Sunday 22 August 2021

DISEGERAKAN USUL KEPERCAYAAN TERHADAP PERDANA MENTERI KE-9 - ADAKAH MENDESAK?

Pelbagai pihak khususnya pembangkang dan juga ingatan Istana Negara supaya usul kepercayaan terhadap Perdana Menteri Ke-9 dilaksanakan di Dewan Rakyat. Menurut pandangan mereka, ia bertujuan mengesahkan "keabsahan" pelantikan Perdana Menteri.

Berikutan itu, timbul pandangan supaya usul kepercayaan tersebut dibuat segera sebelum Jemaah Menteri dilantik/dibentuk. Hujahan ini telah menjadi perbincangan dalam slot Selamat Pagi Malaysia di TV 3 pada hari ini, 23 Ogos 2021.  Adakah perlu sesegera sedemikian?

Sebagaimana catatan penulis sebelum ini,  usul kepercayaan tersebut (ramai memanggilnya usul undi percaya) bukanlah suatu kemestian yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan, bahkan bukannya kehendak perundangan.  Ia hanyalah amalan yang wajar dilaksanakan bagi mengukuhkan/meneguhkan sokongan kepercayaan kepada Perdana Menteri yang dilantik bukan selapas/sejurus pilihanraya umum.  Disini bukannya soal "keabsahan" tetapi lebih kepada mengukuhkan sokongan terhadap seseorang Perdana Menteri itu. 

Oleh yang demikian, penulis berpandangan usul kepercayaan tersebut bukanlah suatu yang mendesak dan perlu disegerakan sehingga didahulukan dari pembentukan Jemaah Menteri.  Pelantikan Menteri-menteri adalah amat perlu dan mendesak untuk memastikan kesinambungan  serta tidak menjejaskan pentadbiran negara.

Tambahan pula, keutamaan sekarang ini Jemaah Menteri hendaklah memutuskan sama ada Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat Parlimen Ke-14 yang akan bermula 6 hingga 30 September 2021 bagi Dewan Rakyat diteruskan atau sebaliknya.  Malahan pada hari ini, Setiauaha Dewan Rakyat (SUDR) telah mengadakan mesyuarat secara maya dengan kementerian-kementerian bagi meneliti urusan-urusan termasuk pertanyaan-pertanyaan dan usul-usul yang telah dikemukakan oelh Ahli-ahli Parlimen. Untuk rekod, tarikh akhir mengemukakan pertanyaan ialah pada 20 Ogos 2021 yang lalu  dan SUDR akan menghantar buku Aturan Urusan Mesyuarat kepada Ahli-ahli Parlimen seminggu sebelum 6 September 2021. INILAH YANG MENDESAK UNTUK DIPUTUSKAN SEKARANG, BUKANNYA MENYEGERAKAN USUL KEPERCAYAAN SEBELUM MASA YANG TELAH DIRANCANG.

Walau bagaimanapun, usul kepercayaan terhadap Perdana Menteri Ke-9 boleh dibuat pada persidangan Dewan Rakyat yang akan bermula pada 6 September 2021 bagi meneguhkan sokongan majoriti (ramai pihak gunakan istilah keabsahan) bagi membolehkan Perdana Menteri Ke-9 itu mentadbir negara tanpa sebarang  gangguan oleh mana-mana pihak.

Persoalan yang berbangkit  ialah sekiranya Perdana Menteri tidak memperoleh undi majoriti dalam usul kepercayaan tersebut, maka beliau  tidak mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan.  Sekiranya ini berlaku Perdana Menteri terpaksa meletak jawatan  atau menasihatkan Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen.  Dalam hal ini, penulis bersetuju dengan pandangan Tun Dr Mahathir bahawa usul kepercayaan tersebut tidak perlu bagi mengelakan keadaan yang sedimikian dan "Malaysia akan diketawakan oleh dunia."(FMT, 24 Ogos 2021)[kemaskini].

Suatu lontaran pandangan jua.

Jenderam Hulu,

23 Ogos 2021, 10.30 pagi.

No comments:

Post a Comment

SUATU CATATAN - ANTARA “PAK SHEIKH” YANG KU SANJUNG DAN PM 10 YANG MENYINGKIRKAN KU....

  Menelusuri ingatan 45 tahun yang lalu, semasa penulis berusia sekitar 20’an yang penuh semangat dalam persekitaran dakwah dan harakah dise...