Sunday 4 December 2022

ADAKAH BAJET 2023 DIBENTANG SEMULA SELEPAS PRU 15?.

 

Keputusan PRU 15 pada  19 November 2022 merumuskan  tiada parti  politik dan gabungan parti politik memperoleh majoriti mudah atau lebih 50% dari kerusi-kerusi yang dipertandingkan.  Setelah 119 jam berlalu, akhirnya Yang di-Pertuan Agong berkenan dengan penubuhan Kerajaan Perpaduan yang merentasi semua parti-parti politik dan Dato' Seri Anwar Ibrahim, Pengerusi PH yang juga Presiden PKR sebagai Perdaana Menteri Ke-10.. 

Dalam sidang media pertamanya, Perdana Menteri menyatakan usul undi percaya terhapnya kepimpinannya akan dibentang dalam sidang parlimen pada 19 Disember 2022.  Sehubungan itu, Setiausaha Dewan Rakyat telah mengeluarkan notis bagi Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama, Parlimen Ke-15 yang akan bersidang selama 2 hari iaitu 19 dan 20 Disember 2022.  Urusan Mesyuarat ialah memilih Yang di-Pertua, Ahli-ahli mengangkat sumpah, memilih Timbalan Yang di-Pertua dan usul undi percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri dan Rang Undang-undang.

Tulisan ini ingin menjelasakan pertanyaan beberapa rakan mengenai Bajet 2023. Sebagaimana sedia maklum, Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 atau Bajet 2023 yang dibentangkan umtuk bacaan kali yang kedua pada 7 Oktober 2022 oleh Menteri Kewangan pada era PN adalah luput apabila Parlimen dibubarkan pada 10 Oktober 2022.  Oleh yang demikian Bajet perlu dibentangkan semula selepas PRU 15. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan kerajaan pimpinannya akan membentangkan satu Bajet Mini selepas pembukaan sidang Dewan Rakyat, pada 19 Disember 2022. Jelas beliau, ia bagi meluluskan emolumen berkaitan belanja mengurus kerajaan, khususnya gaji penjawat awam. Bajet 2023 akan dibentangkan sebulan selepas itu.[Malaysiagazette, 24 November 2022]

Sehubungan itu, Rang Undang-undang (RUU) akan dibentangkan bagi membenarkan perbelanjaan untuk sebahagian daripada tahun yang berakhir pada 31 Disember 2023 yang dinamakan RANG UNDANG-UNDANG KUMPULAN WANG DISATUKAN (PERBELANJAAN MASUK AKAUN) 2022. Tujuan RUU ini ialah untuk mendapatkan kebenaran sementara bagi perbelanjaan kerajaan bagi beberapa bulan permulaan tahun 2023 sehingga Rang Undang-undang Perbekalan 2023 diluluskan kelak oleh kedua-dua Dewan dan mendapat persetujuan Duli Yang Maha Mulia pada tahun 2023.

Begitu juga, dengan perbelanjaan pembangunan sekiranya telah dipersetujui oleh Kerajaan Perpaduan yang baharu melalui USUL ANGGARAN PERBELANJAAN PEMBANGUNAN SEMENTARA 2023.  Ini kerana  Anggaran Perbelanjaan Pembangunan bagi tahun 2023 tidak dapat dibincangkan dan diluluskan oleh Dewan ini sehingga tahun 2023, maka perlu peruntukan disediakan untuk kerajaan membiayai segala perbelanjaan yang mustahak pada awal tahun 2023 sehingga Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2023 dibentang dan diluluskan dalam Dewan Rakyat.  Ini bertujuan untuk menyediakan peruntukan bagi membiayai perbelanjaan pembangunan bagi awal tahun hadapan sementara menunggu Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2023 diluluskan oleh Dewan Rakyat.


Catatan menjelang persidangan pertama selepas PRU 15.

Jenderam Hulu, 

3 Disember 2022

 

 

 

No comments:

Post a Comment

SUATU CATATAN - ANTARA “PAK SHEIKH” YANG KU SANJUNG DAN PM 10 YANG MENYINGKIRKAN KU....

  Menelusuri ingatan 45 tahun yang lalu, semasa penulis berusia sekitar 20’an yang penuh semangat dalam persekitaran dakwah dan harakah dise...