Monday 13 August 2018

ISU PINDAAN AKTA 355 - DISINIKAH NOKTAHNYA?

Penulis  terpanggil sekali lagi  untuk memberi pandangan terhadap jawapan Menteri (Agama) mengenai Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 atau sering dikenali sebagai RUU 355  semasa menjawab atau menggulung perbahasan Usul Titah Diraja di Dewan Rakyat pada 6 Ogos 2018. 

Berikut adalah petikan penjelasan beliau terhadap celahan oleh Ahli Parimen Sik:
“Terima kasih kepada Yang Berhormat Sik. Mungkin di sini kita berbeza pandangan. Bagi kami yang dimaksudkan dengan syariah itu terlalu besar dan luas. Bukan hanya aspek Mahkamah Syariah. Ini kerana dalam gagasan yang kita bawa Mahkamah Syariah dan segala institusi yang adanya mesti juga tertakluk kepada tiga teras yang saya sebutkan tadi.  Adapun Akta 355 yang telah disebut oleh Yang Berhormat Sik. Itu duduk di bawah akta bidang kuasa Mahkamah Syariah yang berhasrat untuk meningkatkan hukuman. Betul? Itu isu dia. Sedangkan bagi pihak kami dan kebetulan sudah ada jawapannya di sini sebenarnya. Terima kasih kerana mempercepatkan jawapan ini. Kami meletakkan beberapa perkara yang lebih besar dalam isu Mahkamah Syariah. Tolong catat ya. Pertama, ialah pengharmonian antara undang-undang syariah dan sivil. Kita tidak dapat lari Yang Berhormat, bila berbicara tentang Mahkamah Syariah, akan berlaku di sana perkara-perkara yang berkonflik. Itu perlu di harmonikan. Macam isu, 164 —Akta 164 contohnya. Itu juga melibatkan soal pengharmonian antara sivil dengan— sebab itu realiti, kita tidak dapat lari. Kedua, kita juga berbicara tentang pemerkasaan syariah ini maksudnya mahkamah ini ialah kompetensi hakim dan pendakwa syarie.  Cuba Yang Berhormat bayangkan kalau hukuman itu diletakkan seperti mana yang dicadangkan oleh Yang Berhormat Marang dalam dia punya personal bill dia, akta persendirian. Kompetensi hakim dan pendakwa syarie belum sampai kepada tahap yang sesuai maka mereka perlu banyak lagi peningkatan. Ketiga ialah aspek tadbir urus dan prasarana Mahkamah Syariah. Ini juga penting. Kalau sekadar bercakap tentang 355, kita tidak ada satu prasarana yang boleh menampung satu peningkatan hukuman yang drastik itu maka kita khuatir dengan sekadar melihat 355, tidak melihat secara komprehensif dan global, kita rasa berlaku sedikit ketidaksesuaian dalam berfikir kerangka Mahkamah Syariah yang lebih luas. So, itu saya punya respons... Hansard DR – 6.8.2018, ms 118 - 119)

Manakala jawapan terhadap celahan Ahli Parlimen Kota Bharu, beliau menjelaskan seperti berikut
“ okey terima kasih. Saya ambil note Yang Berhormat Bachok, saya ambil note. Apa yang disebutkan oleh sahabat saya Yang Berhormat Kota Bharu, pertama yang dikatakan kerajaan perlu ambil waktu itu ialah semasa kami di sebelah sana sebab kami menganggap bahawa isu RUU 355 ini jika dikendalikan dengan lebih kita kata teratur, sebab kita ada jawatankuasa roadmap yang telah ditubuhkan antara Kerajaan Negeri Kelantan dengan Kerajaan Pusat waktu itu di bawah Barisan Nasional. Saya kira landasan itu sudah jelas menunjukkan bagaimana kita harus menangani isu ini.  Akan tetapi tiba-tiba muncul satu rang undang-undang persendirian yang lari daripada road map yang telah kita bincang dahulu sebab itu bagi pihak kami waktu itu Yang Berhormat, kami merasakan elok kalau betul serius perkara ini hendak dilaksanakan maka hendaklah diserahkan kepada kerajaan supaya dibuat dengan tertib dan teratur. Sebagai rekod untuk memberi keadilan kepada isu ini yang pernah kita bahas dua tahun panjang perkara ini, saya sendiri telah mengemukakan rang undang-undang peribadi tetapi tidak diterima iaitu rang undang-undang peribadi kepada isu memperkasakan Mahkamah Syariah secara holistik. Sekarang kami telah menjadi kerajaan dengan sokongan rakyat maka sudah tentulah idea-idea itu kami akan cuba terapkan dan kami lebih melihat Yang Berhormat isu pemerkasaan Mahkamah Syariah ini dengan cara yang lebih holistik, insya-Allah. (Hansard DR – 6.8.2018, ms  119)


Sebagai perbandingan, berikut adalah petikan jawapan terakhir secara bertulis oleh Kerajaan terdahulu terhadap soalan lisan oleh Ahli Parlimen  Kuala Nerus di Dewan Rakyat pada 28 Mac 2018, di Mesyuarat Pertama, Penggal Keenam Parlimen Ke-13 sebelum PRU 14, iaitu:-

”... Kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Memperkasa Mahkamah Syariah (JKMMS) yang bertujuan untuk meningkatkan dan memartabatkan sistem perundangan Syariah secara holistik selaras dengan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.

.. .Bagi melaksanakan objektif JKMMS tersebut, dua jawatankuasa pelaksana ditubuhkan iaitu Jawatankuasa Pemandu Memperkasa Mahkamah Syariah  dan Jawatankuasa Induk Memperkasa Mahkamah. Keanggotaan kedua-dua Jawatankuasa ini terdiri daripada tokoh-tokoh dalam negara yang pakar dalam pelbagai disiplin termasuklah mereka yang pakar dalam undang-undang Syariah dan undang-undang sivil.

Antara fungsi Jawatankuasa ini ialah membuat syor kepada Kerajaan mengenai perkara-perkara yang berhubungan dengan Mahkamah Syariah termasuklah dari segi pengharmonian undang-undang antara undang-undang Sivil dan undang-undang Syariah, cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355), pengurusan dan penstrukturan Mahkamah Syariah, latihan hakim dan pegawai Syariah, pendidikan undang-undang Syariah, hal ehwal Peguam Syarie serta penguatkuasaan dan pendakwaan.

Sebanyak  7  Kluster telah ditubuhkan bagi membantu Jawatankuasa Pemandu dan Jawatankuasa Induk seperti  berikut :

(i)     Kluster Pengharmonian Antara Undang-Undang Sivil dan Undang-Undang Syariah;

(ii)          Kluster Cadangan Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355);

(iii)         Kluster Pengurusan dan Penstrukturan Mahkamah Syariah;

(iv)         Kluster Latihan Hakim dan Pegawai Syariah;

(v)          Kluster Pendidikan Undang-Undang Syariah;

(vi)         Kluster  Hal Ehwal berkaitan Peguam Syarie; dan

(vii)        Kluster Penguatkuasaan dan Pendakwaan."

Kesimpulannya, Kerajaan  sekarang menumpukan kepada aspek  pengharmonian antara undang-undang syariah dan sivil,   kompetensi hakim dan pendakwa syarie, dan  aspek tadbir urus dan prasarana Mahkamah Syariah daalam usaha meningkatkan dan memperkasakan Mahkamah Syariah . Manakala pindaan kepada Akta 355  bagi meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah tidak diutamakan.  

Kesemua perkara keutamaan olleh Kerajaan sekarang  untuk  memperkasakan Mahkamah Syariah sebenrnya telah diusahakan oleh Kerajaan terdahulu.  Malah usaha Kerajaan terdahulu adalah lebih holistik  dan termasuk untuk meinda Akta 355 dengan bidang kuasanya.  Penulis ingin menegaskan bahawa pendekatan yang disebut oleh Menteri itu lebih holistik adalah persepsinya  sahaja  dan alasan untuk menjustifikasikan tidak meminda Akta 355.. Pendekatan holistik ini juga dibuktikan dalam jawapan-jawapan terdahuu seperti berikut:-.

”..Penelitian juga dibuat bagi penggubalan peruntukan undang-undang jenayah Syariah yang lengkap, komprehensif dan seragam antara negeri-negeri.”

” .. Dalam masa yang sama, Kerajaan  negeri perlu memandang serius terhadap prinsip keadilan dan kesaksamaan dalam penghukuman. Pelaksanaan undang-undang jenayah Syariah memerlukan tahap pembuktian yang tinggi dan penuh ketelitian sebelum hukuman itu dijatuhkan. Sebarang keraguan yang berjaya ditimbulkan atau prima facie gagal dibuktikan akan menyebabkan hukuman jenayah Syariah itu tidak akan dikenakan terhadap tertuduh. ”

”Dalam hal ini, Kerajaan Persekutuan sentiasa berusaha bagi memastikan undang-undang jenayah Syariah dilaksanakan termasuk memperluaskan bidang kuasa Mahkamah Syariah, menaik taraf sistem kehakiman Syariah dan menyemak semula kedudukan Hakim-Hakim Mahkamah Syariah. ”  [Jawapan bertulis kepada pertanyaan lisan: -YB Sabak Bernam DR-11.6.2014; dan YB Pendang   (DR-27.10.2014)”

Berkaitan Jawatankuasa Memperkasakan Mahkamah Syariah (JKMMS) tersebut,  Penulis tidak pasti sama ada ia diteruskan atau sebaliknya atau   mungkin juga akan dijenamakan semula dengan peneraju-peneraju yang baharu.  Walau bagaimana pun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri  menyatakan  Setakat ini belum ada keperluan untuk membentuk jawatankuasa baharu RUU355. Kerajaan kini melihat Mahkamah Syariah dalam kerangka lebih holistik dari segi hakim, penguatkuasaan dan infrastruktur, perkara ini jadi keutamaan kita. Sekadar RUU355, itu belum menentukan Mahkamah Syariah dapat diperkasakan,” katanya dalam sidang media selepas program Majlis Dialog anjuran Badan Bukan Kerajaan Pertubuhan Prihatin Rakyat Kelantan (PRIKEL) pada 8 Ogos 2018.[ Laporan Berita on-ine, 9 Ogos 2018].

Berdasarkan jawapan dan kenyataan terkini tersebut dan kenyataan-kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri serta pendirian parti-parti politik dalam Kerajaan khususnya DAP, penulis merasakan Kerajaan PH tidak akan berusaha untuk meminda Akta 355. Maka disinilah noktahnya usaha meminda Akta 355  !!!

Tuesday 7 August 2018

MENTERI AGAMA MENGELIRUKAN DEWAN - PM 36(12)

Pada haari ini, 8 Ogos 2018, jam 11.32 pagi, Ahli Parlimen Kota Bharu membangkitkan Peraturan 36 (12) terhadap  Menteri di Jabatan Perdana (Agama)  kerana mengelirukan Dewan .  Dimana semasa penggulungan Titah Diraja, Menteri  menyatakan beliau semasa sebagai pembangkang telah mengemukan RUU Ahli Persendirian (Private Menber's Bill), tetapi sebenarnya hanya mengemukakan usul perssendirian (motion bill) yanng mencadangkan pemerkasaan Mahkamah Syariah.  Ahli Parlimen Kota Bharu meminta Menteri  meminta maaf dan membetulkan kesilapan, sekiranya tidak akan dikemukakan usul untuk menghadapkan Menteri kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

Speaker ketika itu, Timbalan Yang di-Pertua telah menerima "point of order" yang dibangkitkan,  Peraturan Mesyuarat 36(12), dan menyatakan..oleh kerana Ahli Parlimen Kota Bharu minta Menteri membetulkkan dahulu, maka adalah tidak adil jika tidak diberi peluang Menteri membetulkan kenyataanya.

Suatu Catatan jua.
(Catatan mengenai isu ini, boleh dirujuk kepada catatan penulis pada 7 Ogos 2018)

Putra Nilai, 8 Ogos 11.45 pagi.

MENTERI KEWANGAN MENYERU PEMBANGKANG MENYOKONG RUU CUKAI JUALAN 2018– ADAKAH BN MENGGUNAKAN BAKI KUASANYA DI DIDEWAN NEGARA ?


Semasa  menggulung RUU Cukai Jualan 2018 di Dewan Rakyat pada 7 Ogoos 2018, di akhir ucapannya beliau menyeru dengan nada nyaring supaya pihak pembaangkang menyokong RUU ini bagi kepentigan rakyat dan negara  serta tidak untuk  “kepentingan politik sempit”.  Seruan ini  dilontarkan kerana beliau bimbang pembangkang akan menggunakan kuasa majoriti di Dewan Negara.

Penulis terkejut dengan cara dan sikap Menteri Kewangan yang juga Ahli Parlimen Bagan membuat seruan tersebut dan mengungkapkan kata-kata “ kepentingan politik sempit”.  Ini kerana kata-kata ini juga dahulunya sering digunakan oleh pihak Kerajaan BN, tetapi apabila PH sebagai Kerajaan juga menggungkapkan perkataan yang sama.  Apakah Ahli Parlimen Bagan lupa akan sikap dan kelakuannya semasa menjadi pembangkang, dan mengapakah pihak lain yang bersikap serupa tidak disenanginya.  Inilah ibarat kata pepatah “ lidah bercabang” dan “ jari kelingking berkait”.

Berkaitan mojoriti BN di Dewan Negara, ianya berlaku  kerana keahlian Dewan Negara tidak boleh dipecat dan terpulang kepada Senator-Senator untuk melepaskan jawatannya.  Mereka akan memegang jawatan tersebut sehingga tamat tempoh pelantikan masing-masing. Justeru pada masa ini, hanya Senator  yang dilantik oleh DUN Selangor dan Pulau Pinang mewakil Kerajaan PH, manakla DUN Kelantan diwakili oleh PAS.  Walau bagaimanapun Senator yang mewakili DUN Sabah dan Sarawak pula tidak lagi mewakili BN setelah mereka keluar dari BN.  Oleh yang demikian, Senator BN di Dewan Negara masih majoriti dan bilangan  ini akan beransur-ansur mengecil sehingga Senator  BN hanya  tinggal 2 negeri sahaja iatu Perlis dan Pahang. Penulis jangkakan keadaan ini akan berlaku dalam tempoh 6 bulan hingga setahun, apabla Senator lantikan Yang di-Pertuan Agong (dengan nasihat Perdana Menteri) akan tamat seoarang demi seorang) serta dilantik pula ahli yang baharu oleh Kerajaan PH.  Pada masa sekarang, terdapat 51 Ahli Dewan Negara yang sedang berkhidmat  ( jumlah  maksima Ahli Dewan Negara -70 orang). Namun dingat, terdapat juga  Ahli-ahli Dewan Negara lantikan Yang di-Pertuan Agong dari Sabah dan Sarawak serta yang mewakili kaum minoriti dan profesional.  Penulis merasakan perbagai pendirian wujud di kalangan Ahli-ahli Dewan Negara.

Maka apakah BN akan menggunakan saki baki kuasa yang ada untuk tidak mmeluluskan RUU Cukai Jualan 2018 yang ditentang hebat semasa perbahasannya di Dewan Rakyat.  Seacara logik dan perkiraan muddah, BN sewajarnya menggunakan kuasanya jika ingin menzahirkan penentanngannya terhadap RUU ini dan pemansuhan GST di Dewan Negara.   Namun sebagaimana kata-kata Menteri Kewangan, Ahli-ahli Dewan Negara dari BN seharusnya menghormati keputusan rakyat untuk kepentingan negara dan bukan kepentingan politik sempit.  Apakah mungkin, kata-kata ini akan mempengaruhi Ahli-ahli Dewan Negara?... tunggu dan lihat...!!!



UNDI BELAHBAHAGIAN PERTAMA DALAM MAJLIS PARLIMEN KE-14 - USUL MERUJUK RUU CUKAI JUALAN 2018 KEPADA JAWATANKUASA PILIHAN KHAS


Pada 7 Ogos 2018, sekitar pukul 8.25 malam, setelah  Menteri Kewangan selesai menggulung atau menjawab perbahasan   RUU Cukai Jualan 2018  dan semasa  Yang di-Pertua mengemukakan masalah untuk diputuskan,  Ahli Parlimen Beluran telah membangkitkan Peraturan Mesyuarat 54(1) dan dibaca bersama Peraturan Mesyuarat 54(2) supaya  RUU ini drujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas.  Seterusnya  beliau telah meminta belahbahagian.  Semasa proses undi belahbahagian berjalan, suasana agak bising dan hingar bingar serta usik mengusik antara pihak pembangkang dan pihak Kerajaan.  Kedengaran suara – “Gombak masuk..”,  “ Bagan jangan marah,”, “Puchong cool...stedy sekarang, dulu marah-marah”, “ dari belakang, Bagan nampak lawa ..” , “lulus sebagai pembangkang”, “lawan tetap lawan” dan sebagainya.

Pukul 8.27 malam, keputusan undi belahbahagian diumumkan ialah setuju – 51, tidak setuju - 111 dan tidak mengundi – 4, dan bermakna usul YB Beluran tidak disetujukan. Seterusnya  bacaan kali kedua dan ketiga disetujukan dengan suara.

Penulis merasakan undi belahbahagian yang pertama dalam Majlis Parlimen Ke-14 adalah suatu yang mengujakan, walaupun ia hanya undi dari pihak BN sahaja dan tidak termasuk dari PAS dan juga Sabah serta Sarawak.  Namun ia telah mengejutkan pihak Kerajaan khususnya Menteri Kewangan yang kelihatan sentiasa resah dan “tidak senang” semasa undi belahbahagian sedang berjalan.  Ia juga berjaya merangkap pihak Kerajaan kerana diminta untuk merujuk RUU kepada Jawatankuasa Pilihan dan bukannya untuk memutuskan  bacaan kedua dan ketiga seperti biasa. Tahniah kepada pihak pembangkang yang telah bertindak dengan berstrategi walaupun tidak mendapat sokongan padu dari pihak PAS dan Sabah/Sarawak..   Semasa Kerajaan PH sebagai  pembangkang dahulu, kerap minta undi belahbahgian dan kini giliran pihak BN pula untuk  melakukannya.. 

Benarlah kata pepatah, "hidup ibarat roda...."


Putra Nilai, 7 Ogos 2018, 9 mlm.


ISU PINDAAN AKTA 355 : MENTERI AGAMA TIDAK TAHU BEZA ANTARA USUL DAN RUU AHLI PERSENDIRIAN.


Semasa penggulungan perbahasan Usul Titah Diraja di Dewan Rakyat pada 6 Ogos 2018, Menteri  di Jabatan Perdana Menteri (Agama)  telah menjawab celahan  oleh Ahli Parlimen Kota Bharu, yang bertanya sama ada Kerajaan sekarang akan  meminda  Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 [Akta 355],  kerana semasa Menteri sebagai pembangkang sebelum ini pernah mencadangkan supaya pihak Kerajaan BN yang meminda Akta 355 dan bukannya melalui RUU Ahli Persendirian.  Jawapan Menteri adalah seperti berikut:

“…Apa yang disebutkan oleh sahabat saya Yang Berhormat Kota Bharu, pertama yang dikatakan kerajaan perlu ambil waktu itu ialah semasa kami di sebelah sana sebab kami menganggap bahawa isu RUU 355 ini jika dikendalikan dengan lebih kita kata teratur, sebab kita ada jawatankuasa roadmap yang telah ditubuhkan antara Kerajaan Negeri Kelantan dengan Kerajaan Pusat waktu itu di bawah Barisan Nasional. Saya kira landasan itu sudah jelas menunjukkan bagaimana kita harus menangani isu ini.  Akan tetapi tiba-tiba muncul satu rang undang-undang persendirian yang lari daripada road map yang telah kita bincang dahulu sebab itu bagi pihak kami waktu itu Yang Berhormat, kami merasakan elok kalau betul serius perkara ini hendak dilaksanakan maka hendaklah diserahkan kepada kerajaan supaya dibuat dengan tertib dan teratur. Sebagai rekod untuk memberi keadilan kepada isu ini yang pernah kita bahas dua tahun panjang perkara ini, saya sendiri telah mengemukakan rang undang-undang peribadi tetapi tidak diterima iaitu rang undang-undang peribadi kepada isu memperkasakan Mahkamah Syariah secara holistik. Sekarang kami telah menjadi kerajaan dengan sokongan rakyat maka sudah tentulah idea-idea itu kami akan cuba terapkan dan kami lebih melihat Yang Berhormat isu pemerkasaan Mahkamah Syariah ini dengan cara yang lebih holistik, insya-Allah.[Hansard DR - 6.8.2018, ms 119]

Penulis merasakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri tidak faham atau keliru antara Usul Persendirian dan RUU Ahli Persendirian. Sebenarnya Menteri ketika sebagai pembangkang pernah mengemukakan  Usul Persendirian di bawah  PM 27(3) dan bukan Rang Undang-undang Ahli Persendirian.  Usul Persendirian itu  bertarikh 21 Februari 2017, yang mencadangkan: beberapa langkah untuk memperkasakan Mahkamah Syariah dan menubuhkan Jawatankuasa Khas untuk mengkajinya.

Usul Persendirian beliau telah di tolak oleh Yang di-Pertua Dewan   setelah berpuashati dengan penjelasan Kerajaan    yang   dari semasa ke semasa, sedang dalam tindakan aktif untuk memperkasakan institusi kehakiman Syariah dan  juga sentiasa berusaha  serta mengambil langkah-langkah yang positif dalam melaksanakan hukum Islam.  Maka Kerajaan ketika itu, berpandangan tiada keperluan penubuhan satu jawatankuasa khas seperti yang diusulkan oleh Ahli Parlimen Parit Buntar, memandangkan usaha-usaha tersebut telah pun dilaksanakan oleh Kerajaan keika itu  melalui kerjasama JKSM dengan pelbagai agensi lain seperti  JAKIM,  Jabatan Peguam Negara dan Majlis Agama Islam Negeri-negeri.  Oleh  itu,   usul beliau telah tidak disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat.

Tetapi semasa penggulungan tersebut, Menteri di Jabatan Perdana Menteri telah menyatakan beliau  pernah mengemukakan RUU Ahli Persendirian (Private Member’s Bill), yang disebut sebagai  Rang Undang-undang peribadi, pada hal beliau hanya mengemukakan Usul Persendirian.   

Sesungguhnya  Usul Persendirian dan RUU Ahli Persendirian (Private Member’s Bill) adalah  dua perkara yang amat berbeza.   Usul Persendirian adalah usul mengenai perkara-perkara atau isu-isu yang dicadangkan oleh Ahli Parlimen bukan ahli Kerajaan mengikut Peraturan Mesyuarat 27(3) dengan notis 14 hari.   Manakala  RUU Ahli Persendirian pula ialah cadangan mewujudkan undang-undang baharu atau pindaan terhadap Akta sedia ada yang berkaitan kepentingan awam dan dikemukakan oleh Ahli Parlimen bukan  ahli Kerajaan mengikut Peraturan Mesyuarat 49.  RUU Ahli Persendirian hendaklah  dikemukakan melalui Usul Persendirian  mengikut Peraturan Mesyuarat 27(3) dengan notis 14 hari berserta dokumen RUU yang dikenali sebagai “Blue Bill” dalam  kedua-dua bahasa (Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris).

Oleh yang  demikian, Menteri di Jabatan Perdana Menteri boleh ditakrifkan sebagai mengelirukan Dewan sebagaimana  peruntukan  Peraturan Mesyuarat  [PM 36(12)]  iaitu  Ahli tidak boleh mengelirukan Dewan dan ia  disifatkan menghina Majlis dan ahli itu boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.  Maka terpulanglah kepada Ahli Parlimen  yang berkepentingan untuk membangkitkan perkara ini sama ada melalui “point of order” atau usul bertulis.

Suatu pandangan jua.


Putra Nilai, 7  Ogos 2018.



SUATU CATATAN - ANTARA “PAK SHEIKH” YANG KU SANJUNG DAN PM 10 YANG MENYINGKIRKAN KU....

  Menelusuri ingatan 45 tahun yang lalu, semasa penulis berusia sekitar 20’an yang penuh semangat dalam persekitaran dakwah dan harakah dise...