Monday 23 November 2020

TATACARA USUL UNDI TIDAK PERCAYA - ADAKAH DIPERUNTUKKAN DALAM PERLEMBAGAAN ?

Semasa perbahasan Bajet 2021 di  peringkat dasar, beberapa Ahli Parlimen telah membangkitkan isu berkaitan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Ke-8, khususnya Ahli Parlimen Shah Alam yang mempertikaikan kedudukan usul tersebut.  Jawapan  Kerajaan  seperti yang dimuatnaik dalam Portal Parlimen adalah seperti berikut:

Bagi  menentukan sama ada seseorang itu mendapat kepercayaan serta sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat untuk menjadi Perdana Menteri, Perlembagaan Persekutuan mahupun Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat tidak memperuntukkan tatacara yang berhubungan dengannya.  Oleh yang demikian, Yang di-Pertuan Agong yang mempunyai kuasa prerogatif berkenaan perkara ini hendaklah memutuskan melalui cara  sendiri untuk membuat penentuan. Yang di-Pertuan Agong boleh menentukan apa-apa cara yang sesuai untuk menentukan individu yang pada hemat Yang di-Pertuan Agong mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, termasuklah dengan menerima apa-apa dokumen yang dikemukakan mahupun dengan mendapatkan kenyataan lisan atau bertulis daripada setiap ahli Dewan Rakyat.

 

Berhubung dengan undi tidak percaya, perkara tersebut tidak diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Namun, Fasal (4) Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan menyatakan yang berikut:

 

        43.     (4)     Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.”.

 

Walaupun Fasal (4) Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan mengenai kedudukan jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, Fasal tersebut tidak memperuntukkan  tatacara untuk mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri. Oleh itu, tatacara tersebut hendaklah sebagaimana yang diperuntukkan dalam Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

 

Usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri boleh dibawa      ke Majlis Mesyuarat sekiranya teratur dan mematuhi Peraturan Mesyuarat 26(1) dan 27(3) dalam Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang berhubungan dengan kehendak mengenai pemberitahu usul. Usul undi tidak percaya juga tertakluk kepada Peraturan Mesyuarat 14 dan 15 dalam Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat masing-masing mengenai susunan Aturan Urusan Mesyuarat dan peruntukan bagi mendahulukan Urusan Kerajaan. Namun, Tuan Yang di-Pertua Dewan Rakyat mempunyai kuasa dan budi bicara untuk menentukan bila perbahasan usul boleh dibuat dengan mengambil kira urusan Kerajaan.

 

Selaras dengan Peraturan Mesyuarat 15(1) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, pada tiap-tiap hari persidangan mesyuarat, urusan Kerajaan hendaklah didahulukan daripada urusan-urusan lain. Sehubungan  itu, urusan-urusan lain termasuk usul persendirian yang turut terdiri daripada usul tidak percaya hanya akan dibahaskan selepas semua urusan Kerajaan selesai. Sebanyak 25 usul tidak percaya telah diterima dan dimasukkan dalam Aturan Urusan Mesyuarat bagi Mesyuarat Ketiga, Penggal Ketiga Parlimen Keempat Belas.”

 

Manakala berkaitan saranan Ahli Parlimen Bagan Datuk supaya Kerajaan memberi  keutamaan kepada “Usul Undi Percaya” terhadap Perdana Menteri, penjelasannya adalah :

         

          terdapat Usul Undi  Percaya yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Pasir Puteh  dan Ahli Parlimen Arau telah disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat bagi Mesyuarat ini.  Usul ini juga termasuk sebagai usul persendirian.   Ianya juga tertakluk kepada Peraturan 15 (1), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, dimana  urusan Kerajaan hendaklah didahulukan dari urusan-urusan lain.”

 

Selama ini dalam penulisan terdahulu, penulis menegaskan bahawa “usul undi tidak percaya” lazimnya adalah usul persendirian kerana dikemukakan oleh pihak pembangkang. Usul sedemikian hanya tersenarai dalam Aturan Urusan Mesyuarat sahaja dan tidak mungkin akan dibahas / diputuskan kerana Peraturan Mesyuarat 15(1), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat  menetapkan urusan-uruusan Kerajaan didahulukan melainkan Kerajaan membenarkan usul persendirian ini didahulukan.  Usul undi tidak percaya ini bukanlah kali pertama, bahkan pernah dikemukakan kepada Perdana Menteri Ke-6, Dato Seri Najib Razak pada tahun 2015, dan hanya tersenarai dalam Aturan Urusan Mesyuarat sahaja.  Walau sebanyak mana usul ini dikemukakan oleh Ahli-ahli Parlimen, maka ia akan “duduk diam-diam” dalam Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat sahaja.

 

Suatu sorotan catatan jua....

 

Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur

23  November 2020

 

 

No comments:

Post a Comment

SUATU CATATAN - ANTARA “PAK SHEIKH” YANG KU SANJUNG DAN PM 10 YANG MENYINGKIRKAN KU....

  Menelusuri ingatan 45 tahun yang lalu, semasa penulis berusia sekitar 20’an yang penuh semangat dalam persekitaran dakwah dan harakah dise...