Thursday 4 June 2020

PEMBUBARAN PARLIMEN – ATAS NASIHAT ATAU KUASA BUDI BICARA YANG DIPERTUAN AGONG

Pada masa ini, situasi politik yang tidak stabil telah menimbulkan pelbagai perbahasan termasuklan kuasa untuk membubarkan Parlimen. Terdapat pandangan bahawa pembubaran Parlimen hanya berlaku apabila Perdana Menteri memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong dan ada juga berpandangan bahawa Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa budi bicara untuk membubarkan Parlimen. Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan “Yang di-Pertuan Agong boleh memprorog atau membubarkan Parlimen.” (Perkara 55(2). Sekiranya tidak dibubarkan, Perkara 55(3) menyatakan “Melainkan jika dibubarkan terlebih dahulu, Parlimen hendaklah terus berjalan selama lima tahun dari tarikh mesyuarat pertamanya dan selepas itu adalah terbubar.”. Inilah peruntukan Perlembagaan Persekutuan mengenai pembubaran Parlimen di negara kita dan jelas Yang di-Pertuan Agong mempuyai kuasa untuk membubarkan Parlimen.

Memanggil, memprorog dan membubarkan Parlimen 
 55. (1) Yang di-Pertuan Agong hendaklah memanggil Parlimen dari semasa ke semasa dan tidak boleh membiarkan enam bulan berlalu antara persidangan yang akhir dalam satu penggal dengan tarikh yang ditetapkan untuk mesyuarat pertamanya dalam penggal yang berikutnya. 
(2) Yang di-Pertuan Agong boleh memprorog atau membubarkan Parlimen. 
(3) Melainkan jika dibubarkan terlebih dahulu, Parlimen hendaklah terus berjalan selama lima tahun dari tarikh mesyuarat pertamanya dan selepas itu adalah terbubar.
(4) Apabila Parlimen bubar suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh enam puluh hari dari tarikh ia bubar dan Parlimen hendaklah dipanggil bermesyuarat pada suatu tarikh yang tidak lewat daripada satu ratus dua puluh hari dari tarikh itu.
(5) Sesuatu Rang Undang-Undang yang belum diputuskan di dalam Parlimen tidaklah terluput disebabkan oleh pemprorogan Parlimen. 
 (6) (Dimansuhkan). 
 (7) Sesuatu Rang Undang-Undang yang menantikan perkenan Yang di-Pertuan Agong di bawah Fasal (4) atau Fasal (4a) Perkara 66 tidaklah terluput disebabkan oleh pemprorogan atau pembubaran Parlimen.” 

Amalan dinegara ini ialah Perdana Menteri akan mengadap Yang di-Pertuan Agong dengan membawa warkah untuk meminta pembubaran Parlimen. Jika diperkenankan, Yang di-Pertuan Agong akan menanda tangani dan menurunkan cop mohor di atas Dokumen Proklamasi Perisytiharan) Pembubaran Parlimen (sebelah atas ) dan seterusnya Perdana Menteri akan menanda tangani dokumen itu disebelah bawah. Berdasarkan amalan inilah, maka Parlimen dibubarkan atas nasihat Perdana Menteri. 

Jika diamati Perkara 40 (1)) memperuntukan : “ hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seorang Menteri” dan Perkara 40(1a) pula “Yang di-Pertuan Agong dikehendaki bertindak mengikut nasihat, atas nasihat, atau selepas menimbangkan nasihat, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu.” Walaupun begitu, Perkara 40(2) pula memperuntukan “Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya” bagi “tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen”. Dalam klausa ini, istilah yang digunakan adalah “permintaan” dan bukannya “nasihat”. Ini bermakna dalam hal pembubaran Parlimen, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa budibicara dan sekiranya tiada kuasa, sudah tentu istilah “permintaan” tidak digunakan.

 “Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat 
 40. (1) Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan ini; tetapi Yang di-Pertuan Agong berhak, atas permintaannya, untuk mendapat apa-apa maklumat berkenaan dengan pemerintahan Persekutuan yang boleh didapati oleh Jemaah Menteri.
 (1a) Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, jika Yang di-Pertuan Agong dikehendaki bertindak mengikut nasihat, atas nasihat, atau selepas menimbangkan nasihat, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu
(2) Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi yang berikut, iaitu: 
 (a) melantik seorang Perdana Menteri;
 (b) tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen;
(c) meminta diadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja yang semata-mata berkenaan dengan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, dan apa-apa tindakan pada mesyuarat itu, dan dalam apa-apa hal lain yang disebut dalam Perlembagaan ini” 

Kesimpulannya, sekiranya ada permintaan dari Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong boleh memperkenan atau tidak memperkenan untuk membubarkan Parlimen. Jika tiada permintaan tersebut, Perkara 55(2) telah memperuntukan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong. Adalah diyakini bahawa baginda akan berhati-hati melaksanakan kuasanya dengan bijaksana.

No comments:

Post a Comment

SUATU CATATAN - ANTARA “PAK SHEIKH” YANG KU SANJUNG DAN PM 10 YANG MENYINGKIRKAN KU....

  Menelusuri ingatan 45 tahun yang lalu, semasa penulis berusia sekitar 20’an yang penuh semangat dalam persekitaran dakwah dan harakah dise...