Sunday 28 February 2021

PRU 15 DIPERSIMPANGAN ?- PM CEKAL DENGAN KEYAKINANNYA

 

Semasa mengumumkan pelaksanaan Proklamasi Darurat 2021 pada 12 Januari 2021, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menjelaskan bahawa Parlimen akan dibubarkan sebaik sahaja pandemik COVID-19 reda.  Ini bagi membolehkan Pilihan Raya Umum (PRU) 15 diadakan.  Komitmen yang sama ditegaskan sekali lagi semasa ucapannya dalam siaran langsung mengenai perlaksanan Ordinan Darurat 2021 pada 4 Februari 2020.

Namun reaksi parti politik khususnya pihak pembangkang adalah disebaliknya.  Dimana, Pakatan Harapan (PH) kekal dengan pendirian tidak mahu PIlihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan, sebaliknya mahu mandat rakyat dikembalikan kepada mereka.  Dalam satu kenyataan bersama Majlis Setiausaha PH pada 5 Februari 2021, mereka mempertikaikan kenyataan Perdana Menteri yang sering membangkitkan isu berkaitan pilihan raya. [Sinar Harian, 5 Februari].  Kenyataan tersebut di pertegaskan oleh Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH), Khalid Samad,  bahawa  Pilihan Raya Umum (PRU) tidak perlu diadakan ketika ini kerana Pakatan Harapan (PH) yakin memiliki sokongan mencukupi untuk membentuk kerajaan. Beliau menyatakan angka dimiliki ketika ini tidak mencecah dua pertiga, namun cukup untuk membentuk kerajaan menerusi majoriti mudah.  [BH Online, 5 Februari 2021].

Pada  24 Februari 2021, Istana Negara dalam kenyataan medianya memaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.

Dirumuskan bahawa nasihat oleh Jawatankuasa Bebas Darurat 2021 akan menentukan sama ada Darurat ditamatkan awal atau sebaliknya.  Persoalan sama ada Parlimen bersidang atau tidak pula bergantung kepada nasihat pihak Kerajaan kepada Yang di-Pertuan Agong kerana Kerajaan akan menetukan urusan-urusan yang perlu diselesaikan melalui persidangan Parlimen.

Namun sekali lagi YAB Perdana Menteri pada 1 Mac 2021 dalam ucapannya “Setahun Malaysia Prihatin” di PICC Putrajaya telah mengulagi pendiriannya bahawa pilihan raya akan diadakan sebaik pendemik COVID-19 reda atau sebaik sahaja Jawatankuasa Bebas Darurat 2021  yang ditubuhkan memberi lampu hijau keadaan Covid-19 sudah reda, dan memulangkan kepada rakyat untuk memilih Kerajaan.  Sebelum menutup ucapannya, beliau menegaskan: 

"Sepertimana yang saya tegaskan berulang kali, saya menjunjung Perlembagaan dan prinsip demokrasi. Apabila masalah Covid-19 dapat    diatasi, saya akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan    Parlimen supaya pilihan raya boleh diadakan dan rakyat bebas memilih     kerajaan mana yang layak untuk memerintah"  

Ini aku janji saya yang saya akan tunaikan, Insya-Allah”

“Saya sedar dan saya faham maksud demokrasi. Justeru, tidak ada satu    pun daripada         ordinan ini yang bertujuan untuk   membolehkan Perdana      Menteri kekal berkuasa             selama-lamanya.”  [Ucapan sempena Majlis        Amanat Perdana Setahun Malaysia     Prihatin di PICC, 1 Mac 2021].

Penulis mengakhiri catatan ini dengan suatu keyakinan, bahawa Parlimen tidak akan bersidang dalam tempoh terdekat  dan akan dibubarkan sebaik   Darurat 2021 ditamatkan setelah COVID-19 reda berdasarkan cadangan oleh Jawatankuasa Bebas Darurat 2021.

 Suatu catatan pencinta demokrasi di pinggiran jua.

 

Bangunan BHEUU,

Putarajaya,1 Mac 2021

 

 

 

 

Wednesday 24 February 2021

DARURAT (KELANTAN) 1977 DI LULUSKAN DI PARLIMEN – SUATU PERBANDINGAN

 

Pada 8 November 1977, Kerajaan di bawah pimpinan Dato’ Hussein Onn sebagai Perdana Menteri dan Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad sebagai Timbalan Perdana Menteri telah membentangkan Rang Undang-Undang Kuasa-Kuasa Darurat (Kelantan), 1977 di Dewan Rakyat.

         “RANG UNDANG-UNDANG KUASA-KUASA DARURAT (KELANTAN), 1977

Bacaan Kali Yang Kedua dan Ketiga

7.36 mlm.

Perdana Menteri (Datuk Hussein bin Onn): Tuan Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan iaitu Rang Undang-undang yang bertajuk "Suatu Akta di bawah Fasal-fasal (4), (5) dan (6) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan untuk meluaskan ke Negeri Kelantan kuasa pemerintah Persekutuan mengenai semua perkara yang sekarang ini ada di dalam kuasa pemerintah Negeri Kelantan, dan untuk memberi kepada Raja Negeri Kelantan, dengan dikecualikan Dewan Undangan Negeri Kelantan, kuasa perundangan Negeri Kelantan mengenai semua perkara yang sekarang ini ada di dalam kuasa perundangan Negeri Kelantan" dibacakan kali yang kedua sekarang.

 Tuan Yang di-Pertua, saya mengaku Rang Undang-undang ini mengandungi implikasi politik dan menyentuh prinsip demokrasi. Sungguhpun demikian, saya tidak mengemukakannya dengan sewenang-wenangnya. Saya mengemukakannya, dengan perasaan penuh bertanggungjawab, dan dengan sebab-sebab yang tertentu dan yang tidak boleh dielakkan. Seorang Ketua Kerajaan Pusat sebagai saya, memikul tanggungjawab yang amat berat, terutama mengenai keselamatan dan ketenteraman negara. Tanggungjawab saya berkenaan dengan perkara-perkara ini, tidak boleh dikompromi, walau apapun jadi kepada saya. Perkara keselamatan dan ketenteraman negara, saya akan utamakan atas segala-segalanya.”


Dalam pendahuluan semasa bacaan kali kedua, Perdana Menteri menyatakan RUU ini dbentangkan “dengan perasaan penuh tanggungjawab”.   Malah semasa menggulung perbahasan RUU ini, Timbalan Perdana Menteri menyatakan “sebenarnya kita tidak perlu membahas undang-undang ini. Ada pakar-pakar Undang-undang yang berpendapat bahawa setelah darurat diisytiharkan maka Kerajaan Pusat berkuasa melanjutkan kuasanya ke Negeri-negeri.  Ini bermakna undang-undang berkaitan darurat boleh terus diwujudkan melalui ordinan setelah darurat diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

“1.53 pagi

Timbalan Perdana Menteri (Dato' Seri Dr. Mahathir bin Mohamad): Tuan Yang diPertua, terlebih dahulu saya ingin menyatakan rasa dukacita saya kerana sepertimana yang disebutkan oleh Ahli Yang Berhormat dari Nilam Puri waktu dianya membuat ucapan tidak ada talivisyen baginya. Ucapan saya ini bukan sahaja tidak ada talivisyen, tetapi nampak semuanya sudah mengantuk termasuk pemberita-pemberita, jadi ada kerugian sedikit bagi saya. Walau bagaimanapun, inilah nasib orang-orang yang suka menceburkan diri di dalam bidang politik, kadang-kadang naik, kadang-kadang turun. (Tuan Yang di-Pertua mempengerusikan Mesyuarat)

 Tuan Yang di-Pertua, pada pagi ini ataupun bermula pada petang tadi sehingga ke pagi ini kita telah membahas di dalam Dewan yang berbahagia ini dan ramailah Pembangkang-pembangkang yang menyebut tentang kemerosotan demokrasi di dalam negara kita ini akibat pembentukan undang-undang yang kita bahaskan di dalam Dewan ini. Tuan Yang di-Pertua, sebenarnya kita tidak perlu membahas undang-undang ini. Ada pakar-pakar Undang-undang yang berpendapat bahawa setelah darurat diisytiharkan maka Kerajaan Pusat berkuasa melanjutkan kuasanya ke Negeri-negeri. Saya ingin membaca satu peruntukan di dalam undangundang yang berbunyi demikian iaitu undangundang Perkara 150 — Proclamation of Emergency — Bahagian (4) yang mana ianya berkata: "While a Proclamation of Emergency is in force...." — dan sebenarnya proclamation of emergency memang in force sejak tahun 1969 — "... the executive authority of the Federation shall, notwithstanding anything in this Constitution, extend to any matter within the legislative authority of a State and to the giving of directions to the Government of a State or to any officer or authority thereof."

 Peruntukan ini jelas menunjukkan bahawa apa yang perlu dibuat oleh Kerajaan sekarang ialah mengisytiharkan darurat kalau dianya suka, tetapi darurat telahpun diisytiharkan daripada tahun 1969 dan selepas itu dikuatkuasakan peruntukan di dalam Perlembagaan ini tanpa bahasan di dalam Dewan ini. Tetapi, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri berpendapat bahawa negara kita ini adalah sebuah negara yang demokratik yang mana rakyat perlu mendengar hujah-hujah dan pendapat-pendapat tentang tiap-tiap satu tindakan ataupun langkah yang diambil oleh Kerajaan yang melibatkan nasib dan kehidupan rakyat, sebab itu kita tidak menggunakan peruntukan di dalam undangundang ini tetapi kita lebih rela datang ke Dewan ini untuk membahaskan undangundang ini memberi peluang kepada sahabat-sahabat kita daripada parti lawan ataupun bekas parti lawan ataupun yang akan menjadi parti lawannya ataupun sahabat-sahabat yang lain membincangkan perkara ini. Ini menunjukkan bahawa kita suka kepada demokrasi, lebih suka supaya tiap-tiap satu langkah yang kita ambil tidak dikritik oleh orang sebagai tidak mematuhi prinsip-prinsip demokrasi. Inilah Kerajaan yang pada malam ini — pada pagi ini membentangkan undang-undang ini.

….

Usul dikemuka bagi diputuskan.

 Dato' Shariff Ahmad: Tuan Yang diPertua, saya minta iaitu sebelum Rang Undang-undang ini dibacakan kali yang kedua dan ketiga maka hendaklah diadakan belah-bahagian mengikut peruntukanperuntukan Peraturan Mesyuarat 46.

 Tuan Yang di-Pertu: Ahli-ahli Yang Berhormat yang bersetuju di atas permohonan itu diminta jemput berdiri (Lebih lima belas Ahli-ahli bangun) pungutan undi akan dijalankan dengan belah-bahagian. Saya jemput Penghitung undi mengambil tempat masing-masing. Dewan berbelah-bahagi: Yang Bersetuju, 118; Yang Tidak Bersetuju, 18; Yang Tidak Mengundi; Tiada. “(DR-8.11.1977, hal 4119 – 4260]

 Suatu sorotan sejarah jua.

Putrajaya,25 Februati 2021

 

PARLIMEN BOLEH BERSIDANG SEMASA DARURAT?

 


Isu sama ada Parlimen boleh bersidang atau sebaliknya menjadi perhatian utama pelbagai pihak, apabila kenyataan media Istana Negara menyatakan Parlimen boleh bersidang semasa darurat.  Disini penulis petik semula pandangan penulis pada 31 Januari 2021 tempoh hari di blog ini, iaitu:-

Parlimen hanya boleh dipanggil bersidang oleh Yang di-Pertuan Agong sebagaimana ketetapan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 mengikut Fasal 14 “(b) Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong. Maksud “tarikh yang difikirkan sesuai” adalah pada tarikh yang munasabah yang sudah pasti mengambil kira tujuan utama darurat iaitu pendemik Covid-19 telah diatasi atau tamat.  Walau bagaimanapun, peruntukan seksyen tersebut  tidak menghalang Parlimen dipanggil bersidang semasa darurat”.

 Berikut adalah kronologi isu ini:-

(i)    Pada  24 Februari 2021, Istana Negara dalam kenyataan medianya memaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.  Kenyataan tersebut menyebut bahawa perkara berkenaan termaktub dalam “ sub perenggan 14 (1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan bahawa Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri.”   Kenyataan media dikeluarkaan  setelah Baginda   berkenan menerima menghadap Speaker Dewan Negara, Tan Sri Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim dan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun di Istana Negara pada 24 Februari 2021 [Berita harian, 25 Februari 2021].

  

(ii)  Ahli Parlimen Gua Musang dilaporkan berkata bahawa penentuan tarikh persidangan Dewan Rakyat yang sesuai boleh ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong.  Sebenarnya memang kuasa Yang di-Pertuan Agong di bawah Perlembagaan untuk memanggil parlimen bersidang tanpa mendapat nasihat daripada perdana menteri apatah lagi di dalam keadaan darurat diisytiharkan," [Malaysiakini, 24 Februari 2021].

 

(iii) Ketua Penerangan Umno pula dilaporkan berkata setiap cabang sistem demokrasi negara perlu akur kepada prinsip Rukun Negara termasuk kerajaan (Eksekutif). Beliau menyifatkan kebijaksaan Yang di-Pertuan Agong membuktikan baginda sebagai Ketua Negara yang memayungi rakyatnya meletakkan sistem demokrasi berparlimen pada tahap amat tinggi. “Pendirian agar Parlimen kembali bersidang sesegera mungkin adalah selari dengan hasrat memelihara peranan 'legislative oversight' atau semak dan imbang yang dimainkan oleh Ahli-Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara,” [Malaysiakini, 24 Februari 2021].

 

(iv) Manakala  pemimpin kanan Pakatan Harapan (PH) pula berkata pandangan Yang di-Pertuan Agong  adalah selari dengan pendirian pakatan itu serta majoriti ahli parlimen.Presiden PKR, Presiden Amanah dan Setiausaha Agung DAP  bersetuju bahawa semasa pihak Eksekutif dan Kehakiman boleh berfungsi ketika darurat berkuat kuasa, Parlimen juga perlu terus memainkan peranan dalam memastikan urus tadbir kerajaan terjaga dan proses semak imbang diteruskan."Oleh itu, kami akan mendukung penuh hasrat Seri Paduka Baginda untuk memulihkan kedudukan Parlimen dalam memainkan peranan penting dalam Perlembagaan Malaysia, mengetengahkan isu-isu serta masalah yang dihadapi rakyat dalam usaha membendung pandemik Covid-19 serta merencana langkah-langkah bagi menghidupkan semula ekonomi negara,"  [Malaysiakini, 24 Februari 2021].

                        Suatu catatan dipinggiran jua,

SUATU CATATAN - ANTARA “PAK SHEIKH” YANG KU SANJUNG DAN PM 10 YANG MENYINGKIRKAN KU....

  Menelusuri ingatan 45 tahun yang lalu, semasa penulis berusia sekitar 20’an yang penuh semangat dalam persekitaran dakwah dan harakah dise...