Sunday 29 March 2020

PAKEJ RANSANGAN EKONOMI COVID-19: PERLUKAH DIBAHASKAN DI-PARLIMEN ?


Pada 27 Mac 2020, Perdana Menteri Tan Sri Muhyuddin Yassin telah mengumumkan Pakej Ransangan Ekonomi (PRE) kedua yang disiarkan secara langsung oleh media elektronik bagi melindungi rakyat dan  industri serta menjamin ekonomi kekal kukuh berikutan implikasi Perintah Kawalan Pergerakan dalam usaha memutuskan rantaian  wabak COVID -19. . Pakej yang diberi nama "Prihatin' telah memperuntukan perbelanjaan sebanyak RM 250 bilion (termasuk RM20  bilion yang diumumkan oleh Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad) dengan suntikan fiskal kerajaan sebenar berjumlah RM 25 bilion.

Berikutan pengumuman PRE tersebut pelbagai pihak tampil mencadangkan supaya PRE ini dibahaskan dalam persidangan Parlien terlebih dahulu sebelum dilaksanakan. Ahli Parlimen Iskandar Puteri juga Pengerusi  DAP YB Lim Kit Siang menggesa persidangan khas Parlimen selama 2 hari diadakan bagi meluluskan pakej rangsangan ekonomi itu…supaya ia memperoleh kredibiliti dan keabsahan,” (FMT 28 Mac 2020).

Sementara itu, Ahli Parlimen Port Dickson  juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesyorkan supaya Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dibahaskan di Parlimen supaya dapat mengelak berlakunya ketirisan.  "Saya syorkan supaya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberikan pertimbangan serius dengan memberikan ruang kepada semua pihak untuk membahas dan memberikan sokongan dengan maksud memperbaiki pakej itu”.  (SINAR, 29 Mac 2020).

Sementelah itu, Asto Awani (29 Mac 2020) melapurkan pemimpin-pemimpin  dunia  sedang dan telah membahaskan tentang pakej rangsangan ekonomi bagi menghadapi COVID-19 di Parlimen.  Antaranya:
  • Parlimen Republik Czech pada  24 Mac 2020 telah meluluskan pakej rangsangan ekonomi selepas Perdana Menteri Andrej Babis mengumumkan perbelanjaan 100 juta CZK (USD 4 juta) sebagai bantuan terus dan 900 juta CZK (USD 36.4 juta) sebagai jaminan pinjaman kepada syarikat koporat. 
  • Kongres Amerika Syarikat turut membahaskan pakej rangsangan ekonomi presiden Donald Trump sebanyak USD 2 Trilion bagi membantu rakyat ketika pandemik COVID-19 semakin membimbangkan. Kedua-dua parti Republikan dan Demokrat telah bersetuju meluluskan pakej itu.. 
  • Parlimen Singapura telah meluluskan belanjawan tambahan pada 26 Mac 2020 bagi  menyediakan pakej rangsangan ekonomi berjumlah S$ 48 bilion untuk menyokong  kebajikan rakyat dan mengukuhkan ekonomi. Jumlah ini sebanyak sembilan peratus kepada KDNK negara Singapura..
Justeru itu, pelbagai  pihak khususnya pihak pembangkang (Pakatan Harapan - PH) meminta supaya PRE ini dibentang dan dibahas serta dilulskan  oleh  Parlimen terlebih dahulu.  Ini adalah  berdasarkan prinsip semak dan imbang terhadap pengurusan dana kerajaan. Mereka meminta supaya Kerajaan yang dikini dibawah pemerintahan Perikatan Nasional (PN) perlu memberi penjelasan kepada Parlimen tentang segala butiran projek, program dan punca kewangan untuk membelanjakan dana kepada rakyat. Ini juga mengelakkan  salah guna dana dan keterisan..  Waalau bagaimanapun, United Kingdom juga telah mengumumkan pakej rangsangan ekonomi pada 26 Mac 2020 tanpa dibahaskan di Parlimen.terlebih dahulu. Siatem Parlimen di negara ini lebih menjurus kepada amalan dan konvensyen  di United KIngdom..

Disini penulis ingin menyorot peruntukan Perlembagaan Persekutuan mengenai perbelanjaan dan belanjawan  serta  amalan di Parlimen Malaysia.   Perkara 100 telah menetapkan belanjawan Negara yang juga dipanggil sebagai bajet tahunan hendaklah dikemukakan kepada Parlimen melalui Rang Undang-Undang Perbekalan setiap tahun yang perlu dibahas dan dipersetujukan. Amalannya pada Mesyuarat Ketiga setiap penggal iaitu pada akhir  tahun sebelum sesuatu tahun  yang bajet itu peruntukkan.

“Rang Undang-Undang Perbekalan

100. Perbelanjaan yang hendaklah dibayar daripada Kumpulan Wang Disatukan tetapi tidak dipertanggungkan padanya, selain perbelanjaan yang hendaklah dibayar dengan jumlah wang yang disebut dalam Fasal (3) Perkara 99, hendaklah dimasukkan ke dalam suatu Rang Undang-Undang, yang hendaklah dikenali sebagai Rang Undang-Undang Perbekalan, yang membuat peruntukan bagi pengeluaran jumlah wang yang perlu daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk membayar perbelanjaan itu dan penguntukan jumlah wang itu bagi maksud yang dinyatakan dalamnya.”

Sekiranya berlaku pertambahan peruntukan dan perbelanjaan dalam bajet tahunan, maka Perkara 101 pula menetapkan supaya dikemukakan kepada Parlimen untuk dimasukkan kedalam Akta Perbekalan  yang telah diluluskan  seperti  ketetapan Perkara 100 tersebut. Amalannya ia dikemukakan kepada Parlimen melalui Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan bagi sesuatu tahun berkenaan.  Begitu  juga dengan perbelanjaan tambahan dari Kumpulan Wang LuarJangka hendaklah juga dimasukkan dalam Rang Undang-Undang Perbekalan.

“Perbelanjaan tambahan dan perbelanjaan lebih

101. Jika berkenaan dengan mana-mana tahun kewangan didapati—
(a)    bahawa amaun yang diuntukkan melalui Akta Perbekalan bagi apa-apa maksud tidak mencukupi, atau bahawa telah timbul keperluan perbelanjaan bagi suatu maksud yang baginya tiada amaun diuntukkan melalui Akta Perbekalan; atau
(b)   bahawa apa-apa wang telah dibelanjakan bagi apa-apa maksud melebihi amaun yang diuntukkan (jika ada) bagi maksud itu melalui Akta Perbekalan,
maka suatu anggaran tambahan yang menunjukkan jumlah wang yang dikehendaki atau dibelanjakan itu hendaklah dibentangkan di hadapan Dewan Rakyat dan maksud apa-apa perbelanjaan itu hendaklah dimasukkan ke dalam suatu Rang Undang-Undang Perbekalan.”

Kumpulan Wang Luar Jangka

103. (1) Parlimen boleh melalui undang-undang membuat peruntukan bagi mewujudkan suatu Kumpulan Wang Luar Jangka dan memberi kuasa Menteri yang dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi kewangan, jika berpuas hati bahawa telah timbul keperluan perbelanjaan yang mendesak dan di luar jangkaan yang baginya tiada peruntukan lain wujud, untuk membuat pendahuluan daripada Kumpulan Wang Luar Jangka itu untuk memenuhi keperluan itu.

(2) Jika apa-apa pendahuluan dibuat mengikut Fasal (1), suatu anggaran tambahan hendaklah dikemukakan dan suatu Rang Undang-Undang Perbekalan dibawa dengan seberapa segera yang mungkin bagi maksud menggantikan amaun yang didahulukan itu.

Merujuk kepada PRE ini, ianya akan dibentangkan kepada Parlimen melalui Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan sebagai tambahan kepada Bajet 2020 yang telah diluluskan melalui  Akta Perbekalan 2020  pada akhir tahun 2019.  Amalannya ia akan dibentangkan selepas perbelanjaan dibuat, malahan perbelanjaan PRE ini adalah dalam situasi kecemasan serta perlu disegerakan. Persoalan yang dibangkitkan ialah perlu diluluskan oleh Parlimen sebelum dilaksanakan.

Semasa  Barisan Nasional (BN), Kerajaan telah melaksanakn PRE yang berjumlah RM67 bilion pada tahun 2008 dan 2009 bagi menangani krisis  dan kelembapan ekonomi global dunia ketika itu.  PRE ini merangkumi dua peringkat iaitu PRE 1 berjumlah RM7 bilion yang diumumkan pada 4 November 2008 dan PRE 2 berjulah RM 60 bilion pada 10 Mac 2009 semasa membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2009)2009 di Dewan Rakyat.

RANG UNDANG-UNDANG PERBEKALAN TAMBAHAN (2009) 2009
Bacaan Kali Yang Kedua
3.59 ptg.
“Menteri Kewangan [Dato' Sri Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak]: TuanYang di-Pertua, saya mohon mencadangkan bahawa Rang Undang-undang bernama “suatu akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Yang Disatukan untuk perbelanjaan bagi perkhidmatan untuk sebahagian daripada tahun 2009 dan bagi memperuntukkan jumlah wang itu untuk maksud-maksud tertentu bagi bahagian tahun itu” dibaca kali kedua sekarang.

Tuan Yang di-Pertua, peruntukan tambahan Perbelanjaan Mengurus Pertama 2009 ini, adalah dibentangkan menurut perkara 100 dan 101 Perlembagaan Persekutuan, iaitu bagi memperoleh kelulusan terhadap perbelanjaan yang tidak diperuntukkan atau terkurang peruntukan dalam Bajet 2009 yang telah diluluskan terdahulu, oleh Dewan yang mulia ini.

Tuan Yang di-Pertua, krisis ekonomi global semasa yang bermula daripada krisis kewangan sub prima di Amerika Syarikat pada pertengahan tahun 2007, telah membawa kesan yang jauh lebih meluas dan mendalam. [SR -10.3.009,MS 76]
.....
Tuan Yang di-Pertua, maka dengan ini, sukacita saya mengumumkan bahawa kerajaan akan melaksanakan pakej rangsangan kedua berjumlah RM60 bilion... [Tepuk] Pakej ini akan dilaksanakan dalam tempoh dua tahun iaitu 2009 dan 2010. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM15 bilion merupakan suntikan fiskal, RM25 bilion dana jaminan dan RM10 bilion pelaburan ekuiti, RM7 bilion inisiatif pembiayaan swasta atau PFI dan off budget serta RM3 bilion insentif cukai. Jumlah RM60 bilion ini merupakan hampir 9 peratus daripada KDNK. Pelaksanaan pakej rangsangan yang bersaiz besar ini adalah kali pertama dilakukan dalam sejarah ekonomi negara..”.[DR – 10.3.2009, MS 79}

Kesimpulannya, PRE Covid-19 ini tetap akan dibentangkan di persidangan Parlimen, namun ia seperti amalan sebelum ini  sebagai Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan pada persidangan di Mesyuarat Parlimen akan datang.  Desakan timbul supaya di adakan Mesyuarat Khas Parlimen bagi membahas dan meluluskan  PRE ini, mungkin juga berikutan pengakuan telus  Perdana Menteri  dalam ucapannya “ mungkin tuan-tuan tidak mengundi Kerajaan ini ..  Penulis beranggapan desakan ini adalah  bermotifkan politik agar Parlimen bersidang segera selepas Kemelut Politik 2020 (Langkah Sheraton), memandang Mesyuarat Pertama, Penggal Ketigaa Parlimen Ke-14 telah dipinda dari 9 Mac 2020  kepada 18 Mei 2020.

Suatu catatan pencerahan jua….

Sri  Medan, Johor
29 Mac 2020

No comments:

Post a Comment

SUATU CATATAN - ANTARA “PAK SHEIKH” YANG KU SANJUNG DAN PM 10 YANG MENYINGKIRKAN KU....

  Menelusuri ingatan 45 tahun yang lalu, semasa penulis berusia sekitar 20’an yang penuh semangat dalam persekitaran dakwah dan harakah dise...