Monday 7 November 2022

PRU 15 - MAMPUKAH CALON BEBAS MELANGKAH KE DEWAN RAKYAT?

PRU 15  mencatat sejarah apabila seramai 108 dari 945 calon atau 11 % disahkan bertanding oleh SPR pada hari penamaan calon pada 5 November 2022   yang lalu adalah calon Bebas. Sebagai perbandingan,  calon Bebas yang bertanding kerusi Parlimen pada PRU14 iaitu seramai 24 orang dan 79 orang pada PRU13.  Disamping calon bebas yang biasa tanpa berasaskan parti, terdapat beberapa calon bebas kerana tidak dicalonkan bertanding oleh parti masing-masing seperti Tian Chua di Parlimen Batu (PKR),  Datuk Zaidi Zainul Abidin di Parlimen Padang Besar (BN)dan Wong Teck di Parlimen Bentong (DAP).  Disamping itu,  terdapat juga calon yang bertukar parti sepert Dato' Seri Shahidan Kasim di Parlimen Arau dan Datuk Ismail Mutalib di Parlimen Maran mewakili PN atas kouta PAS (kerana parti asalnya, BN tidak mencalonkannya) .  Manakala di Tumpat, Abdullah Mat Nawi dan Dato' Khairudin di Kuala Nerus yang bertanding atas kapasiti BN setelah PAS tidak mecalonkan mereka.

Selain itu, PRU 15  ini juga merekodkan penglibatan selebriti dan aktivis  yang paling ramai berbanding PRU sebelum ini, walaupun bukannya suatu yang baharu. Antaranya  Siti Kasim dan Cleppatra  sebagai calon BEBAS di Batu,   Ahmad Idham (Pejuang di Sabak Bernam), Rani Kulop (PRN di Port Dickson), Lando Zawawi (Pejuang di Tanjong Karang),  Uncle Kentang (BEBAS di Puchong) dan beberapa lagi.  

Persoalannya, mampukah mereka meraih undi majoriti untuk memenangi di kawasan Parlimen masing-masing?   Apa yang pasti,  akan berlaku pecahan undi dalam kalangan calon , namun calon Bebas tidak akan menjadi faktor utama kepada penubuhan kerajaan, malah disifatkan sebagai "pengacau".

Penulis merasakan calon Bebas tidak  menjadi tarikan dalam kalangan pengundi kerana mereka tidak berupaya membawa perubahan, sebaliknya hanya melepaskan kemarahan mereka kepada kerajaan semasa atau kepimpinan parti masing-masing. Tambahan pula, mereka  tidak mempunyai jentera pilihan raya yang tersusun.

Secara umumnya, faktor parti, latarbelakang calon dan manifesto merupakan faktor utama yang akan mempengaruhi kepitusan pengundi. Oleh itu,  peratusan untuk calon Bebas menang dalam satu-satu pilihan raya adalah kecil, namun sekiranya ketokohannya dikenali rakyat, ia boleh menjadi faktor kemenangan.   Ini mungkin berlaku jika pengundi masa kini yang tidak memilih calon berdasarkan gabungan atau parti, tetapi melihat kepada kemampuan calon itu sendiri untuk berkhidmat kepada rakyat.  

Menyorot kepada PRU terdahulu, amat jarang sekali calon BEBAS memenanginya, kecuali beberapa calon. Mengikut maklumat,  sekitar  tahun 1970-an, seorang calon Bebas bernama Cikgu Jabar, bertanding di DUN Tanjung Sepat, menang atas faktor beliau sangat mengenali isu tempatan (astroawani.com, 6 November 2022). Begitu juga  Shahrir Samad (Sekarang Tan Sri) di Johor Baharu pada 1995 dan beberapa calon di Sabah dan Sarawak. Kebanyakannya gagal meraih undi bahkan hilang wang deposit.   Walau bagaimanapun, bagi Sabah/Sarawak,  ada yang mampu meraih undi yang agak banyak, misalnya  penyandang DUN Krian, Datuk Ali Biju, yang bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Negeri Sarawak pada akhir tahun 2021, masih mampu  meraih kira-kira 2,000 undi, yang mungkin dipengaruhi oleh rekod perkhidmatannya yang baik semasa mewakili PKR.

Suatu catatan dipinggiran jua,

Sri Medan, 7 November 2022


No comments:

Post a Comment

SUATU CATATAN - ANTARA “PAK SHEIKH” YANG KU SANJUNG DAN PM 10 YANG MENYINGKIRKAN KU....

  Menelusuri ingatan 45 tahun yang lalu, semasa penulis berusia sekitar 20’an yang penuh semangat dalam persekitaran dakwah dan harakah dise...