Wednesday 24 February 2021

PARLIMEN BOLEH BERSIDANG SEMASA DARURAT?

 


Isu sama ada Parlimen boleh bersidang atau sebaliknya menjadi perhatian utama pelbagai pihak, apabila kenyataan media Istana Negara menyatakan Parlimen boleh bersidang semasa darurat.  Disini penulis petik semula pandangan penulis pada 31 Januari 2021 tempoh hari di blog ini, iaitu:-

Parlimen hanya boleh dipanggil bersidang oleh Yang di-Pertuan Agong sebagaimana ketetapan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 mengikut Fasal 14 “(b) Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong. Maksud “tarikh yang difikirkan sesuai” adalah pada tarikh yang munasabah yang sudah pasti mengambil kira tujuan utama darurat iaitu pendemik Covid-19 telah diatasi atau tamat.  Walau bagaimanapun, peruntukan seksyen tersebut  tidak menghalang Parlimen dipanggil bersidang semasa darurat”.

 Berikut adalah kronologi isu ini:-

(i)    Pada  24 Februari 2021, Istana Negara dalam kenyataan medianya memaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.  Kenyataan tersebut menyebut bahawa perkara berkenaan termaktub dalam “ sub perenggan 14 (1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan bahawa Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri.”   Kenyataan media dikeluarkaan  setelah Baginda   berkenan menerima menghadap Speaker Dewan Negara, Tan Sri Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim dan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun di Istana Negara pada 24 Februari 2021 [Berita harian, 25 Februari 2021].

  

(ii)  Ahli Parlimen Gua Musang dilaporkan berkata bahawa penentuan tarikh persidangan Dewan Rakyat yang sesuai boleh ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong.  Sebenarnya memang kuasa Yang di-Pertuan Agong di bawah Perlembagaan untuk memanggil parlimen bersidang tanpa mendapat nasihat daripada perdana menteri apatah lagi di dalam keadaan darurat diisytiharkan," [Malaysiakini, 24 Februari 2021].

 

(iii) Ketua Penerangan Umno pula dilaporkan berkata setiap cabang sistem demokrasi negara perlu akur kepada prinsip Rukun Negara termasuk kerajaan (Eksekutif). Beliau menyifatkan kebijaksaan Yang di-Pertuan Agong membuktikan baginda sebagai Ketua Negara yang memayungi rakyatnya meletakkan sistem demokrasi berparlimen pada tahap amat tinggi. “Pendirian agar Parlimen kembali bersidang sesegera mungkin adalah selari dengan hasrat memelihara peranan 'legislative oversight' atau semak dan imbang yang dimainkan oleh Ahli-Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara,” [Malaysiakini, 24 Februari 2021].

 

(iv) Manakala  pemimpin kanan Pakatan Harapan (PH) pula berkata pandangan Yang di-Pertuan Agong  adalah selari dengan pendirian pakatan itu serta majoriti ahli parlimen.Presiden PKR, Presiden Amanah dan Setiausaha Agung DAP  bersetuju bahawa semasa pihak Eksekutif dan Kehakiman boleh berfungsi ketika darurat berkuat kuasa, Parlimen juga perlu terus memainkan peranan dalam memastikan urus tadbir kerajaan terjaga dan proses semak imbang diteruskan."Oleh itu, kami akan mendukung penuh hasrat Seri Paduka Baginda untuk memulihkan kedudukan Parlimen dalam memainkan peranan penting dalam Perlembagaan Malaysia, mengetengahkan isu-isu serta masalah yang dihadapi rakyat dalam usaha membendung pandemik Covid-19 serta merencana langkah-langkah bagi menghidupkan semula ekonomi negara,"  [Malaysiakini, 24 Februari 2021].

                        Suatu catatan dipinggiran jua,

No comments:

Post a Comment

SUATU CATATAN - ANTARA “PAK SHEIKH” YANG KU SANJUNG DAN PM 10 YANG MENYINGKIRKAN KU....

  Menelusuri ingatan 45 tahun yang lalu, semasa penulis berusia sekitar 20’an yang penuh semangat dalam persekitaran dakwah dan harakah dise...