1. Pandemik COVID-19 mudah tersebar antara
manusia yang berada dalam jarak yang dekat dan sesak. . Suasana perhimpunan dan
perjumpaan yang kerap tidak dapat dipisahkan sekiranya pilihanraya diadakan.
Pilihanraya adalah ciri utama demokrasi.
Tiada pilihanraya bermakna demokrasi
telah mati.
2. Dalam keadaan tertentu yang memaksa
pilihanraya diadakan seperti berlaku kekosongan kerusi Ahli Parlimen atau Dewan
Undangan Negeri (DUN) disebabkan kematian atau hiang kelayakan, maka
pilihanraya kecil (PRK) perlu diadakan
dalam tempoh 60 hari. Perlembagaan
Persekutuan telah menetapakan :
“Per. 54(1) - Kecuali sebagaimana
yang diperuntukkan di bawah Fasal (3), apabila terdapat sesuatu kekosongan di
kalangan ahli Dewan Negara atau sesuatu
kekosongan luar jangka di kalangan ahli Dewan Rakyat, maka kekosongan atau
kekosongan luar jangka itu hendaklah diisi dalam
tempoh enam puluh hari dari tarikh dipastikan oleh Yang di-Pertua Dewan
Negara bahawa ada kekosongan atau oleh Suruhanjaya Pilihan Raya bahawa ada
kekosongan luar jangka, mengikut mana-mana yang berkenaan, dan suatu pilihan
raya hendaklah diadakan atau suatu pelantikan hendaklah dibuat dengan
sewajarnya.”
3. Begitu juga, Pilihan Raya Umum perlu dilaksanakan
sekiranya Parlimen dibubarkan atau telah genap
5 tahun dari tarikh persidangan pertama selepas pilihan raya terdahulu. Perkara 55, Perlembagaan Persukutuan menetapkan
seperti berikut:
“ (3) Melainkan jika dibubarkan terlebih dahulu, Parlimen hendaklah terus berjalan selama lima tahun dari tarikh
mesyuarat pertamanya dan selepas itu adalah terbubar.
(4) Apabila Parlimen bubar suatu
pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh enam puluh hari dari tarikh
ia bubar dan Parlimen hendaklah dipanggil bermesyuarat pada suatu tarikh
yang tidak lewat daripada satu ratus dua puluh hari dari tarikh itu.”
4. Pilihan Raya Umum (PRU), Pilihan Raya
Kecil (PRK) dan juga Plihan Raya Negeri (PRN)
hanya boleh ditangguhkan
sekiranya diisytiharkan darurat. Ini
kerana kesan utama darurat adalah
menggantung Perlembagaan Persekutuan. Ini
pun perlu dinyatakan dengan jelas dalam Ordinan
Darurat yang dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong. Dalam tempoh terdekat
ini, DUN Sarawak akan genap 5 tahun pada
Jun 2021 yang akan memberi laluan PRN Sarawak.
Manakala di peringkat Persekutruan pula, ketidak kestabilan politik
pemerintah tidak nampak penyelesaianya, apabila seorang demi seorang Ahli
Parlimen UMNO menarik balik sokongan kepada
Perdana Menteri dan PN. Kini
Kerajaan memiliki majoriti yang kecil, iaitu PN 109 vs PH 108 (Jumlah Ahli Dewan
Rakyat sekarang 220 dan 2 kosong (meninggal dunia). Buat masa ini, 3 Ahli Parlimen UMNO tarik balik sokongan
(Ahli Parlimen Gua Musang, Machang dan Padang Rengas) dan dilaporkan beberapa
lagi akan berbuat demikian. Sekiranya
keadaan tidak menentu ini terus berlaku, maka PN kehilangan majoriti dan
tumbang. Pihak PH pun tidak mempunyai
majoriti yang lebih kerana Ahli Parlimen UMNO tersebut menarik balik sokongan
kepada PN tetapi tidak pula menyokong PH.
Ini akan memberi tekanan kepada Perdana Menteri untuk menasihatkan Yang
di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen bagi melaksanakan PRU 15.
5. Semasa pandemik COVID-19 yang melanda
negara ini sejak Mac 2019, 3 PRK telah ditangguhkan melalui pengyistiharan
Proklamasi Darurat, iaitu:
· Darurat Parlimen Batu
Sapi, Sandakan, Sabah, pada 18 November 2020, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin
Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan darurat di Parlimen Batu Sapi sekali gus
menghalang pelaksanaan Pilihan Raya Kecil (PRK) berikutan penularan Covid-19.
· Darurat Parlimen Gerik, dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Semporna, pada 16 Disember 2020,
Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan
darurat di Parlimen Gerik, Perak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah bagi
menangguhkan PRK, yang juga kerana wabak Covid-19.
Kedua-dua proklamasi darurat
tersebut, sememangnya secara khusus
bertujuan menangguhkan pilihanraya diadakan semasa pandemik COVID-19 belum reda. Ini disebabkan pengalaman mengadakan pilihanraya PRN Sabah
pada 26 September 2020 telah menyebabkan
pelonjakan kes COVID-19 yang mencetuskan gelombang kedua di negara ini.
6. Semasa sidang Parlimen pada 2
November 2020, Ahli Parlimen Padang Terap bertanya dalam pertanyaan lisan “
minta PERDANA MENTERI menyatakan
adakah pihak Kerajaan bercadang untuk meminda Perlembagaan atau mewujudkan rang
undang-undang khusus bagi membolehkan suatu pilihan raya ditangguhkan dalam
tempoh pandemik COVID-19 bagi mengelakkan berlakunya peningkatan kes bagi
menjamin kepentingan umum“.
Jawapan bertulis oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri
(Parlimen dan Undang-Undang) seperti berikut:
“Untuk
makluman Ahli Yang Berhormat, pewujudan suatu Rang Undang-Undang (RUU) untuk
menangguhkan suatu pilihan raya dalam tempoh pandemik covid-19 ini adalah tidak
bersesuaian dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Manakala untuk
meminda Perlembagaan Persekutuan, sokongan dua pertiga Ahli Parlimen diperlukan.
Walau
bagaimanapun, Kerajaan boleh
mencadangkan penangguhan suatu pilihan raya sekiranya pandemik ini difikirkan
boleh diisytiharkan darurat seperti yang diperuntukkan dibawah Perkara 150(1) Perlembagaan
Persekutuan.”
8. Begitu juga semasa menjawab soalan sesi Waktu Pertanyaan
Menteri pada 24 November 2020 oleh Ahli
Parlimen Pontian yang “ minta PERDANA MENTERI menyatakan adakah
Kerajaan bercadang untuk menasihati SPB YDP Agong bagi mengisytiharkan darurat
di DUN Bugaya dan Parlimen Gerik seperti di Parlimen Batu Sapi. Nyatakan
rasional jika ianya ingin dilaksanakan dan jawapan berkenaan kekangan hak
demokrasi pengundi untuk kawasan yang berkaitan.
Jawapan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri seperti berikut:
“ … Atas
sebab itulah berpandukan kepada Perkara 150, Jemaah Menteri memutuskan untuk
mengarahkan Perdana Menteri menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk
mengisytiharkan sebahagian daripada Persekutuan iaitu Parlimen Batu Sapi supaya
diisytiharkan darurat.
Tindakan
yang sama juga akan dipertimbangkan dan dilaksanakan bagi DUN Bugaya dan
Parlimen Gerik sekiranya berdasarkan penilaian risiko oleh Kementerian
Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) ia berlandaskan sebagaimana di
Batu Sapi.
Antara masalah di Batu Sapi ialah didapati
bahawa pematuhan garis panduan SOP yang ditetapkan oleh MKN kemungkinan besar
tidak dapat dipatuhi dengan sepenuhnya. Masalah yang kedua, pelantikan petugas
pilihan raya sehingga 6 November, daripada sepatutnya 837 orang petugas pilihan
raya hanya 143 orang sahaja yang sanggup untuk bertugas. Begitu juga
Kementerian Kesihatan memaklumkan kekangan untuk menyediakan pegawai dan
kakitangan kesihatan bagi mengendalikan pengundipengundi di Batu Sapi yang
berjumlah lebih daripada 32,000 orang. Atas dasar itu, kerajaan berpendapat
pengisytiharan darurat adalah sangat tepat dan langkah yang diambil oleh Yang
di-Pertuan Agong adalah amat bertepatan dengan Perlembagaan, ia bukan
sekali-kali satu tindakan yang bercanggah dengan amalan demokrasi. Terima
kasih. “ [Hanard DR 24.11.2020]
9. Kini pandemik COVID-19 di negara ini
telah memasuki gelombang ketiga apabila
kes harian telah mencecah 3000 kes sejak seminggu yang lalu. Akhirnya Kerajaan
melalui Jemaah Menterinya yang berrmesyuarat khas pada 11 Januari 2020 telah
mencadangkan .darurat yang dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong oleh
Perdana Memteri Bersama Ketua Setiausaha Negara, Ketiua Pengarah Kesihatan,
Peguam Negara, Panglima Angkatan Tentera, Ketua Polis Negara dan Pengerusi
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Darurat
wabak Covid-19 di Malaysia (2021) telah disytiharkan melalui Proklamasi Perisytiharan Darurat oleh Yang di-Pertuan Agong pada 12 Januari 2021 sehingga 1 Ogos 2021 di seluruh negara sebagai langkah membendung wabak Covid-19.
10. Disini, penulis menyorot apakah maksud
darurat? Darurat adalah suatu keadaan yang
mengancam keselamatan, ekonomi dan
ketenteraman awam yang tidak dapat dikawal melalui sistem pentadbiran biasa. Ia berlaku melalui pengisytiharan darurat iaitu
pemasyhuran Proklamasi Darurat oleh Yang di-Pertuan Agong serta pewartaan bahawa keadaan tersebut telah wujud
atau hampir berlaku. Tafsiran ini
berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, iaitu:
“Perkara 150. Proklamasi darurat.
(1) Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang
menyebabkan keselamatan, atau kehidupan
ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya
terancam, maka Yang di-Pertuan Agong boleh mengeluarkan suatu Proklamasi
Darurat dengan membuat dalamnya suatu perisytiharan yang bermaksud sedemikian.
(2) Proklamasi Darurat di bawah Fasal (1) boleh dikeluarkan sebelum sebenarnya berlaku kejadian yang
mengancam keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di
dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya jika Yang di-Pertuan Agong berpuas
hati bahawa kejadian sedemikian hampir benar berlaku.”
11. Berdasarkan Per. 150 tersebut, tiga sebab atau alasan yang boleh digunakan
oleh Yang di-Pertuan Agong bagi membuat pengisytiharan darurat, iaitu, ancaman
ke atas keselamatan negara; atau kehidupan ekonomi; atau ketenteraman awam. Dalam konteks pandemik
COVID-19, maka ancaman terhadap
kesihatan awam boleh terangkum dalam ketenteraman awam, malah kesan ekonomi pula juga dalam
sudut kehidupan ekonomi. Berasaskan sebab pengisytiharan darurat ini,
ia dipanggil darurat kesihatan, walaupun
istilah ini tiada dalam Perlembagaan Persekutuan.
12. Apakah kesan pengisytiharan Proklamasi Darurat? Kesan umum ialah Perlembagaan digantung dan
pentadbiran negara adalah ditentukan oleh pihak eksekutif. Malah tentera juga
boleh mengambil alih teraju dalam hal berkaitan keselamatan sekiranya keadaan
memerlukan, lebih-lebih lagi apabila darurat diisytiharkan kerana berlakunya
ancaman kepada keselamatan negara. Namun
Proklamasi ini bukan berasaskan ancaman keselamatan. Keadaan ini dinyatakan dengan jelas dalam
pengumuan oleh Perdana Menteri mengenai bentuk darurat yang berkuatkuasa di negara ini iaitu “ bukanlah satu
bentuk rampasan kuasa tentera. Perintah berkurung juga tidak akan dilaksanakan.
Sebaliknya, sepanjang tempoh darurat ini, kerajaan awam akan terus berfungsi.”
13. Selain dari tujuan utama Proklamasi Darurat
ini untuk membendung pndemik COVID-19, Perdana Menteri menjelaskan bahawa:
“.Selain
itu, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri
tidak akan bersidang sehingga suatu masa yang ditetapkan oleh Yang
di-Pertuan Agong.”
“.Sepanjang tempoh darurat
berkuatkuasa, Pilihan Raya Umum, Pilihan
Raya Negeri dan Pilihan Raya Kecil tidak akan diadakan. Dalam keadaan
biasa, Pilihan Raya Kecil mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas kerusi
diisytiharkan kosong. Pilihan Raya Negeri juga mesti diadakan dalam tempoh 60
hari selepas Dewan Undangan Negeri dibubarkan. Sedangkan kita tahu, rakyat pada
masa ini tidak mahu pilihan Raya diadakan untuk mengelakkan wabak COVID-19
merebak seperti yang berlaku selepas Pilihan Raya Negeri Sabah baru-baru ini”
14. Ini bermakna Parlimen
tidak akan bersidang dari sekarang hingga 1 Ogos 2021 atau tarikh lain yang
dicadangkan Jawatankuasa Bebas yang ditubuhkan semasa darurat ini. Tetapi
ini tidak bermakna Parlimen dibubarkan.
Dengan lain perkataan tiada Mesyuarat dan Persidangan Parlimen bagi
tempoh tersebut. Ahli-ahli Parlimen
masih boleh menjalankan fungsi-fungsi biasanya yang lain. Perkara ini perlu dirujuk apa sebenarnya dalam Ordinan Darurat yang
akan diwartakan. Bolehlah juga
disebut ”Parlimen digantung” bagi tempoh
tersebut. Oleh yang demikian, Rang Undang-Undang yang masih dalam
pertimbangan Majlis Dewan Rakyat/Dewan Negara tidak luput seperti ketika
Parlimen diprorog. Ini berbeza
jika Parlimen dibubarkan, Rang Undang-Undang tersebut akan turut luput. Perkara 55(5) Perlembaga Persekutuan
menetapkan “ (5) Sesuatu Rang
Undang-Undang yang belum diputuskan di dalam Parlimen tidaklah terluput
disebabkan oleh pemprorogan Parlimen.” Walau bagaimanapun, perkara mengenai persidangan Parlimen ini
akan diperincikan dalam Ordinan Darurat yang akan dimasyhurkan oleh Yang di-Pertua
Agong.
15. Persoalan disini, mengapa “penggangtungan Parlimen” dimasukan
dalam perisytiharan darurat ini?
Sebagaimana dihuraikan sebelum ini, ketidak ketentuan majoriti pihak
Kerajaan akan memungkinkan Parlimen dibubarkan dan sekaligus PRU 15
diadakan. Pelaksanaan PRU 15, amat
dibimbangi menyebakan penularan pendemik COVID-19 semakin dahsyat. Oleh yang demikian kebimbamngan sedemikian
adalah termaktub dalam Per. 150 (2), Proklamasi Darurat di bawah
Fasal (1) boleh dikeluarkan sebelum sebenarnya berlaku kejadian yang mengancam
keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam
Persekutuan atau mana-mana bahagiannya jika Yang di-Pertuan Agong “berpuas hati bahawa kejadian sedemikian
hampir benar berlaku.”
16. Perdana Menteri juga menjelaskan bahawa bahawa pandemik
COVID-19 yang menghalang beliau untuk
membubarkan Parlimen bagi membolehkan dilaksanakan PRU 15.
“.Mutakhir
ini terdapat pihak-pihak yang mendesak supaya pilihan raya diadakan. Saya tidak
berniat untuk tidak mengadakan pilihan raya. Perkara utama yang menghalang saya
daripada menasihati Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang
di-Pertuan Agong agar membubarkan Parlimen untuk membolehkan Pilihan Raya Umum
diadakan ialah pandemik
“.Justeru, saya memberikan komitmen yang tegas bahawa Pilihan Raya Umum
akan diadakan sebaik sahaja Jawatankuasa Khas Bebas yang akan ditubuhkan
memperakukan bahawa wabak COVID-19 telah reda atau pulih sepenuhnya dan pilihan
raya adalah selamat untuk diadakan.” Oleh yang demikian, PRU 15
dijangka diadakan selepas 1 Ogos 2021
atau tarikh yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Bebas yang diwujudkan bagi
memantau Proklamasi Darurat ini.
17. Sebagai rekod, menyorot kembali sejarah, berikut adalah
pengiytiharan darurat di negara ini:-
i.
Darurat Tanah Melayu (1948-1960)-Selepas tentera Jepun menyerah
kalah kepada British pada 15 Ogos 1945, anggota Parti Komunis Malaya (PKM)
mengambil kesempatan keluar dari hutan dan bertindak ganas terutama dalam
tempoh seminggu ‘kekosongan kuasa’ disebabkan tentera British belum tiba di
Tanah Melayu.
Pembunuhan tiga pengurus ladang Eropah di Sungai Siput, Perak pada 1948
menyebabkan kerajaan Persekutuan mengisytiharkan darurat.
ii. Darurat Konfrontasi (1964)- Pada 3 September 1964, bekas Perdana
Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mengisytiharkan darurat susulan
pencerobohan tentera Indonesia.
iii.
Krisis Perlembagaan Sarawak (1966)-Kerajaan Persekutuan mengisytiharkan
darurat di Sarawak pada 14 September 1966 bagi menyingkirkan Stephen Kalong
Ningkan sebagai Ketua Menterinya selepas 21 daripada 42 Ahli Dewan Undangan
Negeri (ADUN) Sarawak tidak mempunyai keyakinan terhadap kepemimpinan beliau.
iv. Peristiwa 13 Mei (1969)-13 Mei tahun 1969 menjadi peristiwa
hitam buat seluruh negara apabila insiden rusuhan kaum berlaku. Kerajaan
mengisytiharkan darurat pada 15 Mei 1969 ketika Parlimen sudah dibubarkan.
v. Darurat Kelantan (1977)- Darurat diisytiharkan di Kelantan pada
8 November 1977 hingga Februari 1978 akibat rusuhan politik di Kelantan setelah
Mohamad Nasir ketika itu enggan meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar
Kelantan.
vi. Darurat jerebu 1997, 2005, 2013)- darurat diisytihar di wilayah
tertentu di Sarawak, Selangor dan Johor ketika Indeks Pencemaran Udara (IPU)
merekodkan status sangat tidak sihat dengan lebih 500 bacaan. (Rujukan; Utusan Malaysia Online, 13 Januari
2021-Sejarah Darurat di Malaysia)
18. Sebagai rumusan, Darurat 1948, 1964 dan 1969 berasaskan kepada sebab keselamatan. – Darurat
Keselamatan. Darurat 1966 di Sarawak dan 1977 di Kelantan adalah disebabkan
ketidak stabilan polititik - Darurat
Politik. Manakala Darurat Jerebu juga
pernah disytiharkan pada tahun 1997, 2005
dan 2013 berasaskan ancaman jerebu di Sarawak, Selangor dan Johor.
19. Suatu yang menarik, Darurat Jerebu tidak memberi apa-papa kesan politik bagi negeri-negeri berkenaan, hanya
semata-mata untuk membolehkan tindakan yang lebih tegas untuk mengatasi jerebu
ketika itu. Ini berbeza dengan Darurat
Kesihatan (COVID-19) 2021, yang bukan sahaja tertumpu kepada mengatasi /memerangi
pandemik COVID-19 semata-mata., malah mengheret sama penggantungan Parlimen dan
menghalang pilihan raya. Walaupun pada asasnya Proklamasi Darurat
untuk memberi tumpuan kepada masalah sebenar negara iaitu Covid-19, masalah
ekonomi dan masalah kesempitan hidup,
namun ianya juga memberi kesan
untuk menenangkan kemelut politik dengan memastikan tidak berlakunya
Pilihan Raya Umum dalam tempoh ini.
Dengan lain perkataan pertimbangan politik juga mendasari pertimbangan
disebalik keputusan perisytiharan darurat
tersebut. Walau bagaimana pun, kesan Proklamasi Darurat ini adalah
tertakluk kepada kandungan Ordinan Darurat yang dimasyhurkan oleh Yang
di-Pertuan Agong dan seterusnya diwartakan.
20.. Penulis juga ingin
merakamkan disini. Pengisytiharan
Darurat 1969 berikutan peristiwa 13 Mei
1969 ditarik balik atau dibatalkan pada 20 Disember 2011. Ini bermakna, 40 tahun
Malaysia dalam keadaan pengisytiharan darurat .yang tidak ditarik balik, tetapi terus membangun dan
maju kehadapan. Justeru itu,
Perisytiharan Darurat 2021 diyakini tidak menyebabkan demokrasi mati ataupun membawa Malaysia ke belakang.
Wassalam, suatu catatan rakaman bersejarah.
Haji Maluin Sadiran
Jenderam Hulu, Sepang
14 Januari 2020.