YANG KELIMA
 Usul ini dikemuakan oleh Dato' Ir. Mohd. Zin bin Mohamed [Shah Alam]sebagai    Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BNBCC) seperti berikut:  

“ Tuan Yang di-Pertua, terlebih dahulu saya suka merakamkan ucapan jutaan terima kasih kerana diberikan keizinan untuk membawa satu Usul di bawah Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat 27(3), Dewan ini mengambil ketetapan berikut:

“…..Bahawasanya Dewan ini mengiktiraf dan mengucapkan setinggi terima kasih terhadap segala jasa dan bakti Yang Berhormat Ahli Parlimen bagi Kubang Pasu dalam konteks menerajui kepemimpinan kerajaan dan negara Malaysia ketika menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun, selain merestui keputusan beliau untuk mengundurkan diri dan melepaskan jawatan Perdana Menteri;
Bahawasanya Dewan ini mengalu-alukan dan menyanjung tinggi pelantikan Yang Amat Berhormat Ahli Parlimen bagi Kepala Batas sebagai pengganti Yang Berhormat bagi Kubang Pasu sebagai Perdana Menteri Malaysia yang baru;
                        …………………………………..”    
 Usul ini sebenarnya Usul Ahli Persendirian yang dibenarkan oleh Kerajaan dan dianggap   seolah-seolah sebagai usul Kerajaan yang disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat   Dewan Rakyat pada 3 November 2003 di Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Palimen ke-  10. Ia diletakkan giliran kedua  selepas Usul Kerajaan oleh Perdana Menteri iaitu  Usul “Penghargaan dan Terima Kasih Kepada Yang Berhormat Tun Dr. Mahathir bin  Mohamad Ahli Parlimen Bagi Kubang Pasu”. Antara lain kandunggan  usulnya adalah   seperti berikut:
“Perdana Menteri [Dato' Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi]: Tuan Yang di-Pertua izinkan saya bangun membawa usul khas di bawah Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat 27(3) dalam persidangan Dewan kali ini yang berbunyi
“Bahawa Dewan ini,
menerima hakikat bahawa Ahli Parlimen bagi Kubang Pasu, yang menjadi Perdana Menteri Malaysia Keempat sejak 16 Julai 1981 dan telah berkhidmat dengan penuh dedikasi, tegas, cekap, berkesan, cemerlang dan bijaksana, telah pun mengosongkan persada kepimpinan negara; /

menghargai serta menyanjung tinggi perjuangan, pengorbanan, budi, jasa dan bakti bekas Perdana Menteri iaitu Ahli Parlimen bagi Kubang Pasu yang amat murni, abadi serta tidak ternilai besarnya, menerusi pelbagai dasar, strategi dan program yang pragmatik, demi perpaduan dan ketahanan nasional, keselamatan dan kesejahteraan bangsa serta kemakmuran dan kegemilangan negara;
Maka, Dewan Rakyat yang bersidang pada hari ini, 3 November 2003, bersamaan 8 Ramadhan 1424H, mengambil ketetapan untuk;

Merakamkan setinggi-tinggi penghargaan serta jutaan terima kasih dari seluruh rakyat jelata Malaysia kepada Ahli Parlimen bagi Kubang Pasu;… [Tepuk]”

Kedua-dua usul tersebut dibahas dan seterusnya dipersetujukan dengan undian suara.

2.   USUL  “BANTAHAN TERHADAP TUDUHAN AHLI-AHLI KONGRES AMERIKA SYARIKAT KE ATAS Y.A.B. PERDANA MENTERI MALAYSIA, DATO' SERI DR. MAHATHIR MOHAMAD

Usul  ini adalah usul ketetapan dan  pendirian Kerajaan terhadap  tuduhan Amerika Syarikat keatas Perdana Menteri Malaysia ke-4, YAB Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad dan sekaligus menyokong kepimpinannya.  Usul ini juga dikenali  sebagai Usul Percaya   sebagaimana yang dilaporkan oleh akhbar-akhbar.  Ia adalah usul yang dikemukakan oeh Kerajaan pada 19 November 1997 di Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke - 9 sepert  berikut:-

Timbalan Perdana Menteri [Dato' Seri Anwar bin Ibrahim]: akan mencadangkan:-

"Menyedari bahawa Malaysia adalah sebuah negara berdaulat dan merdeka yang dibangunkan di atas prinsip demokrasi dan musyawarah;

Menginsafi sifat majmuk masyarakat Malaysia dari segi suku kaum,agama dan kebudayaan di mana rakyat telah hidup bersama dengan aman damai, hormat menghonnati dan saling berganding bahu membina sebuah negara y.ing utuh lagi makmur;
…………………………………………………………………………………………..
Maka Dewan yang mulia ini mengambil ketetapan seperti berikut:

1. Menegaskan bahawa Malaysia akan terus mempertahankan prinsip menghormati kerukunan hidup rakyat pelbagai kaum dan agama dan di bawah pimpinan Perdana Menteri Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad prinsip tersebut terus diamalkan. Selaras dengan dasar yang mengamalkan sikapterbuka, adil dan saksama adalah dinafikan kenyataan bahawa pimpinan negara adalah anti mana-mana kaum termasuk Yahudi;

2.  Membantah cadangan usul dari beberapa ahli Kongres yang membuat tuduhan melulu dan mempertikai kedaulatan dan hak rakyat dan menuntut masyarakat antarabangsa akur terhadap hak rakyat mana-mana negara menentukan kepemimpinan serta dasar negara masing-masing melalui proses demokrasi dan musyawarah;

3.    Membantah keputusan Kerajaan Amerika Syarikat untuk menyiasat pelaburan Petronas dalam industri gas di Iran kerana ianya melanggar semangat perdagangan bebas yang diterima pakai oleh masyarakat antarabangsa;

4.    Berusaha untuk menjamin kesinambungan hubungan baik dengan Amerika Syarikat dalam segala bidang danberusaha untuk mempertingkatkan hubungan tersebut;

5.  Dan di atas segala ini memberi keyakinan dan memberi sokongan penuh kepada Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia." [DR -19.11.1977 ms 17}

Usul ini telah dibahaskan oleh semua wakli parti politik, disokong dan dipersetujuakan dengan sebulat suara tanpa ada suara yang menyatakan tidak.

3.    USUL MENYOKONG   DAN UCAPAN TAHNIAH KEPADA YAB DATUK HUSSEIN SEBAGAI PEDANA MENTERI.

Usul ini juga dikemukakan oleh  YB Datuk Senu bin Abdul Rahman (Kuala  Kedah) melalui Usul Persendirian dan dibenarkan oleh Kerajaan pada 27 Januari 1976 di Penggal ertama  Parlimen Ke 4.  Usul ini dibahaskan oleh Ahli-ahli Parlimen  mewakili parti-parti yang semuanya  menyokong termasuk PAS. Usul ini dipersetujukan dengan undian suara.  Anatara lain, kandungan usul adalah seperti berikut:-

“Perdana Menteri: Tuan Yang di-Pertua,saya mohon mengemukakan satu usul yang berbunyi:
 bahawa Dewan  dengan ini mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas perlantikan Yang Amat Berhormat DatukHussein Onn sebagai Pdana Menteri dan menyatakan sokongan sepenuhnya kepada beliau bgi melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya. “(Penyata Rasmi DR- 27 Januari 1976, hal 9921)

Usul sokongan ini juga dikemukakan selepas Usul Merakamkan Perasaan Dukacita Atas Kematian Allahyarham YAB Tun Haji Abdul Razak bin Datuk Hussein dan Ucapan Takziah kepada Toh Puan Hajjah Rahah dan Keluarga “ oleh Perdana Menteri.

Secra mudahnya, kepercayaan majoriti ahli Dewan diterjemahkan melalui usul oleh Kerajaan atau usul persendirian yang dibenarkan oleh Kerajaan untuk didahulukan/dinaikkan dalam Aturan Urusan Mesyuarat. Usul ini dikemukakan mengikut Peraturan Mesyuarat 27(3) dan diputuskan untuk dipersetujukan.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri, YB Lim Kit Siang menyeru YAB TSMY supaya mengikuti contoh Tun Hussein Onn mengadakan Mesyuarat Tergempar Parlimen untuk mendapatkan “undi percaya” terhadap kepimpinannya.(Malaysiakini, 4 Mac 2020).  Oleh yang demikian penulis menyimpulkan undi percaya adalah merujuk kepada “Usul Sokongan kepada Perdana Menteri”.


USUL UNDI TIDAK PERCAYA

Peraturan Mesyuarat 27(3)  -Usul Persendirian

Berkaitan Usul Undi Tidak Percaya pernah dikemukakan terhadap Perdana Menteri ke-6 iaitu YAB Dato’ Sri Najib Abdul Razak. Usul  ini telah disenaraikan pada giliran  27 dalam Aturan Urusan Dewan Rakyat pda 28 Oktober 2015 di  Mesyuarat Ketiga, Penggal Ketiga Parlima Ke-13.  Walau bagaimana pun usul ini hanya tersenarai sebagai usul persendirian hingga tamat persidangan Mesyuarat Parlimen itu dan tidak didahulukan untuk di bahas serta diputuskan Usul ini adalah seperti berikut:

“27. Tuan Hee Loy Sian [ Petaling Jaya Selatan ] akan mencadangkan:-
“Bahawa Dewan ini mengemukakan Undi Tidak Percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atas alasan penerimaan “Wang Derma” berjumlah RM2.6 billion yang pada mulanya dinafikan, kemudiannya mengugut untuk menyaman akhbar Wall Street Journal dan akhirnya mengakui wang tersebut diperolehi daripada individu yang berasal dari Timur Tengah. Dengan tidak menjelaskan mengapa “Wang Derma” ini dimasukkan ke akaun peribadi dan bukan atas nama parti, Dewan juga tidak berpuas hati ke atas siasatan skandal 1MDB yang berlaku di mana “Special Task Force” yang sepatutnya menyiasat skandal ini dibubarkan tanpa memberi sebarang alasan sehingga Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail ditamatkan perkhidmatan, pegawai SPRM dipindahkan, pihak polis mengganggu siasatan SPRM dan Bank Negara, Public Account Committee (PAC) yang sedang menjalankan siasatan terhadap kes 1MDB tidak berfungsi akibat daripada empat anggota PAC yang terbabit telah dilantik menjadi Menteri atau Timbalan Menteri oleh Perdana Menteri, Pengarah Cawangan Khas (SB) diberhentikan, Timbalan Pengarah Cawangan Khas dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri tanpa diberi tugasan. Disebabkan masalah yang dinyatakan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah menjejaskan imej Negara di dunia dan menyebabkan pelabur tidak yakin terhadap Kerajaan sekarang sehingga ekonomi menjadi tidak stabil, serta pasaran saham menjunam teruk dan kejatuhan nilai wang ringgit Malaysia berbanding dengan dolar Amerika Syarikat. Maka rakyat Malaysia tidak lagi percaya terhadap Perdana Menteri dan dengan ini Dewan hendaklah mengambil ketetapan untuk mengemukakan Undi Tidak Percaya terhadap Perdana Menteri.”
[ Perdana Menteri ] AUM DR 3/11/2015   ms 17

Peraturan Mesyuarat 18(1) – Usul Tergempar

Setakat ini, seingat penulis terdapat  percubaan oleh pihak pembangkang menggunakan Peraturan Mesyuarat 18(1) dan 18(2). Misalnya pada tahun 2008, usul undi tidak percaya kepada YAB Dato’  Seri Abdullah Badawi , Perdana Menteri ke-5 oleh Ketua Pembangkang, Ahli Parlimen Permatang Pauh (Dr. Wan Azizah Ismail) tetapi usul ini ditolak oleh Yang di-Pertua Dewan di kamar  kerana “wrong choice of words” . Ia ditolak mengikut Peraturan 18(7).[Malaysia Today, 14 Julai 2008].

Semasa Usul undi tidak percaya kepada Pedana Menteri ke-6 melalui Peraturan Mesyuarat 27(3) dikemukakan oleh Ahli Parlimen Petaling Jaya pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Ketiga Parlimen Ke-13, Menteri di Jabatan  Perdana Menteri ketika itu menyatakan bahawa  usul tidak percaya ( no confidence motion)   boleh dikemukakan  walau pun tidak dinyatakan secara jelas dalam Peraturan Mesyuarat.[Maysiakini, 30 September  2015].
.
Pesoalaannya, apakah kesuaiannya dan signifikan Peraturan Mesyuarat 18 ini digunakan untuk mengemukakan usul undi tidak percaya..  Ini kerana usul tergempar ini  hanya, sekiranya diterima olehYang di-Pertua, hanyalah  untuk dibahaskan dan tidak diputuskan.  Tambahan pula Usul Tidak Percaya  kepada perdana Menteri adalah tidak selari dengan syarat-syarat usul iaitu iaitu perkara tertentu, berkepentingan orang ramai dan perlu disegerakan    Penulis berpandangan penggunaan  Peraturan 18  ini untuk usul undi tidak percaya hanyalah  bermotifkan kepentingan politik semata-mata.

KESIMPULAN

Usul Undi Tidak Percaya sesuai dikemukakan mengikut Peraturan Mesyuarat 27(3), Namun, oleh kerana usul ini biasanya dikemukakan oleh pihak pembangkang, maka ia bersifat Usul Persendirian. Sekiranya memenuhi syarat, ia akan tersenarai dalam Aturan Uruan Mesyuarat Dewan Rakyat selepas urusan kerajaan. Oleh itu ia tidak mungkin dibahas dan diputuskan melainkan dibenarkan oleh pihak Kerajaan.

 Usul  Tidak Percaya juga boleh dihasilkan melalui “Usul Percaya  yang sebenarnya lebih sesuai dipanggil “Usul Sokongan terhadap kepimpimpinan Perdana Menteri”.  Biasanya usul sedemkian juga  mengikut Peraturan Mesyuarat 27(3) sebgai Usul Kerajaan jika  dikemukakan oleh pihak Kerajaan atau Usul Persendirian oleh  penyokong Kerajaan tetapi dibenarkan oleh Kerajaan.

Ada pandangan Usul Undi Tidak Percaya boleh dikemukakan melalui Peraturan Mesyuarat 18(1) dan(2) di baca bersama Peraturan Mesyuarat 27(3). Namun penulis berpandangan bahawa kedua-dua peraturan mempunyai sifat dan ciri-ciri yang berbeza dan tidak selari.  Tambahan pula sekarang ini Usul 18 (1) an (2) dibahaskan dalam Kamar Khas yang melibatkan sebahagian kecil  sahaja Ahli-ahli Dewan.

Maka jika usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri ke 8, YAB Tan Sri Muhyiddin bin Mohd Yassin hendak dikemukakan kepada Mesyuarat Parlimen, maka kedudukan juga sama seperti usul-usul terdahulu,  MELAINKAN  SESUATU TINDAKAN LUAR BIASA DARI AMALAN BIASA BERLAKU.

Suatu sorotan pengalaman jua.
5 Mac 2020
Batu Pahat, Johor


No comments:

Post a Comment

SUATU CATATAN - ANTARA “PAK SHEIKH” YANG KU SANJUNG DAN PM 10 YANG MENYINGKIRKAN KU....

  Menelusuri ingatan 45 tahun yang lalu, semasa penulis berusia sekitar 20’an yang penuh semangat dalam persekitaran dakwah dan harakah dise...