Wednesday 11 March 2020

TIDAK CUKUP KUORUM PERSIDANGAN DAN ISU KETIDAKHADIRAN AHLI PARLIMEN KERAJAAN : BERUPAYAKAH PN MENANGANINYA ?


Isu tidak cukup bilang atau kuorum persidangan bukanlah isu baru dalam persidangan Parlimen khususnya Dewan Rakyat.  Lebih dua dekad penulis mengikuti persidangan Dewan Rakyat sama ada pada era  Barisan Nasional (BN) mahupun Pakatan Harapan (PH) memerintah negara isu Ahli Parimen Kerajaan tidak hadhir  persidangan sukar ditangani sehingga persidangan ditangguhkan awal kerana tidak cukup kuorum.  Malahan ada ketikanya urusan Kerajaan khususnya Rang Undang-Undang  dan bajet diluluskan di Dewan Rakyat dengan lebihan undi belahbahagian yang tipism sekitar1, 2 atau 3 undi sahaja. 

Kuorum Persidangan

Cukup bilang atau kuorum persidangan ialah bilangan Ahli-Ahli Dewan yang mencukupi bagi membolehkan persidangan Dewan dijalankan. Dengan perkataan lain, ia lebih dikenali korum persidangan. Bagi Dewan Rakyat, korum persidangan ialah 26 orang Ahli dan Dewan Negara pula ialah 10 orang Ahli. Bilangan tersebut tidak termasuk Yang di-Pertua Dewan. Isu ini timbul sekiranya Ahli Dewan bangun membangkitkan kepada Yang di-Pertua bahawa persidangan tidak cukup korum.

Perkara ini diperuntukkan mengikut Peraturan 13(1), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan rakyat dan Peraturan 12(1), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat dewan Negara.  Bagi Dewan Rakyat, dinyatakan seperti beriut:-

13. (1) Cukupbilang bagi Majlis Mesyuarat dan Jawatankuasa sebuah-buah Majlis Mesyuarat hendaklah mengandungi dua puluh enam orang ahli dengan tidak termasuk Pengerusi.

(1a) Walau apa pun perenggan (1), cukup bilang bagi Kamar Khas hendaklah  mengandungi tiga orang ahli dengan termasuk Pengerusi yang disebut dalam Peraturan Mesyuarat 16.

(2) Jika siapa-siapa ahli menarik perhatian Pengerusi mengatakan tidak cukupbilang, maka hendaklah dipanggil ahli-ahli di luar Dewan Mesyuarat seolah-olah memanggil ahli kerana hendak diadakan belahbahagian

3) Setelah dipanggil ahli-ahli itu, maka Tuan Yang di-Pertua, selepas genap dua minit, hendaklah membilang berapa orang ahli-ahli dalam Majlis Mesyuarat atau Kamar Khas; jika tidak cukup bilang juga maka hendaklah ditangguhkannya mesyuarat itu hingga hari mesyuarat yang kemudian dengan tidak dikemukakan bagi diputuskan oleh mesyuarat.”

ERA BARISAN NASIONAL (BN)

Ketika majoriti penyokong Kerajaan semasa era BN  khususnya ketika menguasai  majoriti   dua pertiga, isu tidak cukup bilang atau korum persidangan kerap dibangkitkan.   Seingat penulis, semasa perbahasan Rang Undang-Undang Pilihan Raya (Pindaan) 2003 di Dewan Rakyat pada Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga Parlimen Kesepuluh terpaksa ditangguhkan persidangan pada jam 5.00 petang semasa Y.B. Menteri sedang menjawab perbahasan  Rang Undang-Undang ini dan sepatutnya sempat dipersetujukan tetapi terpaksa ditangguhkan kepada hari persidangan berikutnya. 

Isu korum ini sering  berlaku pada era sebelum  Parlimen Kesebelas (2004 – 2008) dan  jarang berlaku selepasnya. Namun ia berubah kepada isu ketidakhadiran Ahli Parlimen semasa persidangan khususnya semasa sesuatu urusan itu dipersetujukan melalui undi belah bahagian. Ketika  Dato’ Seri Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ke-4 pernah memanggil Ahli-ahli Parlimen yang sering tidak hadir. Begitu juga, Dato’ Seri Abdullah Badawi Perdana Menteri ke-5 juga pernah memberi amaran kepada ahli-ahli Parlimen BN. Bahkan semasa Dato’ Sri Najib Adul Razak, Perdana Menteri ke-6 pernah meminta Ahli Prlimen BN yang tidak hadir semasa undi Belah Bahagian Bajet 2010 memberi sebab secara bertulis,  Malah pernah juga Perdana Menteri melalui Whip BN memberi surat penghargaan kepada Ahli-ahli Parlimen BN yang komited hadir sepanjang persidangan pada tahun 2011.   Selepas  itu tidak  berlaku lagi, setelah Ahli-ahli Parlimen BN ketika itu sering kali diperingatkan akan tanggung jawab untuk hadir di Dewan dan mamastikan cukupbilang kehadirannya, lebih-lebih setelah BN tidak lagi mojoritii dua pertiga majoriti.  

Ketika itu, pihak pembangkang sama ada Barisan Alternatif (BA), Pakatan Rakyat (PR), mahupun Pakatan Harapan (PH) sering  membangkitkan isu korum dan juga kehadiran Anggota-angota Pentadbiran BN ketika itu.  Bahkan, PH sering kali memerangkap pihak BN  dengan meminta belah bahagian bagi meluluskan Rang Undang-undang dan Usul-usul.  Ini  menyebabkan Kerajaan BN sentiasa berjaga-jaga dan dalam  situasi  kelam kabut khususnya semasa meluluskan Bajet di peringkat jawatankuasa.  Pegawai-pegawai khas khususnya Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri  selalu dipersalahkan apabilaa Menteri atau Timbalan Menteri tidak hadir untuk undi belah bahagian..


Kelebehian Kecil Dalam Undi Belahbahagian

Bermula  pada persidangan Majlis Parlimen Kedua Belas ini,  undi belahbahagian telah menjadi pilihan. Dimana Peraturan Mesyuarat 46(4) telah menetapkan belahbahagian akan dibuat jika terdapat 15 orang Ahli di Dewan Rakyat atau 8 orang Ahli di Dewan  Negara bangun memintanya.  Keadan ini dapat dilihat pada masa mempersetujukan urusan-urusan di Majlis Parlimen Kedua Belas selepas PRU 12 ( 2008) yang telah menafikan penguasaan majoriti 2/3 BN ( BN – 137, PR – 77 dan Bebas – 8).  Maka undi belah bahagian telah menjadi pilihan  oleh pihak pembangkang ketika itu (Pakatan Rakyat – PR dan kemudian Pakatan Harapan - PH)  untuk merekodkan  tentangan atau tidak setuju terhadap sesuatu Rang Undang-Undang atau usul khususnya perkara-perkara yang  jelas dibantah oleh mereka.  Berdasarkan catatan penulis, berikut disenaraikan urusan-urusan yang dipersetujukan melalui undi belah bahagian :-

i)     22 Jun 2009  di Dewan Rakyat di Mesyuarat  Kedua, Penggal Kedua, Parlimen Kedua Belas;  Rang Undang-Undang Identifikasi Asid Deoksiribonukleik (DNA) 2008  dipersetujukan dengan 48 undi bersetuju dan 47 undi tidak bersetuju di peringkat jawatankuasa.   

ii) 14 Disember 2009 di Dewan Rakyat di Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua, Parlimen Kedua Belas,   Rang Undang-Undang Perbekalan 2010 (Bajet 2010) dipersetujukan; 64  undi bersetuju dan   63 undi tidak bersetuju di peringkat  jawatankuasa (Kementerian Dalam Negeri). Manakala bagi  bacaan kali yang ketiga,  Bajet 2010 tersebut dipersetujukan dengan  66 undi bersetuju  dan  63 undi tidak bersetuju.  Lebihan undi yang kecil(1 dan 3 undi) ini   telah menimbulkan pelbagai reaksi dan pandangan semua pihak termasuk orang ramai yang menyalahkan ketidak hadiran Ahli-ahli Parlimen Kerajaan. Ini adalah  kali pertama alam sejarah Parlimen Malaysia yang melibatkan undi belah bahagian bagi Rang Undang-Undang khususnya Bajet. [Yang di-Pertua Dewan Rakyat, berpandangan  berdasarkan konvensyen parlimen di Negara-negara Komenwel, sekiranya Bajet Kerajaan tidak diluluskan oleh Dewan Parlimen, maka ia ditafsirkan sebagai undi tidak percaya kepada Kerajaan dan Parlimen boleh dibubarkan.]
iii)   7 April 2010 : 56 setuju dan 82 tidak setuju – untuk merujuk Ahli Parlimen Pasir Salak ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan [ Usul 26(1)P oleh Ahli Parlimen Ip[oh Timur] di Dewan Rakyat.
iv)   7 April 2010 : .88.setuju dan 57.. tidak setuju – untuk mensetujukan Perbekalan Tambahan (2009) 2010, peringkat Dasar di Dewan Rakyat.
v)    8 April 2010 : .87 setuju dan 38 tidak setuju – untuk mensetujukan Perbekalan Tambahan (2009) 2010, peringkat Jawatankuasa – Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat.
vi)   15  April 2010 : .68 setuju dan 34 tidak setuju – untuk mensetujukan Perbekalan Tambahan (2009) 2010, peringkat Jawatankuasa – Kementerian Luar Negeri di Dewan Rakyat.
vii) 9 November 2010 : .50 setuju dan 85 tidak setuju – untuk mensetujukan usul potong gaji Peguam Negara [ usul 69(1) ] dalam perbahasan Bajet 2011, peringkat Jawatankuasa – Jabatan Perdana Menteri, di Dewan Rakyat.
viii)        30 November 2010 : 47  setuju dan 58  tidak setuju – untuk mensetujukan usul potong gaji [ usul 69(1) ] dalam perbahasan Bajet 2011, peringkat Jawatankuasa – Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KETTHA), di Dewan Rakyat.
ix)   15 Disember 2010 :  71   setuju dan   40  tidak setuju – untuk mensetujukan Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010 pada bacaan kedua di Dewan Rakyat.
x)    22 Disember 2010 : 20  setuju dan 8 tidak setuju – untuk  mensetujukan Rang Undang-Undang Pengangkutan (Pindaan) 2010 di Dewan Negara.  [Berkemungkinan ini adalah kali pertama Rang Undang-undang diluluskan di Dewan Negara secara belah bahagian]. 
xi)   7 April 2014, di Dewan Rakyat pada Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua, Parlimen Ketiga Belas,   RUU Cukai Barang dan Perkhidmatan dipersutujukan: bersetuju -  118 undi dan  dan  tidak bersetuju -  81 undi untuk bacaan kali yang kedua.  Seterusnya sekali lagi undi belah bahagi pada bacaan kali yang ketiga,  bersetuju  - 119 dan  tidak bersetuju   -  81. [GST  dilaksanakan  mulai 1 April 2015].

xii) 3 Disember 2015,   pada Mesyuarat Ketigam Penggal Ketiga Parlimen Ketiga Belas di Dewan Rakyat; bersetuju - 105 dan   dan tidak bersetuju – 77 bagi mempersetujukan Usul menghadapkan Ahli Parlimen  Lembah Pantai kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.
xiii)        3 Disember 2015 juga di Dewan Rakyat : bersetuju – 107 dan tidak setuju – 74 bagi mempersetujukan RUU Majlis Keelamatan Negara.

xiv)        Bajet terakhir pada era BN ialah pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima Parlimen Ketiga Belas, dimana kelebihan kecil  undi belahbahagian pada 20 November 2017,Bajet 2018 di peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi (KPDNKK), telah disetujukan dengan undian belah bahagian : setuju – 52 (BN); tak setuju – 51; dan tidak mengundi – 2 (PAS).  Secara mudah, jika PAS mengundi tidak setuju, maka bajet bagi  KPDNKK tidak disetujukan.
xv) 20 Mac  2018, setuju – 101 dan tidak setuju – 0 di Dewan Rakyat pada Mesyuarat Pertama, Penggal Keenam Parlimen Ketiga Belas bagi mempersetujukan usul kewagan (Kertas Statut). Ini adalah kali pertama usul kewangan ini dipersetujukan secara undi belahbahagian, yang biasanya secara udian suara sahaja. Asalnya diminta oleh pembangkang sejurus  sebelum rehat tengahari, namun ditangguhkan oleh Yang di-Pertua.  Apabila bersidang semula jam 2.30 petang, ketika hendak dibuat undi belahbahagian, pihak pembangkang membantah dan keluar Dewan.  Walau  bagaimanapun pihak BN Timbalan Perdana Menteri)   meminta belahbahagian diteruskan. 
xvi)        28 Mac 2018,  di Dewan Rakyat : bersetuju – 129 dan tidak setuju – 80 bagi mempersetujukan Usul Perintah Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Ngeri-negeri Tanah Melayu 2018. [Undian ini adalah dimestikan mengikut ketetapan Seksyen 10, Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan “ disokong dengan undi sebanyak tdak kurang daripada setengah jumlah bilangan ahli Majlis “.]
xvii)       29 Mac 2018, juga di Dewan Rakyat: bersetuju – 123 [termasuk 11 dari PAS], tidak setuju – 64 bagi mempersetujukan RUU Antiberita Tidak Benar.  Ini adalah undi belahbahagian yang terakhir pada era BN.
ERA PAKATAN HARAPAN(PH)
 Semasa era pmerintahan PH  (selepas PRU 14, 9 Mei 2018 hingga 24 Februari 2020), iaitu persidangan pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen Ke-14 yang  bermula pada  17 Julai 2018 sehinggalah Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Parlimen Ke-14, isu tidak cukup bilang dan ketiidakhadiran Ahli Parlimen Kerajaan telah timbul semula.  Pada  awalnya, penulis beranggapan isu ini tidak berbangkit kerana merekalah yang dahulunya sebagai pembangkang yang mengkritik hebat ketidakhadiran Ahli parlimen BN, namun keadaan ini telah berlaku semula apabila PH sebagai Kerajaan.
Di peringkat awal, undi belahbahagian diminta oleh BN sebagai pembangkang bagi membantah pemansuhan akta yang telah diluluskan sebelum ini dan juga Rang Undang-undang (RUU)  iaitu:
i)     RUU Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pemansuhan) 2018.
 Pada 7 Ogos 2018, sekitar pukul 8.25 malam  Ahli Parlimen Beluran telah membangkitkan Peraturan Mesyuarat 54(1) dan dibaca bersama Peraturan Mesyuarat 54(2) supaya  RUU ini drujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas  dan  meminta belahbahagian.  Keputusan undi belahbahagian diumumkan ialah setuju – 51, tidak setuju - 111 dan tidak mengundi – 4, dan bermakna usul YB Beluran tidak disetujukan.  Akhirnya RUU ini dipersetujukan dengan undian suara.

Penulis merasakan undi belahbahagian yang pertama dalam Majlis Parlimen Ke-14 adalah suatu yang mengujakan, walaupun ia hanya undi dari pihak BN sahaja dan tidak termasuk dari PAS dan juga Sabah serta Sarawak.  Namun ia telah mengejutkan pihak Kerajaan khususnya Menteri Kewangan yang kelihatan sentiasa resah dan “tidak senang” semasa undi belahbahagian sedang berjalan.  Ia juga berjaya merangkap pihak Kerajaan kerana diminta untuk merujuk RUU kepada Jawatankuasa Pilihan dan bukannya untuk memutuskan  bacaan kedua dan ketiga seperti biasa.

ii)    RUU Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018. 

Di Dewan  Rakyat, RUU ini disetujukan dengan undian suara pada 16 Ogos 2018 di Mesyuarat Kedua, Penggal Kedua Parlimen Ke-14, walaupun semasa perbahasan dibantah oleh pihak pembangkang.  Tetapi di Dewan Negara, RUU tidak dipersetujukan melalui undi belahbahagian pada 12 September 2018 dengan 28 tidak setuju, 21 setuju dan 3 tidak mengundi.

iii)   RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019.
RUU ini adalah untuk meminda fasal 2 Perkara 1 Perlembagaan iaitu memecahkan bahawa Persekutuan mengandungi (a) negeri-negeri Tanah Melayu, (b) Sabah dan (c) Sarawak. Ini tidak banyak bezanya dengan yang asal dan pihak pembangkang  meminta perkara ini dirundingi terlebih dahulu dengan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak dan dinyatakan dengan jelas persetujuan Perjanjian Malaysia 1963 (MA 1963) dalam pindaan Perlembagaan ini.
Pada 8 April 2019, di Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-14, RUU ini telah diusulkan oleh Ahli Parlimen Santubung untuk merujuk  kepada Jawatankuasa Pilihan Khas yang tidak dipersetujukan  dengan undi belahbahagian (jam 9.59 mlm): tidak setuju – 136 dan setuju – 60. Namun semasa undi belah bahagi untuk bacaan kali yang kedua , setuju – 138, tidak setuju – 59 dan tidak hadir – 24.  RUU ini tidak  dipersetujukan kerana kurang dari 2/3 majoriti (148 undi) seperti ketetapan  Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan untuk pindaan Perlembagaan Persektuan.  RUU ini adalah meminda Perkara 1 fasal(2) .

iv)  RUU Perlmbagaan (Pindaan) 2019

RUU ini adalah meminda perenggan (b) Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan umur warga negara yang layak  menjadi ahli Dewan Rakyat daripada 21 kepada 18 tahun. Juga  meminda perenggan (a) Fasal 1 Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan umur seseorang warga negara yang layak  mengundi daripada 21 kepada 18 tahun. Ini adalah sejarah, kerana  Perlembagaan dipinda ketika kerajaan tidak menguasai majoriti ahli 2/3 dan mendapat sokongan penuh dari pihak pembangkang.
Undi belahbahagian  adalah mesti  bagi RUU ini untuk memastikan  persetujuan majoriti 2/3   Ahli Dewan.   Pada 16 Julai 2019, di Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Parlimen ke-14, keputusan  undi belahbahagian ialah  211 Ahli Parlimen bersetuju, tiada bersetuju – 0 dan tiada yang tidak mengundi.  Ini adalah kejayaan Kerajaan berunding dan menerima cadangan dari pihak pembangkang yang asalnya menolak pindaan ini apabila dibuat bacaan kali pertama  yang asalnya hanya  meminda umur layak mengundi sahaja. Kerajaan menarik balik dokumen RUU itu dan mmbentangkan semula setelah mengambil kira pandangan pihak pembangkag iaitu juga dipinda umur layak menjadi ahli Dewan dan juga pendaftaran secara automatik.
v}         RUU   Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2019
Perkara 68(2) (a) dan (b) menetapkan RUU yang diluuskan oleh Dewan Rakyat tetapi tidak dililuskn oleh Dewan Negara hendaklah dikembalikan kepada Dewan Rakyat dan boleh dibentangkan semula dalam tempoh tidak kurang setahun.  Maka RUU ini dibentangkan semula di Dewan Rakyat untuk bacaan kali yang pertama pada 5  Oktober 2019 dan dipersetujukan pada  bacaan kali yang kedua dan ketiga pada 9 Oktober 2019 denga undi belahbahagian : setuju -  92 dan tidak setuju – 51.   Seterusnya, RUU ini dipersetujukan di Dewan Negara dengan undian suara pada 19 Disember 2019.   

Penulis beranggapan di era  PH, isu ketidak hadiran Menteri/Timbalan Menteri dan Ahli-ahli Parlimen Kerajaan  sewajarnya  tidak berlaku.  Ini kerana mereka sering menegur Kerajaan BN dahulu dan malah sering memerangkap Kerajaan BN dengan undi belah bahagian apabila kehadiran Ahli-ahli Parlimen BN berkurangan.  

Namun anggapan itersebut meleset, apabila pada 19 Julai 2018, Ahli Parlimen Rembau (BN) menegur  tiada seorang Menteri atau Timbalan Menteri PH berada dalam Dewan semasa sesi perbahasan Titah Diraja.  Diperingkat ini, penulis beranggapan Ahli Parlimen Rembau bergurau atau “memulangkan batu keras” kepada Kerajaan PH kerana mereka dahulu sering membangkitkannya semasa mereka  sebagai pembangkang.

Malah pada 23 Julai 2018, dalam kenyataan akhbarnya di lobi Parlimen,   Perdana Menteri ke-7  kurang puas hati dan   menegur ketidak hadiran Menteri/Timbalan Menteri dan Ahli-ahli Parlimen PH. Yang menarik disini, penulis ingin merakamkan bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad  menghadapi isu yang sama semasa menjadi Perdana Menteri sama ada Kerajaan BN mahu pun  Kerajaan PH.  

Antara insiden tidak cukup kuorum di Dewan Rakyat pada era PH ini yang  sempat penulis catat dalam pemerhatian jauh mengikuti persidangan Parlimen adalah seperti berikut:-

1.    Pada 24 Julai 2018 pada Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama Parlimen Ke-14, Dewan Rakyat tertangguh 10 minit setelah isu tak cukup kuorum dibangkitkan oleh Ahli Prlimen Kapit.  Setelah lonceng dibunyikan, persidangan diteruskan setelah kuorum mencukupi dengan kehadiran 36 Ahli Dewan.

2.    Pada 20 November 2019  pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua, Parlimen Ke-14,  persidangan tertangguh beberapa minit  diawal persidangan  setelah isu tidak cukup kuorum dibangkitkan Ahli Parlimen Lipis bila hanya 24 orang ahli yang hadhir dalam Dewan.   Setelah lonceng dibunyikan , serama 28 orang Ahli hadhir dalam Dewan dan persidangan diteruskan dengan sesi pertanyaan.
Berikutan isu ketidak hadiran Ahli-ahli Parlimen termasuk Menteri/ Timbalan Menteri,  maka natijahnya adalah kemenangan yang tipis  undi  belah bahagian semasa mempersetujukan Rang Undang-undang Perbekalan 2020 di peringkat Jawatankuasa  bagi Kementerian  Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan undi 32 setuju dan 28 tidak setuju. Ini berlaku pada sekitar jm 9 malam pada  27 November 2019 di Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua, Parlimen Ke-14.  Inilah undi belahbahagian terakhir dalam era PH yang memerintah  selama 21 bulan selepas PRU 14.

Apakah ini bermakna, mana-mana pihak apabila menjadi Kerajaan, mereka akan bersikap “ lepas tangan” atau hanya berusaha-usaha bersungguh-sungguh dengan apa sekalipun untuk berkuasa? Bak kata pepatah “ Cakap tak serupa bikin”.  Secara perinsip, tanggung jawab untuk memastikan korum adalah tangung jawab semua Ahli-ahli Parlimen, tidak kira sama ada pihak Kerajaan mahupun pembangkang.  Kelazimannya, ia di bebankan kepada  Ahli Parlimen Kerajaan kerana pada dasarnya Mesyuarat Parlimen untuk meluluskan urusan-urusan Kerajaan.
AMPUHKAN  PN ? – KOMITEDKAH AHLI PARLIMEN KERAJAAN HADIR SEPENUHnya  DI DEWAN RAKYAT
Setelah tumbangnya PH sebagai kerajaan pada 24 Februari 2020 yang lalu , apabila Perdana Ke-7 meletak jawatan dan BERSATU(PBBM) keluar dari PH, maka gabungan parti-parti MN (PAS dan UMNO), komponen BN dan GPS menyokong Tan Sri Muhyidin Yassin sehingga menyakinkan Yang di-Pertuan Agong untuk berkenan melantiknya sebagai Perdana  Menteri ke-8 dan mengangkat sumpah pada 1 Mac 2020.   Gabungan ini dipanggil Perikatan Nasional (PN) telah membentuk Jemaah Menteri baharu yang telah mengangkat sumpah jawatan pada 10 Mac 2020.  Seramai 70 orang Menteri dan Timabalan Menteri termasuk 6 senator  dilantik. Gabungan PN ini mempunyai majoriti yang paling tipis.
Persoalannya, oleh kerana lebih setengah dari 114 Ahli Parlimen Kerajaan  adalah anggota Pentadbiran, apakah tak mungkin berlaku ketidakhadiran  Ahli Parlimen yang sering  berlaku sama ada pada era BN mahupun PH.   Menteri dan Timbalan Menteri selalu menggunakan alasan kesibukan tugas sebagai Anggota Pentedbiran yang menghalang kehadirannya di Dewan Rakyat.  Justeru akan berlakulah keadaan tidak cukup kuorum dan kemuncaknya kemenangan tipis pihak Kerajaan dan mungkin juga kalah semasa undi belah bahagian bagi meluluskan Rang Undang-undang dan usul-usul.

Oleh yang demikian, tiada pilihan  supaya Ahli Parlimen Kerajaan serta Anngota Pentadbiran agar sentiasa komited untuk hadir sepenuhnya di Dewan Rakyat bagi memastikan keadaan tersebut dapat dihindarkan..   Tambahan pula, kekuatan kesatuan PN yang wujud disaat-saat kemelut Politik PH 2020 adalah masih  longgar dan  akan teruji keampuhannya pada persiidangan Parlimen yang akan bermula pada 18 Mei hingga 23 Jun 2020  di Mesyuarat Pertama Penggal Pertama  Parlimen Ke-14.

Wallahu a’lam. Suatu lontaran catatan untuk difikir-fikirkan!!

Batu Pahat, Johor
11 Mac 2020

No comments:

Post a Comment

SUATU CATATAN - ANTARA “PAK SHEIKH” YANG KU SANJUNG DAN PM 10 YANG MENYINGKIRKAN KU....

  Menelusuri ingatan 45 tahun yang lalu, semasa penulis berusia sekitar 20’an yang penuh semangat dalam persekitaran dakwah dan harakah dise...