Sunday, 17 May 2020

HARI BERSEJARAH – PERSIDANGAN MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KETIGA PARLIMEN KE-14

Dua tahun telah berlalu, 5 April 2018 adalah hari terakhir penulis berada dibangunan utama yang menempatkan Dewan Rakyat dan Dewan Negara .   PRU 14 bukan sahaja bersejarah kerana berlaku perubahan Kerajaan dari BN kepada pakatan pembangkang iaitu PH, malah secara peribadi memberi kesan mendalam juga menyingkirkan penulis dari tugasan yang telah laksanakan  lebih dua dekad.  Hari ini, penulis hadir semula pada hari pertama persidangan Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 bagi menjalankan tugas yang mandarah daging dalam kerjaya dan kehidupan. Inilah catatan penulis.

Tarikh 18 Mei 2020, adalah tarikh bersejarah dan melakar komposisi yang unik bagi Parlimen Malaysia kerana:-

  •         Bersidang sehari sahaja dan hanya urusan Titah Diraja bagi Pembukaan Penggal Parlimen Ketiga Parlimen Ke-14. Belum pernah berlaku dalam usia 61 tahun Parlimen Malaysia, bahkan persidangan pertama  di Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen Pertama pun bersidang dua hari iaitu 11 dan 12 September 1959.  Persamaanya ialah tiada perbahasan untuk Titah Diraja.

  •       Persidangan yang pertama bagi Kerajaan baharu iaitu Perikatan Nasional (PN) setelah mengambil alih dari Pakatan Harapan (PH) pada 1 Mac 2020 dengan pelantikan Perdana Menteri Ke-8. PH yang memerintah selepas memenangi PRU 14, namun runtuh 20 bulan kemudiannya apabila pada 24 Februari 2020, parti Bersatu (PBBM) keluar PH dan 11 Ahli Parlimen  keluar PKR  serta Perdana Menteri Ke-7 meletak jawatan. Inilah juga kali pertama dalam sejarah Kerajaan baharu terbentuk bukan selepas PRU tetapi setelah 22 bulan PH memerintah yang telah hilang majoriti.

  •         Majoriti Kerajaan yang paling tipis dalam sejarah Dewan Rakyat.  Jumlah majoriti Kerajaan iaialh 114 dan jumlah Ahli Parlimen bukan Kerajaan termasuk barisan pembangkang ialah 107 dan Beabs 1, merupakan jumlah terbanyak dalam sejarah.

  •    Ahli Parlimen Langkawi mencipta sejarah sekali lagi apabila duduk di barisan pembangkang yang paling berusia (96 tahun).  Kalau sebelum selepas PRU 14 beliau mencipta sejarah sebagai Ahli Parlmen yang paling berusia (94 tahun) serta menjawat Perdana Menteri untuk kedua kalinya.

  •    PBBM yang merupakan sebahagian gabungan pemerintah dalam PN, namun ahlinya ada yang menjadi pembangkang.  Pengerusi PBBM (Ahli Parlimen Langkawi) dan beberapa penyokongnya duduk dibarisan pembangkang sedangkan Presiden PBBM (Ahli Parlimen Pagoh) sebagai Perdana Menteri.

  •       Bersidang dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dalam usaha  menangani penularan wabak COVID-19.

Suasana persidangan tenang dan aman , tiada perkara yang tidak diingini berlaku. Lebih kurang jam 10.10 pagi, persidangan bermula dengan bacaan doa oleh Setiuasaha Dewan Negara dan Setiausaha Dewan Rakyat mengurusetiakan Mesyuarat (beliau baharu saja dilantik mulai 13 Mei 2020 dan ini adalah tugasnya yang pertama).

Semasa bertitah, DYMM Yang di-Pertuan Agong telah memaklumkan sinario perletakan jawatan oleh Perdana Menteri Ke-7 pada 24 Februari walau pun baginda menasihatkannya jangan meletak jawatan.  Pada 25 dan 26 Februari 2020 baginda mengadakan pertemuan secara berseorangan dengan semua Ahli Dewan Rakyat untuk sokongan mereka.  Pada 29 Februari 2020 pula baginda menitahkan semua parti-parti politik mencalonkan seorang ahli Dewan Rakyat sebagai bakal Perdana Menteri.

Seterusnya baginda bertitah “ Sudah tentu setiap pertandingan pasti kana da penamatnya.  Kemelut politik negara tidak boleh dibiarkan berlarutan dan berpanjangan.  Lantaran itu setelah melalui semua proses tersebut dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, Beta telah mendapati YAB Tan Sri Muhyiddin bin Haji Yassin telah mendapat kepercayaan majoriti Ahli-Ahli dewan Rakyat  dan dengan demikian selayaknya dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-8.”

Seterusnya baginda menyentuh pelbagai perkara dan isu terutama kesan ekonomi, politik dan sosial yang disebabkan oleh wabak COVID-19. Perkara-perkara lain yang disentuh ialah Pakej Rangsangan Ekonomi, perpaduan,  keselamatan  dalam negara, dasar luar negara, menangani Pendatang Asing tanpa izin, program-program ekonomi dan pembangunan negara,Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, RMK-12, aktiviti pelaburan, peluang perkerjaan, pemerkasaan Pendidikan dan latihan TVET, pembangunan dan infrastruktur di Sabah dan Sarawak, kesejahteraan masayarakat bandar dan skim perumahan negara, kos sara hidup, isu ekploitasi kanak, penggubalan RUU pekerja sosial, pembangunan industri komoditi, memperkasakan perkhidmatan kesihatan termasuk orang asli, isu alam sekitar dan pemerkasaan undang-undangnya, memulihkan sektor pelancungan, persidangan APEC, isu rasuah dan amalan tadbir urus yang baik (Pelan Anti Rasuah Nasional), dan menghargai sumbangan perkhidmatan awam, tentera dan polis serta seruan rakyat memberi kerjasama kepada Kerajaan.

Sebelum mengakhiri titahnya, baginda berpesan kepada Ahli-Ahli Dewan Rakyat:-
·        Sebagai pemimpin,  Ahli-ahli Yang Berhormat menjadi teladan dalam menyemai nilai-nilai positif kepada rakyat.
·        Perbezaan pendapat tidak seharusnya diakhiri dengan permusuhan dan caci mencaci.
·        Hendaklah mempamerkan kematangan dalam berpolitik.  Ini termasuk menjiwai keluh kesah rakyat, membela nasib rakyat, berpegang kepada  perinsip keadilan, membudayakan politik ynag bersih, tidak menyentuh sensitiviti agama dan bangsa mahupun kedaulatan serta kedudukan Raja-Raja Melayu.
·        Jangan mengheret negara  sekali agi ke kancah politik yang tidak menentu ketika rakyat berhadapan dengan pendemik COVID-19.
·        Rakyat akan akan terus erat bersatu padu dan sepakat jika tidak disogok dengan api permusuhan dan perpecahan.

Majlis pembukaan Penggal Parlimen ini telah berakhir pada  jam 10.50 pagi dengan jayanya.

Suatu catatan jua.

Di Bangunan Parlimen Malaysia.
18 Mei 2020- 11.30 pagi

Friday, 15 May 2020

SATU CATATAN; BEBERAPA HARI SEBELUM BERSIDANG - MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KETIGA PARLIMEN KE-14 [18 MEI 2020]


Inilah catatan beberapa hari belum bermula sidang Parlimen di Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 yang bersidang sehari pada 18 Mei 2020 dengan urusan pembukaan Penggal Parlimen sahaja iaitu Titah Diraja.. Inilah sidang pertama pada era PN mengambil Kerajaan pada 1 Mac 2020 apabila PM Ke-8 mengangkat sumpah  berikutan runtuhnya PH apabila PM Ke-7 meletak jawatan pada  24 Mac 2020. Sidang ini juga bersejarah kerana berlangsung dalam suasana  berbeza dari norma dan kelaziman .  Ini kerana dalam suasana Perintah Kawalan Pergrakan Bersyarat (PKPB) berikutan penularan wabak COVID-19 di negara ini.  PKP dilaksanakan sejak 18 Mac 2020 dan kini dilanjutkan sebaagai PKPB sehingga 9 Jun 2020.

Pada asalnya, persidangan Dewan Rakyat  di Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-14  dijadualkan bermula pada 18 Mei  hingga 23 Jun 2020. Ia adalah signifikan dan bersejarah.  Inilah kali pertama dalam sejarah Malaysia, dimana  Kerajaan Persekutuan bertukar pemerintah di tengah-tengah penggal Majlis Parlimen dari Pakatan Harapan(PH) kepada gabungan parti politik yang wujud ketika kemelut politik 2020 yang bermula dengan “Langkah Sheraton” yang dipanggil Perikatan Nasional (PN).  Selama ini  sejak merdeka,  perubahan Kerajaan akan berlaku selepas Pilihan Raya Umum (PRU)..

Berikutan perubahan Kerajaan, persidangan Dewan Rakyat ini ditangguhkan. Kerajaan baru terbentuk pada 1 Mac apabila Perdana Menteri Ke-8 mengangkat sumpah dan Jemaah Menteri pula pada 10 Mac 2020.  Ketua Majlis mengikut Peraturan Mesyuarat 11(2) telah meminda tarikh  Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 kepada 18 Mei 2020 hingga 23  Jun 2020 selama 15 hari. Setiausaha Dewan Rakyat telah mengeluarkan notis pemberitahuan kepada Ahli-Ahli Dewan Rakyat pada 4 Mac 2020.  Seterusnya  Ketua Majlis telah meminda semuala tarikh persidangan kepada satu hari sahaja pada 18 Mei 2020.   Setiausaha telah mengeluarkan pindaan notis pemberitahuan pada 17 April 2020. 
“Peraturan Mesyuarat (2) Dengan tertakluk kepada syarat-syarat perenggan (1), Ketua atau Timbalan Ketua Majlis hendaklah menetapkan, sekurang-kurangnya 28 hari sebelum permulaan tiap-tiap Penggal, tarikh-tarikh Majlis akan bermesyuarat dalam Penggal itu.

Tetapi disyaratkan iaitu Ketua atau Timbalan Ketua Majlis boleh mengubah tarikh-tarikh yang ditetapkan dari semasa ke semasa. “

Dalam pindaan notis pemberitahuan bertarikh 17 April 2020 itu, Yang di-Pertua Dewan Rakyat melalui  Setiausaha Dewan Rakyat talah memakalumkan bahawa  “…TIADA sesi pertyanyaan Jawab Lisan di bawah Peraturan Mesyuarat 22(2) dan 22(5).  Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (Pertanyaan Mesyuarat 24(5A) dan 24A), Usul-usul dibawah Peraturan Mesyuarat 17,18, 27, 49 serta apa-apa Usul daripada Ahli-ahli Yang Berhormat. Oleh yang demikian, semua Pemberitahuan tersebut tidak perlu dihantar untuk mesyuarat ini.” 

Setiausaha mengeluarkan notis pemberitahuan Mesyuarat  adalah mengikut Peraturan Mesyuarat 9, iaitu:
“9. (1) Setiausaha hendaklah menyediakan segala surat yang diperlukan oleh Majlis Mesyuarat dan Tuan Yang di-Pertua dan melaksanakan segala arahan Tuan Yang di-Pertua berhubungan dengan segala perkara berkaitan dengan urusan Majlis Mesyuarat.

          (2) Setiausaha hendaklah-

(a) Sekurang-kurangnya 28 hari sebelum dimulakan mesyuarat setiap penggal Parlimen, menulis kepada ahli-ahli memberitahu tarikh-tarikh mesyuarat Majlis Mesyuarat bagi penggal itu:

Dengan syarat bahawa dalam keadaan memaksa yang ditentukan oleh Tuan Yang di-Pertua, pemberitahuan tersebut boleh diketepikan, dan dalam keadaan demikian pemberitahuan bagi sepanjang tempoh yang mungkin hendak diberikan;

(b) Menyediakan untuk setiap ahli dengan seberapa segera yang boleh sebelum setiap mesyuarat satu salinan Aturan Urusan Mesyuarat bagi mesyuarat itu. …”

MENGAPA PERSIDANGAN SATU(1) HARI?

Notis asal pemberitahuan Mesyuarat yang bertarikh 4 Mac 2020 adalah sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, dimana PKP bermula pada 18 Mac 2020.  PKP dilaksanakan bagi mengekang penularan dan memutuskan rantaian virus COVID-19. Semasa pindaan notis pemberitahuan Mesyuarat  yang bertarikh 17 April 2020, PKP masih berterusan,  maka Kerajaan memutuskan hanya satu hari persidangan Parlimen. Urusan pada persidangan Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 ialah :
·         Titah Diraja
·         Urusan Kerajaan iaitu:-
o Pemasyhuran Yang di-Pertua terhadap pelantikan Ketua pembangkang;
o      Usul Jawatankuasa Pemilih; 
o   Usul Pelantikan Pengerusi dan Timbalan Pegerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara;  dan
o   Bacaan kali yang pertama bagi Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2019)  dan Rang Undang-Undang Penguntukan semula 2020.

AKHIRNYA URUSAN  PERSIDANGAN HANYA SETAKAT URUSAN TITAH  DIRAJA SAHAJA

Seterusnya PKP dilanjutkan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 9 Jun 2020.  Dalam SOP PKPB, perhimpunan yang dibenarkan adalah tidak melebihi 20 orang.  Manakala  kourum (cukup bilang) persidangan bagi Mesyuarat Dewan Rakyat adalah 26 orang, maka bilangan ini telah melanggar SOP PKPB.   Oleh kerana Perkara 55(1), Perlembagaan Persekutuan mengatasi SOP PKPB, persidangan Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14 diteruskan tetapi hanya urusan Titah Diraja sahaja  bagi Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen Ke-14.  Perubahan urusan persidangan ini telah dimaklumkan oleh Setiuasaha Dewan Rakyat  melalui pindaan notis pemberitahu kepada Ahli-ahli Dewan Rakyat bertarikh 13 Mei 2020.

Oleh yang demikian, persidangan Mesyuarat Dewan Rakyat yang disingkatkan ini adalah kerana ancaman COVID-19 dan bukan disebabkan oleh perkara-perkara berikut:

                                  i.    Kerajaan tidak mahu terima usul dari Ahli-ahli Persendirian termasuk Ahli bukan Kerajaan sama ada Usul Tergempar mengikut Peraturan Mesyuarat 18 dan juga Usul  untuk membuat ketetapan dibawah Peraturan Mesyuarat 27(3).

                                     ii.    Usul undi tidak percaya terhadap YAB Perdana Menteri oleh Ahli Parlimen Langkawi adalah teratur mengikut Peraturan Mesyuarat 27(3), maka telah diterima oleh Yang di-Pertua untuk disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat.  Sebenarnnya usul ini adalah Usul Persendirian, maka usul ini tidak akan didahulukan/dinaikkan kerana Peraturan Mesyuarat 15(1) telah menetapkan bahawa urusan Kerajaan hendaklah diselesaikan dahulu.
15. (1) Pada tiap-tiap hari persidangan mesyuarat, urusan Kerajaan hendaklah didahulukan daripada urusan-urusan lain.”

ADAKAH TITAH DIRAJA ITU TERMASUK DALAM PERSIDANGAN MESYUARAT DEWAN RAKYAT?

Titah Diraja semasa  Pembukaan Penggal Parlimen adalah termasuk dalam  Aturan Urusan Mesyuarat sebagaimana yang ditetapkan  Peraturan Mesyuarat 14(1)(d)
“Peraturan Mesyuarat 14(1)- Urusan-urusan bagi tiap-tiap persidangan mesyuarat hendaklah mengikut aturan seperti di bawah ini kecuali jika Majlis Mesyuarat menetapkan aturan lain:
(a) Tuan Yang di-Pertua masuk ke dalam Dewan Mesyuarat dengan secaranya.
(b) Doa…..
c) Ahli-ahli baru, mengangkat sumpah.
(d) Titah daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
(e) Pemasyhuran daripada Tuan Yang di-Pertua.
(f)….(q)

Manakala  perbahasan keatas Titah Diraja tidak dinyatakan secara jelas dalam Peraturan Mesyuarat 14(1) tersebut.  Ia adalah amalan /konvensyen yang dilaksanakn selama ini.  Walau bagaimana pun, perbahasan Titah Diraja tidak diadakan pada  Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama, Parlimen Partama yang bersidang pada 11 dan 12 September 1959.

SIDANG MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KETIGA PARLIMEN KE-15 DALAM PELAKSANAAN SOP PKPB

Perjalanan sidang Parlimen ini akan memenuhi SOP yang ditetapkan, dimana penjarakan sosial diambilkira dengan menyususn semula kedudukan kerusi dalam Dewan yang jaraknya 1 meter antara satu sama lain.  Antara langkah yang diambil oleh pihak  Parlimen ialah  Ahli Parlimen dikehendaki menjalani Ujian Saringan Covid-19 seperti berikut:

      i.        Menghadiri sesi saringan Covid-19 di Parlimen Malaysia pada hari Khamis,14 Mei 2020 atau hari Jumaat, 15 Mei 2020 dari jam 9.00 pagi hingga 3.00 petang.

    ii.        Sekiranya Ahli Parlimen GAGAL HADIR menjalani sesi saringan Covid-19 ini, Ahli Parlimen  tidak dibenarkan menghadiri Istiadat Pembukaan dan Persidangan pada 18 Mei 2020.

Pada hari Istiadat Pembukaan dan Persidangan Dewan (18 Mei 2020), Ahli-ahli Parlimen adalah dimohon bagi mematuhi perkara-perkara berikut:

      i.        Kehadiran Ahli-ahli Parlimen hendaklah secara bersendirian.

    ii.        Ahli-ahli Parlmen  masuk ke Dewan Rakyat melalui Pintu 3 sahaja.

   iii.        Ahli-ahli Parlimen hendaklah menggunakan topeng muka dan mematuhi penjarakan sosial serta SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

USUL OLEH AHLI PERSENDIRIAN  

Walau pun, semasa notis pemberitahuan telah dimaklumkan tiada pemberitahuan usul, namun beberapa Ahli telah mengemukakan usul.   Sama ada sesuatu usul yang dikemukakan oleh Ahli-ahli Parlimen itu diterima atau ditolak adalah keputusan Yang di-Pertua Dewan Rakyat. 

Penerimaan sesuatu Usul itu tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan dalam Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.  Antaranya seperti berikut:

                              i.        Usul dibawah Peraturan Mesyuarat 18 – Usul perkara tertentu berkenaan kepentingan orang ramai yang berkehendak disegerakan.

                            ii.        Usul dibawah Peraturan Mesyuarat 27(3) – Usul untuk membuat ketetapan dan memerulukan notis 14 hari bagi usul yang dikemukakan oleh Ahli Persendirian/Ahli bukan Kerajaan.

Usul-usul yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen ialah:

a)    Usul Peraturan Mesyuarat 18(1) oleh Ahli Parlimen Batu Sapi (1 Mei 2020) – Usul ini mengandungi  empat perkara, iaitu:

                                      i.        Ketetapan bahawa Perdana Menteri tidak mempunyai keyakinan majoriti.

                                    ii.        Ketetapan bahawa Ahli Parlimen Langkawi mempunyai keyakinan majoriti.

                                  iii.        Majlis Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 delama satu hari adalah bertentangan dengan Perlembagaan.

                                   iv.        Mencadangkan sidang Dewan Rakyat dilanjutkan kepada lapan hari.

Dalam kenyataan media pada 8 Mei 2020, Yang di-Pertua Dewan menolak sebahagian dan menerima sebahagian. [ Sebenarnya usul I dan ii ditolak, sementara iii dan iv diterima.]

Berdasarkan Peraturan Mesyuarat 18, usul ini tidak memenuhi syarat-sayarat yang ditetapkan:
·         Tiada perkara tertentu – usul mengandungi empat perkara/isu
·         Tidak berkepentingan orang ramai – undi tak percaya dan tempoh persidangan tiada kepentingan orang ramai.
·         Tidak perlu disegerakan – kesegeraan sekarang ialah menangani penukaran COVID-19.

Selain itu, Peraturan Mesyuarat 18(7) dan18(8) membolehkan  Yang di-Pertua  membuat keputusan untuk menolak usul ini dalam kamar jika:
(a) pencadangnya hanya berniat hendak mengambil peluang berucap di dalam Majlis Mesyuarat; atau
(b) jika sesuatu perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat yang sedang berlangsung dan telah diberi penerangan oleh pihak Kerajaan dalam perkara itu; atau
(c) apa-apa usul melanggar mana-mana syarat dalam Peraturan-peraturan Mesyuarat.”

Sekiranya Yang di-Pertua berpuashati dan menerima usul ini, ia hendaklah dibaca dalam Majlis Mesyuarat dan Yang di-Pertua memaklumkan keputusannya.


  1. b)  Usul Peraturan Mesyuarat 27(3) oleh Ahli Parlimen Semporna (4 Mei 2020) – bahawa Ahli Parlimen Langkawi mempunyai keyakinan majoriti. Usul ini ditolak oleh Yang di-Pertua melalui kenyataan media bertarikh 8 Mei 2020 dengan alasan tidak selari dengan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.
“43. (2) Jemaah Menteri hendaklah dilantik seperti yang berikut, iaitu:
(a) Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikanJemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu; dan
(b) atas nasihat Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong       hendaklah melantik Menteri-Menteri lain daripada           kalangan ahli mana-mana satu Majlis Parlimen;.. “      


  1. c)   Usul Peraturan Mesyuarat 4 oleh Ahli Parlimen Langkawi (4 Mei 2020) – ketetapan bahawa Yang di-Pertua Dewan Rakyat dikekalkan sehingga Dewan dibubarkan. Usul ini ditolak kerana tidak mematuhi Peraturan Mesyuarat. Keputusan ini juga dimaklumkan melalui kenyataan media tersebut.


  1. d) Usul Peraturan Mesyuarat 27(3) oleh Ahli Parlimen Langkawi (4 Mei 2020)- ketetapan  Perdana Menteri tidak mempunyai keyakinan majoriti Ahli-ahli Dewan. Usul ini diterima untuk “dibawa ke Mesyuarat Dewan Rakyat”.  Keputusan ini juga dimaklumkan merlalui kenyataan media, bahkan sepatutnya hanya diputuskan selepas cukup tempoh notis 14 hari pada 18 Mei 2018 dan disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat.

WAJARKAH YANG DI-PERTUA MEMAKLUMKAN PENERIMAAN ATAU PENOLAKAN SESUTU USUL MELALUI KENYATAAN MEDIA.

Semasa Yang di-Pertua Dewan Rakyat melalui Setiausaha Dewan Rakyat (Peraturan Mesyuarat 9(1), mengeluarkan notis pemberitahuan kepada Ahli-ahli Parlimen pada  17 April 2020 telah dengan jelas  semua pemberitahu usul “tidak perlu dihantar.”  Dalam hal ini Yang di-Pertua Dewan Rakyat tidak tetap pendirian apabila menerima usul-usul yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Batu Sapi, Semporna dan Langkawi.  Juga tidak berlaku adil kepada Ahi-ahli Parlimen lain yang mungkin juga  berhasrat mengemukakan usul.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat juga melanggar amalan/konvensyen oleh semua Yang di-Pertua terdahulu apabila memaklumkan keputusan melalui media, yang sepatutnya dimaklumkan semasa sidang Dewan atau secara bersurat kepada Ahli Parlimen yang berkenaan  jika usul itu ditolak dalam kamar.

Sunday, 29 March 2020

PAKEJ RANSANGAN EKONOMI COVID-19: PERLUKAH DIBAHASKAN DI-PARLIMEN ?


Pada 27 Mac 2020, Perdana Menteri Tan Sri Muhyuddin Yassin telah mengumumkan Pakej Ransangan Ekonomi (PRE) kedua yang disiarkan secara langsung oleh media elektronik bagi melindungi rakyat dan  industri serta menjamin ekonomi kekal kukuh berikutan implikasi Perintah Kawalan Pergerakan dalam usaha memutuskan rantaian  wabak COVID -19. . Pakej yang diberi nama "Prihatin' telah memperuntukan perbelanjaan sebanyak RM 250 bilion (termasuk RM20  bilion yang diumumkan oleh Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad) dengan suntikan fiskal kerajaan sebenar berjumlah RM 25 bilion.

Berikutan pengumuman PRE tersebut pelbagai pihak tampil mencadangkan supaya PRE ini dibahaskan dalam persidangan Parlien terlebih dahulu sebelum dilaksanakan. Ahli Parlimen Iskandar Puteri juga Pengerusi  DAP YB Lim Kit Siang menggesa persidangan khas Parlimen selama 2 hari diadakan bagi meluluskan pakej rangsangan ekonomi itu…supaya ia memperoleh kredibiliti dan keabsahan,” (FMT 28 Mac 2020).

Sementara itu, Ahli Parlimen Port Dickson  juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesyorkan supaya Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dibahaskan di Parlimen supaya dapat mengelak berlakunya ketirisan.  "Saya syorkan supaya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberikan pertimbangan serius dengan memberikan ruang kepada semua pihak untuk membahas dan memberikan sokongan dengan maksud memperbaiki pakej itu”.  (SINAR, 29 Mac 2020).

Sementelah itu, Asto Awani (29 Mac 2020) melapurkan pemimpin-pemimpin  dunia  sedang dan telah membahaskan tentang pakej rangsangan ekonomi bagi menghadapi COVID-19 di Parlimen.  Antaranya:
  • Parlimen Republik Czech pada  24 Mac 2020 telah meluluskan pakej rangsangan ekonomi selepas Perdana Menteri Andrej Babis mengumumkan perbelanjaan 100 juta CZK (USD 4 juta) sebagai bantuan terus dan 900 juta CZK (USD 36.4 juta) sebagai jaminan pinjaman kepada syarikat koporat. 
  • Kongres Amerika Syarikat turut membahaskan pakej rangsangan ekonomi presiden Donald Trump sebanyak USD 2 Trilion bagi membantu rakyat ketika pandemik COVID-19 semakin membimbangkan. Kedua-dua parti Republikan dan Demokrat telah bersetuju meluluskan pakej itu.. 
  • Parlimen Singapura telah meluluskan belanjawan tambahan pada 26 Mac 2020 bagi  menyediakan pakej rangsangan ekonomi berjumlah S$ 48 bilion untuk menyokong  kebajikan rakyat dan mengukuhkan ekonomi. Jumlah ini sebanyak sembilan peratus kepada KDNK negara Singapura..
Justeru itu, pelbagai  pihak khususnya pihak pembangkang (Pakatan Harapan - PH) meminta supaya PRE ini dibentang dan dibahas serta dilulskan  oleh  Parlimen terlebih dahulu.  Ini adalah  berdasarkan prinsip semak dan imbang terhadap pengurusan dana kerajaan. Mereka meminta supaya Kerajaan yang dikini dibawah pemerintahan Perikatan Nasional (PN) perlu memberi penjelasan kepada Parlimen tentang segala butiran projek, program dan punca kewangan untuk membelanjakan dana kepada rakyat. Ini juga mengelakkan  salah guna dana dan keterisan..  Waalau bagaimanapun, United Kingdom juga telah mengumumkan pakej rangsangan ekonomi pada 26 Mac 2020 tanpa dibahaskan di Parlimen.terlebih dahulu. Siatem Parlimen di negara ini lebih menjurus kepada amalan dan konvensyen  di United KIngdom..

Disini penulis ingin menyorot peruntukan Perlembagaan Persekutuan mengenai perbelanjaan dan belanjawan  serta  amalan di Parlimen Malaysia.   Perkara 100 telah menetapkan belanjawan Negara yang juga dipanggil sebagai bajet tahunan hendaklah dikemukakan kepada Parlimen melalui Rang Undang-Undang Perbekalan setiap tahun yang perlu dibahas dan dipersetujukan. Amalannya pada Mesyuarat Ketiga setiap penggal iaitu pada akhir  tahun sebelum sesuatu tahun  yang bajet itu peruntukkan.

“Rang Undang-Undang Perbekalan

100. Perbelanjaan yang hendaklah dibayar daripada Kumpulan Wang Disatukan tetapi tidak dipertanggungkan padanya, selain perbelanjaan yang hendaklah dibayar dengan jumlah wang yang disebut dalam Fasal (3) Perkara 99, hendaklah dimasukkan ke dalam suatu Rang Undang-Undang, yang hendaklah dikenali sebagai Rang Undang-Undang Perbekalan, yang membuat peruntukan bagi pengeluaran jumlah wang yang perlu daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk membayar perbelanjaan itu dan penguntukan jumlah wang itu bagi maksud yang dinyatakan dalamnya.”

Sekiranya berlaku pertambahan peruntukan dan perbelanjaan dalam bajet tahunan, maka Perkara 101 pula menetapkan supaya dikemukakan kepada Parlimen untuk dimasukkan kedalam Akta Perbekalan  yang telah diluluskan  seperti  ketetapan Perkara 100 tersebut. Amalannya ia dikemukakan kepada Parlimen melalui Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan bagi sesuatu tahun berkenaan.  Begitu  juga dengan perbelanjaan tambahan dari Kumpulan Wang LuarJangka hendaklah juga dimasukkan dalam Rang Undang-Undang Perbekalan.

“Perbelanjaan tambahan dan perbelanjaan lebih

101. Jika berkenaan dengan mana-mana tahun kewangan didapati—
(a)    bahawa amaun yang diuntukkan melalui Akta Perbekalan bagi apa-apa maksud tidak mencukupi, atau bahawa telah timbul keperluan perbelanjaan bagi suatu maksud yang baginya tiada amaun diuntukkan melalui Akta Perbekalan; atau
(b)   bahawa apa-apa wang telah dibelanjakan bagi apa-apa maksud melebihi amaun yang diuntukkan (jika ada) bagi maksud itu melalui Akta Perbekalan,
maka suatu anggaran tambahan yang menunjukkan jumlah wang yang dikehendaki atau dibelanjakan itu hendaklah dibentangkan di hadapan Dewan Rakyat dan maksud apa-apa perbelanjaan itu hendaklah dimasukkan ke dalam suatu Rang Undang-Undang Perbekalan.”

Kumpulan Wang Luar Jangka

103. (1) Parlimen boleh melalui undang-undang membuat peruntukan bagi mewujudkan suatu Kumpulan Wang Luar Jangka dan memberi kuasa Menteri yang dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi kewangan, jika berpuas hati bahawa telah timbul keperluan perbelanjaan yang mendesak dan di luar jangkaan yang baginya tiada peruntukan lain wujud, untuk membuat pendahuluan daripada Kumpulan Wang Luar Jangka itu untuk memenuhi keperluan itu.

(2) Jika apa-apa pendahuluan dibuat mengikut Fasal (1), suatu anggaran tambahan hendaklah dikemukakan dan suatu Rang Undang-Undang Perbekalan dibawa dengan seberapa segera yang mungkin bagi maksud menggantikan amaun yang didahulukan itu.

Merujuk kepada PRE ini, ianya akan dibentangkan kepada Parlimen melalui Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan sebagai tambahan kepada Bajet 2020 yang telah diluluskan melalui  Akta Perbekalan 2020  pada akhir tahun 2019.  Amalannya ia akan dibentangkan selepas perbelanjaan dibuat, malahan perbelanjaan PRE ini adalah dalam situasi kecemasan serta perlu disegerakan. Persoalan yang dibangkitkan ialah perlu diluluskan oleh Parlimen sebelum dilaksanakan.

Semasa  Barisan Nasional (BN), Kerajaan telah melaksanakn PRE yang berjumlah RM67 bilion pada tahun 2008 dan 2009 bagi menangani krisis  dan kelembapan ekonomi global dunia ketika itu.  PRE ini merangkumi dua peringkat iaitu PRE 1 berjumlah RM7 bilion yang diumumkan pada 4 November 2008 dan PRE 2 berjulah RM 60 bilion pada 10 Mac 2009 semasa membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2009)2009 di Dewan Rakyat.

RANG UNDANG-UNDANG PERBEKALAN TAMBAHAN (2009) 2009
Bacaan Kali Yang Kedua
3.59 ptg.
“Menteri Kewangan [Dato' Sri Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak]: TuanYang di-Pertua, saya mohon mencadangkan bahawa Rang Undang-undang bernama “suatu akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Yang Disatukan untuk perbelanjaan bagi perkhidmatan untuk sebahagian daripada tahun 2009 dan bagi memperuntukkan jumlah wang itu untuk maksud-maksud tertentu bagi bahagian tahun itu” dibaca kali kedua sekarang.

Tuan Yang di-Pertua, peruntukan tambahan Perbelanjaan Mengurus Pertama 2009 ini, adalah dibentangkan menurut perkara 100 dan 101 Perlembagaan Persekutuan, iaitu bagi memperoleh kelulusan terhadap perbelanjaan yang tidak diperuntukkan atau terkurang peruntukan dalam Bajet 2009 yang telah diluluskan terdahulu, oleh Dewan yang mulia ini.

Tuan Yang di-Pertua, krisis ekonomi global semasa yang bermula daripada krisis kewangan sub prima di Amerika Syarikat pada pertengahan tahun 2007, telah membawa kesan yang jauh lebih meluas dan mendalam. [SR -10.3.009,MS 76]
.....
Tuan Yang di-Pertua, maka dengan ini, sukacita saya mengumumkan bahawa kerajaan akan melaksanakan pakej rangsangan kedua berjumlah RM60 bilion... [Tepuk] Pakej ini akan dilaksanakan dalam tempoh dua tahun iaitu 2009 dan 2010. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM15 bilion merupakan suntikan fiskal, RM25 bilion dana jaminan dan RM10 bilion pelaburan ekuiti, RM7 bilion inisiatif pembiayaan swasta atau PFI dan off budget serta RM3 bilion insentif cukai. Jumlah RM60 bilion ini merupakan hampir 9 peratus daripada KDNK. Pelaksanaan pakej rangsangan yang bersaiz besar ini adalah kali pertama dilakukan dalam sejarah ekonomi negara..”.[DR – 10.3.2009, MS 79}

Kesimpulannya, PRE Covid-19 ini tetap akan dibentangkan di persidangan Parlimen, namun ia seperti amalan sebelum ini  sebagai Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan pada persidangan di Mesyuarat Parlimen akan datang.  Desakan timbul supaya di adakan Mesyuarat Khas Parlimen bagi membahas dan meluluskan  PRE ini, mungkin juga berikutan pengakuan telus  Perdana Menteri  dalam ucapannya “ mungkin tuan-tuan tidak mengundi Kerajaan ini ..  Penulis beranggapan desakan ini adalah  bermotifkan politik agar Parlimen bersidang segera selepas Kemelut Politik 2020 (Langkah Sheraton), memandang Mesyuarat Pertama, Penggal Ketigaa Parlimen Ke-14 telah dipinda dari 9 Mac 2020  kepada 18 Mei 2020.

Suatu catatan pencerahan jua….

Sri  Medan, Johor
29 Mac 2020

KEJANGGALAN BAJET 2025!!!

Setelah tiga kali Perdana Menteri 10 membentangkan Belanjawan/Bajet Tahunan, inilah kali pertama penulis mengikuti sepenuhnya pembentangan B...