Thursday 4 June 2020

PEMBUBARAN PARLIMEN – ATAS NASIHAT ATAU KUASA BUDI BICARA YANG DIPERTUAN AGONG

Pada masa ini, situasi politik yang tidak stabil telah menimbulkan pelbagai perbahasan termasuklan kuasa untuk membubarkan Parlimen. Terdapat pandangan bahawa pembubaran Parlimen hanya berlaku apabila Perdana Menteri memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong dan ada juga berpandangan bahawa Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa budi bicara untuk membubarkan Parlimen. Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan “Yang di-Pertuan Agong boleh memprorog atau membubarkan Parlimen.” (Perkara 55(2). Sekiranya tidak dibubarkan, Perkara 55(3) menyatakan “Melainkan jika dibubarkan terlebih dahulu, Parlimen hendaklah terus berjalan selama lima tahun dari tarikh mesyuarat pertamanya dan selepas itu adalah terbubar.”. Inilah peruntukan Perlembagaan Persekutuan mengenai pembubaran Parlimen di negara kita dan jelas Yang di-Pertuan Agong mempuyai kuasa untuk membubarkan Parlimen.

Memanggil, memprorog dan membubarkan Parlimen 
 55. (1) Yang di-Pertuan Agong hendaklah memanggil Parlimen dari semasa ke semasa dan tidak boleh membiarkan enam bulan berlalu antara persidangan yang akhir dalam satu penggal dengan tarikh yang ditetapkan untuk mesyuarat pertamanya dalam penggal yang berikutnya. 
(2) Yang di-Pertuan Agong boleh memprorog atau membubarkan Parlimen. 
(3) Melainkan jika dibubarkan terlebih dahulu, Parlimen hendaklah terus berjalan selama lima tahun dari tarikh mesyuarat pertamanya dan selepas itu adalah terbubar.
(4) Apabila Parlimen bubar suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh enam puluh hari dari tarikh ia bubar dan Parlimen hendaklah dipanggil bermesyuarat pada suatu tarikh yang tidak lewat daripada satu ratus dua puluh hari dari tarikh itu.
(5) Sesuatu Rang Undang-Undang yang belum diputuskan di dalam Parlimen tidaklah terluput disebabkan oleh pemprorogan Parlimen. 
 (6) (Dimansuhkan). 
 (7) Sesuatu Rang Undang-Undang yang menantikan perkenan Yang di-Pertuan Agong di bawah Fasal (4) atau Fasal (4a) Perkara 66 tidaklah terluput disebabkan oleh pemprorogan atau pembubaran Parlimen.” 

Amalan dinegara ini ialah Perdana Menteri akan mengadap Yang di-Pertuan Agong dengan membawa warkah untuk meminta pembubaran Parlimen. Jika diperkenankan, Yang di-Pertuan Agong akan menanda tangani dan menurunkan cop mohor di atas Dokumen Proklamasi Perisytiharan) Pembubaran Parlimen (sebelah atas ) dan seterusnya Perdana Menteri akan menanda tangani dokumen itu disebelah bawah. Berdasarkan amalan inilah, maka Parlimen dibubarkan atas nasihat Perdana Menteri. 

Jika diamati Perkara 40 (1)) memperuntukan : “ hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seorang Menteri” dan Perkara 40(1a) pula “Yang di-Pertuan Agong dikehendaki bertindak mengikut nasihat, atas nasihat, atau selepas menimbangkan nasihat, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu.” Walaupun begitu, Perkara 40(2) pula memperuntukan “Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya” bagi “tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen”. Dalam klausa ini, istilah yang digunakan adalah “permintaan” dan bukannya “nasihat”. Ini bermakna dalam hal pembubaran Parlimen, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa budibicara dan sekiranya tiada kuasa, sudah tentu istilah “permintaan” tidak digunakan.

 “Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat 
 40. (1) Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan ini; tetapi Yang di-Pertuan Agong berhak, atas permintaannya, untuk mendapat apa-apa maklumat berkenaan dengan pemerintahan Persekutuan yang boleh didapati oleh Jemaah Menteri.
 (1a) Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, jika Yang di-Pertuan Agong dikehendaki bertindak mengikut nasihat, atas nasihat, atau selepas menimbangkan nasihat, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu
(2) Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi yang berikut, iaitu: 
 (a) melantik seorang Perdana Menteri;
 (b) tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen;
(c) meminta diadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja yang semata-mata berkenaan dengan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, dan apa-apa tindakan pada mesyuarat itu, dan dalam apa-apa hal lain yang disebut dalam Perlembagaan ini” 

Kesimpulannya, sekiranya ada permintaan dari Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong boleh memperkenan atau tidak memperkenan untuk membubarkan Parlimen. Jika tiada permintaan tersebut, Perkara 55(2) telah memperuntukan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong. Adalah diyakini bahawa baginda akan berhati-hati melaksanakan kuasanya dengan bijaksana.

BERULANGKAH KEMELUT POLITIK – PN MAJORITI 2 KERUSI DAN BAGAIMANAKAH UNDI TIDAK PERCAYA BERLAKU??

Pada bulan Mac yang lalu, penulis melontarkan persoalan – adakah kemelut politik 2020 yang bermula dengan “Langkah Sheraton” akan berakhir dengan Perdana Menteri ke-8 mengangkat sumpah pada 1 Mac 2020 dan Jemaah Menteri baharu pada 10 Mac 2020.

Realiti suhu politik negara masih membahang.  Bermula dengan pelbagai persepsi berkaitan persidangan Parlimen yang dijadulkan pada 9 Mac 2020 ditangguh kepada 18 Mei hingga 23 Jun 2020, kemudiannya pula dipinda lagi hanya bersidang satu hari pada 18 Mei dengan urusan Titah Diraja dan beberapa usul serta bacaan pertama Rang Undang-Undang.  Akhirnya Perdana Menteri sebagai Ketua Majlis memutuskan persidangan pada 18 Mei 2020 itu disingkatkan lagi dengan hanya urusan Titah Diraja sahaja.  Persepsi paling menonjol ketika itu ialah pihak Kerajaan yang diterajui oleh Perikatan Nasional (PN) takut dengan usul yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Langkawi (mantan Perdana Menteri Ke-7) yang mencadangkan undi tidak percaya kepada Perdana Menteri mengikut Peraturan Mesyuarat 27(3).

Penjelasan  Yang di-Pertuan Agong semasa bertitah pada 18 Mei  2020 di Istiadat Pembukaan Penggal  Ketiga Parlimen Ke-14 yang baginda telah meminta Perdana Menteri Ke-7 tidak meletakkan jawatan tetapi tetap  meletak jawatan pada 24 Mac 2020 dan melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin yang pada hemat baginda mendapat majoriti sokongan  Ahli-ahli Dewan Rakyat, tidak mempengaruhi agar suasana politik tenang. Bahkan baginda bertitah supaya “ negara tidak dibawa lagi dalam kancah politik yang tidak menentu” juga nampaknya tidak dihiraukan oleh pemain-pemain politik khususnya tokoh-tokoh utama.

Semasa persidangan Parlimen pada 18 Mei 2020 itu, susunan kedudukan ahli Parlimen Kerajaan ialah 114 kerusi manakala Pembangkang (PH)- 108 kerusi dan BEBAS - 1 kerusi, namun ahli Parlimen Sri Aman telah mengisytiharkan menyokong pembangkang walaupun diletakkan dalam barisan penyokong Kerajaan, maka Kerajaan (PN) mempunyai 113 kerusi sahaja.

Angin politik terus bertiup kencang apabila beberapa hari yang lalu tersibar dimedia sosial 3 orang Ahli Parlimen ( 2 Menteri dan 1 Timbalan Menteri) dari PBBM akan meletak jawatan dan menyokong semula PH.  Namun kemudian dinafikan dan ia adalah khabar-khabar angin sahaja.

Pada 2 Jun yang lalu pula, Ahli Parlimen Sri Gading yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya membuat kenyataan  “ jika perlu akan kembali menyokong Tun dr Mahathir dan PH..sekiranya dapat menyatukan PBBM”. Akhirnya pada 4 Jun 2020, beliau telah menghantar surat kepada Perdana Menteri untuk meletak jawatan sebagai Timbalan Menteri Kerjaya tetapi menyatakan kekal menyokong PN.  Walau bagaimanapun kenyataan itu diragui kerana beliau telah mengunjungi  Tun Dr Mahathir selepas meletak jawatan dan ramai yang percaya beliau kembali menyokong PH.

Politik tetap politik, dan jika melompat parti itu masih sah dan selari dengan hak kebebasan serta demokrasi, maka ia tidak akan terhenti.  Penulis meramalkan situasi melompat parti akan terus berlaku, bukan sahaja keluar dari PN, bahkan  juga akan berlaku masuk ke PN.  Masa akan  menentukan..tunggu dan lihat.

Dimasa yang sama Tun Dr Mahathir dan pihak PH mewar-warkan pihak mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen yang mencukupi bahkan mencapai 129 kerusi  dan bila-bila masa sahaja PH akan kembali menerajui Kerajaan atas nama “ pilihan /amanah rakyat.” 

Dipihak yang lain pula, menganggap ini adalah perang psikologi yang dimainkan oleh pihak PH semata-mata.  Sekiranya benar mereka mempunyai “angka majoriti”, sudah pasti telah berkampung dihadapan istana dan menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Pada masa yang sama, suasana politik di Johor pula juga bergolak dengan kedudukan Kerajaan (PN) menguasai 29 kerusi, manakala PH pula 27 kerusi.  Suara-suara tawar menawar untuk melompat parti kedenganran disana sini. Namun Sultan Johor dalam twiternya bertitah baginda akan membubarkan DUN jika wakil-wakil Rakat berterusan berebut kuasa..  Diharapkan titah ini menyejukkan kehangatan suhu politik di negeri Johor.

Suatu yang menarik, penulis rakamkan disini pandangan pelbagai pihak mengenai undi tidak percaya kepada Perdana Menteri Ke-8 yang dibawa oleh Ahli Parlimen Langkawi semasa persidangan Parlimen pada 18 Mei itu. Dalam kenyataan media, Yang di-Pertua Dewan Rakyat menerima usul itu untuk “dibawa kedalam Majlis Mesyuarat”.  Kenyataan ini telah difahami oleh banyak pihak bahawa usul itu akan dibentangkan dan undian akan dibuat.  Sebenarnya kenyataan ini bermaksud usul itu akan dimaksudkan kedalam aturan Urusan Mesyurat (AUM) dan diletakkan selepas urusan Kerajaan.  Maka usul ini tidak mungkin sempat dinaikkan untuk dibentang, dibahas dan diputuskan kerana ianya bersifat usul persendirian.  Akhirnya ia akan kekal dalam AUM sahaja sehingga selesai persidangan Mesyuarat Parlimen dan tidak secara automatik dibawa ke Mesyuarat berikutnya kecuali ia dikemukakan semula.  Ini telah berlaku kepada Usul Undi Tidak Percaya kepada Perdana Menteri Ke-6 pada tahun 2015 dahulu yang hanya tertera dalam senarai AUM pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Ketiga Parlimen Ke-13.

Oleh yang demikian, usul undi tidak percaya ini hampir mustahil untuk dibahas dan diputuskan dalam persidangan Mesyuarat Dewan Rakyat.  Jika begitu, bagaimana undi tak percaya boleh diterjemahkan?.   Walaupun tidak dinyatakan dengan jelas dalam peraturan Mesyuarat dan Perlembagaan, namun sekiranya pihak Kerajaan gagal mendapat persetujuan Dewan Rakyat untuk RUU Perbekalan sama ada Bajet tahunan atau tambahan,  mengikut konvensyen parlimen di luar negara, ia ditakrifkan sebagai undi tidak percaya kepada Kerajaan.  Dalam konteks sekarang, sekiranya pihak PH boleh mendapat undi belah bahagian sebanyak 112 dan Kerajaan pula 110, secara mudah Kerajaan telah hilang majoriti.  Tetapi sekiranya Kerajaan memeperolehi 112 dan PH pula 110, ini bermakna Kerajaan mempunyai majoriti yang boleh dipercayai walaupun tipis.... yang penting adalah "kesetiaan" dan bukan "permainan politik" semata-mata.  Malahan jika diperingkat untuk meluluskan usul dan Rang Undang-Undang (RUU) sekalipun, mana-mana pihak yang memperolehi undi melalui belah bahagian sebanyak  112 dan keatas, maka ia sudah membuktikan pihak itu memperolehi majoriti.  Tetapi jika kurang dari angka ini, walaupun urusan itu diluluskan oleh Dewan, ianya masih dipertikaikan sebagai majoriti secara keseluruhan kerana perinsip undi belah bahagian ialah berasaskan kehadiran ketika itu serta kelebihan walaupun hanya 1 undi.   

Walau bagaimanapun, bagi Bajet Tahunan (Rang Undang-Undang Perbekalan), sekiranya di peringkat Dasar dan bacaan ketiga tidak dipersetujukan walaupun dengan undi yang kecil dan kurang dari 112, maka konvensyen Parlimen antarabangsa, ia dianggap sebagai undi tidak percaya kepada Kerajaan.  Secara perinsipnya, sekiranya Bajet Tahunan tidak diluluskan oleh Dewan Rakyat, maka Kerajaan tidak boleh berbelanja dan bagaimana Kerajaan hendak nmenguruskan/mentadbir  negara pada tahun itu.

Apa pula terjadi, sekiranya yang tidak diluluskan itu adalah bajet diperingkat jawatankuasa iaitu peruntukan untuk Kementerian tertentu, maka tiadalah peruntukan untuk Kementerian itu, walaupun Bajet diluluskan diperingkat dasar dan bacaan kali yang ketiga.

Lontaran hujahan ini adalah berasaskan kepada situasi undian belah bahagian  bagi Bajet Tahunan sama ada semasa BN atau pun PH memerintah. Insiden berikut adalah buktinya:-
  • Semasa era BN - 
    • RUU Perbekalan 2010(Bajet 2010), di peringkat jawatankuasa (Kementerian Dalam Negeri) diluluskan dengan lebihan 1 undi (setuju 64 dan tidak setuju 63) dan bacaan kali yang ketiga dengan lebihan 3 undi (setuju 66 dan tidak setuju 63) pada 14 Disember 2009 di Dewan Rakyat.
    • RUU Perbekalan 2018 (Bajet 2018), diperingkat jawatankuasa (Kementerian Perdangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi) juga dilulkuskan dengan lebihan 1 undi (setuju 52 dan tak setuju 51) pada 20 November 2017 di Dewan Rakyat.
  • Semasa era PH  - RUU Perbekalan 2020 (Bajet 2020) di peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga diluluskan dengan lebihan 4 undi (setuju 32 dan tidak setuju 28) bagi peruntukan Bekalan/Belanja Mengurus dan 17 undi (setuju 45 dan tidak setuju 28) bagi Belanja Pembangunan.
Apakah situasi lebihan undi yang kecil ini tidak akan berlaku dalam keadaan majoriti keseluruhan yang diperolehi oleh Kerajaan sekarang (PN) adalah kecil. Kebarangkaliannya adalah tinggi, bahkan adalah amat memenatkan sekiranya setiap peringkat jawatankuasa diminta undi belah bahagian. Bayangkanlah ... setiap jawatankuasa ada dua kali undi iaitu bagi Belanja Mengurus (B) dan Belanja Pembangunan (P), maka lsebanyak  52 kali undi belah bahagian boleh diminta bagi 26 Kementerian.   Apakah situasi ini akan berlaku...terpulanglah kepada kekuatan dan strategi pihak pembangkang untuk mengagalkan Bajet  2021 yang akan dibentangkan oleh Kerajan pada bulan November nanti.

Wassalam, satu lontaran pandangan jua,
Putrajaya, 4 Jun 2020/

SUATU CATATAN - ANTARA “PAK SHEIKH” YANG KU SANJUNG DAN PM 10 YANG MENYINGKIRKAN KU....

  Menelusuri ingatan 45 tahun yang lalu, semasa penulis berusia sekitar 20’an yang penuh semangat dalam persekitaran dakwah dan harakah dise...